Pada kali ini kami membawakan seorang penulis yang sentiasa aktif menulis dan mempunyai cara tersendiri dalam berkarya. Tuan Web Sutera yang merupakan seorang pemilik bisnes katering menjawab soalan ekslusif tentang karya terbaharu beliau.
1. Assalamualaikum. Pada hari ini sesi Bicara Buku bersama dengan penulis buku Macedonia- Alexander Agung Hijab Raja Zulkarnain, Berfikir Gaya Champion dan terbaharu Konstantinopel Kibaran Panji-Panji Al-Fateh. Pada hari ini beliau akan berkongsi tip-tip penulisan dan pengalaman beliau sebagai penulis. Terima kasih kepada tuan/puan/cik kerana meluangkan masa pada hari ini. Kita mulakan dengan sesi perkenalan dahulu.(perkenalkan diri serba ringkas, nama , latarbelakang)
Saya menggunakan nama pena Web Sutera. Nama sebenar ialah Hizamnuddin bin Awang. Sebelum menceburi dalam bisnes katering sepenuh masa, saya pernah menjawat jawatan Editor bagi subjek matematik dan komputer di salah sebuah syarikat penerbitan. Selepas itu selama 11 tahun bekerja di MIMOS Berhad dan Jaring Communications Sdn. Bhd. sebagai Penyelidik dan Pegawai Pemasaran yang fokus tugasnya kepada penulisan bahan-bahan pemasaran, pendidikan ICT / Internet dan branding.
Semasa bekerja di Jaring Communications Sdn. Bhd., saya melaksanakan tugas-tugas sebagai penulis, editor bersekutu (associate editor) dan editor online bagi majalah Jaring Internet Magazine. Dalam waktu yang sama saya banyak menyumbangkan hasil penulisan kepada beberapa majalah berbahasa Melayu tempatan dan juga bagi tugas rasmi untuk sisipan Komputer, Berita Harian. Kesemua subjek penulisan saya ialah dalam bidang sains dan teknologi, ICT, internet dan peradaban manusia. Jawatan terakhir saya ialah Ketua Unit bagi salah satu unit dalam jabatan Komunikasi Korporat dan Branding syarikat Jaring Communications Sdn. Bhd.
Kini saya mengusahakan bisnes katering sepenuh masa bersama isteri. Dalam pada itu, saya meneruskan habit membaca dan menjadi pengulas dan pengkritik buku-buku fiksyen dan non-fiksyen.
2. Soalan pertama, apakah ciri-ciri yang perlu dipunyai sebagai seorang penulis? Adakah semata-mata konsisten menulis sahaja?
Jawapan: Untuk menjadi penulis yang baik, wajib rajin membaca, menelaah dan memerhati. Kemudian mentaakul setiap ilmu yang diperoleh itu. Taakul dengan semangat untuk mengambil pengajaran, untuk berkongsi. Konsep ini lebih kepada amalan belajar sepanjang hayat, selari dengan anjuran Nabi Muhammad (SAW).
Jangan sombong dengan ilmu, justeru itu milik Allah. Oleh kerana milik Allah, buat apa kita sombong, kelak Allah boleh sahaja menarik balik ilham dan pemahaman ilmu itu. Baca, taakul dan tulis. Buat adaptasi di mana perlu, kemudian persembahkan kepada khalayak. Ikhlaskan niat, insya-Allah, ilmu itu bakal beroleh manfaat untuk diri sendiri dan orang lain yang membacanya.
Penulis wajib ikhlas menulis.
3. Soalan kedua, apakah dorongan utama Tuan Web Sutera semasa menulis sehingga karya pertama berjaya diterbitkan sehinggalah karya yang ada sekarang?
Jawapan: Saya ulangi, penulis wajib ikhlas menulis. Jujurnya, siapa tidak mahu duit dengan menulis. Namun jangan pula niat menulis buku atau novel semata-mata demi duit. Apa yang sangat utama ialah mencari redha Allah, dan agar semua pihak mendapat manfaat daripada buku-buku yang diterbitkan.
4. Bercerita mengenai kejayaan, banyak pembaca mahu tahu apakah teknik dan strategi supaya menghasilkan karya mereka sendiri. Apakah caranya supaya seseorang penulis boleh terus menghasilkan karyanya?
Jawapan: Jangan tulis kerana duit semata-mata, betulkan niat. Tulis untuk dakwah dan saling mengingati. Itu hasrat saya, dan syukur Allah berikan kemudahan. Wang perlu, tapi redha Allah paling utama. Saya jahil, sahabat, saya pernah silap langkah. Saya sedar. Doa, taubat dan tawakal. Kasih dan cinta Allah untuk kita, insya-Allah. Niat bersih, duit ikut kita dari belakang, jadi hamba kita, bukan sebaliknya.
Mungkin, hikmah saya boleh istiqamah dan kuatkan semangat di sela-sela blok minda menulis dan kemalasan ialah justeru menulis dari hati. Menulis dari kesedaran yang saya perlu buat sesuatu.
Saya tidak mendalam ilmu agama. Cuma ingin belajar betulkan diri, mahu berubah, niat luruskan langkah sendiri yang terasa pincang. Mengaku di hadapan Allah. Mahu berubah dan berhijrah, menjadi lebih baik. Menjadi Champion dari sudut tersendiri.
Membaca buku-buku yang baik, kitab, al-Quran. Kemudian fahami, taakul dan serap. Amalkan, insya-Allah. Dirikan yang wajib, buatkan yang sunat. Usaha, doa dan tawakal.
5. Pada pandangan Tuan Web Sutera adakah bahan bacaan dan rujukan itu penting untuk menghasilkan buku. Bagaimana pula memanfaatkan bahan bacaan dan rujukan ini supaya dapat dibuat buku?
Jawapan: Sudah semestinya bahan dan rujukan penting dalam menulis perkara yang baik. Lagi banyak membaca, lagi baik. Ingin saya berikan satu tip penting dalam bidang menulis ini, iaitu berkaitan dengan kenyataan bahawa hanya al-Quran yang benar-benar original, itu jaminan dari Allah.
Bahan-bahan lain ialah berupa hikmah atau ilmu milik manusia atau lebih tepat milik Mukmin yang tercicir. Saya ulang kembali, asal ilmu itu milik mutlak Allah. Ambillah dari sumber manapun, namun pastikan ia selari dari sudut al-Quran dan ingatan Rasulullah (SAW).
Manfaatkan bahan bacaan dengan membuat proses adaptasi, sesuaikan dengan apa yang mahu disampaikan. Harus jangan dilupa, penulis juga wajib melihat elemen pahala dan dosa, halal dan haram. Ikhlaskan niat. Usaha dan doa.
6. Soalan terakhir, boleh kongsikan 4 prinsip Tuan Web Sutera semasa berkarya?
Jawapan:
(a) Ikhlaskan niat untuk menggapai redha Allah.
(b) Betulkan apa yang salah ambil / difahami oleh masyarakat atau khalayak pembaca. Kongsikan ilmu yang diilhamkan. Lestarikan menjadi buku atau novel yang bermanfaat.
(c) Buntu? Minta pandangan dari orang-orang atau sahabat yang boleh dipercayai. Kongsi, debat dan lestarikan. Saya ulang, ikhlaskan niat kerana Allah.
(d) Buntu lagi? Amalkan doa-doa mustajab, atau minta dengan Allah secara terus dalam bahasa dan gaya sendiri. Solat sunat agar Allah mudahkan segala usaha.
7. Ceritakan sedikit berkenaan buku Tuan Web Sutera untuk PBAKL 2013.
Untuk PBAKL 2013 ini, insya-Allah, boleh dapatkan tiga buah buku saya bersama Galeri Ilmu.
(a) Novel sejarah – Macedonia: Alexander Agung dengan tagline Hijab Raja Zulqarnain. Alhamdulillah, setakat ini penerimaan daripada pembaca sangat baik.
(b) Buku motivasi berjudul Berfikir Gaya Champion. Kita mungkin tidak boleh menulis buku motivasi yang baik jika kita sendiri tidak mengalaminya, yakni mungkin kegagalan atau kesukaran. Inilah yang ingin saya kongsikan dalam buku ini, insya-Allah. Moto utama ialah doa, usaha dan tawakal. Ia kisah saya dan tafsiran serta taakulan saya daripada peristiwa seharian. Cerita biasa-biasa yang saya harap menjadi luar biasa dengan penyampaian santai.
(c) Novel sejarah kedua berjudul Konstantinopel: Kibaran Panji-panji AL-FATEH.
Insya-Allah, kita boleh bersemuka, bertemu dan berbual. Datanglah juga untuk mendapat autograf bagi setiap buku saya.
No comments:
Post a Comment