.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Feb 5, 2009

DAHULU DAN KINI

Apabila saya dipindahkan sepenuhnya ke Jabatan Buku, saya seolah-olah mengulang kaji semula segala ilmu teori dan praktikal yang dipelajari semasa di ITM dan UM dahulu, yang telah lama saya tinggal.

Pengetahuan itu semakin luput di ingatan. Namun, kini saya perlu menyingkapnya semula—apa yang telah lupa. Malah perlu menambahkan lagi ilmu dan meningkatkan lagi skil selok-belok proses penerbitan buku; melalui pengalaman dan juga menerusi pembacaan.

Buku dan nota berkenaan penerbitan, diselak kembali. Juga mencari bacaan tambahan dari Internet. Dengan kemajuan teknologi dalam penerbitan, maka mahu tidak mahu, pengetahuan baharu mesti digali!

Alangkah jauh bezanya proses penerbitan dahulu dan kini. Kini segalanya mudah belaka. Proses awal hingga akhir semua dilakukan di hadapan komputer yang dikenali sebagai desktop publishing (DTP) . . . “ Penerbitan setempat” kata pensyarah saya di ITM dulu.

Kini kita berada dalam era digital. Justeru, DTP juga mengalami evolusinya yang tersendiri.

Bermula dengan aplikasi Pagemaker yang diperkenalkan pada 1985, proses menerbit buku menjadi mudah. Saya dahulu mahir ‘PageMaker’, kini skil saya itu sudah ‘obsolete’ bersama PageMaker itu sendiri. Kemudian muncul pula Pagemaker 4, 5, 6.5 dan seterusnya yang terakhir ialah Pagemaker 7.0 yang diperkenalkan sekitar tahun 2001.

PageMaker 7.0 ‘obsolete’ pada 2004. Ini menunjukkan betapa pantas evolusi aplikasi berlaku.

Seterusnya muncul pula aplikasi QuarkXpress. Aplikasi ini terus-terusan mengalami evolusi. Adobe FrameMaker, Adobe Photoshop dan hari ini saya pun tidak pasti ‘Adobe-adobe’ terkini apa lagi yang muncul dan digunakan.

Aplikasi demi aplikasi datang dan pergi!

Kepantasan evolusi teknologi digital ini mempunyai implikasinya yang tersendiri. Misalnya istilah-istilah yang sekian lama digunakan dalam proses penerbitan juga mengalami kepupusan—ya, sama ‘obsolete’nya!

Sebagai contoh, istilah colour-sep (colour seperation/pisah warna) hampir atau sudah pupus dalam kamus penerbitan! Kebanyakan penerbit sudah tidak mempraktikkan kaedah ini apabila muncul kaedah PDF (Portable Document Format). Tidak perlu lagi menyediakan ‘colour-key’. Hanya perlu membawa sekeping CD ke kilang cetak. PDF ialah istilah baru dalam dunia penerbitan digital dan kini tidak asing lagi digunakan.

Istilah colour-sep (colour seperation) atau pisah warna cukup popular suatu ketika dahulu. Kini juga menemui noktahnya. Ia adalah proses memisahkan warna asal kepada komponen-komponen warna individu. Warna asal ini terdiri daripada empat warna yang diistilahkan dengan CMYK (cyan, magenta, yellow dan black). Kombinasi empat warna ini boleh menghasilkan spektrum warna yang maha banyak.

Istilah film dan material filem itu sendiri juga barangkali sudah tiada. Saiz mesin menyediakan filem yang besar itu kini menjadi kenangan. Harganya puluhan malah ada yang ratusan ringgit. Entah tersadai di mana. Barangkali boleh masuk muzium atau dijadikan besi buruk. Tidak lagi perlu bermain dengan kimia (developer dan fixer) yang baunya sangat tidak menyenangkan dan sangat menusuk hidung. Tidak lagi perlu memotong filem satu demi satu mengikut jumlah muka surat buku. Jika 120 muka surat, maka jumlah filem pun begitu juga. Malah jika muka surat berwarna full colour, maka satu muka surat mempunyai empat helai filem. Bayangkan betapa berat untuk mengangkat filem yang telah siap ke kilang cetak berbanding sekeping CD yang digunakan kini!

Istilah typeface atau rupa/muka taip juga kurang popular diguna pakai pada hari ini. Hari ini kita lebih senang menyebutnya sebagai ‘font’. Dari komputer puluhan font boleh dipilih.

Dekad-dekad lalu pilihan rupa taip sangat terhad. Ini kerana di kilang cetak, huruf tembaga atau besi disusun pada sekeping besi panjang satu per satu menjadi perkataan dan ayat. Bayangkan renyah dan sulitnya untuk menghasilkan naskhah buku! Jika mahukan font yang berlainan jenis, berapa banyak pula huruf-huruf tembaga ini perlu disediakan?



Mengatur huruf dalam proses percetakan. Huruf disusun satu per satu.
Sumber gambar: WIKIPEDIA The Free encylopedia.

‘Orang lama’ dalam industri penerbitan buku tentunya mensyukuri nikmat digital hari ini jika mereka masih bergelanggang dalam bidang ini!

-Oleh Suraiya-

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...