Dalam temubual bersama DJ Nik Hasnah Ismail dalam rancangan Mesra Bersama Anis itu, Ustaz Hasrizal menyatakan harapan agar persepsi tentang sebuah rumah tangga atau kehidupan dalam masyarakat yang penuh ranjau dapat diperbetulkan.
Berlatarkan persekitaran rumah tangga beliau sendiri, setiap coretan beliau dalam buku-bukunya diolah dengan santai bersulamkan tarbiah yang penuh hikmah.
Katanya, perkongsian cerita beliau melalui buku-buku itu diharap dapat membantu pembaca mencipta cerita mereka sendiri menuju kebahagiaan di alam rumah tangga.
Ustaz Hasrizal yang mendapat jolokan ‘Ustaz Cinta’ selepas sambutan baik para pembaca ke atas buku pertamanya, Aku Terima Nikahnya (ATN), bakal muncul dengan buku motivasi rumah tangga ketiganya terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
Buku terbaru yang bakal terbit adalah kesinambungan kepada dua buku sebelumnya, ATN dan Aku Terima Nikahnya 2: Bercinta Sampai Ke Syurga, selain sebuah buku dalam siri travelog tarbiah, Secangkir Teh Pengubat Letih.
ATN yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2008 berjaya mewujudkan satu fenomena baru dalam gaya penulisan buku motivasi rumah tangga.
No comments:
Post a Comment