.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 011.6747 4635 / 011.1032 2406

May 6, 2010

Sepetang Bersama Pahrol Mohd Juoi


Saudara Pahrol Mohd Juoi (foto) akan ke udara di Radio IKIM hari ini (Khamis) menerusi slot Mesra Bersama Anis.

Dalam rakaman kira-kira setengah jam yang dibuat petang semalam bersama penerbit dan DJ Ustaz Zamri Zainal Abidin serta wakil Jabatan Buku GISB Saudara Nasri Nasir, Saudara Pahrol bercerita tentang sejarah penglibatan beliau dalam penulisan serta prinsip-prinsip yang beliau jadikan pegangan dalam menulis.

Beliau juga berkongsi isi kandungan buku terbarunya bersama Galeri Ilmu, Nota Fikir Untuk Zikir serta perancangannya untuk menghasilkan kumpulan cerpen dan novel Islami.

Tulisan pertama beliau yang tersiar dalam majalah lebih 20 tahun lalu adalah cerpen Revolusi Beruk. Sejak itu beliau telah menghasilkan sejumlah cerpen Islami dan masih terus menulis cerpen hingga ke hari ini. "Untuk menulis novel, saya sedang belajar kerana saya belum arif. Tetapi saya sukakan cabaran ini," katanya.

Untuk mengetahui dengan terperinci apa yang dikongsi oleh Saudara Pahrol dalam slot Mesra Bersama Anis, ikuti saluran Radio IKIM pada pukul 6.15 petang hari ini.

Apr 27, 2010

Elemen Triler Dalam Perindu Pelangi

Jalan cerita yang sukar dijangka (unpredictable) adalah antara unsur yang menjadikan sesebuah novel itu sedap dibaca. Pembaca sentiasa tertanya-tanya: apa yang akan berlaku seterusnya?


Kesan ini akan dirasai oleh mereka yang membaca novel Perindu Pelangi.
Seawal bab pertama lagi, penulisnya Siti Munirah A. Rashid sudah merangsang rasa ingin tahu pembaca. Pembaca tertanya-tanya, siapa Isador, watak misteri yang muncul di sebuah daerah yang sangat asing baginya? Siapa pula Akil, nama Melayu yang disebut-sebut di tengah-tengah keluarga Cina? Wujudnya bayangan konflik melibatkan dua watak ini dan pengenalan beberapa watak lain – Pak Cik Ming, Mak Cik Fan dan Xiao Er serta episod imbas kembali sewaktu zaman kanak-kanak Akil – merupakan pakej yang baik dalam memancing minat dan menimbulkan rasa ingin tahu pembaca pada bab pertama itu.
Dan ternyata, apabila menyelak halaman-halaman seterusnya, pembaca tidak merasai momentum yang ditimbulkan oleh bab pertama itu mengendur. Momentum itu bersambung dari bab ke bab. Ibarat bola yang melantun tanpa henti, ia mencipta rasa ingin tahu yang berterusan, hinggalah ke noktah akhir apabila ia disudahi dengan penutup yang indah.
Rakan editor Puan Suraiya Pauzi, penggemar novel-novel John Grisham, meletakkan novel ini di kedudukan nombor satu di hatinya dalam senarai novel-novel Islami Galeri Ilmu setakat ini. Beliau melihat sebahagian kekuatan novel-novel John Grisham ada pada Perindu Pelangi. Saya mengenali Puan Suraiya sebagai seorang pembaca novel yang sangat kritis. Bukan mudah untuk mendengar beliau memuji novel Melayu.
Melalui Perindu Pelangi, Siti Munirah berjaya menyuntik sedikit elemen triler dengan begitu baik. Beliau juga begitu kenal kepada watak-watak ciptaannya. Watak-watak itu hidup dan mempunyai akhiran cerita masing-masing. Setiap watak itu juga membantu menggerakkan cerita.
Watak seorang angkasawan yang mencari kebenaran dinukilkan dengan begitu mengesankan dan disokong oleh penyelidikan. Watak pemuda Melayu yang hidup di tengah-tengah masyarakat Cina di Guangzhou, memberi impak yang kuat kepada struktur cerita. Watak gadis bernama Xiao Wei yang agak serius tetapi menyimpan perasaan kepada Akil, menimbulkan kesan tersendiri di hati pembaca, begitu juga dengan watak Xiao Er, gadis yang keanak-anakan dan manja.
Sebagai sebuah novel Islami, Perindu Pelangi sarat dengan nilai didikan yang dijalin secara bersahaja. Nilai tauhid, nilai akhlak dan nilai adab disulam melalui perkembangan watak dan pergerakan cerita yang lancar serta dialog-dialog yang segar. Demikian juga nilai syariat yang digambarkan melalui aspek pergaulan dan cara berpakaian watak-watak yang tidak terasa terlalu mengajar. Kisah dan konflik cinta dipaparkan dalam ‘dos’ yang sederhana, namun diselitkan nilai Islam yang indah.
Baru-baru ini seorang kenalan, Puan Siti Malini binti Mat, yang juga seorang penggemar novel, meminta saya mencadangkan sebuah novel Islami yang baik untuk dibaca, lalu saya menyuakan novel Perindu Pelangi kepadanya. Setelah membacanya, beliau menghantar e-mel ini kepada saya:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana mencadangkan supaya saya membeli novel Perindu Pelangi. Buku itu memang sangat baik! Ceritanya sangat menarik, bahasanya indah, dan Siti Munirah bijak menggunakan latar (China) dan ilmu tambah (masakan, astronomi) untuk menjadikan karyanya lebih menarik. Pada pendapat saya, Siti Munirah berpotensi besar. Jikalau saya dapat menulis sebaik dia, saya akan berasa sangat gembira.”
Zakaria Sungib


Mar 17, 2010

Bukan Sekadar Kawan

BUKAN SEKADAR KAWAN
Rohaida Abd Rahim /
ISBN: 978-983-097-248-0
Tebal 160 ms
Harga RM14
KOD: GB0073

Mai benci – amat benci – pada Hafiz ekoran satu insiden memalukan di dalam bas RapidKL. Sungguh tidak diduga, ‘Lebai’ itu akan duduk sekelas dengannya. Dan lebih tidak diduga, perasaannya pada Hafiz bertukar 360 darjah.





Hadirnya Hafiz berjaya merubah suasana sekolah. Mai turut berubah. Tetapi Allah datangkan badai yang menguji. Ia memaksa Hafiz berhijrah sekolah.

Tamat SPM, Hafiz meneruskan pengajian perubatan di Mesir. Dalam diam, Hafiz mahu hubungannya dengan Mai bukan sekadar kawan.

Namun, pendedahan kisah silam yang melibatkan hubungannya dengan Mai, membuat Hafiz menyalahkan diri sendiri. Dia tidak pulang-pulang lagi.

Surat Ibu Dari Penjara

SURAT IBU DARI PENJARA
Ummu Hani Abu Hassan ISBN: 978-983-097-252-7
Tebal: 168 ms

Harga: RM14

KOD: GB0077


Zaitun dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan sedang menanti pengampunan atas kesalahan mengedar dadah.




Sewaktu di dalam penjara, ibunya meninggal dunia, membuatkan hidupnya kosong. Hatinya terdorong untuk menulis kisah hidupnya untuk iktibar kepada orang lain.

Bukunya Surat Ibu Dari Penjara itu mendapat perhatian pengarah penjara, Tuan Ahmad Dhiak. Anak Tuan Ahmad Dhiak, Akbar, seorang remaja yang nakal. Dia sering menghabiskan masa bersama rakan-rakan mat rempit dan melanggar disiplin sekolah. Akbar tertekan kerana bapanya seorang yang tegas dan mementingkan disiplin.

Kelembutan ibunya pula dijadikan tempat melepaskan amarahnya kepada si ayah. Dia menjadi anak yang takut dengan si ayah dan kurang ajar dengan ibu.

Oleh kerana pendekatan secara tegas tidak berkesan, Tuan Ahmad Dhiak cuba melembutkan jiwa anaknya dengan kaedah yang lebih berhikmah. Dia meletakkan buku Surat Ibu Dari Penjara dalam bilik anaknya agar jiwa anaknya itu tersentuh dengan pengalaman seorang banduan akhir.

Teman baik Akbar iaitu Zaidan, juara rempit dan dikenali sebagai remaja ternakal. Apakah Akbar akan terikut rentak Zaidan?

Apakah perlumbaan terakhir Zaidan mampu menginsafkan Akbar? Dan berjayakah Tuan Ahmad Dhiak untuk menyedarkan anaknya melalui manuskrip buku Surat Ibu Dari Penjara?




Sinergi

SINERGI Hilal Asyraf / novel
ISBN: 978-983-097-250-3

Tebal: 512 ms

Harga: RM23

KOD: GB0076


Dua sahabat, Rasyid Zakwan (Asid) dan Irfan Hakimi (Irfan), belajar di University of Yarmouk, Jordan.

Ukhuwah mereka memberikan kesan kepada masyarakat sekeliling. Konflik mula timbul dengan kehadiran Sara Nasuha.







Konflik ini bukan konflik dengki-mendengki tetapi konflik untuk menjaga kelangsungan ukhuwah itu. Mereka jatuh cinta kepada Sara Nasuha, dan masing-masing tidak pernah meluahkannya.

Hinggalah satu hari, Irfan menceritakan rasa hatinya kepada Asid. Asid untuk beralah dalam senyap tetapi cintanya juga amat mendalam membuatkan dia sukar untuk kekal tenang. Lalu ukhuwah mereka berdua terganggu.

Sekumpulan pelajar bermasalah – Disaster Five – tidak senang dengan imej bersih Asid dan Irdan. Konflik dua sahabat diambil sebagai peluang keemasan bagi merosakkan ukhuwah mereka.

Kes menjadi rumit apabila muncul watak misteri di sebalik kejadian pecah rumah.

Tambahan pula Irfan terjebak dalam perangkap...




Rumahku Ofisku

RUMAHKU OFISKU Tip Suri Rumah Bekerja Dari Rumah
Mazneera Zainal
ISBN: 978-983-097-245-9

Harga: RM 18

KOD: GB0087


Sebuah buku panduan untuk suri rumah bekerja dari rumah.

Mengandungi tip-tip yang amat berguna berdasarkan pengalaman penulis sendiri.







Penulis merupakan suri rumah berijazah, namun membuat keputusan untuk tidak ‘makan gaji’ di luar kerana mahu membesarkan sendiri anak-anak tercinta.

Berbagai-bagai tip dikongsi termasuklah panduan menghadapi dilema, konflik dan tekanan-tekanan yang mendatang.

Alternatif bagi suri rumah sepenuh masa ialah membina kerjaya dari rumah tanpa mengabaikan asuhan terhadap anak-anak, sekali gus dapat menjana pendapatan hanya dengan duduk di rumah.

Penulis juga memberi tunjuk ajar cara ‘set up’ bisnes di Internet.



Mar 15, 2010

Nota Fikir Untuk Zikir


NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR

KATEGORI: MOTIVASI
ISBN: 978-983-097-260-2
PENULIS: Pahrol Mohd Juoi
TEBAL: 184 ms
HARGA: RM19/RM21*
KOD: GB0091

Buku ini ditulis dengan mesej yang jelas: Zikir tanpa fikir akan menghasilkan individu yang beku, kaku dan mundur walaupun mungkin baik tingkah laku.







Fikir tanpa zikir akan membentuk manusia yang aktif, dinamik tetapi merosakkan dirinya dan orang lain dengan pelbagai kemungkaran dan kejahatan.

Pada cerita dulu-dulu, ada jejak iktibar yang perlu disusuri semula. Pada alam ciptaan Tuhan, ada pengajaran yang dapat diambil.

Ia bergantung pada bagaimana kita melihatnya. Dan bagaimana kita melihat sesuatu, bergantung pada siapa diri kita.

Dengan gaya santai dan simple, penulis mengocak ‘fikir’ dan ‘zikir’ pembaca – langkah kecil yang diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada langkah yang lebih gah untuk memantapkan ‘fikir’ dan ‘zikir’ ummah.

“Kelebihan yang terdapat pada beliau (Pahrol Mohd Juoi) adalah keupayaan mengolah sesuatu persoalan daripada dimensi yang berbeza dan memberikan persepsi baru terhadap perkara yang digarapnya.” – Ann Wan Seng, Setiausaha Agung Kehormat MACMA

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:

Bahagian 1: Iktibar Kisah Dulu-dulu – Mencari hikmah dan ibrah, teladan dan sempadan, daripada cerita rakyat yang merupakan suara hati orang bijaksana untuk mendidik umat.

Bahagian 2: Berguru dengan Alam – Melihat nikmat tanpa melupakan Pemberi nikmat, dengan menjadikan alam sebagai Maha Karya Tuhan yang sentiasa berbicara dengan manusia tentang keagungan Penciptanya.

Bahagian 3: Kata Dikota – Memuatkan kata-kata yang indah dan benar, yang mampu mengubat rasa yang gundah serta membuat fikiran menjadi lebih besar, seterusnya mampu mengubah jiwa!




Siri Mari Berfikir


SIRI MARI BERFIKIR

KATEGORI: Kanak-kanak

ISBN: 978-983-097-231-2 (set)

PENULIS: Zulina Hassan

TEBAL: 24 halaman

HARGA: RM9/RM11*

Terdiri daripada lima buah judul iaitu:

  1. BULAN (ISBN: 978-983-097-233-6 / KOD: GB0078)
  2. MATAHARI (ISBN: 978-983-097-232-9 / KOD: GB0079)
  3. BUMI (ISBN: 978-983-097-235-0 / KOD: GB0080)
  4. ALAM SEMESTA (ISBN: 978-983-097-234-3 / KOD: GB0081)
  5. LAUT DAN SUNGAI (ISBN: 978-983-097-236-7 / KOD: GB0082)
Buku berfakta ini mengajak kanak-kanak berfikir tentang ciptaan Allah, tentang keistimewaan BULAN, MATAHARI, BUMI, ALAM SEMESTA, LAUT DAN SUNGAI.
Turut disertakan gambar-gambar menarik dan berwarna-warni.
SIRI MARI BERFIKIR ini akan menambahkan lagi pengetahuan am kanak-kanak.


































Di Tengah Kota

DI TENGAH KOTA

KATEGORI: MEMOIR
ISBN: 978-983-097-257-3
PENULIS: Nora/Zakaria Sungib
TEBAL: 320 ms
HARGA: RM20/RM22*
KOD: GB0090




Muka Belakang













Pembaca disajikan dengan fakta, cerita dan kenangan sasterawan agama Haji Ali Haji Ahmad atau terkenal dengan nama pena Nora.

Melalui memoir ini, pembaca akan dapat menyelami detak rasa, limpahan pengalaman dan bahang keyakinan Nora menerusi himpunan tulisan beliau yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah.

Buku ini juga membawa pembaca mendekati sosok sasterawan ini melalui nota-nota pinggir Zakaria Sungib.

“Dengan lahirnya buku ini, Pak Cik Nora telah menunaikan satu amanah yang kerap diwasiatkan oleh hukama: Lakukanlah sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati!” ulas Pahrol Mohd Juoi, penulis dan perunding motivasi, dalam kata pengantarnya untuk buku ini.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:
• Prolog – Memoir zaman remaja Nora di Johor Bahru dan Sungai Mati, Muar.
• Di Tengah Kota – Memoir Nora bermula dari dekad 1960-an ketika pohon karyanya berbuah ranum dan ‘penghijrahan’ ke arena penulisan dakwah.
• Epilog – Memuatkan memoir dan nota-nota pinggir tentang kehidupan di usia senja Nora.



100 Kisah Kehidupan

100 KISAH KEHIDUPAN

KATEGORI: Umum

ISBN: 978-983-097-224-4

PENULIS: Zakaria Sungib

TEBAL: 332 ms

HARGA: RM20/22*

KOD: GB0088









Muka Belakang













Himpunan 100 buah kisah kehidupan di dalam buku ini menemukan pembaca kepada kisah-kisah yang dekat dengan diri masing-masing.

Kisah yang terkesan di hati. Kisah yang mencetuskan inspirasi, menjernihkan jiwa, seterusnya memberi motivasi.

Pelbagai kisah yang diceritakan oleh ramai pencerita ini merupakan koleksi ‘halwa jiwa’ yang memberi kesan penawar kepada keluh-kesah, kekeliruan dan tekanan hidup seharian.

Kisah-kisah itu mengajar tentang kesyukuran, kesabaran, ketabahan, pengorbanan, kasih sayang dan sifat-sifat lain yang diredhai.

Pada setiap kisah itu ada hikmah yang Allah datangkan sebagai bahan pembelajaran di universiti kehidupan.

Kisah-kisah benar dalam buku ini dibahagikan kepada lapan bahagian:
• Tentang Insan Luar Biasa
• Tentang Alam Si Kecil
• Tentang Ujian Hidup
• Tentang Restu Ibu Bapa
• Tentang Hidayah Tuhan
• Tentang Daya Usaha
• Tentang Kasih Sayang
• Universiti Kehidupan



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...