.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Oct 23, 2013

Himpunan 60 Kisah Lucu

Bakal Terbit!

1. Judul: Himpunan 60 Kisah Lucu
2. Penulis: Abdul Wahab Paloh Nyior
3. Tebal: 168 ms
4. ISBN: 978-983-097-456-9
5. Kod: GB0270
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Himpunan 60 Kisah Lucu ini menceritakan himpunan kisah pelik Juha. Semua kisah ini berkait rapat dengan seluruh aspek kehidupan manusia. Antaranya ialah kisah tentang orang kaya dan miskin, tentang orang pemurah dan bakhil, tentang wanita dan kanak-kanak, tentang pemuda dan orang tua, juga kisah tentang penjual dan pembeli. Semua orang yang membaca kisah-kisah Juha ini pasti akan berasa lapang dan gembira.
8. Kulit depan (lampiran)
9. Pencetak: FDZ



Oct 22, 2013

Misi 21 Hari

BAKAL TERBIT!
Buku baharu lagi untuk minggu ini!

Judul: Misi 21 Hari
Penulis: Zaihanim Zainal Abidin
Tebal: 304 ms
ISBN: 978-983-097-444-6
Kod: GB0232
Harga: RM 15.00

Sinopsis: Dilahirkan dan dibesarkan di Perth, tidak menghalang hasrat dan usaha Nur Aisyah untuk mencari keluarganya di Malaysia. Dengan bantuan Kak Puteri Aliyah, rancangan diatur rapi, walaupun adakalanya terpaksa berbohong. Semuanya sanggup dilakukan asalkan rancangan mereka berjaya. Kehadiran Nur Aisyah tidak disenangi oleh adik tirinya sendiri, Ain. Adakalanya, cabaran itu merupakan dugaan yang paling manis untuk mematangkan diri sendiri. Berbekalkan sokongan daripada orang-orang yang tersayang, Nur Aisyah meneruskan misi 21 harinya!





Oct 21, 2013

Gadis Ungu Bertukar!

Bakal Terbit!

1. Judul: Gadis Ungu Bertukar!
2. Penulis: Siti Anne
3. Tebal: 192 ms
4. ISBN: 978-983-097-420-0
5. Kod: GB0233
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Raihanah ialah seorang gadis berusia 13 tahun dan bersikap seperti budak-budak lelaki. Sikapnya yang nakal dan lucu memeningkan kepala ibu dan bapanya. Ayah Raihanah bekerja sebagai seorang guru sekolah rendah. Manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah. Raihanah mempunyai dua orang abang dan seorang adik lelaki. Pada satu ketika, ayah Raihanah dipindahkan ke sekolah yang terletak di Kampung Santubong, Kuching, Sarawak. Raihanah sedih kerana terpaksa berpisah dengan teman-temannya dan bimbang seandainya dia tidak akan mempunyai kawan di sekolah baru nanti kerana sikapnya yang kelelakian.

Raihanah mula menyesuaikan diri di kampung dan berkenalan dengan Balqis di sekolah. Balqis mempunyai sepupu yang bernama Azfar. Azfar pula bersahabat dengan Firdaus dan Ah Seng. Bermula dari perkenalan itu, Raihanah mula rapat dengan Azfar dan teman-temannya. Ragam dan kenakalan Raihanah semakin menjadi-jadi. Dia mengikut Azfar dan teman-temannya bermain bola sepak, mandi laut, memanjat pokok jambu, solat bersama jemaah lelaki dan pelbagai lagi kisah lucu yang dilaluinya bersama teman-teman.

Walaupun perwatakan Raihanah kasar, namun dia mempunyai satu rahsia besar di mana dia terlalu obses dengan warna ungu. Namun dia cuba menyembunyikan minatnya itu kerana warna ungu agak sinonim dengan kewanitaan dan bimbang akan diusik oleh abang dan adik serta teman-temannya. Ketika berkurung di dalam bilik, Raihanah sering mengenakan gaun labuh berwarna ungu yang dihadiahkan Ibunya kepadanya ketika ulang tahun hari lahirnya yang ke-12.

Kejadian solat bersama-sama jemaah lelaki dan menyembunyikan selipar para jemaah, mendorong Imam Fauzi mengadu dengan ayah Raihanah. Ayah Raihanah naik angin lantas memarahi dan memukulnya. Raihanah merajuk dengan ayahnya dan berkurung di dalam bilik. Ibunya cuba memujuknya namun Raihanah masih lagi dengan rajuknya. Dia bertanya kepada ibunya, mengapa ayahnya terlalu marah sehingga sanggup memukulnya. Ibu Raihanah memberi penjelasan kepada Raihanah. Setelah lama berfikir dan bermuhasabah diri, Raihanah telah merancang sesuatu.

Jom dapatkannya di sini

Sinopsis Diperlukan Editor Untuk Mengelakkan Penulis Patah Semangat

Sinopsis buku atau novel adalah perkara penting yang diperlukan editor. Melalui sinopsis buku, editor boleh menilai sama ada buku atau novel calon penulis itu ditolak atau diterima.

Editor seboleh mungkin mahukan sinopsis yang ditulis calon penulis menjadi karya. Ini kerana editor memahami penat lelah calon penulis.

Jika perlu, editor akan mencadangkan pindaan yang perlu dibuat. Editor akan meminta calon penulis supaya meminda sinopsis.


Sebagai calon penulis, anda perlu memahami rentak penerbit yang mahu karya apa untuk diterbitkan. Sebab itu, penting untuk anda membaca karya-karya keluaran penerbit, menelaah rentak dan 'bunyi' penerbit sehinggalah anda tahu apa yang dikehendaki oleh penerbit.

Selepas anda tahu apa yang dikehendaki penerbit, barulah rancang sinopsis novel supaya editor tersenyum dengan sinopsis yang dihantar.

Editor tidak suka calon penulis patah semangat.

Jika gagal kali pertama hantar untuk kedua kalinya.






Oct 18, 2013

Bonda Nor Meluahkan Perasaan Kepada Galeri Ilmu

Klik di sini
Sudah ramai yang bertanya saya, bila novel saya akan berada di pasaran. Alhamdulillah, semalam saya terima update daripada editor Tuan Resha Hamzah. Insya-Allah dalam masa terdekat, novel Saya Tunggu Awak akan berada di rak-rak buku. Namun, bukan berita gembira itu yang ingin saya kongsikan hari ini. Ada sesuatu pengajaran berharga yang saya sempat kutip ketika proses penerbitan karya ini.

Ini cover buku yang diberikan kepada saya. Sebenarnya, ini bukan tajuk dan cover yang saya cadangkan kepada pihak penerbit. Lain ... sangat lain! Jauh benar larinya!

Sewaktu menerima cadangan daripada mereka tentang tajuk dan cover ini, saya menangis! Hati saya cukup memberontak! Saya hampir-hampir membatalkan sahaja perjanjian saya untuk menerbitkan buku bersama mereka. Sungguh, itulah yang saya rasa. Rasa marah, kecewa, rasa tidak dihormati, rasa diketepi.

Saat ini saya rasa teruji dengan ilmu sendiri. Alhamdulillah, ilmu banyak memandu saya mengendalikan emosi. Saya tidak meluahkan kekecewaan saya kepada sesiapa ... saya hanya meminta pendapat rakan-rakan yang setia mengikuti perkembangan novel ini sejak ia mula ditulis lagi. Rata-rata mereka turut meluahkan kecewa. Mereka juga mahukan konsep asal reka bentuk dan seperti yang dijangka mereka tidak bersetuju dengan tajuk!

Sekali lagi saya gelisah. Walaupun ini bukan hasil penulisan pertama saya, saya anggap ianya cukup istimewa kerana saya menulis novel ini tanpa pernah menghadiri sebarang kursus penulisan novel, tanpa pernah minat membaca novel apatah lagi untuk menghasilkan sebuah novel! Ianya cukup mustahil untuk dilakukan oleh saya.

Namun sungguh! Ia umpama satu tuntutan luar biasa. Umpama menerima satu arahan, saya tetap menghasilkannya sambil meriba bayi yang masih perlu disusukan. Hampir setiap malam jam tiga pagi, saya akan terjaga sendiri untuk menaip dan menghasilkan satu persatu perkataan hingga akhirnya terhasil novel setebal 640 muka surat ini! Sesuatu yang saya tahu saya tidak mampu buat tanpa ada 'kuasa' membantu yang Maha Hebat. Sebab itu saya terlalu sayangkan novel ini kerana menganggapnya anugerah dan amanah daripada Allah.

Apabila berlaku konflik tajuk dan reka bentuk, tentu sahaja saya kecewa. Selepas puas menangis untuk melegakan hati, saya menghubungi editor dan cuba berunding lagi. Okey, jika tidak mahu tajuk asal saya, apa kata pilih salah satu daripada senarai tajuk-tajuk ini. Bla ... bla ... bla ... berderet-deret tajuk yang saya cadangkan. Saya anggap itu usaha terakhir saya. Namun, saya tetap memujuk hati saya. Saya solat Istikharah memohon bantuan pilihan daripada Allah. Benar, saya ada pilihan saya sendiri tetapi jika Allah sudah tentukan apa yang terbaik buat saya ... saya redha dan akan menerimanya dengan senang hati.

Sewaktu menerima e-mel daripada editor, saya tersenyum membacanya. Dengan gaya bahasa yang cukup sopan dan menyenangkan hati, dia memaklumkan kepada saya bahawa keputusan musyawarah pihak penerbit sekali lagi 'berdegil' memilih tajuk yang sama. SAYA TUNGGU AWAK. Itu juga yang dipilih oleh mereka. Namun reaksi saya kali ini sungguh berbeza dengan penerimaan saya pada kali pertama. Secebis pun tidak ada lagi rasa kecewa. Saya malah bersyukur walaupun kesemua cadangan saya tidak diterima!

Aneh! Tiba-tiba saya jatuh cinta kepada tajuk ini, tiba-tiba saya rasa suka kepada reka bentuk cover novel yang diberi. Malah dalam hati, saya penuh yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dengan apa yang mereka sudah biasa kendalikan. Subhanallah, betapa anehnya mainan perasaan. Sungguh, saya tiba-tiba bangga dengan keputusan mereka meskipun saya membantah pada awalnya.

Sahabat-sahabatku yang baik,

Dalam hidup kita, akan ada saatnya di mana kita akan di uji dengan perkara-perkara yang kita anggap menyakitkan dan tidak memuaskan hati. Bersabarlah. Bukan semua yang baik pada pandangan kita, baik juga pada pandangan Allah. Dia lebih tahu. Ambil sedikit masa untuk menenangkan hati kita. Dari mana sebenarnya datang kekuatan untuk memujuk hati? Minta juga daripada Allah. Dia yang pegang hati kita. Jangan minta Dia bantu kita supaya kita menang, tetapi minta bantuan-Nya agar beri yang terbaik supaya apa pun yang berlaku selepas itu akan buat hati kita lebih tenang.

Percayalah. Saya sudah melaluinya.

Kredit: Novel Dakwah



Nilai Sebuah Novel

1. Menulis adalah satu kemahiran menyampaikan isi. Setiap penulis akan cuba untuk menyampaikan sesuatu yang berisi. Tanpa isi, tulisan akan menjadi seperti hampas. Jadi, sebelum menulis, fikirkan dahulu, apakah isi-isi penting yang kita mahu tulis. Kemudian, barulah kita fikirkan apakah gaya penulisan dan bahasa yang kita mahu gunakan.

2. Penulis perlu menjadi pemikir masyarakat, bukan perosak masyarakat. Ini bermakna, setiap isi yang disampaikan, perlu mengandungi unsur-unsur yang boleh memperbaiki masyarakat. Tidak patut bagi seorang penulis cuba ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya, cuba memaparkan isi hati pasangan pengkid (lesbian) seolah-olah menyokong aktiviti LGBT atas nama kebebasan. Contoh lain, mengangkat isu percintaan yang tidak mendapat restu ibu bapa sehingga mempengaruhi pembaca supaya menderhakai ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta (terpengaruh dengan filem Hindustan). Perlu diingat, SETIAP PENULIS BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA YANG DITULIS.

3. Setiap ayat yang ditulis mesti jelas isinya. Jangan terlalu leka membuai perasaan pembaca sehingga tidak tahu, apakah mesej yang hendak disampaikan. Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Jasad yang tiada roh, namanya ialah mayat atau jenazah. Jika jasad atau tulisan itu mengandungi unsur-unsur hasutan atau budaya yang tidak sihat, ia layak dipanggil ‘bangkai.’

4. Novel bukan sekadar cerita. Novel ialah satu medium untuk menyampaikan isi melalui cerita. Isi yang bermanfaat dan berguna kepada pembaca akan menaikkan kualiti sesebuah novel. Secara tidak langsung, pembaca akan lebih menghargai novel-novel kita kerana kita berkongsi dengan mereka sesuatu yang bermakna. Ini tidak bermakna, novel kita itu harus sarat dengan FAKTA atau TIPS atau KHUTBAH dan sebagainya. Penulis perlu bijak menyelitkan isi-isi yang baik dalam tulisannya dan kemahiran ini memakan masa untuk dikuasai. Bersabarlah dan teruskan menulis!

5. Penulis bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

6. Untuk menambahkan ‘hikmah’ dalam novel, penulis juga tidak boleh lari daripada tuntutan menambah ilmu dan hikmah dalam dirinya. Ilmu dan hikmah inilah yang memberikan nyawa kepada novel. Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan. Jadi, jangan tersalah memilih perspektif. Perspektif penulis akan menggambarkan kewibawaan penulis. Jangan sampai pembaca menganggap, penulis ini jahil kerana tidak tahu halal dan haram. Sekarang ini pun, sudah ada penulis yang cuba membawa doktrin Syiah, Wahabi, Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain aliran sesat dalam karya-karya mereka. Jaga-jaga.

Kredit: Novel Dakwah



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...