.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 011.6747 4635 / 011.1032 2406

Feb 19, 2010

Dingin Salju Indiana

DINGIN SALJU INDIANA

ISBN: 978-983-097-245-9

PENULIS: Nurulsham Saidin
TEBAL: 376 halaman
HARGA: RM19.50/ RM21.50*
KOD: GB0067

Jannah dan Murni memilih Indiana, Amerika Syarikat untuk menyambung pengajian, tanpa menyangka hadirnya cabaran yang menggugat persahabatan dan permasalahan yang mencabar keimanan.




Murni menyentak rasa dengan sikap dan egonya. Malah, segalanya tentang Murni mencemaskan. Jannah yang tegas, pernah mengaku kalah di tengah jalan, namun dia harus lebih kuat menghadapi keadaan.

Masalah teman serumah, Nana, cukup memeningkan. Kehidupan pelik Kak Icon mengundang tanda tanya. Sikap prihatin melampau Kak Zai mengundang rencah rasa.

Dalam masa yang sama, dua jejaka hadir di hati Jannah: Azhar dengan surat-suratnya yang membaja semangat dan Matthew, pemuda Kristian yang mencari kebenaran. Siapakah yang jodohnya Allah tentukan buat Jannah?

Lagi...

Untuk mengetahui proses awal penerbitan... baca:

http://suraiyasuraiya.blogspot.com



UNTUK TEMPAHAN,
LAWAT LAMAN galeriilmu.com.my




Remaja Mulia

REMAJA MULIA

ISBN: 978-983-097-242-8
PENULIS: Hilal Asyraf
TEBAL: 140 halaman
HARGA: RM12/ RM14*
KOD: GB0066

Irfan Hakimi, anak yatim piatu yang bijak dan baik. Orang kata, dia lebih matang berbanding usianya. Semua orang sukakan dia kecuali geng tiga sekawan.

Rasyid Zakwan pula anak jutawan yang tiada hala tujuan. Ditakdirkan, dua kanak-kanak yang berbeza latar belakang dan peribadi ini menjadi sahabat baik.



Geng Tiga Sekawan pula ada otak yang bergeliga tetapi disalahgunakan. Manakala Erham seorang yang genius tetapi tidak mahu diajar.

Gara-gara Tiga Sekawan, satu sekolah memulaukan Irfan Hakimi. Sakeena yang baik budi pun tidak mahu layan dia lagi. Kepada siapa dia hendak mengadu?

Remaja Mulia membawa kelainan apabila memunculkan watak kanak-kanak berusia 12 tahun yang jauh lebih matang daripada usianya. Hilal dalam laman blognya menulis, beliau mahu memanjakan pembaca kanak-kanak “dengan karakter-karakter tarbawi, karakter-karakter baik yang mereka boleh contohi. Agar mereka membesar dengan karakter-karakter ini.”

“... saya reka cerita pelajar darjah enam yang mempunyai kematangan yang baik, akhlak yang soleh dan peribadi yang mulia. Tidak cukup setakat itu, karakter itu memberikan kesan pula pada sahabat-sahabatnya.”


UNTUK BELI SECARA ONLINE, LAWAT galeriilmu.com.my




Mencari Amira

MENCARI AMIRA

ISBN: 978-983-097-241-1
PENULIS: Zulina Hassan
TEBAL: 128 halaman
HARGA: RM10/ RM12*
KOD: GB0065

Malang menimpa Aina Amira. Dia diculik ketika dalam perjalanan ke sekolah. Kehilangan penolong ketua pengawas yang disukai ramai ini sangat merisaukan sahabatnya, Nadia. Nadia menyalahkan dirinya atas kehilangan Aina Amira. Kenapa?

Nadia mahu mencari Aina Amira. Dia mengajak Izuardi yang pernah terhutang budi dengan Aina Amira. Malangnya Wak Milan, bapa Izuardi, menegahnya.

Tanpa diduga, Wak Milan keluar mencari Aina Amira bersama Izuardi dan seorang lelaki lurus bendul bernama Awi. Wak Milan tidak mengajak Nadia. Nadia sakit hati.

Nadia syak, tentu Wak Milan tamakkan ganjaran wang RM1 juta yang ditawarkan kepada mereka yang berjaya menemui Aira Amira.

Berjayakah Wak Milan, Izuardi dan Awi mengesan Aina Amira? Apa petunjuk yang mereka dapat? Adakah Allah akan bantu mereka?


UNTUK BELI SECARA ONLINE, LAWAT galeriilmu.com.my


Impian Juara

IMPIAN JUARA

ISBN: 978-983-097-239-8
PENULIS: Zayu Hisham
TEBAL: 124 halaman
HARGA: RM10/ RM12*
KOD: GB0064

Selepas ibu bapanya berpisah, Imran dibesarkan oleh datuknya. Imran membuktikan dirinya hebat apabila menjadi pemain ping pong terbaik sekolahnya.

Imran juga sentiasa berada dalam kelompok tiga teratas keseluruhan dalam peperiksaan.



Sikap Imran berubah apabila ibu bapanya memungkiri janji untuk hadir ke majlis sambutan hari jadinya. Imran mula melanggar disiplin sekolah. Imran mengundurkan diri dari pasukan ping pong sekolah. Pelajarannya pun merosot.

Mampukah Ustaz Zikry menyuntik semangat baru dalam diri Imran? Mampukah Imran bangkit daripada rasa kecewanya kepada ibu dan bapanya?

Penulisnya Zayu Hisham memanfaatkan pengalamannya sebagai guru dan jurulatih pingpong sekolah untuk mencipta plot dan konflik yang menarik dalam Impian Juara.

UNTUK BELI SECARA ONLINE,
LAWAT LAMAN galeriilmu.com.my






Kasih Nasuha

KASIH NASUHA

ISBN: 978-983-097-225-1
PENULIS: Zurinah Ismail
TEBAL: 176 halaman
HARGA: RM15/ RM17*
KOD: GB0063

Kesempitan hidup keluarga bukan masalah besar bagi gadis kecil setabah Nasuha. Namun dia keliru, kenapa ayahnya membeza-bezakan dia dan kakaknya Noriah. Ada sesuatu yang dia tidak ketahui mengenai ayahnya, yang tersimpan kemas dalam lipatan memori ibunya.



Dengan sokongan ibunya, Nasuha mahu bangkit untuk membuktikan sesuatu. Namun konflik dengan Mohd Faiz, anak pengetua sekolah, membuatkan dia tertekan dan terhina.

Apakah keanggotaannya dalam kumpulan High Six dapat memberi apa-apa makna?

Berkawan dengan Kate mengundang parah. Gara-gara gadis liar itu, Nasuha hilang kepercayaan ibunya. Lalu, kepada siapa lagi dia mahu mengadu dan menagih kasih?

Nasuha ingin kuat, seteguh kain belacu. Dia juga harus lembut, selembut sutera.
Di hujung ikhtiar manusia, berlakulah takdir Yang Esa. Nasuha pasrah.

Garapan Zurinah Ismail ini, yang juga seorang guru, mampu menyuntik semangat remaja untuk membina kekuatan diri bagaikan kain belacu, di samping memelihara nilai-nilai kelembutan bak sutera.

UNTUK BELI SECARA ONLINE, LAWAT LAMAN galeriilmu.com.my




Untukmu Wanita

UNTUKMU WANITA

ISBN: 978-983-097-228-2
PENULIS: Zaharuddin Abdul Rahman
TEBAL: 224 halaman
HARGA: RM21/ RM23*
KOD: GB0062

Hadiah istimewa buat insan bernama wanita. Menggarap pelbagai permasalahan wanita yang merangkumi isu aurat, maruah, munakahat dan juga rumah tangga.

Dipersembahkan dalam bentuk soal-jawab. Santai dan bersahaja. Dikukuhkan dengan dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk rujukan dan bimbingan. Juga diselitkan kisah-kisah motivasi sebagai iktibar membentuk peribadi solehah.


Buku ini dibahagi kepada tiga bahagian:
BAHAGIAN 1 : WANITA DAN AURAT
BAHAGIAN 2 : WANITA DAN MUNAKAHAT
BAHAGIAN 3 : WANITA DAN RUMAHTANGGA

Merangkumi bab berikut:
• Aurat Wanita: Apa Sudah Jadi?
• Benarkah Berpakaian Hak Peribadi?
• Aurat Wanita Lebih Sukar, Adilkah?
• Sebenarnya, Bolehkah Wanita Bekerja?
• Jangan Dayus Wahai Lelaki
• Bertudung Sambil Menghina Hukum
• Jagalah Maruah Dan Doa Elak Rogol
• ‘Terlanjur Zina’: Usahalah Dengan Taubat
• Tiada Dakwah Wanita Melalui Nasyid
• Boleh Percayakah Taubat Wanita Hamil Hasil Zina?
• Nasihat Buat Gadis Hampir Terlanjur
• Wanita Tidak Perlu Bertudung: Bidasan Saya
• Perigi Cari Timba & Displin Dalam Bertunang
• Fakta Penting Berkenaan Penceraian
• Kekeliruan Dalam Bab Ruju’
• Masalah Seks Di Siang Bulan Ramadhan
• Bolehkah Lafaz Ta’liq Di Tarik Semula
• Adakah Jatuh Cerai Zihar Jika Suami Berkata ...
• Bolehkah Berkahwin Dengan Tunang Pernah Berzina?
• Bila Lelaki Guna Alasan Istikharah Untuk Paksa Kahwin
• Mestikah Turuti Tanda Istikharah?
• Ingin Calon Isteri Bekerja Sahaja
• Mestikah Jodohnya Penzina Juga?
• ‘Ringan-Ringan’ & Jagalah Zuriatmu
• Anak Perlukan Cara Baru
• Apabila Tunang Mengambil Kesempatan, Apa Tandanya?
• Wanita Yang Naik Nafsu Akibat Dirogol
• Menonton Filem Lucah Oleh Suami Isteri
• Suami Membayang Orang Lain Semasa Bersama
• Status Darah Sebelum Bersalin
• Fahami Hukum Oral Seks

CONTOH BAB

Semasa saya memberikan kuliah kepada satu kumpulan wanita yang terdiri dari golongan professional termasuk para Datin di satu daerah, ketika itu, sedang heboh isu wanita seksi ditangkap di sebuah kelab malam.

Lalu timbul isu hak peribadi wanita untuk memakai apa jua pakaian yang diingininya, termasuk yang seksi. Lalu, semasa kuliah ini saya mengambil peluang bertanya kepada kumpulan wanita ini soalan mudah berikut :-

"Apakah agaknya sebab wanita ingin memakai seksi dikhalayak ramai? Dengan skirt pendek, atau baju sendat dan nipis?"

Ada di antara mereka mula memberikan pandangan, tetapi kerana terlampau ramai yang bercakap, saya tidak mendengar butirannya. Apabila saya meminta seorang wakil, seorang menjawab dengan yakin.

"Untuk nampak cantik ustaz..." katanya sambil tersenyum malu.
Saya bertanya pula : "Agaknya kepada siapa nak ditunjukkan kecantikan itu?"

"Tentulah kepada kaum lelaki ustaz, kaum wanita pun iye juga.." sambungnya.

"Baiklah, jika lelaki tersebut sudah tergoda dengan kecantikan tu, lalu ingin menyentuh bahagian indah yang dilihatnya boleh tak?" Tanya saya menguji.

"Isy, ustaz ni... tentulah tak boleh ustaz, dah kira ‘sexual harassment' (gangguan seksual) tu ustaz" dengan yakin sekali hujjahnya kali ini.

"Jika demikian, tidakkah para wanita merasakan, tindakan mereka yang memaparkan bahagian yang menarik di tubuh mereka itu juga merupakan gangguan seksual kepada lelaki?" Tambah saya.

"Er, macam mana tu ustaz?" Tanya mereka dengan nampak sedikit bingung sambil berkerut dahi.

"Yalah, bila orang lelaki yang dah naik syahwatnya tu, kerana kecantikan peha wanita tu contohnya, mestilah terganggu syahwatnya. Lalu terdetik keinginan seksualnya secara tidak terkawal".

"Kerana itu saya katakan berpakaian seksi adalah suatu bentuk gangguan seksual kepada orang lelaki di sekelilingnya"

"Cuba bayangkan, kucing yang lapar diacah-acah dengan ikan ‘fresh' yang digoyang-goyankan di hadapannya tentu geram kucing tu, malah silap haribulan, tentu diterkamnya muka orang yang mengacah juga" Tambah saya lagi memberi keyakinan.

"Tapi perlu diingat, tak semua kucing akan terkam, hanya yang amat lapar dan liar je, demikian juga lelaki, tak semua lelaki gagal kawal nafsunya, tetapi tak dinafikan bahawa ramai juga yang gagal dan liar"

"Akhirnya, kerana suasana yang tak sesuai, mungkin kerana ramai orang dan di tempat awam pula, terselamatlah wanita seksi itu dari terkaman lelaki liar tadi. Masalahnya, anak-anak perempuan kecil berumur 7 hingga 12 tahun yang mungkin menjadi mangsa tempiasan nafsu lelaki begini. Dan di ketika itu, sama ada wanita itu bertudung, berjubah, kanak-kanak dan sebagainya tidak lagi mampu menahan nafsu si lelaki seperti ini, asalkan suasana cukup sesuai (sunyi dan jauh dari pandangan ramai), akan dilepaskan nafsunya secara kekerasan" Terang saya dengan panjang lebar, mereka mengganguk dengan wajah serius kali ini.

Lebih terangnya, sama-sama fikirkan adakah jika para wanita yakin bahawa jika anda berada di hadapan Baginda SAW hari ini, adakah Rasulullah akan tersenyum atau sebaliknya? Jika sebaliknya, bagaimana pula peluang wanita seperti ini untuk mendapat Syafaat Nabi SAW di akhirat kelak?

Benar, mungkin seseorang wanita itu berjaya meraih pandangan istimewa dari kaum lelaki hasil pendedahan kecantikannya yang memukau. Tapi keseronokan itu hanyalah palsu dan sementara sahaja, serta tidak menambah sebarang nilai buat kehidupan kekal di Barzakh dan Akhirat selain menambahkan tahap azab sahaja.

Apa yang jelas, pakaian yang ditunjukkan oleh wanita Arab yang solehah dengan penutupan aurat yang sempurna di zaman ini sudah tentu boleh memberi sedikit info kepada kita bahawa inilah mungkin pakaian yang dipakai oleh wanita Islam di zaman Nabi serta mendapat redha dari mata dan hati baginda SAW. Tidakkah para wanita hari ini juga berminat meraih redha dari mata dan hati baginda SAW?

BENARKAH MENUTUP AURAT DAPAT MENGELAK DARI WANITA DISAKITI?

Ramai wanita professional dan yang kurang didikan agama hari ini mencebik bibirnya apabila tajuk ini disebutkan. Mereka tidak percaya langsung fakta yang saya sebut di atas. Malah ada yang berpendapat lelaki sengaja melakukan perkara buruk kepada wanita kerana ingin menunjukkan kekuasaannya terhadap wanita. Kerap benar saya dengar hujah ini di media massa.

Hakikatnya, sebagai hamba Allah SWT dan umat Rasulullah SAW kita diajar untuk merujuk Al-Quran dan Al-Hadith bagi mendapat kepastian tentang baik buruk dan benar salahnya sesuatu perkara itu.

Dalam hal ini, Allah SWT berfirman :

"Hai Nabi! Katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang mu'min semua, hendaklah mereka melabuhkan jilbab-jilbab mereka atas (muka-muka) mereka. Yang demikian itu lebih memastikan mereka agar dikenali (sebagai wanita Islam) supaya mereka tidak diganggu." (al-Ahzab: 59)

"Wahai Nabi, suruhlah isterimu, anak perempuanmu serta wanita-wanita yang beriman, agar melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya; Yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenali, maka mereka tidak akan diganggu. Dan Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [Al-Ahzab: 59]

Jilbab, iaitu pakaian yang lebarnya semacam baju kurung untuk dipakai oleh kaum wanita bagi menutupi tubuh badannya.

Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi menerangkan "Sebahagian perempuan Jahiliah apabila keluar rumah, mereka suka menampakkan sebahagian kecantikannya, misalnya dada, leher dan rambut, sehingga mereka ini diganggu oleh laki-laki fasik (jahat) dan yang suka berzina. Kemudian turunlah ayat di atas yang memerintahkan kepada orang-orang perempuan Islam untuk melabuhkan jilbabnya itu sehingga semua bahagian-bahagian tubuhnya yang boleh membawa fitnah itu tidak kelihatan. Dengan demikian secara zahirnya pula mereka itu akan dikenali sebagai wanita yang terpelihara (‘afifah) serta tidak mudah diganggu oleh orang-orang yang suka kejahatan atau orang-orang munafik.

Jadi jelasnya, bahawa ayat tersebut memberikan ‘illah (alasan) utama perintah ini iaitu kerana bimbang wanita muslimah diganggu oleh orang-orang fasik dan menjadi perhatian orang-orang yang suka berzina. Bukanlah ketakutan yang timbul dari perempuan itu sendiri atau kerana tidak percaya kepada mereka sebagaimana anggapan sebahagian orang, tetapi ia adalah kerana sebahagian wanita yang suka menampakkan perhiasannya, berjalan dengan penuh lenggang lengguk dan bicaranya dibuat-buat manja, sering menarik perhatian nafsu lelaki dan menjadikannya sasaran orang-orang yang suka berzina. (Petikan dari kitab Al-Halal wal Haram fil Islam dengan sedikit pindaan)

Ayat ini juga jelas menunjukkan bahawa salah satu target utama menutup aurat yang diletakkan oleh Allah SWT adalah sebagai kaedah dan cara terbaik bagi mengelakkan wanita Islam dari diganggu dan disakiti.

BANTAHAN KAUM WANITA

“Eleh.., hari ini ramai juga wanita bertudung yang kena rogol, malah sesetengahnya kena bunuh dijerut dengan tudungnya pulak! Kanak-kanak pun kena rogol dan dibunuh. Ini maknanya, tudung bukan lagi penyelamat la ustaz. Ha..macam mana ustaz nak jawab tu?” Hujah balas yang selalu saya dengar bila isu ini ditimbulkan.

“Pernah tak anda merasa amat marah sepanjang hidup anda?” Tanya saya kembali.

“Pernah juga ustaz. Kenapa ustaz? Apa kaitannya?" Bingung sekali lagi mereka nampaknya.

“Biasanya bila seseorang itu sedang amat marah, sempat tak agaknya dia berfikir bahaya atau tidak tindakan yang dibuatnya? Sebagai contoh, ada orang yang sedang marah kerana bising tangisan kanak-kanak, maka ditendang (seperti berita yang saya baca di akhbar baru-baru ini), ditolak jatuh tangga, ditekup wajah kanak-kanak itu dengan bantal dan macam-macam lagi bagi menghilangkan kemarahan atau gangguan bising itu. Setelah beberapa ketika mungkin baru seolah-olah dia tersedar, lalu cemas dan mungkin menyesal.”

“Demikianlah juga nafsu jahat. Bila ia berada di tahap tinggi, ia tidak lagi melihat sama ada kepada pakaian atau umur wanita mahupun isteri orang di hadapannya. Sasarannya hanyalah untuk memenuhi hajat jahatnya. Sebab itulah wanita yang menutup aurat dengan sempurna serta kanak-kanak perempuan juga terancam. Juga tidak dapat dinafikan pengaruh vcd, laman web, akhbar, majalah dan novel lucah,” terang saya.

“Tapi macam mana pulak ayat tadi kata tutup aurat dapat mengelakkan wanita dari disakiti ?” Balas mereka dengan penuh minat kali ini.

"Jika kita lihat dengan teliti, ayat tadi sebenarnya ditujukan kepada seluruh kaum wanita. Ini bermaksud, jika sebahagian besar wanita tidak mentaatinya dan memakai pakaian seksi pula. Di ketika itu, faedah dan kebaikan dari tutup aurat bagi menjaga semua kaum wanita dari disakiti secara umum akan tergugat dari mencapai matlamat umumnya. Sebenarnya, ayat itu nak beritahu bahawa seluruh wanita bertanggung jawab menjaga keselamatan kaum sejenisnya dengan menjaga aurat masing-masing," jelas saya.

"Maka bila ada yang seksi, ini bermakna, dia sedang mengancam kaum sejenisnya yang lain dan di tempat lain kerana telah menghidupkan nafsu kebinatangan lelaki jahat yang sedang tidur."

PENGALAMAN MENUMPANG KE MASJID

Saya masih ingat, dalam perjalanan ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat di sebuah masjid di Ibu Negara. Pejabat saya di Jalan Sultan Ismail dan pada hari tersebut saya menumpang kereta seorang rakan. Bersama kami beberapa rakan sekerja yang lain.

Tiba-tiba semasa berada di lampu trafik, suasana dalam kereta agak bising dengan bunyi... uii... oii... peh... mengancam... dan sebagainya, diikuti dengan kata-kata :

"Astaghfirullah... korang ini teruk betullah, kan ustaz ada dengan kita ini." Kemudian disambut dengan kata rakan di belakang, “Ye la.. inilah bagusnya kita pergi masjid dengan ustaz, terjaga sikit."

Anda tentu dapat menggagak apa yang dilihatnya, bukan? Alhamdulilllah saya tidak sempat melihat apa-apa kerana sedang membelek pelbagai mesej soalan hukum-hakam tertunda yang memenuhi telefon bimbit saya.

Bila saya tanya, kenapa? Dengan malu-malu mereka menyalahkan sesama sendiri akibat ‘gatal mata' melihat skirt-skirt pendek wanita KL, sama ada wanita Melayu mahupun Cina di sekitar kawasan segitiga emas itu.

Cuba bayangkan, perasaan lelaki-lelaki ini. Mereka dalam perjalanan ke masjid, semuanya juga telah berumahtangga, tapi nafsu masih terangsang apabila didedahkan kepada pemandangan seperti itu. Jahatkah mereka?

"Gatal dan dah miang sangat kot orang lelaki ni, memang teruk mereka ni. Tak sangka, harap suami kita tak macam ni," mungkin itulah yang akan dikatakan oleh sebahagian besar pembaca wanita sekarang ini.

Tapi itulah cabaran terbesar lelaki wahai kaum wanita, iaitu ANDA, wanita dan seluruh kecantikan yang dikurniakan Allah SWT kepadanya sebagai ujian, ia disebutkan oleh Allah SWT:
Ertinya : Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga). ( Al-Imran : 14 )

Ayat ini dengan jelas menyebut syahwat utama lelaki adalah pada wanita. Nabi SAW juga pernah bersabda : "Tidak aku tinggalkan fitnah selepasku yang lebih boleh membawa mudarat kepada lelaki selain wanita" (Riwayat Al-Bukhari, 7/11, bab Zikir & Doa )

ANTARA LAWAK & HUKUM

Saya juga masih ingat, sewaktu di tempat lama, rakan-rakan sepejabat sering kali apabila mereka terlihat aurat wanita sebegini akan disebut, "Tak apa ustaz kan? Pandangan pertama tak berdosakan?"

Sedih saya melihat sikap sebahagian umat Islam hari ini yang kerap mempermainkan hukum-hakam akibat kejahilan mereka.

Sebuah hadis: "Dari Jarir bin Abdullah, ia berkata: Saya bertanya kepada Rasulullah SAW tentang melihat (aurat wanita) secara tiba-tiba tanpa sengaja. Maka jawab Nabi: Palingkanlah pandanganmu itu!" (Riwayat Ahmad, Muslim, Abu Daud dan Tarmizi) - Iaitu, Jangan kamu ulangi melihat untuk kedua kalinya sebagainya datang dalam hadith Nabi kepada Sayyidina Ali r.a.

Apabila ia adalah sebuah hukum, maka adalah tidak harus sama sekali sesiapa juga mempermainkan apa jua berkaitan dengannya. Nabi SAW bersabda : "Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat" (Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

KESILAPAN KERAP WANITA TENTANG AURAT

Ketika ini, saya mengambil masa sekitar satu jam untuk ke pejabat, memandu kereta dari Puchong ke Jalan Sultan Ismail. Setiap hari, laluan jalan pergi dan pulang ini akan mempamerkan kejahilan wanita Islam hari ini tentang penutupan aurat. Di manakah kesilapan penutupan aurat wanita hari ini ?

Jawabnya seperti berikut :-

KESALAHAN PERTAMA : Aurat itu adalah memakai tudung sahaja.
KESALAHAN KEDUA : Bertudung tetapi ber‘T-Shirt' berlengan pendek.
KESALAHAN KETIGA : Bertudung tetapi baju kebarungnya terbelah kainnya.
KESALAHAN KEEMPAT : Bertudung tetapi bajunya sendat, sempit dan nipis lalu memaparkan bentuk kawasan-kawasan mudah ‘menggoda'.
KESALAHAN KELIMA : Bertudung tetapi amat longgar dan menayangkan jambul dan hujung rambutnya.
KESALAHAN KEENAM : Bertudung tetapi hanya memakainya di pejabat sahaja. Tidak di sekitar rumah, pasaraya dan sebagainya.
KESALAHAN KETUJUH : Bertudung tetapi tudungnya dilempar ke belakang leher, maka terdedahlah dadanya dari ditutupi kain tudung.
KESALAHAN KELAPAN : Bertudung tetapi dengan tudung yang amat nipis sehingga boleh dilihat sanggul, leher, tengkuk dan dadanya.

Sebahagian wanita menyangka bahawa tutup aurat tu adalah tutup rambut sahaja. Ia adalah tidak tepat sama sekali.

Asasnya adalah dari firman Allah SWT: "Hendaknya mereka itu melabuhkan tudungnya sampai ke dadanya, dan JANGANLAH KAMU MENDEDAHKAN AURAT DAN PERHIASAN KAMU KECUALI APA YANG TERZAHIR." (an-Nur: 31)

NOTA

Untuk bacaan selanjutnya, dapatkan buku UNTUMU WANITA.

UNTUK BELI SECARA ONLINE,
LAWAT LAMAN galeriilmu.com.my

Biodata ringkas penulis:

ZAHARUDDIN ABD RAHMAN merupakan kolumnis beberapa akhbar dan majalah. Beliau juga pernah muncul di media seperti radio ikim.fm, TV9, dan RTM membicarakan pelbagai isu dan hal ehwal Syariah, ekonomi Islam dan perbankan Islam. Laman sesawang beliau (www.zaharuddin.net) menjadi rujukan ramai dalam isu-isu kewangan, pelaburan, bisnes dan isu-isu lain berkaitan agama.

Untukmu Wanita adalah buku ketujuh beliau dan yang pertama bersama Galeri Ilmu Sdn Bhd yang diterbitkan sempena Ramadan yang lalu.

PETIKAN BULETIN JABATAN BUKU MAJALAH ANIS

Setelah lebih empat tahun mengendalikan laman sesawang www.zaharuddin.net yang banyak mengupas pelbagai isu kontemporari, Ustaz Zaharuddin atau lebih dikenali dengan panggilan Uzar muncul dengan buku terbarunya Untukmu Wanita terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd.

“Buku ini dihasilkan bagi menghampiri kaum wanita dan menghulurkan secebis nasihat buat tatapan mereka. Ia turut dikhususkan untuk para lelaki yang sedang berusaha mencari-cari intipati ilmu kebaikan dan nasihat untuk hidangan mereka yang bernama ibu, isteri, kakak, adik dan anak.” – petikan mukadimah Untukmu Wanita.

Dengan huraian yang padat, jelas, tegas dan tepat, buku ini dipersembahkan dalam bentuk soal-jawab yang lebih santai dan bersahaja. Terdapat juga kisah-kisah motivasi dan rantaian cebisan pengalaman yang dialami sendiri oleh penulis untuk dijadikan iktibar kepada pembaca.
Buku ini mengandungi tiga bahagian utama iaitu:

Bahagian 1: Wanita, maruah dan aurat
Bahagian 2: Wanita dan munakahat
Bahagian 3: Wanita dan rumah tangga

Setiap bahagian pula mengandungi lebih kurang 10 bab berkaitan yang dikupas bersama dalil-dalil al-Quran dan hadis untuk memantapkan pemahaman pembaca.

“Dalam kelembutanmu, suburkan ketegasan.
Berlandaskan ilmu keredhaan Tuhan.” - penulis







Jan 7, 2010

"Bagus buku ini!" RAM

Tertarik dengan gaya penulisan buku I Love You Too tulisan Badrulhisham Shari mendorong novelis tersohor yang juga wartawan penyiaran RTM, Ramlee Awang Murshid (RAM), mengusulkan kepada penerbit supaya buku itu dibicarakan.

“Buku ini bagus dan saya tertanya-tanya bagaimana dia (Badrulhisham) dapat menulisnya,” kata Encik Ramlee dalam perbualan dengan wakil Jabatan Buku Galeri Ilmu Sdn. Bhd. menjelang rancangan Resensi Isnin yang membicarakan buku itu di saluran TV1 baru-baru ini.

I Love You Too adalah buku motivasi rumah tangga yang membicarakan isu-isu rumah tangga dengan gaya olahan yang sangat santai. Buku setebal 200 halaman dan berharga RM19 ini dihiasi ilustrasi-ilustrasi mencuit hati oleh penulisnya sendiri. (Badrulhisham ialah Pengarah Reka Bentuk di GISB.)




Garapan Pengalaman Peribadi

Pengalaman peribadi sebagai pelajar dan hasil kajian yang dibuat sepanjang menuntut di Indiana, Amerika Syarikat membantu Nurulsham Saidin menghasilkan novel sulungnya yang mempesona, Dingin Salju Indiana terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.

“Saya membuat kajian dan penelitian dalam menggarap watak dan latar untuk menghidupkan jalan cerita. Berpandukan pengalaman sendiri di Indiana, saya olah dengan bahasa yang mudah agar pembaca dapat sama-sama menyelami apa yang dirasai oleh setiap watak di dalam novel ini,” kata Puan Nurulsham dalam temubual bersama DJ Fairuz Hj Noordin di radio IKIM.fm pada Disember lalu.

Beliau mengakui pernah menulis novel separuh jalan sebelum berjaya menghasilkan Dingin Salju Indiana. “Sebelum ini saya pernah menulis novel tetapi tidak habis. Rupanya apabila dikaji, saya dapati saya tidak dapat menghayati watak-watak dengan baik.”

Untuk mengatasinya, beliau mencatat setiap watak pada sekeping kertas. Belau tulis perwatakan dan apa yang akan terjadi pada watak-watak itu pada ‘kertas watak’ tadi. Dengan itu beliau dapat memastikan setiap watak ada kesudahan ceritanya, tidak tenggelam begitu saja.

Dingin Salju Indiana adalah novel dewasa pertama terbitan Galeri Ilmu Sdn Bhd. Dengan mengekalkan konsep dakwah dan tarbiah, novel ini digarap halus dengan penceritaan yang ditukangi dengan bijak tanpa menggunakan lenggok sastera yang berat.

Dr. Amida Abdulhamid dalam kata pengantar novel ini menyifatkan Dingin Salju Indiana sebagai “novel lincah” yang “memukau pembacaan”. Novel setebal 376 halaman yang membuka tirai pasaran 2010 ini dijual dengan harga RM19.50.

Medan Memberi, Bukan Menerima

“Rumah tangga itu adalah medan untuk memberi, bukan menerima!” ujar Ustaz Hasrizal Abdul Jamil ketika membicarakan buku-buku motivasi beliau di radio IKIM.fm pada akhir tahun lalu.

Dalam temubual bersama DJ Nik Hasnah Ismail dalam rancangan Mesra Bersama Anis itu, Ustaz Hasrizal menyatakan harapan agar persepsi tentang sebuah rumah tangga atau kehidupan dalam masyarakat yang penuh ranjau dapat diperbetulkan.

Berlatarkan persekitaran rumah tangga beliau sendiri, setiap coretan beliau dalam buku-bukunya diolah dengan santai bersulamkan tarbiah yang penuh hikmah.

Katanya, perkongsian cerita beliau melalui buku-buku itu diharap dapat membantu pembaca mencipta cerita mereka sendiri menuju kebahagiaan di alam rumah tangga.


Ustaz Hasrizal yang mendapat jolokan ‘Ustaz Cinta’ selepas sambutan baik para pembaca ke atas buku pertamanya, Aku Terima Nikahnya (ATN), bakal muncul dengan buku motivasi rumah tangga ketiganya terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.


Buku terbaru yang bakal terbit adalah kesinambungan kepada dua buku sebelumnya, ATN dan Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga, selain sebuah buku dalam siri travelog tarbiah, Secangkir Teh Pengubat Letih.

ATN yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 berjaya mewujudkan satu fenomena baru dalam gaya penulisan buku motivasi rumah tangga.

Jul 14, 2009

Jom Tanya Ustaz

Setelah sekian lama menjadi kaunselor ruangan soal jawab di dalam majalah Asuh, Dr. Nik Yusri Musa atau lebih mesra dengan panggilan Ustaz Nik, tampil dengan buku Jom! Tanya Ustaz terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB). Buku ini menghimpun 200 soal jawab kanak-kanak mengenai persoalan fardu ain, akhlak dan umum.

“Sebenarnya hampir setiap hari saya menerima e-mel daripada pembaca Asuh yang bertanyakan macam-macam masalah mereka. Jadi saya berharap buku ini dapat membantu atau menjadi tempat pembaca Asuh mencari jawapan kepada kemusykilan mereka,” luah Dr. Nik Yusri, pensyarah di Pusat Pengajian Umum, UKM dalam bidang Tamadun Islam dan merupakan Imam Ratib Masjid Jamek Tengku Abdul Aziz Shah, Sg. Penchala, Kuala Lumpur.

Melalui buku ini, Ustaz Nik berkongsi perkara-perkara yang sering ditanyakan oleh kanak-kanak kepada beliau sama ada melalui e-mel peribadi beliau atau yang dialamatkan kepada ruangan Tanya Ustaz, majalah Asuh. Ia disaring daripada ratusan soal jawab sebenar.
Selain menghadap guru di dalam kelas atau menyertai majlis ilmu, kanak-kanak juga boleh belajar dengan cara bertanya. Dengan membaca buku Jom! Tanya Ustaz, kanak-kanak akan mendapat jawapan kepada banyak persoalan agama yang berlegar dalam fikiran mereka.
Bagi ibu bapa, buku berharga RM12 ini akan membantu mereka menjawab soalan-soalan yang ditanya oleh anak-anak, terutama apabila ibu bapa “rasa-rasa macam tahu” tetapi sukar untuk menjawab soalan yang ditanya dengan tepat. Bagi yang selalu memberi jawapan “Entahlah... emak pun tak tahu. Entahlah... ayah pun tak pasti”, buku ini boleh dijadikan alat bantu.

Buku ini membantu setiap ahli keluarga mengetahui dan memahami persoalan fardu ain, akhlak dan lain-lain dalam bentuk soal jawab yang mudah. Seterusnya memudahkan setiap orang beramal dengan betul dan tepat supaya amalan tersebut diterima oleh Allah SWT.

Dr. Nik Yusri Musa adalah juga kolumnis ruangan Fikah dalam majalah Anis. Berasal dari Kota Bharu, Ustaz Nik ialah pemegang Ijazah Sarjana Muda Usuluddin (Hadis) dari Universiti Al-Azhar, Ijazah Sarjana (Usuluddin) Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dan Ijazah Doktor Falsafah (Usuluddin) dari universiti yang sama.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...