Ceritakan mengenai latar belakang diri anda.
Tuan Khairi Tajudin - 'Ikhlaskan niat'. |
Saya mula bersekolah tadika di Tabika
KEMAS Kg. Baru, Changlun. Kemudian, masuk sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan
Dato’ Wan Kemara. Selepas UPSR, saya masuk Sekolah Menengah Kebangsaan
Changlun. Hanya selepas PMR, barulah saya diterima masuk ke Sekolah Berasrama
Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.
Selepas tamat SPM, saya sambung belajar
di UiTM Kampus Arau dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Saya belum
memiliki cita-cita pada waktu itu. Tidak tahu arah tuju. Ambil Kejuruteraan
Mekanikal kerana di sekolah dulu belajar jurusan Sains Teknologi. Itu sahaja
alasan saya yang paling munasabah. Tidak minat pun untuk menjadi jurutera atau
juruteknik.
Selepas habis Diploma, saya bekerja di kantin PLKN, UUM. Sepanjang tempoh itu,
saya mengutip pengalaman pahit manis sebagai seorang ‘abang kantin’. Sebelum
Subuh sudah bangun, pukul 12 tengah malam baru habis kerja. Budak-budak makan
enam kali sehari. Bayangkan, berapa banyak gelas dan ‘tray’ yang saya
kena basuh. Letihnya.
Selepas penat bekerja, barulah saya tahu nikmatnya belajar di universiti. Saya
sambung semula pengajian peringkat ijazah di UiTM Shah Alam tapi bertukar
kursus kepada HOTCAT (Pengurusan Perkhidmatan Makanan). Saya membawa cita-cita,
selepas habis belajar nanti, saya mahu memiliki perniagaan makanan sendiri.
Saya hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Sehingga kini, saya
belum lagi merealisasikan cita-cita itu. Cuma saya mengutip lagi pengalaman
bekerja sambilan di sebuah restoran makanan Barat. Dave’s Deli nama
restoran itu. Sekarang, sudah ditutup dan digantikan dengan nama baru.
Selepas tamat belajar, saya terus bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan
Streamyx. Pendek cerita, saya ialah operator yang menjawab panggilan telefon
daripada pengguna Streamyx yang mengalami masalah internet. Selama tujuh bulan
saya bekerja di situ. Selepas itu, saya mengembara ke bumi orang selama empat
bulan. Melihat dunia yang luas dan mengutip pengalaman yang lebih banyak.
Pulang dari perantauan, saya mula menternak kambing. Pada waktu itu, saya mula
berfikir untuk bekerja sendiri dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan rumah yang
terbiar dengan semak-samun. Namun begitu, rezeki daripada kambing tidak begitu
mengujakan. Saya terpaksa jual semua kambing itu dan mula menternak ayam pula.
Pendapatan daripada penternakan ayam agak menggalakkan. Sambutannya baik tetapi
saya dan para penternak seluruh Malaysia terpaksa menghadapi wabak hawar atau sampar yang meragut nyawa
unggas-unggas dari Johor sampai ke Perlis. Saya terkedu seketika.
Sewaktu saya mahu bangkit daripada peristiwa hawar itu, saya dihubungi oleh
seorang kawan yang telah lama saya kenal sewaktu di UiTM iaitu saudara Azlan
Ismail. Azlan mempelawa saya untuk menulis buku. Dia cakap, dia suka baca blog
saya berkenaan penternakan ayam (shawnagrofarm.wordpress.com) dan dia
yakin, saya boleh menulis buku berkaitan dengannya. Pada masa yang sama, dia
juga mempelawa saya menghubungi editor perolehan di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB)
iaitu saudara Amir bin Abdul Hamid untuk menghantar sinopsis. Pada waktu itu,
saya rasakan bahawa saya sudah nampak ke mana hala tuju saya selepas ini!
Apa yang
mendorong Tuan Khairy menulis?
Saya masih ingat, bagaimana saudara Azlan mendorong saya terjun
dalam bidang ini. Katanya, saya berbakat dan hasil tulisan dalam blog itu boleh
dijadikan buku panduan. Kemudian dia dan rakannya iaitu Tuan Amir Abd Hamid
(Editor Kreatif Galeri Ilmu) mengajak saya untuk hadir kursus penulisan bersama
Galeri Ilmu.
Di sana saya mendapat pelbagai tips dan
semangat untuk menulis memang tidak dapat dibendung lagi. Saya ucapkan terima
kasih kepada warga kerja Galeri Ilmu iaitu Tuan Amir, Haji Zakaria Sungib dan
lain-lain kerana membantu saya mengembangkan bakat penulisan.
Saya masih ingat karya pertama yang saya
tulis ialah berkenaan kisah budak sekolah yang suka bermain bola sepak. Karya
itu ditulis pada April 2010. Saya mengambil masa dua bulan untuk siap
sepenuhnya buku tersebut. Tajuknya ialah Tariq United.
Saya menulis kerana mahu berdakwah. Dakwah
ini luas. Jadi, salah satu cabang untuk berdakwah adalah dengan cara menulis.
Jika dahulu, ulama-ulama kita menulis kitab untuk berdakwah, begitu juga dengan
kita pada hari ini, menulis perkara yang baik maka itu juga cara kita berdakwah.
Dahulunya kita boleh lihat kebanjiran
novel-novel cinta di pasaran, namun sejak kebelakangan ini terdapat banyak
karya novel Islami yang mula muncul. Ini juga dorongan kuat saya untuk menulis.
Untuk memperbanyakkan karya berunsur Islami, baik dan positif inilah cara yang
betul untuk seseorang menulis.
Pada
pendapat Tuan Khairy, bagaimana untuk menjadi seorang penulis?
Pertama sekali ialah minat. Jika ada minat, insya-Allah ada
jalannya untuk menjadi penulis. Minat ini pula perlu dipupuk dengan kerap.
Saya selalu berpesan kepada diri saya,
apabila kita menulis, perlu betulkan niat. Menulis bukan sekadar untuk mencari
wang. Bukan untuk bermegah-megah apabila diri kita disebut sebagai ‘penulis’.
Niat amat penting. Perbaharui niat semasa memikirkan idea penulisan, menulis
dan konsisten dengannya.
Untuk persoalan perlukah ada mentor untuk
berjaya dalam penulisan? Ini jawapan saya, ada mentor untuk mendorong kejayaan
dalam penulisan adalah amat baik sekali. Tetapi perlu ingat, tidak guna jika
kita ada mentor tetapi kita hanya mengharap mentor itulah yang akan ‘ketuk’
kita untuk menulis, ‘pukul’ kita untuk menulis dan sebagainya.
Jadi, untuk menjadi penulis seseorang perlu
ada minat. Tanya diri kita buku apa yang kita minat baca, blog apa yang kita
suka selongkar dan apa bahan bacaan yang dekat dengan hati kita. Dari situ kita
fikir dan fikir idea bagaimana untuk menghasilkan buku.
Ceritakan
sedikit tentang karya terbaharu Tuan Khairy?
Sejak dua menjak ini, saya lebih cenderung untuk menulis
novel-novel sejarah iaitu Siri Himpunan Kisah. Terdapat dua buah novel dalam
siri ini yang telah diterbitkan iaitu Himpunan 20 Kisah Keajaiban Para Sahabat
(Pemanah Handalan Bersenjatakan Doa) dan Himpunan 20 Kisah Keunggulan Para
Sahabat (Menghunus Pedang Kerana Allah). Di dalam setiap buku ini, terdapat 20
kisah yang berbeza tetapi setiap kisahnya mempunyai plot dan teladan yang baik.
Para Sahabat RHUM adalah
manusia termulia di atas muka bumi ini setelah Para Nabi dan Rasul AS. Kekuatan
iman dan pegangan sunnah yang mereka miliki memang tidak ada tolok bandingnya.
Merekalah manusia yang awal-awal beriman, hidup bersama-sama Rasulullah SAW dan
berjuang menyebarkan kalimah Allah sehingga ke seluruh pelusuk alam dalam susah
atau pun senang. Jika diselak semula kitab sirah, kita akan mengetahui begitu
banyak kisah kehidupan mereka yang sepatutnya menjadi panduan kepada generasi
hari ini. Atas maksud itulah, buku '20 Kisah Keajaiban Sahabat' ini ditulis
bagi menceritakan mengenai kehebatan Para Sahabat yang telah mendapat
pengiktirafan daripada Allah SWT dengan gelaran radiallahu anhuma.
Himpunan
20 Kisah Keunggulan Para Sahabat pula menghimpunkan kisah-kisah yang
mencerminkan keutamaan para Sahabat dan bagaimana mereka berjuang serta
bersungguh-sungguh menegakkan agama. Biografi ringkas dan kisah hidup mereka
ini memang hebat dan tidak dapat ditandingi. Di dalam buku ini, pembaca akan
mengetahui jawapan bagi soalan-soalan seperti berikut, siapakah Sahabat paling
muda yang pernah dilantik menjadi ketua perang? Siapakah Sahabat yang pertama sekali
menghunuskan pedang di jalan Allah? Siapakah Sahabat yang pertama sekali lahir
selepas Hijrah? Siapakah Sahabat yang berperang bersama-sama Nabi SAW sebelum
memeluk Islam? Siapakah Sahabat yang membunuh nabi palsu? Siapakah Sahabat yang
menjadi duta pertama dalam Islam? Siapakah Sahabat yang rumahnya menjadi
pilihan Nabi SAW? Siapakah Sahabat yang mula-mula sekali menjadi muazin?
Siapakah Sahabat yang paling gagah perkasa? Siapakah Sahabat yang menjadi
ikutan golongan zuhud? Siapakah Sahabat yang paling kuat meniru sunah Nabi SAW?
Serta banyak lagi kisah-kisah menarik yang bakal menjadi pedoman untuk semua!
Melalui kedua-dua
buku ini, pembaca dapat menyelami kehebatan para Sahabat Nabi SAW sekaligus
meneladani sifat-sifat mereka. Ia sangat bagus bagi menggantikan buku-buku
orientalis atau kisah-kisah dongeng yang tidak membentuk keperibadian mulia
seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT
Selain dua buku
ini, saya juga menyambung sekuel bagi novel “Budak U” iaitu “Back to Campus”.
Novel ini ialah buku kedua daripada tiga siri novel Trilogi Budak U. Di
dalamnya, saya memaparkan dua pengalaman saya sendiri sewaktu di kampus iaitu
bekerja sambilan dan tragedi kehilangan motosikal. Bukan sekadar cerita
bersulam cinta muda-mudi, novel ini juga memaparkan ketabahan watak utamanya
dalam menghadapi segala mehnah dan tribulasi sepanjang berada di universiti.
Saya juga menyelitkan beberapa tips berharga untuk para pelajar sekolah
menengah bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan. Juga untuk pelajar
universiti bagi mengejar gred yang cemerlang. Selain itu, ada banyak lagi
tips-tips lain yang dikongsikan bersama.
Bagaimana
lazimnya En. Khairy mencari idea untuk menghasilkan sesebuah novel/ karya?
Saya banyak mengambil idea daripada pengalaman hidup
saya sendiri sejak di bangku sekolah hingga sekarang. Saya memerah sehabis
mungkin memori saya sejak zaman kanak-kanak. Di samping itu, saya selalu
berbual-bual dengan rakan-rakan yang pernah mengharungi hidup bersama-sama saya
untuk berkongsi kisah-kisah lama. Bagi memantapkan lagi karya, saya berbincang
dengan penulis-penulis lain dan juga editor. Setiap idea yang muncul, akan
dicatatkan dalam buku idea. Kemudian, ditumpahkan sedikit demi sedikit di atas
papan kekunci.
Contohnya, dalam novel Budak
Komik, saya menulis berdasarkan pengalaman saya ketika belajar di
sekolah menengah. Pada zaman itu, saya memang seorang kaki komik. Saya pernah
menghasilkan komik buatan tangan saya sendiri untuk bacaan rakan-rakan tetapi
saya tidak pernah menghantarnya ke mana-mana syarikat penerbitan kerana saya
merasakan bahawa lukisan saya tidak begitu cantik. Setelah saya dewasa, barulah
saya sedar bahawa sebenarnya saya telah mensia-siakan bakat saya. Jadi, saya
menulis Budak Komik untuk menggalakkan remaja memanfaatkan bakat yang
sedia ada ke jalan yang betul.
Selain
itu, novel Budak U juga dihasilkan berdasarkan pengalaman saya ketika
belajar di UiTM (kampus Arau dan Shah Alam). Novel ini dihasilkan dalam bentuk
trilogi (terdapat 3 siri). Saya mengajak rakan saya iaitu saudara Faris Mohd
Hazmin untuk bergandingan dengan saya bagi menghasilkan novel berilustrasi
kerana dia pandai
melukis. Dia merupakan rakan sekelas saya ketika di Sekolah
Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis. Setelah perbincangan kami
bersama-sama penerbit mencapai kata sepakat, maka kami bersama-sama
menghasilkannya. Setakat ini, dua siri Budak U iaitu Budak U: Langkah Pertama
dan sekuelnya, Back To Campus sudah berada di pasaran. Siri terakhirnya
mungkin akan terbit dalam tahun ini. Insya-Allah.
No comments:
Post a Comment