.

. . . A S S A L A M U A L A I K U M . W R M . W B T . . . . . . S E L A M A T . B E R K U N J U N G . K E . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . . .

Feb 18, 2009

Proses Penerbitan



Untuk menghasilkan sesuatu produk, haruslah melalui proses-proses tertentu. Begitu juga dalam bidang penerbitan. Untuk menerbitkan bahan bercetak khasnya buku atau majalah, ada proses-prosesnya.

Proses penerbitan buku pada asasnya ada empat peringkat:

1. Editorial
2. Perekaan
3. Percetakan
4. Pemasaran.

Mari kita lihat satu per satu.

Editorial
Apa agaknya kerja-kerja yang terlibat di peringkat editorial?

Di sinilah segala-galanya bermula—mencari penulis dan menulis atau mengarang. Ini boleh kita panggil peringkat mengumpul bahan mentah.

Penulis boleh terdiri daripada penulis dalaman atau penulis dari luar.

Pembinaan judul dan perancangan penerbitan juga bermula pada peringkat editorial.

Selesai karya ditulis, manuskrip itu akan disemak oleh penyunting atau editor. Isi, ejaan, tatabahasa dan ayat akan disemak. Yang salah dibetulkan, yang kurang sedap, disedapkan.

Gaya penulisan turut diteliti. Adakah sesuai dengan pembaca sasaran?

Segala-galanya diselesaikan pada peringkat editorial.

Jika kualiti pengarangan terlalu teruk, maka manuskrip akan dipulangkan kepada penulis—sama ada untuk pembetulan, ditulis semula, atau ditolak terus.

Selesai peringkat suntingan, manuskrip akan melalui peringkat seterusnya iaitu perekaan.

Perekaan
Apa pula dibuat di sini?

Manuskrip yang selesai disemak, akan dihantar kepada pereka rekaan buku. Editor dan pereka buku akan berbincang untuk menetapkan konsep buku. Jika ada gambar atau ilustrasi yang hendak dimasukkan ke dalam buku, di sinilah peringkatnya. Susun atur buku, rekaan kulit, pemilihan warna yang sesuai, menentukan jumlah muka surat, akan diselesaikan di sini.

Setiap jenis buku, lain pula rekaannya. Buku kanak-kanak, buku orang dewasa, buku mewah, buku sekolah, buku umum, buku rujukan—semuanya mempunyai konsep yang berbeza, mengikut kesesuaian pembaca.

Reka letak atau lay out dilakukan oleh artis grafik, berdasarkan visual yang telah dirangkakan oleh jurureka buku hasil. Antaranya yang ditentukan ialah saiz teks, saiz buku, jenis kulit.

Setelah selesai proses reka letak, maka galei akan dikeluarkan. Galei ialah pruf cetakan untuk dibuat pembetulan. Lazimnya pembetulan yang kecil-kecil yang terlepas pandang semasa peringkat penyuntingan.

Galei satu ini akan dipulangkan kepada editor untuk disemak dan dibuat pembetulan. Apabila selesai disemak oleh editor atau penyunting atau pembaca pruf, maka artis grafik akan membuat pembetulan.

Selesai peringkat ini, manuskrip dalam bentuk PDF (dahulu dalam bentuk filem) akan dihantar kepada pencetak di kilang.

Percetakan
Apa dilakukan di kilang cetak?

Pencetak akan mencetak buku mengikut spesifikasi yang telah ditentukan oleh penerbit seperti saiz buku, ketebalan buku, jenis kertas, jenis jilidan dan jumlah naskhah yang hendak dicetak.

Harga sebuah buku ditentukan oleh kos mencetak. Maka penerbit haruslah berhati-hati menentukan spesifikasi buku.

Selesai dicetak menjadi naskhah buku, proses penerbitan belum dikira sempurna sehinggalah buku itu dipasarkan.

Pemasaran
Buku-buku yang telah dicetak mestilah dipasarkan. Buku-buku boleh dipasarkan melalui banyak cara. Oleh itu, penerbit haruslah peka dengan keadaan trend pemasaran buku.

Tidak semua jenis buku sesuai diletakkan di kedai buku. Misalnya, ada buku yang hanya sesuai dijual secara terus ke perpustakaan dan sekolah.

Pada hari ini, semakin banyak penerbit memasarkan buku mereka melalui laman web mereka di Internet. Pemasaran buku secara online ini semakin popular kerana dapat menembusi pasaran antarabangsa tanpa had sempadan.

Ada juga penerbit yang mengedarkan katalog kepada pembaca. Pembaca boleh memesan buku mereka melalui cara pos.

Selain itu, jualan buku juga boleh dibuat semasa ekspo atau pesta buku yang diadakan dari semasa ke semasa yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Seperti mana produk-produk lain, aspek paling penting yang tidak boleh dipandang remeh oleh penerbit ialah promosi. Kebanyakan penerbit berpendapat, promosi merupakan aspek terpenting dalam proses penerbitan!

Just how important is promotion to a book's success? Lynn Marzulli, the best-selling author of the Nephilim Triology (Zondervan) believes, "Writing your first book and getting published are exciting experiences; however, promotion of your printed book is more important than any other aspect of the book-writing/publishing process. Promotion is imperative because this is a competitive business, driven by hard-nosed, intelligent people who can be ruthless at maximizing the dollar. If they're not working with you to get your book promoted, it is easy to get buried in the shuffle no matter how good your book is."

Promosi pula perlu dilakukan secara tetap/terus-terusan—tidak boleh hanya sekali dua. Kerana itu, tidak hairanlah ada penerbit (khasnya penerbit di Barat) sanggup berhabis belanja hanya untuk promosi!

-Oleh Suraiya

Feb 12, 2009

KE MANA WANG ANDA? - bakal terbit

Saya hampir selesai menguruskan penerbitan buku KE MANA WANG ANDA? tulisan Hajah Rohani Datuk Mohd Shahir. Dalam proses penyuntingannya, ternyata saya banyak mengutip pengetahuan daripada isi kandungannya. Ternyata juga banyak yang saya tidak tahu dan jahil tentang pengurusan kewangan. Memang selama ini saya sering tertanya-tanya, ke mana hilangnya pendapatan saya yang saya perolehi saban bulan.

Konotasi tulisan beliau ini sangat simple dan bersahaja, namun sangat informatif—itu yang saya amat senangi! Sesuai dan padan dengan penulisnya yang juga merupakan seorang yang sangat simple, tetapi kaya dengan ilmu pengurusan kewangan.

Berurusan dengan Hajah Rohani juga amat mudah. Beliau tidak banyak kerenah, tidak membantah apa yang penerbit usulkan. Andai semua penulis yang ada di dunia ini mudah penerbit berurusan dengannya, alangkah mudahnya proses penerbitan, dan alangkah cepatnya dakwah kita sampai kepada masyarakat!

Kembali kepada isi kandungan KE MANA WANG ANDA?…buku yang bakal terbit ini wajar dimiliki oleh setiap orang dan seharusnya ada senaskhah dalam setiap keluarga untuk dijadikan rujukan.

Sudah seminggu saya mempraktikkan tip yang diberikan oleh penulis (bawa bekal ke pejabat) …sememangnya menjimatkan. Terbukti kos makan harian yang dikeluarkan sehari-hari amat tinggi. Tetapi kerana bawa bekal, kos makan ini dapat disalurkan kepada hal-hal yang lebih bermanfaat!

Anda banyak hutang?
Anda mahu tambah pendapatan?
Anda mahu bersara cepat tetapi kewangan terjamin?
Anda mahu buat kenduri-kendara?
Anda mahu melabur?
Anda mahu tahu tentang saham amanah dan takaful?
Anda mahu tahu bagaimana rokok menyekat diri anda daripada bergelar jutawan?
Ahaaa . . . pendek kata macam-macam tip berguna boleh anda perolehi dari buku ini.

Oleh itu, nantikan kemunculannya dan jangan lupa dapatkannya senaskhah . . . oh, sesuai juga dijadikan hadiah untuk pasangan suami isteri yang baru mendirikan rumah tangga. Yang sedang menghadapi masalah kewangan juga sangat wajar memilikinya!

-Suraiya-
(Artikel ini juga disiarkan di http://suraiyasuraiya.blogspot.com)

Feb 5, 2009

DAHULU DAN KINI

Apabila saya dipindahkan sepenuhnya ke Jabatan Buku, saya seolah-olah mengulang kaji semula segala ilmu teori dan praktikal yang dipelajari semasa di ITM dan UM dahulu, yang telah lama saya tinggal.

Pengetahuan itu semakin luput di ingatan. Namun, kini saya perlu menyingkapnya semula—apa yang telah lupa. Malah perlu menambahkan lagi ilmu dan meningkatkan lagi skil selok-belok proses penerbitan buku; melalui pengalaman dan juga menerusi pembacaan.

Buku dan nota berkenaan penerbitan, diselak kembali. Juga mencari bacaan tambahan dari Internet. Dengan kemajuan teknologi dalam penerbitan, maka mahu tidak mahu, pengetahuan baharu mesti digali!

Alangkah jauh bezanya proses penerbitan dahulu dan kini. Kini segalanya mudah belaka. Proses awal hingga akhir semua dilakukan di hadapan komputer yang dikenali sebagai desktop publishing (DTP) . . . “ Penerbitan setempat” kata pensyarah saya di ITM dulu.

Kini kita berada dalam era digital. Justeru, DTP juga mengalami evolusinya yang tersendiri.

Bermula dengan aplikasi Pagemaker yang diperkenalkan pada 1985, proses menerbit buku menjadi mudah. Saya dahulu mahir ‘PageMaker’, kini skil saya itu sudah ‘obsolete’ bersama PageMaker itu sendiri. Kemudian muncul pula Pagemaker 4, 5, 6.5 dan seterusnya yang terakhir ialah Pagemaker 7.0 yang diperkenalkan sekitar tahun 2001.

PageMaker 7.0 ‘obsolete’ pada 2004. Ini menunjukkan betapa pantas evolusi aplikasi berlaku.

Seterusnya muncul pula aplikasi QuarkXpress. Aplikasi ini terus-terusan mengalami evolusi. Adobe FrameMaker, Adobe Photoshop dan hari ini saya pun tidak pasti ‘Adobe-adobe’ terkini apa lagi yang muncul dan digunakan.

Aplikasi demi aplikasi datang dan pergi!

Kepantasan evolusi teknologi digital ini mempunyai implikasinya yang tersendiri. Misalnya istilah-istilah yang sekian lama digunakan dalam proses penerbitan juga mengalami kepupusan—ya, sama ‘obsolete’nya!

Sebagai contoh, istilah colour-sep (colour seperation/pisah warna) hampir atau sudah pupus dalam kamus penerbitan! Kebanyakan penerbit sudah tidak mempraktikkan kaedah ini apabila muncul kaedah PDF (Portable Document Format). Tidak perlu lagi menyediakan ‘colour-key’. Hanya perlu membawa sekeping CD ke kilang cetak. PDF ialah istilah baru dalam dunia penerbitan digital dan kini tidak asing lagi digunakan.

Istilah colour-sep (colour seperation) atau pisah warna cukup popular suatu ketika dahulu. Kini juga menemui noktahnya. Ia adalah proses memisahkan warna asal kepada komponen-komponen warna individu. Warna asal ini terdiri daripada empat warna yang diistilahkan dengan CMYK (cyan, magenta, yellow dan black). Kombinasi empat warna ini boleh menghasilkan spektrum warna yang maha banyak.

Istilah film dan material filem itu sendiri juga barangkali sudah tiada. Saiz mesin menyediakan filem yang besar itu kini menjadi kenangan. Harganya puluhan malah ada yang ratusan ringgit. Entah tersadai di mana. Barangkali boleh masuk muzium atau dijadikan besi buruk. Tidak lagi perlu bermain dengan kimia (developer dan fixer) yang baunya sangat tidak menyenangkan dan sangat menusuk hidung. Tidak lagi perlu memotong filem satu demi satu mengikut jumlah muka surat buku. Jika 120 muka surat, maka jumlah filem pun begitu juga. Malah jika muka surat berwarna full colour, maka satu muka surat mempunyai empat helai filem. Bayangkan betapa berat untuk mengangkat filem yang telah siap ke kilang cetak berbanding sekeping CD yang digunakan kini!

Istilah typeface atau rupa/muka taip juga kurang popular diguna pakai pada hari ini. Hari ini kita lebih senang menyebutnya sebagai ‘font’. Dari komputer puluhan font boleh dipilih.

Dekad-dekad lalu pilihan rupa taip sangat terhad. Ini kerana di kilang cetak, huruf tembaga atau besi disusun pada sekeping besi panjang satu per satu menjadi perkataan dan ayat. Bayangkan renyah dan sulitnya untuk menghasilkan naskhah buku! Jika mahukan font yang berlainan jenis, berapa banyak pula huruf-huruf tembaga ini perlu disediakan?



Mengatur huruf dalam proses percetakan. Huruf disusun satu per satu.
Sumber gambar: WIKIPEDIA The Free encylopedia.

‘Orang lama’ dalam industri penerbitan buku tentunya mensyukuri nikmat digital hari ini jika mereka masih bergelanggang dalam bidang ini!

-Oleh Suraiya-

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...