.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Nov 6, 2017

Kapsul Iman: Satu Umat 1000 Rawat

JUDUL: KAPSUL IMAN Satu Umat 1000 Rawat
PENULIS: Ustaz Mohd Fadli Yusof
ISBN: 978-983-097-676-1
TEBAL: 208 ms
HARGA: RM25.00






SINOPSIS

Pernah suatu ketika, seorang pesakit datang kepada seorang arif, Sufyan r.m. Pesakit itu bertanya kepadanya, “Ya Sufyan, aku ini menderita penyakit jauh daripada Allah Taala. Tolong beri aku ubat penyembuhnya, ya Sofyan.”

Sofyan r.m, ulama yang arif itu lalu berkata kepadanya, “Ya saudaraku, hendaklah kau mengambil beberapa buah akar KEIKHLASAN, daun-daunan KESABARAN, dan perahan KERENDAHAN HATI. Letakkan semua dalam wadah KETAKWAAN, lalu tuangkan ke dalam cairan RASA TAKUT, kemudian adun dengan api KESEDIHAN.

Saringlah dengan saringan KEWASPADAAN dan kemudian ambil ramuan itu dengan tangan KEJUJURAN, lalu minumlah dari gelas ISTIGHFAR yang telah dicampurkan dengan air KESOLEHAN.

Sesudah itu jauhkanlah dirimu daripada RAKUS dan SERAKAH, insya-Allah, dengan izin Allah Taala, engkau akan SEMBUH daripada penyakitmu itu.”


MUQADIMAH

Berpegang kepada ajaran al-Quran bererti seolah-olah berpegang kepada satu tali yang sama-sama mengikat diri dengan tali tersebut. Itulah tali Allah SWT yang menjamin keutuhan kesatuan ummah.

Masing-masing akan terikat hatinya kepada iman dan syariat yang satu. Kuat dan mendalam kasih sayang serta perpaduan. Perselisihan yang kecil tidak diperbesarkan. Perbezaan pendapat dalam hal yang dibolehkan sangat dihormati. Pengkritik tidak dianggap penentang. Penyokong tidak semuanya atau tidak selalunya betul.

Prinsip-prinsip ini boleh menghindari perpecahan ummah, jauh sekali daripada pertumpahan darah dan peperangan.

Tidak salah kita berusaha untuk bebas daripada bala sama ada penyakit berjangkit, kemarau, kesempitan rezeki, penguasaan musuh dan perang saudara. Malah syariat memang menyuruh kita berbuat demikian. Ertinya tidak berpeluk tubuh tanpa berbuat apa-apa.

Namun, adalah lebih berkesan sekiranya usaha kita itu benar-benar tepat kepada sasarannya,  iaitu kembali kepada Allah SWT. Yakni usaha lahiriah itu hendaklah disertakan dengan sandaran kepada Allah SWT. Kerana hadis Rasulullah SAW itu menyebut dengan jelas punca segala angkara yang berlaku.
Ambil sebagai contoh iaitu Aids. Secara lahiriahnya ia berpunca daripada virus HIV. Andainya kita lihat selapis lagi, mari kita bertanya dari mana datangnya HIV itu? Dan mengapa HIV itu hanya ditemui akhir-akhir ini apabila seks rambang berlaku di mana-mana? Di situ baru kita dapat lihat betapa di atas kesalahan manusia itu maka Allah SWT datangkan bala tersebut.
Usaha penyelesaian mestilah berlaku serentak iaitu melalui kaedah lahiriah yang saintifik serta kembali kepada mentaati Allah SWT dan menjauhi larangan-Nya. Di sinilah pentingnya para pemikir dan pencinta masyarakat bertindak menjurus ke arah tersebut.

Persoalan IMAN yang sering kita terlepas pandang, sedang ia adalah pil mujarab bagi merawat segala masalah umat, dari peringkat pembinaan diri, keluarga, masyarakat, pemimpin, negara hingga ke alam sejagat.

Supaya seribu penyakit boleh disembuhkan oleh satu ubat dan bukan sebaliknya, satu penyakit dirawat dengan seribu ubat yang belum tentu kesembuhannya.

TENTANG PENULIS

Lahir pada 4 April 1967 di Lumut, Perak. Mendapat pendidikan di Qismu Dakwah Wal Qiadah Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman berdakwah di Asia Tenggara dan Jepun. Beliau juga menyumbang kepakaran sebagai konsultan untuk program di beberapa agensi kerajaan dan swasta serta menjadi pembimbing umrah bersama Nexus Holidays Sdn. Bhd.

Aktiviti dakwah beliau berpusat di Pensiangan mulai 2011. Sejak itu, beliau telah mengislamkan hampir 700 orang di Sabah, Sarawak, Semenanjung Malaysia dan lain-lain negara. Telah mendirikan enam buah masjid bagi meneruskan aktiviti pendidikan untuk pembangunan Islam dalam diri setiap saudara baru.


Ustaz Mohd Fadli pernah muncul dalam rancangan TV Salam Muslim di Astro Oasis, Fikrah (TV Jakim/TV1), Syahadah Ramadhan 1436H (TV1/TV2),  dokumentari “Dua Marhalah - Rice & Roses” sempena Maal Hijrah 1437H (TV1), Dikir Zikir (TV Al-Hijrah) dan Selamat Pagi Malaysia - Setulus Hidayah  (TV1). Juga ke udara di Radio IKIMfm dalam rancangan Islam Agamaku dan rancangan Inspirasiku, Radio Jakim Salam FM dalam rancangan Misi Syahadah  dan Radio Terengganu FM. Beliau juga menjadi kolumnis Majalah  Q&A dan Usrati.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...