.

. . . A S S A L A M U A L A I K U M . W R M . W B T . . . . . . S E L A M A T . B E R K U N J U N G . K E . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . . .

Nov 10, 2008

Mitos Dunia Penerbitan Buku

Kenyataan yang mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun adalah satu mitos.

Demikian juga kenyataan bahawa buku-buku yang ada di pasaran tidak mampu dijual dan penulis buku di Malaysia tidak boleh menjadi kaya dengan menulis buku.

“Ini adalah mitos-mitos di dalam dunia penerbitan buku di Malaysia,” beritahu Encik Fauzul Na’im Ishak (gambar), pengendali Bengkel Penulisan Umum Bukan Fiksyen yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4-6 November lalu.

Foto ihsan: B Pro Management & Training
Mitos-mitos ini adalah antara faktor mengapa penulis tidak menulis buku. Satu lagi mitos yang menghantui penulis-penulis adalah kononnya semua penerbit buku di Malaysia adalah penipu besar.

Menurut Encik Fauzul Na’im, Pengarah Urusan B Pro Management and Training yang diamanahkan mengendalikan bengkel anjuran DBP ini, mitos itu timbul kerana ada penulis yang tidak berpuas hati apabila bukunya dicetak berkali-kali sedangkan dia hanya menerima bayaran sekali saja.

Hal ini disebabkan penulis berkenaan tidak faham tentang terma-terma di dalam perjanjian penerbitan termasuk tentang kaedah bayaran dan soal hak cipta. Kekeliruan timbul apabila penulis tidak faham sama ada hak cipta manuskrip bukunya dijual terus atau dilesenkan saja kepada penerbit.

Dengan menjual terus hak cipta manuskrip bukunya, penulis akan menerima sejumlah bayaran dalam bentuk ‘lump sum’ (sekali bayar). Selepas itu penulis tidak menerima apa-apa bayaran lagi walaupun buku dicetak berulang kali kerana hak cipta manuskripnya sudah dibeli oleh penerbit berkenaan.

Bagaimanapun, apabila hak cipta manuskrip hanya dilesenkan kepada penerbit, penerbit biasanya akan membayar royalti dengan kadar tertentu kepada penulis mengikut jumlah buku yang terjual. Semakin banyak buku terjual, semakin banyak royalti akan diterima oleh penulis. Kaedah ini diamalkan oleh kebanyakan penerbit berwibawa dan penerbit besar di negara ini.

Bengkel itu dihadiri 28 peserta yang terdiri daripada editor dan penulis dari syarikat-syarikat penerbitan tempatan, termasuk Galeri Ilmu Sdn Bhd.

“Kenapa kita mengadakan bengkel ini? Kerana kita hendak melahirkan ramai pengarang. Dengan lahirnya ramai pengarang, kita hendak lahirkan banyak buku. Apabila sudah ada banyak buku, barulah industri penerbitan buku di Malaysia benar-benar layak dipanggil ‘industri’,” kata Encik Fauzul Na’im yang mempunyai pengalaman lapan tahun sebagai editor dan penerbit buku. Beliau berjaya melahirkan barisan penulis-penulis buku ‘best-seller’ melalui PTS Millennia Sdn Bhd yang diterajuinya.
Beliau mengajak para peserta melihat penulisan buku sebagai bisnes, bukan sekadar seni. “Jangan tengok buku sebagai seni saja.”

Antara pengisian menarik bengkel ini adalah teknik menulis menggunakan Kaedah KJ (KJ Methode) dan kaedah adaptasi yang mampu membantu penulis menyusun idea dan menulis buku dalam waktu yang lebih singkat. Malah kaedah ini membolehkan penulis menulis beberapa buku serentak.

Melalui KJ Methode, penulis diajar berfikir secara non-linear. Misalnya, apabila penulis hendak menulis buku yang mengandungi 10 bab, penulis boleh memulakan penulisan dari mana-mana bab, tidak semestinya bermula dari bab satu, diikuti bab kedua, ketiga dan seterusnya.

Dalam satu sesi berkongsi pengalaman, pakar motivasi dan penulis buku motivasi ‘best-seller’ Tuan Ahmad Fadzli Yusof berkata, KJ Methode membantu beliau menghasilkan banyak buku dalam masa yang singkat.

Tuan Ahmad Fadzli juga mendedahkan kepada para peserta teknik pengurusan idea yang membolehkan penulis mencari dan mencuri masa menulis di celah kesibukan seharian.
“Apabila dapat mengurus idea dengan baik, kita dapat cari masa,” katanya.
“Orang yang ada idea (ideanya terurus), duduk saja di depan komputer, dia boleh menulis. Dia tidak akan buntu.”

Para peserta juga mendapat input-input baru daripada Encik Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir, Editor Kanan/Perolehan PTS Millenniea, yang berkongsi ilmu mengenai anatomi buku.

Puan Hajah Zainab Kassim, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP dalam ucapan perasmian bengkel, menggesa para penulis menggabungkan amali dan latihan secara profesional secara berterusan untuk menghasilkan buku-buku berkualiti.

Manakala Puan Kamsiah Mohamad, Ketua Bahagian Pembangunan Penerbitan DBP dalam ucapan penutup bengkel, melahirkan rasa puas hati dengan pengendalian bengkel ini yang mampu memberi banyak input baru kepada peserta.

Beliau yakin bengkel itu akan membantu melahirkan banyak judul buku baru terutama buku-buku yang diterbitkan di bawah Dana Penggerak Industri Buku Negara. DBP adalah urus setia dana tersebut

Gambar-gambar sepanjang program: Foto ihsan: B Pro Management & Training

Sebahagian peserta yang memenuhi dewan kuliah

Sesi pembentangan projek berkumpulan

Para peserta bergambar selepas sesi penutup bengkel

Nov 5, 2008

SALAM PERKENALAN!

Salam perkenalan…

Sekian lama saya termenung, mencari ilham untuk mengisi blog Jabatan Buku ini. Apa yang hendak diceritakan? Apa yang hendak dikongsikan dengan audien maya saya? Ini blog rasmi Jabatan Buku, maka tidaklah boleh saya merapu sebagaimana saya merapu di blog persendirian saya yang syok sendiri!

Rakan sejabatan, Encik Zakaria (mesra dengan panggilan Pak Ya) nampaknya sudah mendahului yang lainnya dalam pengisian blog ini. Sementelahan, beliaulah yang paling senior, paling berpengalaman dan paling indah bahasa tulisannya. Maka banyak ilmu yang dapat dicurahkan di blog ini.

Biarlah saya mulakan dengan pengenalan diri saya walaupun tiada apa yang menarik untuk dikongsikan.

Nama saya Suraiya Pauzi. Cuma saya seorang sahaja yang perempuan di Jabatan Buku. Di Jabatan Buku, Galeri Ilmu ini saya sebagai editor kepada buku kanak-kanak dan remaja. Pengalaman saya tidaklah banyak mana. Bermula sebagai seorang penyunting artikel-artikel majalah dan menulis artikel. Tidak ketinggalan juga saya terlibat dengan kerja-kerja kewartawan suatu ketika dahulu. Kemudian saya diamanahkan menjadi editor kepada dua majalah kanak-kanak iaitu majalah Asuh dan Asuh Kids (dua majalah sekali gus). Kini semuanya tinggal kenangan. Cuma sesekali saya masih ada menyumbang artikel kesihatan untuk majalah Anis.

Memang ketika memegang dua majalah itu, kekuatan mental dan emosi perlu kuat kerana sentiasa berkejaran dengan deadline. Tekanan memang hebat, perlu sabar yang tinggi. Berbeza dengan penerbitan buku. Tempoh menyiap kerja lebih panjang, tetapi pada saat kritikal, terkadang stresnya melebihi stres menyiapkan majalah. Saya sudah merasainya! Ada saja yang tidak kena, ada saja silapnya dan perlu ubah suai sana sini…aduh!

Apa pun, menceburi bidang media ini tidaklah kekok bagi saya, kerana semasa di kampus ITM dahulu saya mengambil bidang Komunikasi Massa dalam jurusan Penerbitan. Seterusnya saya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Malaya untuk mendalami bidang penerbitan.

Yang pasti, ilmu akademik yang dikutip sewaktu di alam kampus, tidak sama dengan ilmu yang dikutip bersama pengalaman kerja. Tetapi kedua-duanya sama penting.

Dalam bidang penulisan, barangkali bakat terpendam menulis saya itu mengalir daripada ayah. Dalam adik-beradik, cuma saya sahaja yang cenderung dalam bidang ini. Sebelum bersara dari UM ayah saya juga sudah lama aktif menulis buku. Jadi saya banyak membantunya menaip dan menyemak bahan penulisannya. Hingga kini, ayah saya masih menulis. Dari situlah saya mula mengenali dunia penulisan.

Saya juga pernah dipinjamkan ke bahagian AV. Maka banyaklah berjalan jauh. Kembara ke negara orang sambil bekerja dan menimba pengalaman. Khidmat dan tenaga saya di situ lebih kepada wartawan penyelidik dan membantu menyediakan skrip dokumentari. Di bidang penyiaran ini, lain pula tekanannya. Tekanannya lebih berupa kepenatan fizikal dan mental. Ya, perlu tabah dan perlu banyak bergantung kepada Allah! Jika nipis iman dan sabar boleh membawa perkelahian sesama krew. Apa pun, alhamdulillah sepanjang penglibatan saya di AV, teman-teman seperjuangan semuanya baik-baik dan saling bertolak ansur. “APA YANG PENTING, KERJASAMA…” (sekadar memetik moto program kanak-kanak di TV i.e. Wonder Pets)

Selain itu, En. Zakaria juga banyak memberi tunjuk ajar dalam bidang penyuntingan dan penulisan. Banyak ilmu yang saya kutip daripada beliau. Untuk itu, terima kasih banyak. Moga Allah membalas jasa baiknya. Satu perkara yang saya cukup hormat akan En. Zakaria, beliau seorang yang sangat sabar. Bercakap pun berhemah. Tidak pernah meninggikan suara. Ideanya selalu bernas. Lenggok bahasa penulisannya cukup menarik dan indah (saya tidak mampu menyainginya). Sepanjang 12 tahun saya bekerja di sini, sekali pun saya tidak pernah nampak beliau marah walaupun sentiasa sibuk. Dalam tekanan kerja pun, En. Zakaria masih mampu tersenyum. Di sini, dialah sifu kami!

Sekian dahulu…insya-Allah kita bertemu lagi!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...