.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 011.6747 4635 / 011.1032 2406

Dec 20, 2010

Single Unavailable: Antara Amanah dan Larangan


Cover penuh Single Unavailable

:: Temubual bersama Nurina Izzati Mohmad Soib, penulis novel Tarbiah Remaja: Single Unavailable (S.U)

1. Apa yang mendorong saudari untuk menulis?

Pada awalnya saya memang minat menulis dari kecil, dan menulis hanya untuk suka-suka. Kemudian, saya mula cenderung ke arah penulisan dan giat menulis cerpen dan membukukannya lalu menyimpannya di rumah sahaja. Lama-kelamaan, ibu bapa dan para guru di sekolah menyuruh saya mencuba dalam penulisan novel. Ibu bapa, keluarga, guru-gura dan rakan-rakan memang banyak memberi galakan pada saya dalam bidang penulisan. Rakan-rakan pula memang suka membaca cerpen-cerpen saya dan kerap kali menyuruh saya sentiasa menghasilkan cerpen-cerpen terbaru. Setelah saya mula mengenali dunia blogging saya tergerak untuk berkongsi beberapa cerpen-cerpen saya dalam dunia maya, dan alhamdulillah rakan-rakan yang membaca akan memberi pandangan berkenaan cerpen saya. Setelah itu, saya menghantar proposal kepada beberapa syarikat penulisan termasuk GISB dan alhamdulillah GISB terima. Saya memilih GISB kerana cara layanan mereka yang mesra dan editor perolehannya, Encik Zakaria pula memberikan tips penulisan yang bagus. Dari situ saya mulai serius dalam bidang penulisan dan bertekad untuk mendedikasikan diri dalam bidang ini. Insya-Allah.

2. Mengapa menulis S.U.?
Single Unavailable tercetus daripada pergerakan kehidupan di sekitar saya sendiri. Mesej utama yang cuba saya bawa dalam novel ini berkenaan hukum berpasangan, khususnya di kalangan remaja zaman sekarang. Saya cuba menyampaikan bahawa pelajaran itu lebih penting daripada bercinta, kerana menurut saya remaja sekarang lebih mengejar cinta lelaki dan perempuan dibandingkan dengan cinta kepada Allah SWT, pemilik cinta yang sejati. Penulisan S.U. lebih kepada mengajak saudara-saudara saya di luar sana agar menyahut seruan cinta Ilahi dan meninggalkan kemungkaran yang sedang berleluasa kini. Jika bukan para remaja yang mengubah cara hidup mereka di dunia ini, siapa lagi?

3. S.U berkenaan?
Single Unavailable mengisarkan Taqiah, sebagai watak utama yang taat pada ajaran Islam dan tidak lalai dalam mengerjakan ibadah. Taqiah merupakan ketua pelajar di sekolahnya, yang berusaha untuk menjalankan amanah para guru dengan sebaik mungkin. Namun kehidupan Taqiah tidak lengkap dengan ujian dan musibah daripada Allah SWT, terutamanya apabila dia mengenali Latif Marwan, seorang pelajar yang agak nakal. Taqiah juga dibelenggu konflik apabila dipaksa memilih antara Marwan dan abangnya, sedangkan Taqiah sendiri nekad untuk tidak berpasangan. Perasaan cemburu dan iri hati akan keakraban Taqiah dan Marwan, sering membuatkan mereka dilanda konflik. Marwan pula cuba memenangi hati Taqiah, yang akhirnya sedar bahawa hati Taqiah tidak mungkin terbuka untuk berpasangan.

4. Kelebihan S.U.
S.U. menceritakan tentang kehidupan beberapa remaja di sebuah sekolah menengah, yang berlatarkan suasana yang sering juga melanda para remaja yang lain di luar sana. S.U juga sesuai dibaca oleh golongan yang lebih berusia supaya mereka juga memahami perjalanan kehidupan anak-anak muda kini, terutamanya di sekolah. Golongan remaja sendiri insya-Allah akan dapat menghayati jalan ceritanya. Selain itu, topik utama perbualan para remaja di sekolah, iaitu berpasangan (couple) juga dirungkai dalam novel ini sedikit sebanyak dan bagaimana sebenarnya erti suka dan bercinta yang sebenar. Para pembaca harapnya terkesan dengan watak Taqiah yang berpegang pada pendiriannya, iaitu mengutamakan pelajaran dan amanah dibandingkan dengan nafsu dan larangan.

Dapatkan buku ini di pasaran atau layari www.galeriilmu.com.my!

Nov 15, 2010

Tuhan Itu sangat dekat dengan kita.

Tuhan Itu Dekat
Kategori : Tarbiah Rohani
Penulis: Ustaz Amaluddin Mohd Napiah

Tebal: 272 MS
Harga: RM22
Kod: GB0101


Sama seperti dua buku sebelumnya Bawa Hatimu Kepada Tuhan dan Lembutkanlah Hatimu, Tuhan Itu Dekat masih mengekalkan konsep dan tema yang sama iaitu mengajak pembaca mentauhidkan Allah Yang Esa.

Mengandungi 60 tazkirah pendek mengajak kita muhasabah diri dan taqarrub kepada Allah.

Bahasa dan gaya penyampaian yang mudah, tetapi padat dengan isi -- secara halus menyentuh naluri dan kalbu kita untuk merenung kelemahan diri, sekali gus mendorong kita untuk mendekat diri kepada-Nya!



PETIKAN BEBERAPA BAB:

Bab - Tundukkan Hatimu

Berdirinya Nabi SAW di dalam solat adalah sebuah manifestasi agung betapa dalamnya kesyukuran dan betapa tingginya pengabdian baginda kepada Allah SAW.

Bagaimana pula agaknya ruh qiyam kita di dalam solat kita?

Setelah bertahun-tahun kita berdiri mengadap Allah di dalam solat kita, sejauh manakah kualitinya? Sejauh manakah penghayatan dan tahap kesedaran kita saat berdiri mengadap Allah?

Saat BERDIRI hendak solat, ingatlah bahwa suatu hari kita juga akan 'berdiri' seperti ini di Padang Mahsyar. Bezanya di akhirat nanti semua manusia akan berdiri mengadap Allah tanpa pakaian, tanpa alas kaki, dan tiada berkhitan (Hadits diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Aisyah, dll).

Perbandingan berdiri di dalam solat dengan berdiri di padang Mahsyar ialah kalau berdiri dalam solat cuma lima minit sahaja, sedangkan berdiri di Padang Mahsyar sana memerlukan waktu 50,000 tahun! Nisbah satu hari di akhirat adalah 1000 tahun di atas dunia.


Bab – Siapa Yang Kena?

Kita lihat siapa yang kena? Ramai yang sudah terkena sebenarnya. Susah betul nak elak. Kalau tak kuat iman, memang terkena punya. Saya sendiri pun antara orang yang dah terkena. Anda mungkin tidak kena.

Persoalannya, terkena apa?
Apa lagi, terkena panahan Iblislah. Beracun pula tu.

Aduhh...,Sekalipun anak panah yang menusuk tubuh telah pun dicabut dan dibuang jauh-jauh, namun kesan racun yang berbisa terus tersebar ke seluruh tubuh dan ke segala urat sendi.
Itulah matlamat sebenar syaitan. Pandangan mata (anak panah) itu hanyalah utusannya, namun racun berbisa yang ada pada anak panah (kesan pandangan mata) itulah tujuan terbesarnya.

Akibat pandangan (panahan berbisa) itu, fikiran mulalah bercelaru, tidak keruan, jiwa mula menggelisah, menyemai benih berahi dan mengaktifkan nafsu serakahnya.
Kesan racun panahan Iblis ini akan lebih cepat berkesan bilamana luntur rasa takut kepada Allah dan bilamana titik-titik hitam semakin menebal di dalam hati.

Bab – Tanda Kebahagiaan

Perhatikan! Andai ibadah tidak membuahkan adab dan akhlak, maka ada ‘masalah’ yang berlaku di dalam persembahan ibadat kita itu. Makin beribadat makin sombong, makin kuat berdengki, makin suka berbohong dan menipu, makin suka menyakitkan hati orang, makin suka bermusuh dan bersengketa.

Ingat, andai ibadat kita tidak menghasilkan adab dan mencetuskan akhlak mulia, maka kuantiti ibadat yang nampak menggunung itu tak lebih umpama buih di lautan sahaja. Memadai disentuh dengan lidi, lenyap dan hilanglah ia.

Justeru, andai semakin kita beribadat, namun semakin liar dan biadab pula adab, akhlak dan peribadi kita, maka satu Muhasabah kadar segera perlu dilakukan agar kita tidak terus-menerus menjadi ahli ibadah yang tertipu dengan kuantiti besar ibadah kita.

Bahagia atau tidaknya kehidupan seorang itu ada kaitan dengan ada atau tidaknya adab seseorang. Kebahagiaan hidup seseorang akan hilang dan lenyap bersama hilang adabnya bahkan orang-orang sekelilingnya pun akan turut hilang bahagia.


Oct 13, 2010

"Terima kasih adik-adikku!"


Judul novel: TERIMA KASIH ADIK-ADIKKU!
Kategori: NOVEL REMAJA
Penulis: DISSA AZMIN
Kod: GB0099
ISBN: 978-983-097-273-2
HARGA: RM 14.00
M/S: 216

SINOPSIS:
Sebagai anak sulung yang diletakkan harapan oleh mak dan ayahnya, Nubhan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Dalam masa yang sama, isu surat cinta Siti Kelly mengganggu hubungannya dengan rakan-rakan sekolah.

Pencapaian yang merudum dalam akademik menyekat peluangnya untuk bertarung di gelanggang go-kart. Sehinggalah satu ketika, keadaan memaksa Nubhan untuk mengambil alih teraju di rumah. Kerenah adik-adiknya pula cukup memeningkan kepala Nubhan.

Mampukah Nubhan berhadapan dengan situasi ini? Adakah dia dapat bertahan dengan ujian yang seakan mustahil untuk diatasi ini? Segalanya terjawab di dalam novel tarbiah remaja Terima Kasih Adik-adikku! karya sulung Dissa Azmin ini.

Terima Kasih Adik-adikku! ini merupakan karya sulung Dissa Azmin setelah sekian lama berkecimpung di dalam dunia penulisan. Beliau yang berasal dari negeri Kelantan ini bukanlah nama baru di arena penulisan tanah air.

Di awal pembabitan, beliau tidak menoleh ke belakang lagi di dalam hobi dan bakatnya ini. Beliau berjaya menyelami dunia remaja untuk menghasilkan novel tarbiah yang menghiburkan dan sarat dengan mesej kasih sayang dan nilai-nilai kekeluargaan yang perlu dijadikan iktibar oleh para pembaca semua.

Oct 12, 2010

Wahai Wanita, Bimbinglah Dirimu...


Judul: WAHAI WANITA BIMBINGLAH DIRIMU
Penulis: Ustaz Pauzi Hj. Awang
Kategori: Tarbiah Rohani
Tebal: 115 hal.
ISBN: 978-983-097-256-5
Harga: RM15/RM17 (S/S)

Wahai Wanita Bimbinglah Dirimu ialah sebuah buku fardu ain. Mengandungi perkara-perkara asas fikah yang wajib diketahui dan dipelajari oleh setiap kaum wanita. Malah wajib dipelajari juga oleh kaum lelaki agar mudah mengajarkannya kepada kaum wanita di bawah jagaannya seperti isteri dan anak-anak perempuan.


Penulis asal ialah Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Aidrus bin al-Husain, Ibn al-Syaikh Abu Bakar bin Salim al-Alawiyy al-Husainiyy al-Hadramiyy al-Syafi’i.

Buku ini diterjemah oleh Ustaz Pauzi Awang, bekas pensyarah Universiti Malaya. Beliau giat menterjemah buku-buku berbahasa Arab ke Bahasa Melayu. Kini beliau adalah pensyarah sambilan di UM.

SINOPSIS

Buku ini mengandungi perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh kaum wanita. Ia meliputi hukum taharah, haid, nifas, solat, aurat, mengumpat, akhlak terhadap suami serta ibu bapa.

Ia dapat memberi kesedaran kepada wanita-wanita Islam dalam perkara-perkara yang diwajibkan Allah Taala ke atas mereka. Ini merangkumi:
• Bidang ibadah.
• Pergaulan suami isteri.
• Pendidikan anak-anak.
• Pergaulan sesama wanita.
• Pengurusan rumah tangga.
• Perkara-perkara yang diperlukan dalam hal-hal tersebut.

WWBD terbahagi kepada enam bahagian:

1. Muqaddimah – Membicarakan rukun-rukun agama dan makna dua kalimah syahadah.
2. Bab 1 – Hukum bersuci dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
3. Bab 2 – Haid dan nifas serta perkara-perkara berkaitan dengannya.
4. Bab 3 – Solat: Rukun-rukun, syarat-syarat dan perkara-perkara yang berhubung dengannya.
5. Bab 4 – Hak ibu bapa, hak suami, kecaman pendedahan aurat.
6. Penutup – Gesaan bersikap zuhud terhadap dunia, galakan terhadap akhirat, amaran tentang mengumpat, mengacum dan sebagainya.

Buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh kaum wanita, bahkan juga lelaki. Seorang bapa atau suami wajib mengajarkan perkara-perkara yang tersebut di atas dengan sempurna kepada anak perempuan dan isteri masing-masing andainya mereka tidak dapat mempelajarinya sendiri dengan sewajarnya.

Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para suami atau bapa dalam bimbing ahli keluarganya.

Fanzuru: Maka Lihatlah....


Judul: FANZURU
Kategori: Tarbiah Rohani
Terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-097-265-7
Tebal: 314
Harga: RM24.00

Penulis muda, Hilal Asyraf kembali dengan buku motivasinya yang ketiga Fanzuru dalam siri Langit Ilahi.

Fanzuru yang membawa erti ‘maka lihatlah’ menghimpunkan sebanyak 60 tazkirah yang mendidik jiwa. Tazkirah-tazkirah yang termuat di dalam buku ini mengajak pembaca untuk melihat dan memerhati dengan teliti dengan mata hati akan pengajaran yang ada di sekeliling kehidupan kita.

Banyak teladan dapat dikutip daripada manusia-manusia yang kita temui dan bergaul dengannya. Inilah pengajaran dan pengalaman yang dikongsikan penulis hasil daripada pemerhatian dan pergaulannya.

Dengan gaya bahasa yang santai, Fanzuru dapat memberi inspirasi kepada pembaca yang mahu dan sedang berusaha memperbaiki diri untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.


Sedikit sedutan daripada Fanzuru

Sedutan 1

Saya berhajat hendak meletakkan jawatan saya sebagai pengawas sekolah ketika itu. Akhirnya, saya bertemu dengan guru kaunseling MATRI bernama Ustaz Syahid.
“Ente hendak berhenti? Ente tahu tak, manusia yang sering berenang melawan ombak, otot tangannya semakin lama semakin kuat?”
Ketika itu, saya bagai nampak celahan sinar yang menyenangkan.
Solusi yang sebenarnya bukanlah dengan kita melarikan diri daripada masalah, sebaliknya kita berusaha menyelesaikannya.


Sedutan 2
Suatu hari, Dr ‘Ala Hilat ada bercerita berkenaan Kibutsats. Pertama kali mendengarnya, membuatkan saya tertarik untuk mendengar apa yang hendak beliau ceritakan.
Beliau berkata: “Kibutsats adalah salah satu sistem tarbiyah Israel, yang hakikatnya perlu kita perhatikan.”
Kibutsats adalah bandar-bandar yang dibangunkan di sekitar sempadan Israel. Terdapat banyak kibutsats. Kibutsats akan dibangunkan apabila cukup 100 orang lelaki, yang semuanya adalah tentera, bersama keluarga mereka. Mereka akan membina perkampungan di sempadan Israel.
Di sini saya kongsikan apa yang saya dengar berkenaan kibutsats.
Kibutsats hakikatnya adalah satu sistem pembinaan masyarakat yang sangat sistematik. Semua orang di dalam kibutsats terikat dengan peraturan yang agak ketat. Tetapi semuanya hidup mentaati peraturan itu.
Mereka mempunyai jadual harian. Di dalam kibutsats, terdapat dewan makan yang sangat besar. Semua keluarga di dalam kibutsats tidak akan makan di rumah mereka, tetapi makan bersama di dalam dewan besar itu. Perempuan-perempuan akan memasak bersama dan semua lelaki akan makan bersama.
Ada waktu untuk makan, ada waktu pula untuk bekerja. Semua orang akan keluar bekerja yang mana, tempat-tempat bekerja mereka juga adalah milik mereka. Contohnya ladang, itu hakikatnya adalah ladang mereka. Kilang yang ada, mereka juga yang bina. Mereka bekerja menjalankan apa yang ada dan sedikit demi sedikit meningkatkan semuanya.
Kibutsats tidak terhenti dengan kehidupan makan dan bekerja sahaja. Terdapat juga jadual riadhah dan latihan ketenteraan bagi semua. Sebaik sahaja kerja tamat, mereka akan bersama menjalani latihan ketenteraan. Semua turut terlibat. Baik anak kecil mahupun yang tua. Terbahagi kepada peringkat masing-masing.
Di dalam kibutsats ada nurseri dan sekolah. Semua anak-anak kibutsats akan dihantar ke nurseri dan sekolah di dalam kibutsats itu juga. Mereka tidak akan dihantar keluar. Guru-guru di dalam nurseri dan sekolah itu juga adalah dari komuniti kibutsats.
Sistem pendidikan kibutsats amat unik. Mereka mempunyai silibus tersendiri, disusun dan direka untuk memenuhi hajat mereka yang ingin menawan dunia. Mereka tidak memandang pelajaran mereka sebagai wadah untuk anak-anak mendapat sijil, atau untuk kerajaan mendapat untung, atau untuk pejabat-pejabat mendapat pekerja.
Mereka menggunakan sistem pendidikan mereka untuk membina ideologi dan membentuk pemikiran anak-anak mereka.
Saya berikan satu contoh mudah. Mata pelajaran Matematik.
Di Malaysia, silibus kita biasanya hanya melibatkan kenderaan, buah-buahan dan makanan. Contohnya:
Ahmad ada 10 biji epal. Ahmad ada empat orang kawan. Semuanya mahu makan epal. Maka Ahmad membahagikan 10 biji epal tadi kepada dirinya dan empat orang kawan secara sama rata. Maka berapa biji epalkah yang akan dapat dimakan oleh setiap seorang termasuk Ahmad?
Itu contoh soalan matematik di Malaysia.
Di Kibutsats Israel, mereka belajar matematik juga. Tetapi isi matematik mereka membawa kepada apa yang mereka mahu. Contohnya:
Yyvon mengetuai satu peperangan terhadap 10 daerah orang arab. Yyvon mengetuai lima platun tentera termasuk platunnya sendiri. Maka, Yyvon membahagikan serangannya terhadap 10 daerah orang arab tadi kepada semua platunnya secara sama rata. Maka, berapa daerah orang arabkah yang perlu dimusnahkan oleh semua platun termasuk platun Yyvon?
Itu contoh pengajian di kibutsats. Lihatlah bagaimana mereka membangunkan pemikiran pemuda-pemuda mereka. Dan silibus sebegini, digunakan sedari nurseri lagi. Ini dikuatkan lagi dengan latihan ketenteraan yang wujud di dalam kibutsats sehari-hari.

Novel awal remaja: Ops Menjejak Pencuri


Judul novel : ADIB & ADIBAH PENYIASAT CILIK DALAM EPISOD OPS MENJEJAK PENCURI
Penulis : WAN ZAYUHISYAM WAN YUSOFF (ZAYU HISHAM)
KOD: GB0098
ISBN: 978-983-097-271-8
HARGA: RM 12.00
M/S: 141



SINOPSIS :
Kes kehilangan binatang ternakan di Kampung Buloh semakin menjadi-jadi. Terbaru, kehilangan kambing Nenek Zaharah menggemparkan penduduk kampung. Di saat itu muncul Adib dan Adibah, dua penyiasat cilik yang kebetulan bercuti di rumah nenek mereka.

Bantuan sepupu-sepupu kesayangan mereka, Zali dan Ikram amat dihargai untuk membantu penyiasatan. Jetli pula hadir sebagai pelengkap geng penyiasat cilik yang bermentorkan Tuan Daniel ini.

Sementara itu, Rafiq dan rakan-rakannya bersetuju dengan cabaran Adib untuk berlawan sepak takraw lantaran Zali yang menolak ajakan Rafiq untuk menyertai pasukannya. Misi menyiasat belum selesai, datang pula misi baru untuk diuruskan. Dapatkah Adib, Adibah dan rakan-rakannya menyelesaikan misteri kehilangan binatang ternakan di Kampung Buloh? Bagaimana pula dengan perlawanan takraw dengan pasukan Rafiq yang merupakan pemain wakil daerah itu? Segalanya terjawab di episod kali ini, OPS MENJEJAK PENCURI!

Biodata Zayu Hisham: Zayu Hisham atau nama sebenarnya Wan Zayuhisham Wan Yusoff ialah guru di Sek. Keb. Taman Medan, Petaling Jaya. Beliau mula meneroka dunia kanak-kanak melalui kisah mencuit hati dalam novel sulungnya, Impian Juara. Ops Menjejak Pencuri ialah buah tangan beliau untuk peminat-peminat siri penyiasatan kanak-kanak.

Indahnya Hidup Tanpa Derita


JUDUL: INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA
PENULIS: NOOR LAILA ANIZA ZAKARIA
TEBAL: 244 M/S
HARGA: RM21/RM23 (S/S)
ISBN: 978-983-097-262-6
KATEGORI: TARBIAH ROHANI (MOTIVASI)


Buku yang wajib baca!


Jika anda menyangka masalah yang anda hadapi sangat berat, maka bacalah buku ini. Anda akan dapati, masalah anda tidaklah sebesar mana berbanding kisah-kisah benar yang dimuatkan di dalam buku ini.

Buku ini menghimpunkan 40 kisah masalah rumah tangga. Sebahagiannya adalah kisah ekstrem yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Namun itulah hakikatnya, ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Kisah-kisah rumah tangga yang meruntun hati ini turut disertakan dengan tip-tip berguna daripada penulis sebagai jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Sesungguhnya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan di dunia ini. Pokok pangkalnya ialah pada diri sendiri. Selagi ada iman, selagi itu ada penyelesaiannya.

Barangkali ada kisah yang mirip atau menyerupai masalah anda, maka bacalah ia dan dapatkan tip-tip yang diutarakan. Hidup pasti indah apabila derita berjaya diatasi!


Petikan 1
Baru sahaja habis memberi ceramah di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya, seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an menanti saya di muka pintu.
“Ada apa-apa yang puan hendak bertanya?” Saya memulakan bicara.
“Tidak apalah. Biar yang lain bertanya dulu, saya tunggu. Di sini keadaannya tertutup sedikit,” perlahan wanita itu menjawab.
... Di wajahnya ada gari-garis halus sesuai dengan usianya. ...
“Saya tidak tahu hendak mulakan di mana. Tapi, semua orang tidak percaya pada apa yang saya ceritakan.”
Saya angguk.
“Suami saya berzina dengan isteri orang! Perempuan itu sedang mengandung sekarang ini. Tidak tahulah sama ada kandungannya itu anak suami saya atau anak suaminya sendiri. Baju mengandung perempuan itu pun suami saya yang belikan. Guna duit saya! Saya jumpa resit di dalam kereta. Apabila saya tanyakan hal itu padanya, terus saya kena tampar. Semua orang kata saya berbohong. Ahli keluarga sebelah saya dan sebelah suami pun tidak mempercayai cerita saya ini.”

Petikan 2

Wanita itu menelefon saya ketika saya sedang menikmati minum petang ... .
“Puan, bolehkah jika saya berdoa untuk suami saya?” wanita itu bertanya.
“Eh, mengapa pula tidak? Apatah lagi jika seorang isteri mahu mendoakan di suami yang tercinta.” Soalan wanita ini mengundang hairan ke dalam benak saya.
“Bukan itu maksud saya puan. Saya hendak doakan supaya Allah ambil nyawa suami saya. Saya sudah tidak tahan hendak membela dia,” saya terdiam di hujung talian mendengar keluhannya.

Jun 21, 2010

Majlis Perjumpaan Grup Penulis GISB 2010




Majlis Perjumpaan Grup Penulis GISB kali yang pertama telah berlangsung dengan jayanya pada hari sabtu, 19 Jun yang lalu bertempat di Akademik Huffaz, Kota Damansara.

Majlis telah diisi dengan pelbagai perkongsian ilmu dan pengalaman daripada para penulis.

Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, penulis buku Bawalah Hatimu Kepada Tuhan dan Lembutkanlah Hatimu menukilkan majlis tersebutn sebagai "sebuah majlis yang indah, majlis yang memberi nilai tambah pada iman dan ilmu."



Berita lanjut akan menyusul.


Tuan Haji Abu Hassan Morad, Pengarah Urusan GISB turut berkongsi pengalamannya yang sangat mahal kepada Grup Penulis yang hadir.


Ustaz Amaluddin berkongsi pengalaman awal menjadi seorang penulis.

En Hassan Suyut penulis buku Kembara Atiq Wazir turut hadir berkongsi pengalaman walaupun beliau kesuntukan masa kerana perlu hadir temujanji lain pada sebelah tengahari

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil turut meluangkan masa dan berkongsi rasa dengan grup penulis

Puan Noreha, penulis novel remaja popular, Diari Aneesa. Ramai anak-anak bertanya bila sambungan kedua Diari Aneesa?

Puan Hajah Rohani Dato' Mohd Shahir, pakar kewangan berkongsi pengalaman menulis buku Ke Mana Wang Anda?

Agak-agaknya apa yang sedang diperkatakan oleh Sdr Hilal Asyraf ini? Jiwa muda yang bakal mencorak generasi remaja dengan warna-warni Islam!

Sdr Nasri Nasir, (Editor Motivasi) yang berjaya menceriakan suasana majlis

En Zakaria Sungib, editor kanan di Jabatan Buku. Rata-rata penulis GI termasuk Ustaz Hasrizal, Ustaz Amal menggelar beliau sebagai "sifu".

Nurull Halawati (kiri) dan Ummu Hani Abu Hassan, dua novelis muda GI yang sedang mencipta nama

Majlis menandatangani mural Grup Penulis GISB 2010


May 6, 2010

Sepetang Bersama Pahrol Mohd Juoi


Saudara Pahrol Mohd Juoi (foto) akan ke udara di Radio IKIM hari ini (Khamis) menerusi slot Mesra Bersama Anis.

Dalam rakaman kira-kira setengah jam yang dibuat petang semalam bersama penerbit dan DJ Ustaz Zamri Zainal Abidin serta wakil Jabatan Buku GISB Saudara Nasri Nasir, Saudara Pahrol bercerita tentang sejarah penglibatan beliau dalam penulisan serta prinsip-prinsip yang beliau jadikan pegangan dalam menulis.

Beliau juga berkongsi isi kandungan buku terbarunya bersama Galeri Ilmu, Nota Fikir Untuk Zikir serta perancangannya untuk menghasilkan kumpulan cerpen dan novel Islami.

Tulisan pertama beliau yang tersiar dalam majalah lebih 20 tahun lalu adalah cerpen Revolusi Beruk. Sejak itu beliau telah menghasilkan sejumlah cerpen Islami dan masih terus menulis cerpen hingga ke hari ini. "Untuk menulis novel, saya sedang belajar kerana saya belum arif. Tetapi saya sukakan cabaran ini," katanya.

Untuk mengetahui dengan terperinci apa yang dikongsi oleh Saudara Pahrol dalam slot Mesra Bersama Anis, ikuti saluran Radio IKIM pada pukul 6.15 petang hari ini.

Apr 27, 2010

Elemen Triler Dalam Perindu Pelangi

Jalan cerita yang sukar dijangka (unpredictable) adalah antara unsur yang menjadikan sesebuah novel itu sedap dibaca. Pembaca sentiasa tertanya-tanya: apa yang akan berlaku seterusnya?


Kesan ini akan dirasai oleh mereka yang membaca novel Perindu Pelangi.
Seawal bab pertama lagi, penulisnya Siti Munirah A. Rashid sudah merangsang rasa ingin tahu pembaca. Pembaca tertanya-tanya, siapa Isador, watak misteri yang muncul di sebuah daerah yang sangat asing baginya? Siapa pula Akil, nama Melayu yang disebut-sebut di tengah-tengah keluarga Cina? Wujudnya bayangan konflik melibatkan dua watak ini dan pengenalan beberapa watak lain – Pak Cik Ming, Mak Cik Fan dan Xiao Er serta episod imbas kembali sewaktu zaman kanak-kanak Akil – merupakan pakej yang baik dalam memancing minat dan menimbulkan rasa ingin tahu pembaca pada bab pertama itu.
Dan ternyata, apabila menyelak halaman-halaman seterusnya, pembaca tidak merasai momentum yang ditimbulkan oleh bab pertama itu mengendur. Momentum itu bersambung dari bab ke bab. Ibarat bola yang melantun tanpa henti, ia mencipta rasa ingin tahu yang berterusan, hinggalah ke noktah akhir apabila ia disudahi dengan penutup yang indah.
Rakan editor Puan Suraiya Pauzi, penggemar novel-novel John Grisham, meletakkan novel ini di kedudukan nombor satu di hatinya dalam senarai novel-novel Islami Galeri Ilmu setakat ini. Beliau melihat sebahagian kekuatan novel-novel John Grisham ada pada Perindu Pelangi. Saya mengenali Puan Suraiya sebagai seorang pembaca novel yang sangat kritis. Bukan mudah untuk mendengar beliau memuji novel Melayu.
Melalui Perindu Pelangi, Siti Munirah berjaya menyuntik sedikit elemen triler dengan begitu baik. Beliau juga begitu kenal kepada watak-watak ciptaannya. Watak-watak itu hidup dan mempunyai akhiran cerita masing-masing. Setiap watak itu juga membantu menggerakkan cerita.
Watak seorang angkasawan yang mencari kebenaran dinukilkan dengan begitu mengesankan dan disokong oleh penyelidikan. Watak pemuda Melayu yang hidup di tengah-tengah masyarakat Cina di Guangzhou, memberi impak yang kuat kepada struktur cerita. Watak gadis bernama Xiao Wei yang agak serius tetapi menyimpan perasaan kepada Akil, menimbulkan kesan tersendiri di hati pembaca, begitu juga dengan watak Xiao Er, gadis yang keanak-anakan dan manja.
Sebagai sebuah novel Islami, Perindu Pelangi sarat dengan nilai didikan yang dijalin secara bersahaja. Nilai tauhid, nilai akhlak dan nilai adab disulam melalui perkembangan watak dan pergerakan cerita yang lancar serta dialog-dialog yang segar. Demikian juga nilai syariat yang digambarkan melalui aspek pergaulan dan cara berpakaian watak-watak yang tidak terasa terlalu mengajar. Kisah dan konflik cinta dipaparkan dalam ‘dos’ yang sederhana, namun diselitkan nilai Islam yang indah.
Baru-baru ini seorang kenalan, Puan Siti Malini binti Mat, yang juga seorang penggemar novel, meminta saya mencadangkan sebuah novel Islami yang baik untuk dibaca, lalu saya menyuakan novel Perindu Pelangi kepadanya. Setelah membacanya, beliau menghantar e-mel ini kepada saya:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana mencadangkan supaya saya membeli novel Perindu Pelangi. Buku itu memang sangat baik! Ceritanya sangat menarik, bahasanya indah, dan Siti Munirah bijak menggunakan latar (China) dan ilmu tambah (masakan, astronomi) untuk menjadikan karyanya lebih menarik. Pada pendapat saya, Siti Munirah berpotensi besar. Jikalau saya dapat menulis sebaik dia, saya akan berasa sangat gembira.”
Zakaria Sungib


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...