.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Apr 23, 2025

PROFESOR YANG MEMBELI SYURGA: BICARA HATI BERSAMA MKI

PROFESOR YANG MEMBELI SYURGA:
BICARA HATI BERSAMA MKI
ISBN: 978-629-7716-49-7
PENULIS: ZAINI MOHD ARIFF
KOD: GB0879
TEBAL: 240 m.s.
SAIZ: 13.5 cm X 21.5 cm
BERAT:
HARGA: RM25.00/RM27.00 (S/S)

 SINOPSIS

Hayat seseorang membawa memori bermakna kepada sahabat dan dikongsi kepada seluruh pembaca. Buku ini membicarakan keakraban dua sahabat antara penulis dan Allahyarham Dr Mohd Kamil Ibrahim (MKI) yang merupakan seorang penulis prolifik dan juga mantan profesor.

Penulis mengimbau kenangan sewaktu bersama MKI yang setiap bicaranya penuh hikmah, nasihat, amanat dan peringatan tentang erti dan tujuan hidup yang akhirannya mahu ke syurga tertinggi ... ia bukan bicara biasa-biasa!

Profesor Yang Membeli Syurga, merupakan huraian daripada kisah nyata. Kisah yang mendalami tentang amalan semasa hidup, ikatan persahabatan dan bekalan akhirat menjadi medan utama kepada penyampaian buku ini.

Banyak pengajaran dan teladan dapat dikutip oleh pembaca daripada titipan persahabatan mereka ini—sebuah persahabatan yang telah berlangsung selama 20 tahun.



Naskhah ini sangat memberi inspirasi terutama bagi para
followers MKI. Ia membawa pembaca mengintai sisi MKI yang tak pernah diketahui selama ini.

Diharap setiap bab yang dikisahkan menjadi inspirasi kepada khalayak untuk terus melakukan kebaikan agar dapat menjadi penghuni syurga kelak.

Nota yang dimuatkan di penghujung setiap bab sangat menyentuh hati – menceritakan keadaan semasa kesihatan MKI yang semakin hari semakin merosot dan akhirnya dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.

----------------------------------------------------

 Petikan Bab 7

Akhirnya, selepas hampir dua jam perjalanan, kami tiba di sebuah kawasan terpencil—sebuah perkampungan orang asli yang kecil dan sederhana. Rumah-rumah kayu bertiang tinggi berdiri di tengah-tengah kehijauan hutan. Beberapa orang penduduk kampung mula berkumpul melihat kedatangan kami.

“Inilah tempatnya,” kata Prof. MKI sambil keluar dari kereta.

Kami disambut mesra oleh ketua kampung, seorang lelaki tua dengan wajah penuh kedut tetapi ramah. Selepas berbual seketika, Prof. memperkenalkan tujuan kami: untuk berdakwah kepada mereka, memperkenalkan agama Islam dan kebenarannya.

Namun, perbualan itu tidaklah semudah yang kami sangka.

“Kami boleh masuk Islam,” kata salah seorang penduduk kampung dengan yakin. “Tapi ada dua syarat.”

Saya dan Prof. MKI saling berpandangan. “Apa syaratnya?” tanya Prof. MKI dengan tenang.

“Satu, kami boleh pelihara anjing. Dua, kami boleh makan babi.”

Saya terkejut. “Prof., macam mana ni? Susah sangat syarat mereka ni,” saya berbisik.

Prof. MKI hanya mengangguk perlahan, mengambil masa untuk berfikir. Selepas beberapa saat, beliau tersenyum dan menjawab, “Baiklah. Kami setuju dengan syarat kamu, tapi dengan dua syarat juga.”

Orang kampung mula berbisik sesama mereka, kelihatan tertarik.

“Syarat kami adalah kamu mesti percaya kepada Tuhan Yang Satu – Allah – dan ikut ajaran Nabi Muhammad SAW,” kata Prof. MKI, tegas tetapi penuh hikmah.

Ketua kampung terdiam sejenak. “Jadi kami boleh pelihara anjing dan makan babi?” tanyanya semula, seperti mahu kepastian.

Prof. MKI mengangguk.

“Ya, pelihara anjing di luar rumah dan makan babi tapi hanya jika kamu tidak ada makanan lain. Allah Maha Pengampun, Dia tahu kesulitan kamu. Tapi dalam keadaan biasa, kami akan bantu kamu menyediakan makanan halal.”

Perbincangan itu menjadi titik permulaan yang membuka hati mereka. Kami menghulurkan bantuan makanan halal—beras, ikan masin, dan beberapa barang asas lain. Dalam masa yang sama, Prof. MKI mengajar mereka tentang keindahan Islam, cara bersuci, dan cara solat.

Hasil dakwah itu sangat mengharukan. Dalam beberapa hari, seluruh kampung akhirnya mengucap dua kalimah syahadat di hadapan kami. Mereka mula belajar solat, langkah demi langkah.

Hari terakhir kami di kampung itu penuh dengan doa dan rasa syukur. Saya sempat berbisik kepada Prof. MKI, “Prof., saya tak sangka kita boleh capai sejauh ini.”

Prof. MKI tersenyum, menepuk bahu saya. “Dakwah ini bukan tentang kita. Ia tentang menyampaikan kebenaran dengan hikmah dan kesabaran. Kalau kita ikhlas, Allah yang akan buka hati mereka.”

Perjalanan pulang ke Segamat terasa begitu bermakna. Di tengah keheningan hutan, saya termenung, memikirkan betapa hebatnya hikmah yang Allah titipkan melalui pengalaman ini.








No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...