.

. . . A S S A L A M U A L A I K U M . W R M . W B T . . . . . . S E L A M A T . B E R K U N J U N G . K E . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . . .

Apr 26, 2011

Senyumlah...


Senyumlah
ISBN: 978-983-097-306-7
Syed Alwi Alattas/312ms/RM21/GB0130

Hidup setiap manusia tidak terlepas daripada berdepan dengan masalah sama ada ringan atau berat.

Ketika menghadapi permasalahan ringan dalam hidup, kebanyakan manusia jarang berputus asa, namun tidak sedikit daripada mereka yang mengeluh dan kehilangan mood kerananya.


Ketika menghadapi masalah berat pula, ada yang hilang arah dan pedoman hingga terlupa kepada Sang Pencipta.

Lantaran itu, ada orang yang sangat membenci masalah dan berusaha lari daripadanya. Ada yang berputus asa kerananya, justeru menjadikan keadaannya semakin buruk dan menderita.

SENYUMLAH ditulis untuk membantu pembaca melihat masalah dengan cara pandang yang baru. Setelah membaca buku ini, mudah-mudahan pembaca akan menjadi lebih bahagia dan lebih faham bahawa setiap permasalahan itu sama ada berat atau ringan, ia pasti akan berlalu akhirnya.

Selera Dapur Anis


Selera Dapur Anis
ISBN: 978-983-097-305-0
Aliyah Sijari/268ms/RM40/GB128

Selera Dapur Anis terdiri daripada 125 jenis masakan yang terdiri daripada Nasi dan Lauk-pauk, Kerabu dan Pembuka Selera, Kuih-muih dan Pencuci Mulut, serta Aneka Minuman yang kesemuanya amat menyelerakan.

Penulis turut berkongsi petua dan pelbagai pengetahuan berguna di samping resipinya.

Turut diselitkan panduan dan etika makan dan minum daripada al-Quran dan hadis.

Selera Dapur Anis memberikan dimensi baru dalam bidang masakan kerana setiap resipi yang dimuatkan adalah mudah dipelajari. Anda pasti akan menjadi mahir apabila berusaha untuk ‘pandai masak’.

R& R di Lebuh Raya Kehidupan


R&R di Lebuhraya Kehidupan
Zul Ramli Ahmad Razali
ISBN: 978-983-097-288-6/ 368ms/ RM25/GB0129

Ramai manusia tersesat atau lebih tragis ditimpa kemalangan di laluan hidupnya. Lebuh raya hidup bukan lagi menjadi laluan menuju matlamat sebaliknya bertukar menjadi medan kehancuran dan kemusnahan diri.



Pengguna lebuh raya hidup perlu kepada panduan agar sentiasa kekal selamat di samping memastikan tidak teralih arah ke matlamat yang salah.

Seperti lebuh raya sebenar yang mengandungi banyak R&R di sepanjang perjalanan serta pelbagai papantanda isyarat dan petunjuk, begitulah di lebuh raya kehidupan. Ia mengandungi R&R dan papan tanda isyarat dan tanda-tanda bagi memastikan kita selamat sampai ke destinasi.

Mari memanfaatkan papan tanda di sepanjang laluan dengan memahami dan mematuhinya dengan penuh sabar. Di sana tersembunyi apa yang diharapkan oleh si musafir; keselamatan dan ketenangan hakiki dalam menuju matlamat bahagia.

Buku ini mengajak pembaca memecut ke hadapan dengan langkah positif dalam menuju keseimbangan secara proaktif dan tanpa bertangguh supaya tidak berlaku kepincangan dalam hidup. Di setiap R&R kita berhenti, bermuhasabah buat mendapat kelegaan untuk terus memacu ke lebuh raya kehidupan.

Anakku Brain Tumor - Pengalaman untuk dikongsi bersama


Anakku ‘Brain Tumour’
Isyah Radhiah Idris
ISBN: 978-983-097-317-3 / RM25/ 372 ms/Kod: GB0137

Pada pertengahan 2010, mereka diduga Allah dengan penyakit yang digeruni yang dihidapi anak ketiga mereka, Ahmad Mahir Baihaqi atau nama panggilannya Aqi, yang ketika itu (pertengahan 2010) berumur 9 tahun.

Anak yang cergas sejak lahir itu mendapat sakit kepala yang berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Dia disahkan menghidap ketumbuhan otak (brain tumour) oleh Hospital Pakar Damansara. Maka bermulalah episod dugaan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh isteri yang ketiadaan suami di sisi, iaitu tatkala Che Amran ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan.




Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kebahagiaan dan kegembiraan bagaikan diragut. Perasaan berkecamuk berlegar di dalam diri. Benarkah anak ini menghidap penyakit bahaya yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami menjadi pengubat jiwa yang gundah. Namun, empat hari mereka dalam keadaan buntu, sambil tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan redha dengan ketetapan-Nya.

Doktor pakar bertegas bahawa pembedahan perlu segera dibuat untuk mengelakkan tumor daripada membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Berpindah ke hospital kerajaan dan kemudian berpatah balik ke hospital swasta adalah usaha yang dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan pembedahan dilakukan segera ke atas Aqi. Namun masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi sekiranya pembedahan dijalankan, membuatkan mereka suami isteri dalam dilema.

Pandangan dan nasihat daripada kaum keluarga dan kenalan melalui telefon dan SMS, diambil sebagai pertimbangan. Biar apa pun, keputusan adalah di tangan mereka. Mereka sendirilah yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anak mereka.

Perlukah pembedahan segera dilakukan atau patutkah ditangguhkan? Wajarkah mereka memilih rawatan alternatif untuk mengelak risiko daripada pembedahan? Wujudkah rawatan alternatif untuk penyakit berbahaya ini yang tidak memerlukan pembedahan? Sejauh mana kesannya?

Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama dengan Baihaqi telah membuat Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Isyah, “Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa.”

Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan, berbanding dengan Kak Zah sebelum ini yang terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa dalam membuat pilihan.
Pesanan ibunya juga membuatkan renungan Isyah makin dalam. “Sah, mak rasa elok kalau tangguh dulu perancangan pembedahan tu. Mak tak sedap hati kalau menyentuh bahagian kepala,” kata si ibu.

Berdasarkan pandangan majoriti ahli keluarga dan sahabat-handai, akhirnya Isyah dan Che Amran membuat keputusan. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Baihaqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan keputusan itu – meminta pembedahan ditangguhkan dan meminta izin untuk membawa keluar Baihaqi dari hospital.

Selepas itu bermulalah perjalanan mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif yang diiringi dengan terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Baihaqi. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor sebelum ini, “Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini, dia tidak akan hidup lama.”

Hikmah daripada apa yang berlaku, Isyah dan Che Amran semakin sedar akan tanggungjawab mereka dalam memenuhi amanah Allah menjaga dan mendidik anak-anak. Hubungan mereka suami isteri juga bertambah erat, manakala hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat-handai tambah rapat.

Anakku ‘Brain Tumour’ adalah perkongsian pengalaman yang akan memberi motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak yang senasib dengan Baihaqi. Lebih daripada itu, ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.

TESTIMONI
“Satu perkongsian pengalaman yang sangat bermakna buat seorang yang bernama ibu mahupun bapa Tahniah bukan hanya pada penerbitan bukunya tetapi juga kerana ketabahan melalui saat-saat genting demi nyawa seorang anak yang disayangi. Penulisan ini juga sebagai panduan bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama.”
- Tn Hj Ismail Ahmad, Pengarah Urusan HPA

“Gabungan pengalaman dan ilmu berdasarkan fakta ... bukan sahaja sebagai panduan untuk mereka yang menghadapi ujian penyakit malah panduan bagaimana hubungan dalam keluarga, dengan saudara-mara dan sahabat-handai perlu berlangsung secara ikhlas.”
- Siti Rugayah Hj. Tibek, pensyarah Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, UKM

“Buku ini bukan sekadar mengenai tumor di dalam kranium tetapi menjangkaui persoalan seluas atmosfera kehidupan. Bingkisan berharga bagi sesiapa yang mencari pahlawan dalam diri, semangat melawan kental, rahsia perawatan yang begitu unik, harga budi dan kasih sayang serta pergantungan mutlak pada Ilahi. Ia membenarkan: setiap sesuatu sentiasa punya pilihan ketiga yang infiniti!”
- Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, perunding motivasi dan penulis buku U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan

“Sangat terkesan dengan jalan ceritanya. Amat menarik. Satu catatan pengalaman yang amat berharga. Wajib dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kekentalan jiwa seorang ibu membawa kepada kekuatan. Walau dalam keadaan genting masih mampu membuat keputusan dengan tenang.”
- Hasan Suyut, CEO Lotus West Engineering Sdn. Bhd. dan penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah

“Kita tidak akan tahu sejauh mana kuatnya kita dalam menghadapi ujian hidup sehinggalah satu-satunya pilihan yang ada pada kita hanyalah untuk redha dan sabar dalam menerima qadha dan qadar Allah. Buku ini besar nilai tarbiahnya kerana ia memaparkan bagaimana pasangan suami isteri ini mengurus ujian hidup dengan jiwa tauhid.” Zabidi bin Mohamed, penulis skrip drama
http://zabidiskrip.blogspot.com

Bagi pasangan Isyah Radhiah dan Che Amran Idris, kebahagiaan dan kegembiraan mereka sekeluarga bagaikan diragut apabila anak mereka Baihaqi, 9 tahun, disahkan menghidap ketumbuhan otak.

Kalau anak itu tidak segera dibedah, tumor akan terus membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Ini memaksa mereka memindahkannya ke hospital kerajaan dan berpatah balik ke hospital swasta semata-mata agar pembedahan dapat disegerakan. Namun, masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi selepas pembedahan, meletakkan mereka di persimpangan.

“Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini; dia tidak akan hidup lama,” beritahu doktor. Dalam memutuskan kaedah rawatan terbaik, mereka buntu. Ramai memberikan pandangan, tetapi keputusan mutlak adalah di tangan mereka. Ia perlu segera diputuskan, kerana nyawa anak dalam keadaan kritikal!

Buku ini adalah motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak senasib dengan Baihaqi. Ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.



Novel Hani


Hani
ISBN: 978-983-097-311-1/Nurulsham Saidin/.408ms/RM19/ GB0136

Novel Hani adalah karya terbaru Nurulsham Saidin hasil kolaborasi beliau dengan Zabidi Mohamed, penulis skrip Hani, drama 13 episod yang ditonton lebih dua juta penonton setiap minggu sewaktu ditayangkan di TV.




Hani mengisahkan cabaran hidup seorang remaja perempuan bernama Ummu Hani yang periang dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Dia berazam menyambung pelajaran di luar negara.

Hani yang selalu sakit kepala dan pening telah disahkan mempunyai ketumbuhan dalam otak sebelum menghadapi peperiksaan SPM. Dia perlu menjalani pembedahan otak tetapi akan menerima satu kesan sampingan – menjadi buta!

Berita itu umpama hukuman mati kepadanya dalam menggapai cita-cita menjadi pensyarah dan mengejar cintanya kepada seorang pelajar bernama Irfan.

Apr 11, 2011

Takdir - sebuah novel epik Islami

Takdir
ISBN: 978-983-097-286-2
Novel Tarbiah
Hilal Asyraf/540 ms/RM21/GB0127

Penulis mendapat idea untuk menulis Novel Takdir, apabila penulis menonton trilogi Lord of The Ring yang merupakan adaptasi daripada Novel The Lord of The Ring karangan J.R.R. Tolkien. Penulis masih ingat, ketika itu adalah awal tahun 2008. Penulis berhajat untuk menulis satu cerita trilogi, yang mampu menyambung semula harapan manusia, kepada Allah SWT.




Dengan Novel ini, penulis hajatkan agar ianya memberikan inspirasi, kekuatan, kepada mereka yang beriman kepada Allah SWT, dalam meneruskan perjuangan mereka menentang kebatilan di atas muka bumi ini. Memang kadangkala kita terasa, usaha kita sia-sia.

Kita terasa, perjuangan ini terlalu panjang. Kita terasa seperti kemenangan itu tidak akan sampai-sampai kepada kita. Maka Novel ini adalah untuk mengubati perasaan itu.

Penulis ingin mengajak diri penulis dan pembaca, agar melihat kembali hubungan kita kepada Allah SWT, dalam perjalanan hidup kita sebagai hamba-Nya. Dalam kehidupan kita sebagai penyeru di atas jalan-Nya. Dalam kehidupan kita sebagai pejuang di atas jalan-Nya. Apakah kita percaya dan yakin akan segala janji-janji-Nya dengan sepenuh keimanan kita? Atau kita sekadar beromongan semata-mata?

Novel Takdir, bukan semata-mata fantasi kosong. Tetapi pada penulis , ini buah tangan buat ummah, agar jangan berputus harap daripada Allah SWT. Sesungguhnya, Dia itu tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya, yang berjuang di atas jalan-Nya.

Walaupun dunia ini diselimuti kegelapan batil, tetap cahaya Allah itu akan menyinari nanti. Persoalannya, apakah kita ini golongan yang percaya?

Takdir Allah telah tertulis, bahawa kemenangan akan menjadi milik hamba-hamba-Nya yang beriman. Tinggal kita tidak tahu bagaimana ianya akan berlaku. Maka apakah kita antara yang percaya, dan berusaha merealitikannya? Persoalan-persoalan ini pulang kepada kita.


Apr 8, 2011

Hero

Hero
ISBN: 978-983-097-285-5
Kategori: Novel Dewasa
Hilal Asyraf
492ms/RM20/GB0126

Hero, hakikatnya hanyalah satu cetusan idea yang penulis dapat daripada gula getah yang ditinggalkan di tepi dinding dewan kuliah penulis. Daripada situ, ibarat bunga api, idea cerita Hero ini berkembang dan berkembang.




Ditambah hajat penulis yang besar untuk menewaskan apa-apa sahaja watak superhero yang tidak membawa manusia kembali kepada Allah SWT di atas muka bumi ini, penulis berusaha mengadun idea ini dengan sebaik mungkin agar terciptanya 'Hero' yang mampu membawa manusia kembali kepada Allah SWT agar memberikan manfaat.

Akhirnya, terhasil lah Novel Hero yang pada penulis, membawa mesej yang besar. Bukanlah penulis hendak membawa pembaca sebagaimana pencipta Batman atau Superman hendak manusia melihat Batman atau Superman. Yakni membawa manusia melihat - Itulah dia penyelamat kita - Akan tetapi, apa yang sebenarnya penulis hajatkan daripada Hero ini adalah, penulis hendak membawa diri kita bersama-sama, melihat tanggungjawab kita sebagai muslim mukmin di atas muka bumi ini.

Penulis hendak menyatakan bahawa, kita semua punya tanggungjawab. Dunia ini, tidak akan terselamat hanya dengan seorang Hero.

Sebab itu, di dalam Islam, tugas dakwah dan tarbiah tidak terletak di atas pundak Rasulullah SAW semata-mata. Akan tetapi, tugasan menyebarkan amanah Allah itu, menggerakkan proses tarbiyah itu, dijalankan juga oleh para sahabat Rasulullah SAW dengan giat dan proaktif. Menyebabkan akhirnya Islam itu tersebar luas, merentas zaman, sehingga sampai kepada kita hari ini.

Sebab itu penulis menulis Novel Hero ini. Realiti tidak akan pernah demikian, yakni satu Hero, menewaskan semua penjahat. Hatta sekiranya dia mampu pun, sehingga bila dia mampu?


Matahari - kompilasi cerpen

Matahari
ISBN: 978-983-097-269-5
Kategori: Kompilasi Cerpen
Hilal Asyraf
392ms/RM19/GB0108

Menghimpunkan 18 buah cerpen tarbiah yang mempunyai pelbagai tema iaitu alam persekolahan, persahabatan, percintaan, kekeluargaan dan umum.


Cerpen Matahari 1; Matahari 2; dan Bulan ini berlatarbelakangkan alam persekolahan; cerpen Tidak Ingin Kau Pergi dan A.I.E. berkenaan sahabat di universiti manakala Mencari Ilahi berkenaan dua orang yang awalnya tidak sependapat tetapi akhirnya menjadi sahabat.

Cerpen Ekspedisi Cinta; H.I.V.; Menjemput Bidadari; dan Masyitah ini berkisarkan mengenai perjalanan dan konsep cinta mengikut syarak yang berlainan pengakhiran. Cerpen Ikhlas berkenaan dengan ibu dan anak perempuannya; Kisah Seorang Arnav berkenaan dengan bapa dan anak lelakinya; manakala Hari-hari Terakhir berkenaan dengan suami isteri, ibu bapa dan mentua.

Cerpen Warkah Dari Palestina dan Aku Memanggil Kamu berlatarbelakangkan peperangan; Mana Tuhan Kamu mempunyai latarbelakang peristiwa yang bakal terjadi; Sang Penyeru ada unsur kisah dakwah nabi-nabi terdahulu manakala 999+1 pula seakan konsep Sang Penyeru, bezanya ialah cerpen ini berlandaskan kisah benar tetapi tidak diakhiri dengan kematian watak utama. Semua cerpen ini diletakkan di bawah tema bahagian umum.


Emel Untuk Damia

E-mel Untuk Damia
ISBN: 978-983-097-296-1
Kategori: Novel remaja
Zaihanim Zainal Abidin
228ms/RM14/GB124

Setelah menjuarai pelbagai pertandingan sukan, nama Damia mulai harum. Damia mengalami konflik dalaman apabila ayah dan ibunya mahu berpindah. Berlaku masalah di pejabat yang menyebabkan ayahnya ditukar berkhidmat ke daerah lain.




Damia tidak mahu bertukar sekolah kerana bimbang statusnya sebagai atlit berkaliber di sekolah lamanya, akan terhakis. Dia juga sayangkan sekolah lama dan teman-teman di sekolahnya itu. Oleh kerana itu, Damia berselisih faham dengan ayahnya.

Komputer riba merupakan teman rapat bagi Damia untuk meluahkan isi hatinya. Ketika berada di laman sembang, Damia berkenalan dengan Nur Ilham, seorang pelajar. Ia memberi seribu penawar kepada Damia.

Persoalannya, adakah Damia sekeluarga jadi berpindah?
Bagaimana pula dengan misi Damia untuk bergelar olahragawati?


Impian Juara 2

Impian Juara 2
ISBN: 978-983-097-292-3
Kategori: Novel Awal Remaja
Zayu Hisyam
128ms/RM10/GB0125

Kejayaan Imran yang meraih gelaran juara baru perseorangan lelaki Bawah 12 Tahun MSSD Petaling Utama tidak bermakna apabila mengetahui hasrat datuknya berkahwin dengan jiran mereka Mak Jah.




Sikap Imran berubah dan dihalau dari pusat latihan kerana bergaduh dengan rakan sepelatih. Imran juga dicabar oleh ketua jurulatih untuk kembali semula berlawan bagi menentukan tempatnya dalam pasukan MSSD Petaling Utama.

Perkenalannya dengan seorang lelaki Cina Muslim iaitu Adam Lee telah merubah sikap dan semangat Imran untuk terus berjuang mempertahankan gelarannya.

Adam Lee pula mempunyai masalah perhubungan dengan keluarganya kerana keputusan memeluk agama Islam bersama-sama isterinya, Karen. Mampukah Imran menjadi juara kali ini? Mampukah dia membantu Adam Lee menyelesaikan masalah keluarganya?


Rahsia Hutan Belantara

Rahsia Hutan Belantara
Episod 2 (siri Pengembaraan Sains Tiga Beradik)
ISBN: 978-983-097-297-8
Kategori: Novel Remaja
Nurulsham Saidin
200ms/RM13/GB0123

Kisah ini berlanjutan dari novel Rumah Di Kaki Bukit. Setelah Tiga beradik- Zaim(abang), Zuraidah(aku) dan Junaidah (Joey) berjaya menyembunyikan emak dari mata orang-orang yang tidak dikenali itu, mereka telah kembali ke rumah sementara menunggu apakah tindakan selanjutnya.

Namun, tidak berapa lama kemudian, orang-orang itu datang lagi, kali ini bersama dengan Profesor Kamal yang mereka percayai!

Ayah telah membawa mereka lari ke hutan belantara. Di sana mereka berjumpa dengan Orang Asli, yang merupakan kawan ayah, Pak Cik Upik. Mereka kemudiannya telah bersembunyi di perkampungan Orang Asli tempat Pak Cik Upik tinggal.

Ikuti kisah selanjutnya berkenaan pengembaraan adik-beradik ini dalam Episod 2 Rahsia Hutan Belantara.




Dia Sahabatku

Dia, Sahabatku
ISBN: 978-983-097-281-7
Kategori: Novel remaja
Dissa Azmin
312ms/ RM15/ GB0115

WasillahWairah dan Saif remaja berusia 16 tahun. Mereka berkawan rapat, setelah bermusuhan di awal perkenalan.

Wasillah Wairah membantu Saif mengubah kehidupannya yang terdedah kepada gejala sosial yang memudaratkan.



Wasillah Wairah mendorong Saif agar bertabah hati melalui keretakan perhubungan keluarganya yang berpecah-belah. Berkat kesabaran itu, keluarga Saif akhirnya bersatu semula.

Keakraban itu telah membuat Wasillah Wairah sangat kasihkan Saif. Izham dan Raudah pula hadir sebagai orang ketiga yang muncul dalam hidup mereka. Konflik tercetus akibat cemburu yang terburu-buru. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Siapakah sahabat sebenar di hujung cerita?


Dunia Baru Termizi

Dunia Baru Tirmizi
ISBN: 978-983-097-293-0
Kategori: Novel Awal Remaja
Nur Sufi
184ms / RM12/GB0116

Mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak lelaki yang penuh kesedihan, keperitan dan penderitaan. Kanak-kanak setabah Tirmizi yang mampu menghadapi kehilangan seorang demi seorang ahli keluarganya.




Pun begitu dia tetap cekalkan hati untuk menjadi seorang pelajar yang mampu menginjakkan kaki ke sekolah berasrama penuh walau dia adalah anak seorang penoreh getah yang hidupnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Hayatilah juga kisah kejayaan Tirmizi, kanak-kanak cerdas yang juga mampu menumpaskan satu kegiatan kumpulan haram yang akhirnya menjadikan adiknya sebagai mangsa.

DUNIA BARU TIRMIZI mampu membawa pembaca merenungi peri kemiskinan hidup dan ketabahan seorang kanak-kanak serta keberaniannya untuk membanteras satu kegiatan jenayah di kampungnya sendiri waima diri adiknya menjadi mangsa.

Akhirnya setelah puas mengharung ombak derita kejayaan mampu juga digenggamnya dengan segunung keazaman. Semoga apa yang dicita-citakan oleh ayahnya mampu dijadikan realiti yang nyata.


Lomy dan Tompok

Lomy & Tompok
ISBN: 978-983-097-307-4
Norhayati Safii
132ms/RM11/GB0120

Sarah begitu gembira apabila keluarganya berpindah ke rumah mereka yang terletak bersebelahan dengan rumah sepupunya Azyan. Tambahan pula sepupunya yang sebaya dengan dirinya itu juga mempunyai minat yang sama terhadap kucing. Sarah sangat menyayangi Lomy, kucing comel hadiah dari ibu saudaranya manakala Azyan juga mempunyai seekor kucing bernama Lola.




Kegembiraan Sarah bersama Lomy walau bagaimanapun tergugat dengan kehadiran Tompok, kucing liar yang sentiasa datang ke rumah Sarah. Keadaan bertambah parah apabila kakak dan abangnya mengambil Tompok untuk dijaga setelah mendapati kaki Tompok tercedera.

Bermulalah kehidupan Sarah dan Lomy dengan kehadiran Tompok yang dianggap Sarah tidak setaraf untuk hidup sebumbung dengan Lomy. Tingkah laku Tompok begitu merimaskan Sarah sehingga berbagai penderaan yang Sarah lakukan terhadap Tompok yang sememangnya dipandang hina oleh Sarah itu.

Pada masa yang sama, sepupu Sarah Azyan pula dilanda masalah. Terdapat barang-barang perhiasan yang hilang dengan penuh misteri di rumah Azyan. Sarah cuba menolong Azyan merungkai masalah ini kerana tidak mahu ibu tiri Azyan mengesyaki Azyan yang terlibat dengan kehilangan barang-barang tersebut.

Sesuatu telah berlaku yang menyebabkan Tompok disyaki menyerang Lomy. Tompok telah dihalau keluar dari rumah oleh Sarah. Akhirnya Sarah sedar dia telah tersalah sangka terhadap Tompok. Tompok yang tidak berdosa itu sebenarnya telah berjasa kepada Sarah. Sarah menyesali tindakannya dan berusaha mencari Tompok semula.

Berjayakah Sarah menjumpai Tompok semula dan juga menyelesaikan masalah kehilangan barang di rumah Azyan?


Hello Anak-anak Ayah! 2

Hello, Anak-anak Ayah! 2
ISBN: 978-983-097-290-9
Kategori: Novel Awal remaja
Zulina Hassan
120ms/RM10/GB122

Masa terus berlalu. Keadaan terus berubah.
Firas kini berada di tingkatan tiga. Tubuhnya semakin tegap, kulit semakin gelap dan suaranya semakin parau.

Alia yang mendapat lima A dalam peperiksaan UPSR
mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh. Tetapi dia memilih bersekolah di sekolah harian kerana enggan berpisah dengan ibu dan adik-beradiknya.

Syamil berusia 11 tahun dan semakin matang. Dia tidak lagi membaca buku cerita kisah cinta dan komik, sebaliknya membaca buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan. Husna yang berada di tahun satu semakin bijak, manakala Is semakin petah bercakap dan tidak lagi memakai lampin.

Ayah masih belum pulang, dan kerenah mereka tetap memeningkan kepala ibu.


Andai Bavaria Takdirku

Andai Bavaria Takdirku
ISBN: 978-983-097-275-6
Kategori: Novel Dewasa
Nurulsham Saidin & Nieda Lienke
304ms/RM18/GB0114

Aisya, seorang wanita Melayu yang berpendidikan tinggi dan menyandang jawatan yang baik telah bertemu dengan seorang lelaki Jerman, Olaf yang ditugaskan ke Malaysia untuk jangka masa dua tahun.




Pertemuan yang pada mulanya sebagai sahabat itu kemudiannya membuahkan rasa cinta dan berakhir ke gerbang perkahwinan dua tahun kemudian.

Kisah bermula apabila Aisya perlu mengikut suami pulang ke negara asalnya, dan tinggal di sebuah kampung pedalaman di Obermichelbach, Bavaria, Jerman. Di sinilah Aisya mula merasai cabaran sebagai seorang Muslim yang hidup di kalangan penduduk beragama Kristian yang sangat tradisional.

Namun, dia mendapat kekuatan untuk menyesuaikan diri kerana suaminya yang penyayang dan sangat memberati agama Islam. Kala itu, Aisya berpendapat bahawa dia harus berada di sisi suami kerana satu lagi tanggungjawabnya adalah untuk membantu suaminya mempelajari syariat seperti solat dan membaca Al Quran.

Dari segi ketauhidan, suaminya tiada keraguan lagi.
Kekuatan Aisya adalah abangnya, Ustaz Ashrof yang telah mengingatkannya untuk bersabar, menjadi cerdik dan mengambil keputusan yang betul apabila telah berkeputusan untuk berkahwin dengan seorang yang situasi hidupnya seperti Olaf itu.

Novel ini juga menceritakan tentang perspektif popular masyarakat Eropah mengenai Islam dan kaitannya dengan perang salib. Ia juga memaparkan keadaan cuaca dan musim di Jerman serta masyarakat Islam di sana. Juga diselitkan cara penyediaan makanan orang-orang di sana.


Lentera Cinta Albaicin

Lentera Cinta Albaicin
ISBN: 978-983-097-266- 4
Kategori: Novel Dewasa
Mazny MR
512ms/RM21/GB0111

Muhammad Salehuddin menjejaki bumi Granada kerana dua tujuan. Pertama, untuk mengotai janji kepada sahabat baiknya Abdul Hakeem; seandainya peluang pekerjaan yang sengit di Malaysia tidak menjanjikan apa-apa, dia akan mencuba nasib di sana. Keduanya, dia harus melunasi ikrar jihad yang sudah terpateri bersama beberapa orang rafik.




Sallehuddin akan membantu mereka untuk memastikan cahaya dari obor Islam terus menerangi lorong-lorong suram di tanah al-Andalus itu.

Adat orang berdagang, pelbagai pengalaman pahit manis yang terpaksa ditempuhinya. Pandangan sinis masyarakat barat yang menganggap agama Islam sebagai agama yang mengekang hak-hak asasi individu dan keghairahan mereka melabelkan Islam sebagai agama teroris dan agama orthodoks yang memundurkan peradaban, membuatkan semangat Salehuddin berkobar-kobar untuk memerdekakan pemikiran orang-orang yang skeptikal terhadap Islam, baik dari pihak luar mahu pun dari kalangan orang-orang Islam Granada sendiri.

Salehuddin sedar, dia bukan seorang graduan dari Timur Tengah. Juga bukan seorang ustaz yang layak bersyarah. Namun nur hidayah yang diperoleh hasil acuan keluarga membuatkan dirinya menjadi seorang yang berani dan istiqamah dalam bermujahadah.

Dia ingin berkongsi cahaya itu dengan orang-orang di sekelilingnya. Itulah antara sebab mengapa Abdul Hakeem memilih Salehuddin. Akhlak dan budinya menambat hati. Islam itu bukan sekadar menghiasi sepotong nama atau terukir di dada segulung ijazah tetapi dijiwai dan menjadi amalan yang membenteng diri!

Namun tidaklah ada seorang pun di dunia ini yang beriman tanpa diuji. Janji-janji Allah kadang kala penuh teka-teki. Kemunculan watak-watak insani seperti Siham yang pendiam, Majeed yang kacak, Mourad yang agresif dan Imam Habib Kassem yang penuh wawasan memeriahkan hari-hari Salehuddin di Lembah Albaicin.

Anehnya, kehadiran Leyla Zulaikha yang pantas menjadi pesona Albaicin hampir-hampir mengundang satu tragedi!

Berjayakah Salehuddin menggaul semua rempah ratus permasalahan Albaicin untuk memasakkan sebuah ukhwah Islami?
Dan siapa pula Raden Nur Karmila yang namanya kian terukir indah di persada hati?


Kasih Terpilih


Kasih Terpilih
ISBN: 978-983-097-263-3
Kategori: Novel Dewasa
Ummu Itqan
248ms /RM17/GB0095

Ketika Misali menyertai sebuah pasukan penyelidik untuk menyiapkan tesis sarjananya, dia tidak terfikir bahawa dia akan menghadapi konflik komunikasi dengan seorang rakan penyelidik yang ego.

Dia juga tidak terfikir bahawa misi penyelidikan madu di belantara Tasik Pedu akan menjadi titik penentu kepada perubahan status gadisnya. Malah dia tidak terfikir, misi penyelidikan itu akan bertukar menjadi misi penemuan jodoh buatnya.

Lebih Misali tidak terfikir, di satu tahap dia harus membawa watak kaum Ansar yang membela kaum Muhajirin.

Dia tidak terfikir ada ‘Muhajirin’ yang akan melintasi hidupnya dan mendamba kasih daripadanya ketika dia sudah di ambang jalinan ikatan suci dengan jejaka pilihan. Apakah Misali cukup kuat untuk menjadi ‘Ansar’? Apakah si dia juga bersedia untuk berkorban demi seorang ‘Muhajirin’?

Dua jejaka mengharap pada kasih yang satu. Dua ‘Ansar’ berdepan dengan seorang ‘Muhajirin’. Kasih siapakah yang ‘terpilih’?


Di Sini Kami Berteduh

Di Sini Kami Berteduh
ISBN: 978-983-097-261-9
Kategori: Novel Dewasa
Nurulsham Saidin
361 ms /RM18/GB0094

Tasnim Jawahir, seorang guru tuisyen, berhajatkan pendidikan agama yang mantap untuk anaknya. Namun suaminya Azam menentang hasratnya menyekolahkan anak mereka di sekolah agama yang mundur.




Azam juga memandang sinis usaha isterinya membantu anak-anak sekolah itu dalam akademik. Kehidupan keluarga yang mewah, diduga Allah dengan masalah kewangan yang teruk apabila Azam tersalah langkah. Berdepan dengan tarbiah daripada Allah, mahukah Azam membuang ego dan menerima bantuan isterinya untuk membetulkan kesilapan?

Cikgu Shamsiah, graduan universiti yang melupakan kepentingan diri demi memajukan akademik sekolah, berdepan dengan cabaran besar ekoran keadaan pelajar-pelajar yang amat ketinggalan dan masalah peribadinya sendiri. Dia begitu sabar dan tenang, hinggalah kemarahannya meledak pada suatu hari.

Ustaz Daud, mudir sekolah, tampil dengan sikapnya yang berhemah. Tetapi sekolah yang semakin maju itu tergugat juga apabila ada individu yang suka popular dan mencari pengaruh.


Aku Terima Nikahnya - Edisi Istimewa


Edisi Istimewa ATN
ISBN: 978-983-097-272-5 (Kulit keras)
Hasrizal Jamil
568 ms /RM55/GB00103

Aku Terima Nikahnya merupakan sebuah trilogi iaitu kompilasi tiga buah buku: Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Murabbi Cinta.



Diberi wajah baru dengan penampilan yang lebih kemas dan menarik. Edisi istimewa berkulit keras. Direka khas dan sesuai dijadikan hantaran perkahwinan. Pun begitu boleh juga dibaca oleh sesiapa jua.

Aku Terima Nikahnya merupakan terjemahan jalur pengalaman penulis dari sebelum berkahwin, kemudian mendirikan rumah tangga, seterusnya mempunyai anak.

Amat sesuai dijadikan rujukan bagi pasangan yang belum, sedang dan telah berumah tangga.


Batu-bata Kehidupan


Batu Bata Kehidupan
ISBN: 978-983-097-291-6
Hilal Asyraf
352ms/RM25/GB0117

BATU-BATA KEHIDUPAN terdiri daripada tiga mauduk utama iaitu Allah, Cinta dan Kehidupan Mukmin yang merupakan bahan bina penting dalam struktur ‘bangunan kehidupan’ setiap insan.
BATU-BATA KEHIDUPAN mengajak pembaca membina ‘bangunan kehidupan’ dengan bahan bina yang berkualiti dan utuh agar ia dapat bertahan hingga ke akhirat.

Bukan semua orang faham berkenaan ukhuwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi, apakah sahabat kita itu faham makna ukhuwah seperti yang kita faham?

Kalau kita faham bahawa ukhuwah tertinggi adalah itsar, (melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhuwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama?

Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya dalam amalan?
... . Ya, jangan harapkan daripada sahabat kita apa-apa.
... . Ya, kita perlu korbankan masa kita untuk sahabat kita.

Kita korbankan ruang jiwa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan harta kita untuk sahabat kita. Kita korban apa sahaja. Semuanya untuk ukhuwah kita.


Bukan Susah Nak Faham


Bukan Susah Nak Faham
ISBN: 978-983-097-294-7
Zahirudin Zabid
208ms/RM19/GB0118

BUKAN SUSAH NAK FAHAM merupakan bacaan ringan yang ditulis dalam bahasa yang mudah namun sarat dengan pengajaran. Terdiri daripada himpunan ceritera yang sangat menarik.



Diperkemaskan dengan tamsilan-tamsilan logik bagi memudahkan pembaca memahami persoalan-persoalan agama yang kadangkala mengguggat keimanan kita. Sekali gus memotivasikan pembaca untuk lebih menghayati ajaran Islam. Juga terdapat empat buah cerpen sebagai bacaan bonus.

... seorang murid, yang dikenali sebagai murid yang pendiam, bangun dan memberi isyarat mahu bertanyakan soalan.
Tanya dia kepada ustazah, “Ustazah, kalau Allah menyuruh kita solat, macam mana pula Allah solat?”
Seluruh kelas terpana dengan soalan pelajar itu.
Ustazah mereka juga terkedu sekejap sebelum dapat mencari jawapan yang sesuai bagi menjawab persoalan anak muridnya itu.
Seketika kemudian baharulah ustazah menjawab dengan bertanya kembali kepada pelajarnya itu, “Kenapa awak datang ke sekolah?”
“Kerana mahu belajar,” jawabnya ringkas.
“Selain daripada itu?”
“Kerana mak dan ayah saya suruh.”
“Tapi mereka tidak datang sekolah bukan?”
“Ya.”
“Begitulah juga Allah. Dia yang menyuruh kita bersolat untuk menyembah diri-Nya. Maka Dia tidak perlulah bersolat. Sebagaimana mak dan ayah kita suruh kita datang ke sekolah, sedangkan mereka tidak datang ke sekolah.”
Murid tersebut mengangguk, berpuas hati dengan jawapan daripada ustazah mereka itu.


Apr 7, 2011

Rumah di kaki Bukit... sebuah novel remaja yang misteri!

Judul novel: RUMAH DI KAKI BUKIT
Episod 1 (siri Pengembaraan Sains Tiga Beradik)
Kategori: NOVEL remaja
Penulis : NURULSHAM SADIN & MOHAMAD SAMSURI
KOD: GB0100
ISBN: 978-983-097-270-1
HARGA: RM 14.00
M/S: 178

SINOPSIS :
Cerita bermula di kaki bukit. Di situlah sebuah keluarga yang dahulunya pernah tinggal di tengah rimba konkrit bertukar 180 darjah, tinggal di tengah rimba yang sebenar.

Tinggal di dalam rumah yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti sumber tenaga elektrik seakan cabaran baru untuk Zuraidah dan ahli keluarganya yang lain. Encik Yusof yang diisytihar muflis tidak punya banyak pilihan selain mengajar anak-anaknya untuk terus bertahan dengan kemahiran-kemahiran asas hidup di dalam hutan.

Cabaran sebenar bermula apabila rumah mereka didatangi oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali sepeninggalan Encik Yusof ke Kuala Lumpur. Misteri rumah di kaki bukit yang mereka diam itu terbongkar jua di hujung cerita ini, dibantu oleh watak Profesor Kamal Ehsan. Sememangnya novel ini tidak harus dilepaskan oleh semua remaja yang gemarkan cabaran!

Setelah berjaya menghasilkan dua buah novel dewasa, Dingin Salju Indiana dan Di Sini Kami Berteduh, Nurulsham Saidin tampil dengan buah tangan terbaru, Rumah Di Kaki Bukit dengan genre novel remaja. Kali ini, beliau tidak keseorangan kerana dibantu oleh penulis yang juga merupakan suami beliau, Samsuri Hussain.

Berpendidikan di dalam telekomunikasi Elektrical & Elektronik, beliau pernah bekerja sebagai pengendali satelit di MEASAT Satellite and Systems Sdn Bhd selama 13 tahun. Samsuri Hussain menggemari alam sekitar, suka mempelajari teknik pertanian, meminati herba-herba dan tumbuhan serta batu batan mineral dan ubat-ubatan tradisional. Ini merupakan kali pertama beliau berkongsi idea bersama isteri di dalam novel fiksyen sains.


Apr 6, 2011

Remaja Harapan


Remaja Harapan
ISBN: 978-983-097-280-0/
Hilal Ayraf/
184ms/RM12/GB0105

Mengisahkan watak utama, Megat Iskandar Asyraf, berumur 11 tahun berusaha untuk cemerlang di dalam USPR. Kisahnya tiada banyak konflik. Sekadar beberapa cerita yang memberikan inspirasi kepada anak-anak kecil untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak cepat kecewa.

Terdapat banyak sirah-sirah nabawi dan para sahabat diselitkan dalam cerita ini untuk mengiringi langkah-langkah kejayaan si kecil. Lebih ‘ringan’ daripada Remaja Mulia yang kelihatan ‘berat’.

Kelebihan Novel Remaja Harapan ialah berisu ringan, ringkas, tetapi padat. Tidak sepanjang Remaja Mulia. Sesuai dibaca oleh pelajar tahun 5 hingga tingkatan 3.
Ibarat cerita dalam cerita, apabila kisah nabawi mengiringi perjalanan si kecil. Dia akan sentiasa teraspirasi dengan kisah-kisah para sahabat dan Rasulullah yang gigih. Ini juga ibarat buku motivasi ringkas kepada anak-anak.


Kisah Mukjizat Nabi


Himpunan 40 Kisah Mukjizat Rasulullah
ISBN: 978-983-097-277-0/
Zuraimi Ismail /
200ms / GB106/RM12

Mukjizat adalah kejadian luar biasa dan ‘mencarik adat’ yang berlaku pada para nabi dan rasul dengan izin Allah SWT. Mukjizat adalah perbuatan yang tidak mampu ditiru oleh manusia biasa.

“Himpunan 40 Kisah Mukjizat Nabi Muhammad SAW” ini, mengumpulkan sedikit daripada sekian banyak kisah atau peristiwa berkaitan dengan mukjizat dan keistimewaan Baginda SAW.



Terdapat beberapa kisah di dalam himpunan ini yang tidak disifatkan sebagai mukjizat, tetapi dikategorikan sebagai keistimewaan luar biasa Baginda. Atau disebut sebagai irhas, iaitu perkara pelik atau kejadian luar biasa yang hanya berlaku kepada bakal-bakal nabi dan rasul.

Selain daripada 40 kisah yang terdapat dalam buku ini, masih banyak lagi kisah berkaitan dengan mukjizat dan ‘irhas’ Nabi Muhammad SAW. Insya-Allah, akan diteruskan pengumpulannya...


Labbaikallah....


Judul: LABBAIKALLAH
Penulis: HAJI ZAINAL HAJI BUJANG
Kategori: TRAVELOG TARBIAH
Saiz: 5.5” x 8.5”
ISBN: 978-983-09-284-8
Tebal: 272 hal.
Harga: RM19

Buku ini mengandungi 40 artikel corat-coret jemaah haji dan umrah, suka duka, dan ganjil serta lucu semasa di Tanah Suci. Setiap kisah disisipkan pengajaran bagi pembaca. Juga terdapat 15 halaman yang mengandungi foto-foto hiasan di Tanah Suci.




Penulis buku ini Haji Zainal Haji Bujang juga telah banyak menghasilkan hampir 20 buku berkaitan haji dan umrah.

Petikan 1

Tiba-tiba satu fenomena ganjil terjelma. Para tetamu Allah yang sedang khusyuk menanti waktu solat terpinga-pinga. Ada yang menggeleng-geleng seakan-akan tidak percaya apa yang sedang terpapar di depan mata.

Ada pula yang tersenyum seolah-olah menyaksikan sebuah sendaloka. Saya juga terkesima melihatkan adegan yang sedang berlaku. Jemaah tua separuh umur itu sedang mengatur langkah. Satu demi satu menuju destinasi yang bersarang dalam kalbu. Lagaknya persis kucing yang merangkak untuk bertindak. Tidak ubah seperti gelagat Tom dan Jerry, dalam siri kartun yang amat popular dalam kalangan kanak-kanak.

Jemaah misteri terus melangkah dengan penuh berhati-hati dan berhemah. Dia melintasi Multazam yang Allah iktiraf sebagai tempat paling mustajab bagi merafak doa. Dia bergerak ke arah Hajarul Aswad yang tidak lagi sesak dengan peminat setia. Saya tersenyum melihat senario yang berlaku. Barulah saya tahu nawaitunya yang sedang membelenggu. Para jemaah yang mulai memahami hasrat dan cita-citanya mulai ketawa.

Mereka geli hati melihat gelagat tetamu istimewa itu yang amat bersahaja. Si tetamu istimewa separuh usia terus bergerak menuju matlamat idaman kalbu. Tiba-tiba dia meluru sepenuh kudrat dan jiwa raga. Dia terus mendakap dan mengucup batu hitam yang berasal dari syurga. Terbahak-bahak keluar ilai tawa yang serentak. Ada pula yang terlalu kagum melihat kerenah tetamu istimewa yang begitu menyerlah.

Mencium dan mengucup Hajar Aswad menjadi idaman setiap insan yang menjadi tetamu Allah. Mereka akan melakukan apa jua usaha bagi merealisasikan hasrat dan cita-cita. Setiap mereka mengetahui akan kelebihan dan fadilat batu hitam dari syurga itu. Hadis Baginda Rasulullah ada mengungkapkan bahawa Hajar Aswad akan menjadi saksi di akhirat kelak bagi orang-orang yang pernah menyalami, mengusap dan mengucupnya. Gelagat tetamu istimewa di atas menjadi petanda betapa batu yang amat mula itu begitu berhikmat dan memikat.

Petikan 2

Hari itu saya sengaja lalu di salah satu kawasan yang banyak terdapat burung merpati. Burung-burung yang ratusan jumlahnya itu saling berebutan mematuk makanan. Berkelompokan dalam beberapa pasukan. Yang datang dan terbang itu membentuk satu senario yang menggamit girang. Beberapa orang wanita berkelubung hitam berkeliaran sambil berjaja.

Mereka mencari rezeki dengan membekalkan gandum kepada para jemaah yang berhati mulia. Sayidatina Khadijah r.a. pasti bahagia kerana merpati-merpatinya yang jinak dan manja itu turut dikasihi oleh para jemaah haji dan umrah yang pemurah.

Saya menganalisis setiap tindak-tanduk dan tingkah laku burung-burung merpati itu yang kelihatan aneh dan lucu. Ada yang melarikan diri setiap kali gandum itu ditaburkan kepada mereka. Sepatutnya mereka datang berebut-rebut dan bukannya mengengsot persis orang takut. Mereka seperti pandai memilih jemaah pemurah yang mereka suka. Segera saya teringatkan cerita orang tua-tua tentang pekerti merpati Sayidatina Khadijah yang luar biasa.

“Merpati di Makkah bukan seperti merpati di tempat lain.
“Tidak kebulur akan apa jua yang kita hulur dan tabur.”
“Tahu menilai mana yang halal dan suci dan mana yang kurang bersih dan syubhah.”
“Tidak akan menyentuh langsung pemberian daripada unsur yang haram.”

Saya menggaru-garu kepala yang tidak berkutu. Fenomena yang terjelma menyebabkan jiwa dan minda saya terkesima buat seketika. Terpegun saya melihat sikap merpati yang begitu sopan. Tahu membezakan mana yang tulen dan mana yang palsu. Boleh mengenal pasti mana yang halal dan bersih. Menolak mentah-mentah mana-mana yang haram dan tidak mutlak.

“Subhanallah!”


Menjawab 101 Persoalan Tauhid


Judul: MENJAWAB 101 PERSOALAN TAUHID
Penulis: DRS AL-USTAZ PAUZI HAJI AWANG
Kategori: Fardu Ain
Tebal: 96ms /Harga : RM10/GB113

Menjawab 101 Persoalan Tauhid ialah daripada terjemahan kitab al-Jawahir al-Kalamiyyah (Mutiara Ilmul Kalam) karya al-‘Allamah al-Ustaz al-Syaikh Tohir al-Jaza’iriy, sebuah kitab yang membicarakan masalah-masalah penting dalam bidang akidah Islamiah. Mengandungi Muqaddimah, diikuti enam bahasan (enam bab) dan penutup, meliputi seratus satu masalah akidah disusun secara soal jawab dengan bahasa yang mudah dan rapi.




Dalam sistem pengajian lama, buku ini dibaca di sekolah-sekolah Arab, pondok-pondok, masjid-masjid dan di surau-surau untuk pelajar-pelajar dan orang awam sebagai asas penting dalam bidang Ilmul Kalam.

Di tanah air kita dan di Indonesia, buku ini pernah diterjemahkan oleh guru-guru agama untuk tatapan para pelajar dan pembaca yang kurang mahir dalam bahasa Arab. Terjemahan yang kami kemukakan ini pernah diterbitkan buat kali pertamanya dalam tahun 1978 oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Kota Bharu, Kelantan.

Memandangkan buku ini penting dikuasai generasi muda hari ini, kami terbitkan sekali lagi dengan penambahan “Sepuluh Prinsip Ilmu” bagi melengkapkan pengetahuan yang berkaitan Ilmul Kalam.
Jika diizinkan Allah, akan disusuli judul-judul yang lain dalam bidang Ilmul Kalam ini, insya-Allah.

PETIKAN

1. Takrif Ilmu Tauhid

Maksud asal perkataan “tauhid” ialah mengiktiqadkan wujudnya Allah Yang Maha Esa, Tuhan yang mencipa segala makhluk, bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan, tidak ada sekutu bagi-Nya baik pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan af‘al-Nya. Dia tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya. Dialah yang mentadbir alam ini, Tuhan yang wajib disembah dan ditumpukan segala ibadat.

Dialah yang mengutuskan para rasul untuk memimpin manusia ke jalan yang lurus, menetapkan hukum-hukum dan menentukan cara-cara beribadat untuk kepentingan manusia itu sendiri. Dialah yang akan menyoal hamba-hamba-Nya di alam akhirat dan akan memberi balasan kepada mereka sama ada balasan baik ataupun balasan seksa sesuai dan setimpal dengan amal perbuatan masing-masing.

Dari segi bahasa perkataan “ilmu” bererti “pengetahuan” dan perkataan “tauhid” bererti: Mengesakan, menunggalkan, menganggap satu, mengetahui sesuatu itu hanya satu.

Dari segi istilah, perkataan ‘tauhid’ bermaksud:

• Suatu ilmu yang membicarakan tentang akidah agama Islam dengan dalil-dalil yang meyakinkan.

• Suatu ilmu untuk mengenal Allah dengan cara mengetahui dan mengenal sifat-sifat wajib, sifat-sifat mustahil dan sifat-sifat yang harus bagi mereka.

• Suatu ilmu yang mengandungi dalil-dalil dan hujah-hujah tentang akidah Islamiah, disokong dengan dalil-dalil aqli dan dalil-dalil naqli di samping menolak kepercayaan-kepercayan dan ajaran-ajaran karut, kepercayaan-kepercayaan yang menyeleweng daripada mazhab salaf dan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Daripada takrif yang berbagai-bagai itu, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu:

1) Ilmu tauhid mempunyai metodolginya yang tersendiri. Ia berdasarkan kepada kajian, penelitian dan dalil-dalil akal sebagai jalan untuk menetapkan akidah dan pegangan agama yang elah sabit dengan wahyu. Justeru, ilmu ini dikenali juga dengan nama “Ilmu an-Nazar al Istidlal—Ilmu Pemikiran dan Pendalilan”.

2) Tugas utama Ilmu Tauhid ialah berusaha menolak keraguan, kesamaran dan kepercayaan-kepercayaan karut dengan menegakkan hujah-hujah dan dalil-dalil aqli yang menunjukkan kesahihan akidah Islamiah yang menjadi pegangan golongan salaf dan Ahli Sunnah wal Jamaah.


Begini Sayang!


JUDUL: “BEGINI, SAYANG!”
PENULIS: MOHD HISHAM MOHD SHARIF & HASIFAH ZAINUDDIN
KATEGORI: MOTIVASI
SAIZ: 5.5” X 8.5”
ISBN: 978-983-097-282-4
TEBAL: 200 hal.
HARGA: RM19.00

“Hak seorang anak adalah kamu hendaklah menyedari bahawa dia berasal daripada kamu. Jika dia baik atau jahat, semuanya berkait dengan kamu. Kamu bertanggungjawab untuk membesarkan, mendidik dan membimbingnya ke jalan Allah serta membantunya menjadi anak yang taat. Kamu wajib melakukan sedemikian sehingga jika kamu berbuat baik kepadanya, kamu yakin kamu akan mendapat ganjaran dan jika kamu berbuat tidak baik kepadanya, kamu akan mendapat seksaan ... .” Imam As-Sajjad ibn Hussain ibn Ali ibn Abi Talib.



Mendidik anak yang masih rebung merupakan cabaran bagi setiap ibu bapa. Ia merupakan tempoh usia yang kritikal dalam pentarbiahan anak-anak. Perasaan ingin tahu anak pada usia ini meluap-luap, lantas pelbagai soalan dilontar, terkadang mencabar ibu ayah menjawabnya. Terkadang juga, di sebalik pertanyaan anak ada tarbiah bukan untuk anak semata-mata, tetapi untuk diri ibu bapa jua – inilah tarbiah dua hala!

“Ayah, bagaimana adik boleh ada dalam perut ibu?”
Soalan yang keluar secara tiba-tiba itu membuatkan jantung saya bergerak laju dan hati berasa tidak tenteram. ... Dalam menjawab persoalannya, saya akan memberikan fakta yang sebenar dan menceritakan dengan ringkas akan proses kejadian sesuai dengan mindanya yang masih muda rebung.

Bagaimana saya harus menceritakan proses persenyawaan kepadanya, apatah lagi apabila ia melibatkan urusan-urusan yang amat tidak manis jika diceritakan?Namun memberikan kefahaman yang sebenar, cukup penting, agar dia tidak beralih kepada sumber lain untuk mencari jawapan kepada persoalan yang mungkin akan mencetuskan masalah yang lebih besar. Lama saya terdiam, mengharap agar Allah memberi ilham ... .

LATAR BELAKANG PENULIS
MOHD HISHAM MOHD SHARIF
Lahir pada 3 Januari 1979. Mendapat ijazah Sarjana Muda Sains Komputer dari UUM pada 2001 dan seterusnya meraih Sarjana Sains Kejuruteraan Perisian pada 2003 dari UTM. Kini berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej Perniagaan, UUM dalam bidang Perakaunan Sistem Maklumat. Anak kelahiran Pengkalan Chepa, Kelantan ini, kini menetap di Kedah dan dalam rangka melanjutkan pengajian ke Adelaide, Australiauntuk ijazah Doktor Falsafah.

HASIFAH ZAINUDDIN
Lahir pada 28 Ogos 1979 di Pekan, Pahang. Lulusan Sarjana Muda Perakaunan Sistem Maklumat dari UUM ini adalah anak keempat daripada 12 beradik. Penulis merupakan usahawan pusat asuhan kanak-kanak sejak 2003 hingga kini. Pengalaman mengusahakan tadika ini mendekatkan penulis dengan kanak-kanak. Pengalaman menarik bersama anak didik ini turut diadun menjadi tulisan yang menarik dan berinformasi dalam “BEGINI, SAYANG!”



Wahai Anakku yang tercinta....


Wahai Anakku Yang Tercinta
ISBN: 978-983-097-276-3/

Drs Pauzi Awang /108ms/RM15/GB00107

Sebuah buku tasawuf terjemahan. Karya asal Aiyyuhal Walad oleh Imam al-Ghazali. Menerangkan persoalan dan amalan tasawuf, membimbing para pembaca memahami konsep dan teori ilmu tasawuf. Menghayati amalan dan menjauhkan diri daripada ajaran-ajaran sesat untuk keselamatan dunia dan akhirat.


Aiyyuhal Walad ialah sebuah karya indah. Malah termasuk salah sebuah kitab di dalam senarai kitab-kitab yang diterbitkan oleh Lajnah Antarabangsa Bagi Penterjemah Hasil-Hasil Karya Indah yang telah disepakati antara UNESCO dan Kerajaan Lubnan bertarikh 6 Disember 1948.


Kerana nilainya yang tinggi itu, karya ini telah diterjemahkan ke beberapa bahasa termasuk bahasa Perancis.

Di dalamnya terkandung mutiara-mutiara nasihat daripada Imam Al-Ghazali yang mempunyai khazanah yang tidak ternilai. Juga memgandungi doa-doa yang wajar kita amalkan. Karya ini diberi sambutan istimewa oleh penggemar dan pencinta ilmu tasawuf, dibaca berulang kali dan dihadamkan kandungannya.

Apr 4, 2011

Kisah Balasan Allah


Himpunan 40 Kisah Balasan Tuhan
ISBN: 978-983-097-274-9
Zuraimi Ismail
212ms/ GB0102/RM12

Setiap kejahatan yang dilakukan akan menerima pembalasan yang setimpal dengan perbuatan jahat itu. Hal demikian bukan sahaja termaktub dalam hukum atau peraturan Allah SWT. Malah dalam sistem dan perundangan manusia pun – siapa yang buat salah akan dihukum.


“Himpunan 40 Kisah Balasan Tuhan” ini, mengisahkan nasib orang-orang yang malang disebabkan amal perbuatan mereka sendiri. Kejahatan yang telah mereka perbuat membawa akibat yang sangat buruk. Tidak tunggu di akhirat, di dunia lagi Allah SWT boleh menurunkan pembalasannya itu.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...