Jumpa beliau di sini |
-
Saya Mohamad Zaki Bin Hj
Abdul Halim, sekarang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang
sebagai Pegawai Tadbir dan Imam Utama di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan.
Saya juga terlibat sebagai penceramah dan pembimbing Ibadah Haji dan Umrah
hampir 10 tahun.
-
Merupakan graduan lulusan
dari Universiti Al-Azhar Cairo, Egypt dalam bidang Usuluddin dan Dakwah
pengkhususan Tafsir. Saya juga sering mendampingi para ulama' di bumi anbia
untuk mendapatkan ilmu serta tarbiah, antara guru mursyid saya ialah al-habib
Sheikh Yusouf Mahyuddin al-Hasani. Saya berasal dari Pulau Pinang dan alhamdulillah,
setakat ini telah mempunyai 6 orang cahayamata.
2.
Soalan pertama, apakah ciri-ciri yang
perlu dipunyai sebagai seorang penulis? Adakah semata-mata konsisten menulis
sahaja?
-
Bagi seorang penulis,
perkara yang paling utama hendaklah dia memiliki ilmu dan peka dengan suasana.
Seorang penulis juga adalah seorang pendakwah. Sifat dan ciri-ciri terbaik yang
perlu ada dalam diri seorang penulis ialah dengan memiliki sifat dai'e,
mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan
kemungkaran. Namun janganlah pula dia melupakan dirinya untuk beramal dan
melakukan apa yang telah diperkatakannya. Disamping itu seorang penulis
hendaklah mempamerkan akhlak yang baik lagi terpuji serta ikhlas mencari
keredhaan Allah dalam usaha dakwahnya.
3.
Soalan kedua, apakah dorongan utama Ustaz Zaki semasa menulis sehingga karya pertama berjaya diterbitkan?
-
Bagi saya dorongan yang
paling utama sehingga terdorong untuk saya memulakan tulisan pertama ialah
konsep “amal jariah”. Dengan menulis kita boleh mewariskan ilmu dan pengalaman
sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk dijadikan pedoman dan pendorong bagi
melakukan kebaikan. Ilmu dan nasihat yang tertulis akan kekal dan dapat
diwariskan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, insya Allah hingga ke
hari akhirat. Moga dengan buku-buku yang terhasil dan dapat diamalkan pula oleh
para pembaca akan menjadi amal jariah yang berpanjangan hingga ke akhirat
nanti.
4.
Bercerita mengenai kejayaan, banyak
pembaca mahu tahu apakah teknik dan strategi supaya menghasilkan karya mereka
sendiri. Apakah caranya supaya seseorang penulis boleh terus menghasilkan
karyanya?
-
Saya juga banyak belajar
daripada para penulis yang lebih berpengalaman. Perkara utama ialah kemahuan
sendiri dan kesedaran yang perlu dipupuk selalu supaya semangat untuk terus
menulis tidak hilang. Kita perlu jadikan kerja menulis ini sebagai suatu
keperluan bagi mengasah ilmu dan kemahiran untuk memahami sesuatu perkara.
Sebelum menulis kita perlu terlebih dahulu mengkaji dan banyak membaca. Namun
tidak dinafikan teknik untuk menulis dan memulakan penulisan haruslah
dipelajari supaya ia tidak mematikan semangat untuk menulis di tengah jalan.
-
Trend pembaca hari ini
mereka lebih berminat kepada bahan bacaan yang tidak terlalu berat untuk
difahami. Bagi saya sendiri, saya lebih suka membaca bahan bacaan ilmiah yang
santai penghuraiannya. Serius tetapi mudah difahami melalui olahan secara
penceritaan yang dapat digambarkan dalam kehidupan seharian. Kaedah ini lebih
praktikal. Sebab itu dalam karya pertama dan kedua, saya memilih untuk menulis
apa yang lebih dapat saya kuasai mengenai ilmunya iaitu persoalan ibadah haji
dan umrah yang diterapkan melalui pengalaman dan pemerhatian serta penghayatan.
Dengan itu gaya penulisan saya akan lebih dekat dengan hati pembaca. Melalui
pengalaman penulisan yang kita telah mahir dari segi perbahasannya, kita akan
lebih bersemangat untuk meneroka dan menulis dalam bidang lain pula.
5.
Pada pandangan Ustaz Zaki adakah bahan
bacaan dan rujukan itu penting untuk menghasilkan buku. Bagaimana pula
memanfaatkan bahan bacaan dan rujukan ini supaya dapat dibuat buku?
- Ya! Bahan bacaan dan
rujukan sememangnya amat penting untuk menghasilkan sesebuah buku. Malah kalau
sesuatu isu itu besar, dengan bahan-bahan rujukan tadi kita boleh melebarkan
lagi huraian dan menghasilkan beberapa buah buku dengan skop perbincangan yang
berbeza. Keduanya, bahan bacaan dan rujukan sebenarnya banyak membantu untuk
kita menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu apabila kita berjaya mengarap
bahan-bahan tadi mengikut kesesuaian dan kehendak semasa.
6.
Soalan terakhir, boleh kongsikan 4
prinsip Ustaz Zaki semasa berkarya?
a. Menulis adalah ibadah
dan amal jariah untuk kita di akhirat.
b. Sebaik-baik manusia
adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Dengan menulis kita
mampu memanfaatkan ilmu untuk dikongsi dan diamalkan bersama.
c. Ilmu adalah hak Allah,
untuk menulis kita perlu banyak memohon petunjuk daripada Allah agar apa yang
ditulis menepati kehendak Allah dan keredhaanNya.
d. Jujur dengan apa yang
kita tulis dan perkatakan.
7. Ceritakan sedikit tentang karya Ustaz Zaki ini di PBAKL 2013.
- Buku
Dhuyufurrahman adalah karya saya yang kedua dengan Galeri Ilmu. Ilham untuk
menulis buku ini tercetus dan terhasil daripada
semangat haji yang saya miliki dan terus dibajai. Disamping berkongsi rasa dan
idea bersama para sahabat yang lain, yang sama-sama diberi peluang untuk
menyantuni para dhuyufurrahman dan menjadi tetamuNya. Nikmat berbakti
dan menyantuni dhuyufurrahman amat berharga dan sukur untuk
diterjemahkan dengan kata-kata. Namun sebagai menghargai dan mensyukurinya, apa
yang mampu kami berikan hanyalah dalam bentuk perkongsian pengalaman, pandangan
dan catatan serta ilmu berkaitan ibadat haji dan umrah sebagai pedoman yang
berguna untuk dimanfaatkan bersama. Matlamat utama daripada usaha ini adalah
diharapkan para dhuyufurrahman ataupun tetamu Allah beroleh faedah yang
maksima dari sudut ilmu, kefahaman dan tarbiah serta mampu mencapai kedudukan
yang terbaik di sisi Allah SWT iaitu haji Mabrur. Haji Mabrur tiada ganjaran
yang lebih istimewa melainkan syurga!
Buku ini akan cuba mengupas dan
memperjelaskan keadaan serta usaha yang sepatutnya dilaksanakan oleh seseorang
yang berhasrat untuk melayakkan dirinya dijemput sebagai tetamu Allah yang
istimewa. Ia juga sebagai menu muhasabah untuk mereka yang pernah bergelar
tetamu Allah.
Fahamilah, ‘rasa istimewa’ pada
ibadah haji dan umrah bukanlah pada fasiliti dan layanan yang diterima, tetapi
istimewa itu lahir dari ‘perasaan’ menghargai dan dihargai, mencintai dan
dicintai, mengharap dan diambil peduli, sesuatu yang hanya akan dapat dihayati
dan dirasai oleh mereka yang telah melayakkan dirinya sebagai tetamu yang
istimewa lagi terpilih. Siapa mereka? Adakah kita? Tetapi layakkah kita?
Bagaimanakah untuk kita mendapatkannya? Semuanya akan terjawab dalam buku kecil
ini, insya-Allah.
No comments:
Post a Comment