DETIK MENUNGGU AJAL
ISBN: 978-629-7716-54-1
KOD: GB0884
PENULIS: ROZA ROSLAN
SAIZ: 5.5” x 8.5” (portrait)
TEBAL: 424 ms
BERAT:
HARGA: RM55.00/RM57.00 (S/S)
Sinopsis
Merupakan jurnal penulis yang berada di sisi suami iaitu Muhd Kamil Ibrahim
(MKI) yang menghidap barah paru-paru tahap 4, sehinggalah MKI dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.
Penulisan digarap secara kreatif dan disusun mengikut kronologi hari dan
tahap kesihatan MKI. Diselangi dengan maklumat perubatan yang berinformasi.
Pengajaran yang paling signifikan adalah bagaimana menjaga hubungan dengan Allah
(habluminallah) dan manusia (habluminannas) bukan sahaja bagi pesakit, tetapi
juga bagi orang yang menjaga si sakit. Misalnya, menjaga solat walau dalam
keadaan tenat.
Hati pembaca pasti tersentuh mengetahui bagaimana MKI redha menerima takdir
ujian kesihatan, dan persediaan yang dibuatnya sebelum tiba ajal. Antaranya,
beliau telah mengatur sendiri pengurusan jenazahnya apabila tiba masanya.
Segala yang berkait dengan hutang juga segera diselesaikan. Seterusnya memohon
maaf dan memaafkan salah silap. Dan akhir sekali mengucap selamat tinggal
kepada insan-insan penting dalam hidupnya.
Naskhah ini amat bermanfaat bagi sesiapa yang sedang diuji dengan kesihatan,
malah menjadi panduan bagi sesiapa yang terlibat menjaga orang sakit.
Petikan DETIK 58 ...
2.30 pagi
Suami terbangun sekali lagi.
Meminta saya menekan buzzer untuk memanggil jururawat. Doktor datang
bersama dua orang jururawat ketika suami sedang berdoa.
“Ya Allah … daku mohon keampunan-Mu. Redhai dan rahmati daku. Matikan daku sebagai seorang yang benar-benar
Muslim. Masukkan daku dalam golongan solihin.”
Doktor berdiri membiarkan sahaja suami berdoa dengan sepenuh hatinya.
Setelah usai baru bersuara, “Prof, ini dos terakhir – morfin. Jika sudah
bersedia, saya masukkan cecair dalam terapi IV.”
Suami memandang saya dan mengangguk perlahan. Dos subcut morfin dimasukkan
ke dalam tapak IV terapi di ibu jari tangan kanan. Sebelum sebarang dos dimasukkan
ke dalam badannya, seperti biasa beliau mengucap syahadah. Kali ini sangat lemah.
Sebelum terlelap beliau mengungkapkan, “Yang, saya penat sangat. Terima kasih
jaga saya. Maafkan saya.”
Saya menahan air mata. Memandangnya dengan perasaan berombak-ombak di dada.
Jika itu ungkapannya yang terakhir, saya harus meyakinkan pemergiannya saya
redhai. Bahunya saya peluk, pipinya saya kucup.
“Yang, awak penat ya? Sekarang awak berehatlah.”
Total switch off. Saya redha
beliau sebagai suami dan redha dirinya pergi menemui Ilahi.
3.30 malam
Dos morfin yang mengalir di dalam
tubuh suami memberikan reaksi yang menyedihkan. Dirinya seperti di luar kotak
sedar dan berusaha mahu turun dari katil. Tenaganya luar biasa. Saya terpaksa
menekan butang buzzer memohon bantuan. Doktor bertugas datang memberikan
dos penenang.
Katanya, “Itu side effect morfin –
mengantuk tetapi tidak tidur.”
Beberapa ketika kemudian suami kembali tenang. Beliau tertidur. Dalam tidur
tangannya seolah-olah sedang di tahiyat akhir. Sesekali bibir melafazkan ungkapan, “Allah ya Allah.”
4.30 pagi – doktor datang
menjenguk lagi.
5.30 pagi – jururawat datang
melihat perkembangan.
Pagi itu suami tidak bangun. Puas digerakkan tubuh badan apabila azan subuh
berkumandang. Dirinya sudah tidak sedar. Amirul bergegas mahu pulang ke rumah.
Berjanji akan datang kembali.
Ketika itu, saya sedar suami sedang berdepan dengan detik ajalnya. Tiada
apa yang dapat saya lakukan, tiada daya upaya melainkan memohon pertolongan
Allah.
“Ya Allah, suamiku sedang berdepan
detik ajal. Ilhamkan daku. Berilah daku petunjuk-Mu. Bimbinglah daku.”
Ya Allah … hanya kepadamu daku berserah!
No comments:
Post a Comment