.

Selamat Berkunjung Ke . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Jan 28, 2013

Edisi Istimewa Langit Ilahi

GB0210 : LANGIT ILAHI (EDISI ISTIMEWA)
Pengarang : Hilal Asraf
ISBN : 978-983-097-389-8
Harga : W/M:RM65.00 E/M:RM67.00
Kulit Keras

Sinopsis

Kini tiga buku dikompilasi menjadi satu. Simpanan ilmu yang sesuai untuk dijadikan silibus penyampaian tazkirah dan perkongsian saat santai bersama rakan. 

Melalui Edisi Istimewa Langit Ilahi, penulis menjadi hamba kepada Allah. Tidak memisahkan dunia dengan akhirat. Tidak memisahkan akhirat dengan dunia.

Jan 4, 2013

'Suis' Yang Menghidupkan Jiwa Penulis

Nor Hayati Sapii telah berkhidmat selama 18 tahun sebagai jurutera sebelum menjadi surirumah sepenuh masa. Sewaktu kali pertama Galeri Ilmu mengadakan taklimat penulisan novel pada pertengahan 2008, beliau adalah salah seorang peserta. Di hujung taklimat, beliau mengajukan sinopsis sebuah novel remaja Islami yang beliau mahu tulis. Selang beberapa bulan, sinopsis itu dapat dijelmakan menjadi manuskrip dan  diterbitkan dengan judul Andai Aku Affrina.

Selepas itu, Nor Hayati menulis novel remaja keduanya Lomy dan Tompok dan seterusnya Beri Aku Peluang.

Namun, ada satu kualiti pada diri beliau yang kemudiannya mendorong beliau mencuba sesuatu yang baharu.




Beliau acapkali menjadi kaunselor tak rasmi kepada kenalan-kenalan. Tempat mencurah masalah dan meminta nasihat. Dan beliau sendiri memang sentiasa bersedia berkongsi pandangan, tip dan nasihat. Menyedari hakikat ini, timbul rangsangan di dalam diri  beliau untuk menulis buku motivasi. Namun, beliau belum mempunyai cukup keyakinan dan keberanian untuk menulisnya sehinggalah beliau menghadiri Bengkel  Penulisan Buku Motivasi Islami di Galeri Ilmu pada Ogos 2011. Melalui bengkel ini, beliau mendapat rangsangan yang lebih kuat untuk menitipkan perkongsian yang dapat memotivasi pembaca melalui buku. 

Alhamdulillah, buku motivasi pertama beliau lahir dengan judul Memilih Untuk Bahagia. Semalam, 3 Januari 2013, beliau memperkatakan bukunya itu sewaktu ke udara secara live di Radio IKIMfm bersama DJ Mona Jasman dan Editor Kanan Galeri Ilmu, Ustaz Shahrul Zaman Lukman. 

Kadang-kadang bengkel penulisan hanya membantu memberikan rangsangan dan keyakinan kepada penulis untuk menulis. Tanpa hadir di dalam mana-mana bengkel pun, seseorang yang mempunyai jiwa sebagai penulis mampu untuk menulis. Namun, bagi sesetengah orang, ada 'suis' yang perlu dipetik untuk menghidupkan jiwa penulis di dalam dirinya.


KLIK DI SINI


Jan 3, 2013

Nubu'atur Rasul dan Buku Besar 2013

Di ambang 2013 ini, terasa bahawa minat dan kepekaan umat Islam semakin bertambah kepada persoalan akhir zaman. Ketika Tuan Guru Syeikh Zainul Asri Hj Ramli, Mudir Darul Hadis, yang juga kolumnis majalah Q&A, membicarakan persoalan Dajjal dan fitnah akhir zaman sempena majlis Lantunan Mahabbah di Alor Setar baru-baru ini, soalan-soalan daripada hadirin datang bertubi-tubi. Itu baru membicarakan tentang Dajjal, salah seorang figur penting yang bakal mewarnai senario akhir zaman sebelum turunnya Nabi Isa a.s.

Banyak lagi persoalan mengenai akhir zaman, khususnya rentetan peristiwa yang bakal berlaku, yang masih menjadi tanda tanya umat Islam. Berita baiknya adalah, segala persoalan ini ada jawapannya.

Umat Islam tidak perlu keliru, seperti kelirunya peramal-peramal kiamat yang bersandarkan pada berita tak sahih, petanda yang tidak jelas dan andaian yang tidak pasti. Melalui hadis-hadis Nabi SAW yang dikategorikan sebagai nubu'atur rasul, segala peristiwa yang bakal berlaku, figur-figur yang bakal 'zahir', bakal 'muncul' dan  bakal 'turun' (pemilihan diksi yang berbeza-beza dalam hadis membawa maksud yang juga berbeza) serta lokasi-lokasi yang terlibat, telah diungkapkan dan dicatat. Syeikh Zainul Asri hanya sempat menerangkan sedikit daripadanya dalam keterbatasan ruang waktu di Stadium Sultan Abdul Halim, Suka Menanti itu.

Jawapan dan pencerahan selebihnya telah dititipkan oleh ulama-ulama di dalam kitab-kitab mereka. Berita-berita yang bakal berlaku dari lidah sodiqul masduq, Rasulullah SAW, dihurai dan dirumuskan.

Alhamdulillah, oleh Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki, nubu'atur rasul itu dihimpun, diadun dan dijelaskan dalam bahasa yang mudah difaham, lalu dibukukan dengan judul 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman dan Kiamat Hampir Tiba.  Dua buah kitab beliau itu telah beredar di pasaran untuk sekian lama dan dijadikan bahan kuliah di masjid dan surau. Kitab 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman misalnya, telah lebih 20 tahun menemui khalayak pembaca dan telah dicetak lebih 30 kali (belum dikira edisi cetak rompaknya).

Kini, kedua-dua judul ini dihimpun menjadi sebuah buku, disekalikan dengan tiga judul lain, 40 Hadis Kelebihan Ilmu dan Ulama, 40 Hadis Akhlak Mulia dan 40 Hadis Penawar Hati. Dengan izin dan restu tuan guru (dan mudah-mudahan menjadi saluran khidmat dan saluran berkat) lima buah kitab/buku itu diterbitkan oleh Galeri Ilmu dalam satu buku yang diberi judul Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman.

Buku mesti milik
Sejak ia siap dicetak pada awal Disember lalu, buku ini telah dilancarkan di tiga lokasi - Pondok Pesantren Yasin di Banjarbaru, Kalimantan Selatan; Stadium Suka Menanti, Kedah; dan Masjid al-Falah, USJ9 Subang Jaya.

Buku ini merupakan 'buku besar' yang sangat signifikan dan relevan dengan situasi semasa 2013 ketika umat Islam mahukan jawapan yang pasti mengenai persoalan kiamat dan rentetan peristiwa akhir zaman yang mendahuluinya.

Tuan Guru Syeikh Ahmad Fahmi Zamzam al-Banjari an-Nadwi al-Maliki

Perasmian buku  Edisi Istimewa 40 Hadis Peristiwa Akhir Zaman di Pondok Pesantren Yasin di Banjarbaru, Kalimantan Selatan .
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...