.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Oct 16, 2008

5 Ciri Penulisan Berkesan

Apabila penulis mahu menggunakan penulisan untuk berdakwah dan mendidik, dia mestilah mampu menulis dengan berkesan. 

Ada sekurang-kurangnya lima ciri pada penulisan yang berkesan iaitu:

1) Mesejnya jelas
Sesuatu tulisan yang mesejnya kabur dianggap gagal sebagai saluran untuk berdakwah dan mendidik masyarakat walaupun susunan bahasanya indah, olahan isinya baik dan penuh pengalaman menarik. Ia tidak boleh menjadi hujah, sandaran dan pandangan untuk mula mengamalkan kebaikan yang terkandung dalam ajaran Islam.


2) Bahasanya mudah
Tidak mempunyai istilah dan konsep yang sukar difahami atau perkataan-perkataan yang tinggi-tinggi (bombastik). Biarlah bahasanya mudah difahami dan sudah sebati dengan semua peringkat masyarakat. Jangan biarkan penyampaian mesej di dalam tulisan tersekat oleh bahasa yang hanya difahami oleh segelintir masyarakat. Walaupun begitu, keindahan dan kejituannya tetap dipertahankan.

3) Rentak dan gayanya menarik
Tulisan yang baik seolah-olah bercakap kepada pembacanya. Ayat, susunan bahasa dan tanda bacaannya dijaga supaya nada rentaknya dapat ‘didengar’ oleh pembaca. Gunakan ayat yang pendek-pendek. Ayat yang panjang-panjang (melebihi 16 perkataan) akan memperlahankan tempo membaca kerana kadar keterbacaannya (readability) rendah. Liuk-lentuk tulisan mesti dapat dirasai. Penggunaan gaya bahasa bergantung kepada corak tulisan. Gaya bahasa pojok tentu tidak sama dengan gaya bahasa rencana atau puisi. Yang penting jangan sekali-kali lari dari bahasa mudah.

4) Mengusik fitrah
Hakikat manusia (insan) itu adalah fitrahnya (roh atau jiwanya). Nafsu yang ada dalam diri manusia hanya menjadi pendorong, penggerak untuk ia bertindak. Oleh itu mesej atau isi tulisan yang hendak disampaikan walau di bidang mana sekalipun mesti ‘mengusik’ hati atau fitrah manusia. Maka barulah dengan itu ia dikira berjaya.

5)Menepati sasaran
Setiap tulisan mempunyai pembaca sasaran (target audience) – boleh jadi umum ataupun khusus. Namun ada kalanya pengkhususan itu penting. Sasaran dikira tepat jika sesuatu tulisan menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Sasaran dianggap melencong jika pembaca marah, melenting dan sakit hati. Bagaimanapun pembaca yang mempunyai sifat ego dan hasad dengki yang keterlaluan, tetap menolak walau bagaimana baik sekalipun sesuatu tulisan.

2 comments:

Unknown said...

thanks... info yang bermanfaat

Naurah Musyahidah said...

Alhamdulillah...ilmu yang bermanfaat. Dulu ketika saya baru hendak terjun dlm bidang penulisan sahabat2 saya yg telah berada di dalam bidang itu berpesan tip utk jadi penulis yang terbaik.
Pertama, ikhlas
Kedua, ikhlas
Ketiga, ikhlas
Keempat, membaca dan menimba ilmu.
Dan sungguh ikhlas itu mudah disebut, tapi sukar dibentuk dan perlu diminta daripada- Nya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...