.

. . . A S S A L A M U A L A I K U M . W R M . W B T . . . . . . S E L A M A T . B E R K U N J U N G . K E . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . . .

May 27, 2013

Keajaiban Firasat

63 Kisah Pengubat Jiwa


Tips Khusyuk dalam Solat.

Hatim al-Asham ditanya, "Bagaimanakah keadaan solatmu?"




     Dia menjawab:

     "Jika waktu solat telah tiba, aku berwuduk dengan sempurna. Selepas itu, aku berjalan ke tempat solat yang kuinginkan. Aku duduk di sana dan berusaha bersungguh-sungguh menumpukan seluruh anggota tubuhku untuk solat. Kemudian, aku berdiri untuk solat. Aku letakkan Kaabah tepat di hadapanku, titian menuju neraka di bawah kedua telapak kakiku, syurga di kananku, neraka di kiriku, Malaikat pencabut nyawa di belakangku, dan aku menganggap itulah solatku yang terakhir. Aku berdiri menghadap-Nya dengan perasaan harap dan takut. Kemudian, aku mengucapkan takbir dengan penuh kesedaran, aku membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil. Ketika rukuk, aku merendahkan diriku di hadapan Allah. Ketika sujud, aku melakukan dengan khusyuk. Ketika duduk tahiyyat awal, aku letakkan telapak kaki kiriku dengan bertumpu kepada ibu jariku. Aku kerjakan semua itu dengan ikhlas. Kemudian, aku tidak tahu, adakah solatku diterima oleh Allah SWT atau tidak."

*Abu Abdur Rahman Hatim bin Alwan, terkenal dengan gelaran 'al-Asham'. Termasuk tokoh ulama besar Khurasan. Dipanggil 'al-Asham' (orang yang tuli) bukan sebab benar-benar tuli, tetapi dia pernah berpura-pura tuli untuk menjaga kehormatan orang lain. Meninggal dunia pada 237H (751M)



     Kepada anda yang sering kali berasa runsing, atau sering berduka, atau yang sedang mencari ketenangan jiwa boleh dapatkan buku Keajaiban Firasat: 63 Kisah Pengubat Jiwa, karya Ustaz Muhadir Haji Joll ini di pasaran sekarang juga!

May 23, 2013

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami Bersama Hilal Asyraf


Ayuh ramai-ramai menyertainya.

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami, 2 hari 1 malam di De Palma Hotel, Shah Alam

Peluang untuk mereka yang benar-benar berminat menghasilkan karya kreatif sebagai medium dakwah telah muncul!

Bengkel Intensif Penulisan Novel Islami selama 2 hari 1 malam ini dianjurkan oleh LangitIlahi Consultancy dan Galeri Ilmu Media Group, untuk memberikan peluang kepada mereka yang ingin menceburkan diri ke medan penulisan, atau mahu mengasahkan lagi mata pena agar mampu meningkatkan lagi kualiti penulisan anda yang sedia ada.

Dengan barisan penyampai seperti Ummu Hani Abu Hassan, Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, disertai barisan editor Galeri Ilmu Media Grup seperti Haji Zakaria Sungib, Tuan Nasri Nasir, dan Tuan Amir Abd Hamid, ini nyatanya sebuah Bengkel Intensif yang dinanti-nanti ramai!

Selain penyampaian panel, para peserta juga diberi peluang membentangkan sinopsis novel mereka kepada para editor untuk dinilai. Jika berjaya, maka usai sahaja Bengkel Intensif ini, anda akan terpilih menjadi penulis untuk Syarikat Galeri Ilmu!

*peserta mestilah membawa sinopsis karya mereka (sinopsis penuh, bab demi bab) ke bengkel.

Bengkel ini akan diadakan pada 22hb-23hb Jun 2013, di De Palma Hotel, Shah Alam.

Yuran hanya RM750, sekali dengan makan dan penginapan (diwajibkan bermalam).
Pendaftaran boleh dilakukan dengan menghubungi Cik Suriyati di talian 03- 6142 1614.

Seat terhad hanya untuk 30 peserta sahaja. Jangan lepaskan peluang!

TENTATIF -
------------------------------------
Hari Pertama, 22hb Jun 2013
------------------------------------
8.00 am – 8.45 am: Pendaftaran Peserta.

8.45 am – 9.00 am: Majlis Pembukaan.

9.00 am – 10.15 am: Slot 1 - Niat dan Disiplin, Kuasa Penulisan - Hilal Asyraf.

10.15 am – 10.30 am: minum pagi.

10.30 am – 11.15 am: Slot 2 - LDK: Merangka Sinopsis Novel Secara Berkumpulan - Editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.

11.15 am – 11.45 am: Slot 3 - Mind Your Language - Editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.

11.45 am – 1.00 pm: Slot 4 - Menajamkan Pena Seorang Da'ie - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil.

1.00 pm – 2.00 pm: Solat Zuhur dan Makan Tengah hari.

2.00 pm – 3.15 pm: Slot 5 - Interaksi Di Medan Siber - Ustaz Hasrizal Abdul Jamil + Hilal Asyraf.

3.15 pm – 4.30 pm: Slot 6 - Proses Berkarya: Dari Sinopsis Kepada Manuskrip - Ummu Hani Binti Abu Hassan.

4.30 pm – 5.00 pm: Solat Asar dan Minum Petang.

7.00 pm – 8.00 pm: Makan Malam, Solat Maghrib, Tazkirah Ringkas.

8.15 pm – 9.15 pm: Slot 7 - Karya Yang Diterima Editor - Tuan Amir Abd Hamid (Editor Novel Galeri Ilmu Sdn Bhd)

9.30 pm – 12.00 pm: Slot 8 - Pembentangan Sinopsis (1) - Editor-editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.


-----------------------------------
Hari Kedua, 23hb Jun 2013
-----------------------------------

6.00 am: Solat Subuh Berjemaah, Pengurusan Diri.

7.00 am – 8.00 am: Slot 9 - Karya Yang Menarik Pembaca - Hilal Asyraf.

8.00 am – 8.30 am: Sarapan.

8.30 am – 10.00 am: Slot 10 - Pembentangan Sinopsis (2) - Editor-editor Galeri Ilmu Sdn Bhd.

10.00 am – 11.00 am: Slot 11 - Mengatasi 10 Halangan Penulis - Encik Zakaria Sungib (Ketua Editor Galeri Ilmu)

11.00 am – 11.30 am: Minum Pagi.

11.30 am – 12.30 pm: Slot 12 - Teknik Menulis Bab Pertama - Encik Zakaria Sungib (Ketua Editor Galeri Ilmu) 

12.30 pm – 1.00 pm: Slot 13 - Latihan Menulis Bab Pertama.

1.00 pm – 2.00 pm: Makan Tengah hari dan Solat Zuhur.

2.00 pm – 3.00 pm: Sesi Penilaian dan Pemilihan Sinopsis oleh Editor.

3.00 pm – 4.00 pm: Majlis Penutup dan minum petang, bersurai.

Sumber: Hilal Asyraf (Official)






May 21, 2013

Buah Tangan Dari Madinah


Sumber artikel: Kosmo


SEWAKTU berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada 26 April hingga 5 Mei lalu, buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar dan Aroma Antara Benua terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung.
Karya yang dihasilkan oleh Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dan isterinya, Raudzah Roslan itu sebenarnya baru sahaja diterbitkan dan dijual buat kali pertama dalam acara tahunan yang berprestij itu.
Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar merupakan nukilan Muhd. Kamil mengenai pengalaman beliau sepanjang berada di Madinah sejak September 2011. Buku itu menceritakan tentang kebesaran Allah yang tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya di bumi penuh keberkatan itu.
Air tangan
Buku Aroma Antara Benua pula memaparkan koleksi resipi air tangan Raudzah. Ia dilengkapi catatan peristiwa yang dilalui sewaktu berkelana di beberapa negara semata-mata mengikut suami tercinta.
“Kami berharap semoga penulisan buku ini menjadi ilmu yang bermanfaat kepada khalayak pembaca,” kata Muhd. Kamil yang berhijrah ke Madinah pada selepas ditawarkan menjadi Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.
Bekas Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor itu memberitahu, menulis sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya dan isteri sepanjang berada di Madinah.
“Kami menulis sepanjang masa dan ia merupakan rutin harian. Jika tidak menulis buku, kami akan menulis artikel di blog.
“Sehubungan itu, kami mempunyai dua hingga tiga manuskrip serentak. Namun, apabila kami membuat keputusan untuk menghantar kedua-dua manuskrip ini, ia mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya,” ujar beliau melalui e-mel.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan kedua-dua karya tersebut, Roza memberitahu, buku Aroma Antara Benua lebih sukar berbanding Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar.
“Buku yang berkonsep resipi ini memerlukan foto makanan yang berkualiti. Kami tiada studio. Jadi, setiap hari saya menunggu cahaya matahari memasuki tingkap rumah agar mendapat penataan cahaya semula jadi.
“Saya pula tidak dilatih untuk mengambil gambar. Tetapi, Alhamdulillah itulah hasilnya seperti yang boleh dilihat dalam buku tersebut,” ujar Roza.
Bagi Muhd. Kamil pula, beliau melihat buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar sebagai sebahagian laluan kehidupan peribadi.
“Foto-foto yang ada pula, hanyalah menggunakan kamera telefon bimbit. Itulah yang mampu saya lakukan,” katanya.
Berkongsi tip
Sehingga kini, Muhd. Kamil telah mempunyai koleksi buku penulisan tersendiri. Antaranya ialah Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (2007), PhD Kecil Tapi Signifikan, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (2008), 50 Tip Motivasi Haji (2011) dan Bersyukur Saat Diuji (2012).
Sementara Roza pula tampil dengan buku-buku bertajuk Travelog Cinta Abadi, Travelog Impian Abadi dan Travelog Kehidupan Abadi.
Dalam pada itu, Muhd. Kamil turut menitipkan beberapa nasihat buat mereka yang mahu terlibat dalam dunia penulisan.
“Pertama, menulislah kerana Allah. Kedua, mohonlah kepada-Nya supaya diberi ilham dalam menghasilkan penulisan yang baik.
“Sepanjang kita menulis jangan lupa bangun solat malam, bertahajud dan bermunajat agar apa yang ditulis adalah berdasarkan ilham yang benar. Selain itu, sentiasa berdoa supaya khalayak dapat memahami apa yang kita persembahkan. Ilmu itu anugerah Allah. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita hanyalah bala tenteranya,” ungkap beliau penuh berhemah.
Mengulas mengenai perkembangan buku-buku dan novel berkonsep Islamik di Malaysia, Muhd. Kamil mempunyai pandangan tersendiri.
“Jika ia dilakukan semata-mata kerana Allah, insya-Allah, ia akan menyerap ke hati sekali gus menjadi alat dakwah yang berkesan. Jika tidak, ia hanya satu jenama seumpama produk-produk lain di pasaran.
“Penulis yang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, pembaca akan membaca sebagai satu tabiat mengisi masa lapang dan lebih parah ia hanya tebuk-tebuk di sana sini. Malah, ada jalan ceritanya tidak memenuhi syariah. Ia hanya label di kulit buku sebagai alat mencapai keuntungan.
“Bagaimanapun, kami berdoa agar ia benar-benar membawa mereka yang terlibat sama ada penulis mahupun pembaca hampir kepada-Nya,” tutur beliau.




May 15, 2013

Ulasan Novel Dingin Salju Wisconsin

Dwilogi daripada Dingin Salju Indiana
"Vegetarian ... like usual!"

     Suara Perempuan. Lembut dan tertib! Sarah mengerling sekilas dengan ekor matanya, namun langsung tidak berani menoleh untuk memandang wajah tuan punya suara itu. Orang itu masih berdiri di situ, menunggu pesanannya disiapkan.

     Ah! Bagaimana ya? Sarah mula rimas kerana tidak berbuat apa-apa. Itu memang bukan dirinya ... hanya menunggu tanpa bertindak!

     Cepat dia mengambil beberapa keping wang syiling, lalu sengaja dijatuhkannya.

     "Ting! Ting!" Bunyi dentingan duit yang melantun dan bergolek di lantai marmar kedengaran memecah kesunyian suasana. Dia yang menunggu pesanannya siap itu serta-merta menoleh ke arah Sarah, lalu tunduk dan mengutip wang yang bergolek ke kakinya.

     Ah! Orangnya amat prihatin! Desis hati gadis itu.

     Sarah turut membongkok untuk mengutip wang yang jatuh itu. Matanya cepat memandang wajah orang itu. Sah! Itulah Harison!





Enam belas tahun lalu, dalam Dingin Salju Indiana, tiga gadis Melayu dengan latar asuhan berbeza memilih Indiana, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian. Di sana, Jannah, Murni, dan Nana tertampan dengan permasalahan yang mencabar ego, kewibawaan, dan keimanan.

     Kini, lewat Dingin Salju Wisconsin, Jannah mengamanahkan sepupunya, Sarah yang akan melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat untuk mencari seorang kawan yang tidak pernah pulang-pulang dari sana, iaitu Icon. Bersama-sama Sarah adalah Marissa dan Ainun.

     Konflik bermula apabila Sarah tiba-tiba jatuh cinta pada Syamsul, Kemunculan pasangan suami isteri, Kak Noor dan Abang Azam yang begitu daif keadaan hidupnya menambah ritma pada novel ini. Begitu juga kehadiran Abang Halim yang tidak pernah pulang ke Malaysia berbelas tahun lamanya, yang menimbulkan persoalan. Apakah nasib Sarah seterusnya? Dapatkah dia menemui Icon, seperti yang diamanahkan?

     Nurulsham Saidin, seorang penulis kreatif yang bijak memanipulasikan emosi pembaca dalam setiap karya beliau, tampil dengan karya terbaharunya, Dingin Salju Wisconsin yang merupakan novel kedua daripada dwilogi Dingin Salju Indiana, yang telah diadaptasi menjadi satu drama televisyen berjudul Dingin Lavenda.

     "Nurulsham Saidin sekali lagi bijak menenun jalur-jalur plot novelnya menjadi hidangan pembacaan penuh kerahsiaan yang menyentuh konsep solitud, merenjiskan aroma misteri, dan menyalakan api kesedaran. Bacalah untuk mendapatkan kecerahan, jika hati masih zulmat kegelapan." -Dr. Amida Abdulhamid, Ketua Hakim Hadiah Sastera Kumpulan Utusan-Exxon Mobil.

     Dapatkan segera novel ini di pasaran sekarang juga. Anda pasti tidak akan rugi setelah membacanya, Insya-Allah! Bukan sekadar cerita, ia sarat dengan nilai-nilai tarbiyah dan pengajaran untuk direnungi bersama.

     Kepada para pembaca yang meminati hasil karya Nurulsham Saidin, anda boleh Klik Di Sini untuk ikuti tulisan di blog beliau.vNurulsham Saidin boleh juga dihubungi melalui alamat e-melnya, nurolshamsaidin@yahoo.com.


May 13, 2013

Ulasan novel KONSTANTINOPEL: Kibaran Panji-panji AL-FATEH

Unggul! Karya Web Sutera yang Terbaharu.
"Ayuh kita ajar si Muslimah itu. Aku sudah lama berdendam dengan orang Islam.Biar dia minta tolong. Kita tengok siapa yang akan datang membantunya."

     Kedua-dua lelaki itu mengukir senyuman yang sarat kejahatan. Anak-anak Iblis berpesta meraikan kejayaan mereka tatkala kedua-dua lelaki itu menghampiri Muslimah tersebut. Apabila cukup dekat, salah seorang daripada mereka menyergah.

     "Hoi perempuan Islam! Buat apa kau di sini?"

     Herdikan kuat itu menyentak jantung Muslimah tersebut, membuat langkahnya terpasung. Dia mahu berpaling menghadap orang yang menyergah. Namun, belum sempat berbuat demikian, kedua-dua belah tangannya ditangkap seseorang. Jilbabnya disentap. Malah, jubah yang dipakainya turut terkoyak di bahagian leher. Maka, terdedahlah auratnya yang selama ini dijaga kemas daripada pandangan durjana.

     Dia menangis sambil meminta belas, seraya cuba menutup semula aurat yang terdedah. Namun, usahanya tidak berhasil. Tiada kudratnya untuk melawan dua orang lelaki durjana itu. Lebih menyedihkan lagi, jeritan dan rayuannya tidak dihiraukan oleh mereka yang berada di pasar itu, kerana lelaki-lelaki yang mengasarinya ialah tentera Bizantin, Mungkin ada yang bersimpati, namun tidak berani membantu.

     "Mana Tuhanmu? Mana Rasulmu? Hahaha!"

     Lelaki-lelaki durjana itu terus mempermainkan Muslimah tersebut yang kian tidak berdaya. Dia semakin lemah. Pandangannya mulai kelam. Ketika itu, hanya doa yang menjadi pendinding. Sebelum rebah, dia sempat menjeritkan sesuatu.

     "Waa Mu'tasimah! Waa Mu'tasimah!"

     Dari kejauhan, seorang pemuda yang sedari tadi memerhati kejadian itu segera mendapatkan kudanya. Ada amarah pada wajahnya. Dia tangkas menaiki pelana kuda dan memacu laju meninggalkan pasar itu.








Konstantinopel merupakan sebuah kota yang menjadi rebutan. Sebuah kota bersejarah yang dibina kembali daripada puing-puing tinggalan koloni Greek yang membinanya dalam abad ke-7 Sebelum Masihi.

     Kemegahan kota Konstantinopel dicemburui pelbagai pihak, termasuk daripada pihak di Rom, Itali, dan kerajaan-kerajaan Eropah, kerana lokasinya yang strategik sebagai laluan perdagangan dan pelabuhan kapal-kapal dagangan bagi negara-negara besar dunia.

     Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW ada menyebut berkenaan kota ini.

     "Kota Konstantinopel akan jatuh ke tangan Islam. Pemimpin yang menaklukinya adalah sebaik-baik pemimpin, dan pasukan yang berada di bawahnya ialah sebaik-baik pasukan.

     Misi menawan kota Konstantinopel mempunyai rentetan kisah perjuangan yang tidak kurang menarik untuk direnungi.


     Kepada para pembaca yang berminat mengetahui cerita penuh berkenaan kisah Konstantinopel ini, boleh dapatkannya di kedai-kedai buku besar berhampiran kawasan anda, atau boleh pesan secara online melalui laman web kami di www.galeriilmu.com.my.

     Anda juga boleh beramah mesra bersama penulis Web Sutera melalui laman sosial facebooknya di sini.

May 10, 2013

Teristimewa Untukmu

Judul: TERISTIMEWA UNTUKMU
Penulis: Hasmah Hitam
Harga: RM15/ RM17
ISBN: 978-983-097-450-7





SINOPSIS:

Anak-anak istimewa, mereka tidak semestinya cacat anggota. Ada yang nampak normal pada pandangan orang biasa, namun hakikatnya mereka tidak begitu. 

Hanya mereka yang benar-benar memahami mampu memberi kasih sayang kepada anak-anak ini. 'Teristimewa Untukmu' menelusuri suka duka seorang Guru Pendidikan Khas dalam merealisasikan pendidikan untuk anak-anak istimewa. 

Bukan sedikit cabaran ditempuhi, namun sebuah kesabaran akhirnya menjadi hadiah kehidupan yang paling indah.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...