.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 011.6747 4635 / 011.1032 2406

Apr 8, 2011

Hello Anak-anak Ayah! 2

Hello, Anak-anak Ayah! 2
ISBN: 978-983-097-290-9
Kategori: Novel Awal remaja
Zulina Hassan
120ms/RM10/GB122

Masa terus berlalu. Keadaan terus berubah.
Firas kini berada di tingkatan tiga. Tubuhnya semakin tegap, kulit semakin gelap dan suaranya semakin parau.

Alia yang mendapat lima A dalam peperiksaan UPSR
mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh. Tetapi dia memilih bersekolah di sekolah harian kerana enggan berpisah dengan ibu dan adik-beradiknya.

Syamil berusia 11 tahun dan semakin matang. Dia tidak lagi membaca buku cerita kisah cinta dan komik, sebaliknya membaca buku yang sarat dengan ilmu dan pengetahuan. Husna yang berada di tahun satu semakin bijak, manakala Is semakin petah bercakap dan tidak lagi memakai lampin.

Ayah masih belum pulang, dan kerenah mereka tetap memeningkan kepala ibu.


Andai Bavaria Takdirku

Andai Bavaria Takdirku
ISBN: 978-983-097-275-6
Kategori: Novel Dewasa
Nurulsham Saidin & Nieda Lienke
304ms/RM18/GB0114

Aisya, seorang wanita Melayu yang berpendidikan tinggi dan menyandang jawatan yang baik telah bertemu dengan seorang lelaki Jerman, Olaf yang ditugaskan ke Malaysia untuk jangka masa dua tahun.




Pertemuan yang pada mulanya sebagai sahabat itu kemudiannya membuahkan rasa cinta dan berakhir ke gerbang perkahwinan dua tahun kemudian.

Kisah bermula apabila Aisya perlu mengikut suami pulang ke negara asalnya, dan tinggal di sebuah kampung pedalaman di Obermichelbach, Bavaria, Jerman. Di sinilah Aisya mula merasai cabaran sebagai seorang Muslim yang hidup di kalangan penduduk beragama Kristian yang sangat tradisional.

Namun, dia mendapat kekuatan untuk menyesuaikan diri kerana suaminya yang penyayang dan sangat memberati agama Islam. Kala itu, Aisya berpendapat bahawa dia harus berada di sisi suami kerana satu lagi tanggungjawabnya adalah untuk membantu suaminya mempelajari syariat seperti solat dan membaca Al Quran.

Dari segi ketauhidan, suaminya tiada keraguan lagi.
Kekuatan Aisya adalah abangnya, Ustaz Ashrof yang telah mengingatkannya untuk bersabar, menjadi cerdik dan mengambil keputusan yang betul apabila telah berkeputusan untuk berkahwin dengan seorang yang situasi hidupnya seperti Olaf itu.

Novel ini juga menceritakan tentang perspektif popular masyarakat Eropah mengenai Islam dan kaitannya dengan perang salib. Ia juga memaparkan keadaan cuaca dan musim di Jerman serta masyarakat Islam di sana. Juga diselitkan cara penyediaan makanan orang-orang di sana.


Lentera Cinta Albaicin

Lentera Cinta Albaicin
ISBN: 978-983-097-266- 4
Kategori: Novel Dewasa
Mazny MR
512ms/RM21/GB0111

Muhammad Salehuddin menjejaki bumi Granada kerana dua tujuan. Pertama, untuk mengotai janji kepada sahabat baiknya Abdul Hakeem; seandainya peluang pekerjaan yang sengit di Malaysia tidak menjanjikan apa-apa, dia akan mencuba nasib di sana. Keduanya, dia harus melunasi ikrar jihad yang sudah terpateri bersama beberapa orang rafik.




Sallehuddin akan membantu mereka untuk memastikan cahaya dari obor Islam terus menerangi lorong-lorong suram di tanah al-Andalus itu.

Adat orang berdagang, pelbagai pengalaman pahit manis yang terpaksa ditempuhinya. Pandangan sinis masyarakat barat yang menganggap agama Islam sebagai agama yang mengekang hak-hak asasi individu dan keghairahan mereka melabelkan Islam sebagai agama teroris dan agama orthodoks yang memundurkan peradaban, membuatkan semangat Salehuddin berkobar-kobar untuk memerdekakan pemikiran orang-orang yang skeptikal terhadap Islam, baik dari pihak luar mahu pun dari kalangan orang-orang Islam Granada sendiri.

Salehuddin sedar, dia bukan seorang graduan dari Timur Tengah. Juga bukan seorang ustaz yang layak bersyarah. Namun nur hidayah yang diperoleh hasil acuan keluarga membuatkan dirinya menjadi seorang yang berani dan istiqamah dalam bermujahadah.

Dia ingin berkongsi cahaya itu dengan orang-orang di sekelilingnya. Itulah antara sebab mengapa Abdul Hakeem memilih Salehuddin. Akhlak dan budinya menambat hati. Islam itu bukan sekadar menghiasi sepotong nama atau terukir di dada segulung ijazah tetapi dijiwai dan menjadi amalan yang membenteng diri!

Namun tidaklah ada seorang pun di dunia ini yang beriman tanpa diuji. Janji-janji Allah kadang kala penuh teka-teki. Kemunculan watak-watak insani seperti Siham yang pendiam, Majeed yang kacak, Mourad yang agresif dan Imam Habib Kassem yang penuh wawasan memeriahkan hari-hari Salehuddin di Lembah Albaicin.

Anehnya, kehadiran Leyla Zulaikha yang pantas menjadi pesona Albaicin hampir-hampir mengundang satu tragedi!

Berjayakah Salehuddin menggaul semua rempah ratus permasalahan Albaicin untuk memasakkan sebuah ukhwah Islami?
Dan siapa pula Raden Nur Karmila yang namanya kian terukir indah di persada hati?


Kasih Terpilih


Kasih Terpilih
ISBN: 978-983-097-263-3
Kategori: Novel Dewasa
Ummu Itqan
248ms /RM17/GB0095

Ketika Misali menyertai sebuah pasukan penyelidik untuk menyiapkan tesis sarjananya, dia tidak terfikir bahawa dia akan menghadapi konflik komunikasi dengan seorang rakan penyelidik yang ego.

Dia juga tidak terfikir bahawa misi penyelidikan madu di belantara Tasik Pedu akan menjadi titik penentu kepada perubahan status gadisnya. Malah dia tidak terfikir, misi penyelidikan itu akan bertukar menjadi misi penemuan jodoh buatnya.

Lebih Misali tidak terfikir, di satu tahap dia harus membawa watak kaum Ansar yang membela kaum Muhajirin.

Dia tidak terfikir ada ‘Muhajirin’ yang akan melintasi hidupnya dan mendamba kasih daripadanya ketika dia sudah di ambang jalinan ikatan suci dengan jejaka pilihan. Apakah Misali cukup kuat untuk menjadi ‘Ansar’? Apakah si dia juga bersedia untuk berkorban demi seorang ‘Muhajirin’?

Dua jejaka mengharap pada kasih yang satu. Dua ‘Ansar’ berdepan dengan seorang ‘Muhajirin’. Kasih siapakah yang ‘terpilih’?


Di Sini Kami Berteduh

Di Sini Kami Berteduh
ISBN: 978-983-097-261-9
Kategori: Novel Dewasa
Nurulsham Saidin
361 ms /RM18/GB0094

Tasnim Jawahir, seorang guru tuisyen, berhajatkan pendidikan agama yang mantap untuk anaknya. Namun suaminya Azam menentang hasratnya menyekolahkan anak mereka di sekolah agama yang mundur.




Azam juga memandang sinis usaha isterinya membantu anak-anak sekolah itu dalam akademik. Kehidupan keluarga yang mewah, diduga Allah dengan masalah kewangan yang teruk apabila Azam tersalah langkah. Berdepan dengan tarbiah daripada Allah, mahukah Azam membuang ego dan menerima bantuan isterinya untuk membetulkan kesilapan?

Cikgu Shamsiah, graduan universiti yang melupakan kepentingan diri demi memajukan akademik sekolah, berdepan dengan cabaran besar ekoran keadaan pelajar-pelajar yang amat ketinggalan dan masalah peribadinya sendiri. Dia begitu sabar dan tenang, hinggalah kemarahannya meledak pada suatu hari.

Ustaz Daud, mudir sekolah, tampil dengan sikapnya yang berhemah. Tetapi sekolah yang semakin maju itu tergugat juga apabila ada individu yang suka popular dan mencari pengaruh.


Aku Terima Nikahnya - Edisi Istimewa


Edisi Istimewa ATN
ISBN: 978-983-097-272-5 (Kulit keras)
Hasrizal Jamil
568 ms /RM55/GB00103

Aku Terima Nikahnya merupakan sebuah trilogi iaitu kompilasi tiga buah buku: Aku Terima Nikahnya, Bercinta Sampai ke Syurga dan Murabbi Cinta.



Diberi wajah baru dengan penampilan yang lebih kemas dan menarik. Edisi istimewa berkulit keras. Direka khas dan sesuai dijadikan hantaran perkahwinan. Pun begitu boleh juga dibaca oleh sesiapa jua.

Aku Terima Nikahnya merupakan terjemahan jalur pengalaman penulis dari sebelum berkahwin, kemudian mendirikan rumah tangga, seterusnya mempunyai anak.

Amat sesuai dijadikan rujukan bagi pasangan yang belum, sedang dan telah berumah tangga.


Batu-bata Kehidupan


Batu Bata Kehidupan
ISBN: 978-983-097-291-6
Hilal Asyraf
352ms/RM25/GB0117

BATU-BATA KEHIDUPAN terdiri daripada tiga mauduk utama iaitu Allah, Cinta dan Kehidupan Mukmin yang merupakan bahan bina penting dalam struktur ‘bangunan kehidupan’ setiap insan.
BATU-BATA KEHIDUPAN mengajak pembaca membina ‘bangunan kehidupan’ dengan bahan bina yang berkualiti dan utuh agar ia dapat bertahan hingga ke akhirat.

Bukan semua orang faham berkenaan ukhuwah. Ya, kita sayang sahabat kita. Tetapi, apakah sahabat kita itu faham makna ukhuwah seperti yang kita faham?

Kalau kita faham bahawa ukhuwah tertinggi adalah itsar, (melebihkan sahabat daripada diri sendiri) dan ukhuwah terendah adalah berlapang dada, apakah sahabat kita faham perkara yang sama?

Kalau sahabat kita faham, apakah dia kuat untuk menggerakkan kefahamannya dalam amalan?
... . Ya, jangan harapkan daripada sahabat kita apa-apa.
... . Ya, kita perlu korbankan masa kita untuk sahabat kita.

Kita korbankan ruang jiwa kita untuk sahabat kita. Kita korbankan harta kita untuk sahabat kita. Kita korban apa sahaja. Semuanya untuk ukhuwah kita.


Bukan Susah Nak Faham


Bukan Susah Nak Faham
ISBN: 978-983-097-294-7
Zahirudin Zabid
208ms/RM19/GB0118

BUKAN SUSAH NAK FAHAM merupakan bacaan ringan yang ditulis dalam bahasa yang mudah namun sarat dengan pengajaran. Terdiri daripada himpunan ceritera yang sangat menarik.



Diperkemaskan dengan tamsilan-tamsilan logik bagi memudahkan pembaca memahami persoalan-persoalan agama yang kadangkala mengguggat keimanan kita. Sekali gus memotivasikan pembaca untuk lebih menghayati ajaran Islam. Juga terdapat empat buah cerpen sebagai bacaan bonus.

... seorang murid, yang dikenali sebagai murid yang pendiam, bangun dan memberi isyarat mahu bertanyakan soalan.
Tanya dia kepada ustazah, “Ustazah, kalau Allah menyuruh kita solat, macam mana pula Allah solat?”
Seluruh kelas terpana dengan soalan pelajar itu.
Ustazah mereka juga terkedu sekejap sebelum dapat mencari jawapan yang sesuai bagi menjawab persoalan anak muridnya itu.
Seketika kemudian baharulah ustazah menjawab dengan bertanya kembali kepada pelajarnya itu, “Kenapa awak datang ke sekolah?”
“Kerana mahu belajar,” jawabnya ringkas.
“Selain daripada itu?”
“Kerana mak dan ayah saya suruh.”
“Tapi mereka tidak datang sekolah bukan?”
“Ya.”
“Begitulah juga Allah. Dia yang menyuruh kita bersolat untuk menyembah diri-Nya. Maka Dia tidak perlulah bersolat. Sebagaimana mak dan ayah kita suruh kita datang ke sekolah, sedangkan mereka tidak datang ke sekolah.”
Murid tersebut mengangguk, berpuas hati dengan jawapan daripada ustazah mereka itu.


Apr 7, 2011

Rumah di kaki Bukit... sebuah novel remaja yang misteri!

Judul novel: RUMAH DI KAKI BUKIT
Episod 1 (siri Pengembaraan Sains Tiga Beradik)
Kategori: NOVEL remaja
Penulis : NURULSHAM SADIN & MOHAMAD SAMSURI
KOD: GB0100
ISBN: 978-983-097-270-1
HARGA: RM 14.00
M/S: 178

SINOPSIS :
Cerita bermula di kaki bukit. Di situlah sebuah keluarga yang dahulunya pernah tinggal di tengah rimba konkrit bertukar 180 darjah, tinggal di tengah rimba yang sebenar.

Tinggal di dalam rumah yang tidak mempunyai kemudahan asas seperti sumber tenaga elektrik seakan cabaran baru untuk Zuraidah dan ahli keluarganya yang lain. Encik Yusof yang diisytihar muflis tidak punya banyak pilihan selain mengajar anak-anaknya untuk terus bertahan dengan kemahiran-kemahiran asas hidup di dalam hutan.

Cabaran sebenar bermula apabila rumah mereka didatangi oleh beberapa orang lelaki yang tidak dikenali sepeninggalan Encik Yusof ke Kuala Lumpur. Misteri rumah di kaki bukit yang mereka diam itu terbongkar jua di hujung cerita ini, dibantu oleh watak Profesor Kamal Ehsan. Sememangnya novel ini tidak harus dilepaskan oleh semua remaja yang gemarkan cabaran!

Setelah berjaya menghasilkan dua buah novel dewasa, Dingin Salju Indiana dan Di Sini Kami Berteduh, Nurulsham Saidin tampil dengan buah tangan terbaru, Rumah Di Kaki Bukit dengan genre novel remaja. Kali ini, beliau tidak keseorangan kerana dibantu oleh penulis yang juga merupakan suami beliau, Samsuri Hussain.

Berpendidikan di dalam telekomunikasi Elektrical & Elektronik, beliau pernah bekerja sebagai pengendali satelit di MEASAT Satellite and Systems Sdn Bhd selama 13 tahun. Samsuri Hussain menggemari alam sekitar, suka mempelajari teknik pertanian, meminati herba-herba dan tumbuhan serta batu batan mineral dan ubat-ubatan tradisional. Ini merupakan kali pertama beliau berkongsi idea bersama isteri di dalam novel fiksyen sains.


Apr 6, 2011

Remaja Harapan


Remaja Harapan
ISBN: 978-983-097-280-0/
Hilal Ayraf/
184ms/RM12/GB0105

Mengisahkan watak utama, Megat Iskandar Asyraf, berumur 11 tahun berusaha untuk cemerlang di dalam USPR. Kisahnya tiada banyak konflik. Sekadar beberapa cerita yang memberikan inspirasi kepada anak-anak kecil untuk belajar bersungguh-sungguh dan tidak cepat kecewa.

Terdapat banyak sirah-sirah nabawi dan para sahabat diselitkan dalam cerita ini untuk mengiringi langkah-langkah kejayaan si kecil. Lebih ‘ringan’ daripada Remaja Mulia yang kelihatan ‘berat’.

Kelebihan Novel Remaja Harapan ialah berisu ringan, ringkas, tetapi padat. Tidak sepanjang Remaja Mulia. Sesuai dibaca oleh pelajar tahun 5 hingga tingkatan 3.
Ibarat cerita dalam cerita, apabila kisah nabawi mengiringi perjalanan si kecil. Dia akan sentiasa teraspirasi dengan kisah-kisah para sahabat dan Rasulullah yang gigih. Ini juga ibarat buku motivasi ringkas kepada anak-anak.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...