Penulis: Fazimah Hayati, Muhd Kamil Ibrahim
ISBN: 978-983-097-672-3
Tebal : 228 ms
Tebal : 228 ms
Harga: RM20/RM22
Sinopsis
Penawar Kehidupan mengisahkan betapa manusia sentiasa
diuji dan bagaimana manusia membuat pilihan bagi mencari jalan keluar. Ada yang
semakin jauh tersasar dari Pencipta. Jalan lurus diketepikan. Mereka memilih
laluan sukar kerana tidak mahu berfikir.
Bagaimana manusia jahil boleh terjebak ke lembah maksiat
dan melakukan syirik dan khurafat? Biar setinggi mana pun pelajaran, jika tanpa
pertimbangan akal dan iman, seseorang itu akan mudah diseret syaitan untuk
mengingkari perintah agama.
Alhamdulillah, Di hujung jalan ramai yang berjumpa
sesuatu bersifat abadi dan sejati.
Penawar Kehidupan mengajak manusia berfikir sejenak.
Barangkali ada sesuatu yang boleh dimanfaatkan. Ada akal perlu digunakan.
PETIKAN
BAB 15
Kami duduk di samping Wak Mie dan mula menceritakan hajat
dan masalah masing-masing. Wak Mie mengambil sebiji mangkuk berisi air lalu
menghiris beberapa kepingan limau purut dan dimasukkan ke dalam air tersebut.
Setelah beberapa ketika Wak Mie mula mengupas tilikannya. Kami berdua sama-sama
telah disihir dan sekiranya sihir tersebut tidak dikeluarkan akan memudaratkan
kami. Wak Mie kemudiannya memandang tepat wajah kami dan bertanya sama ada kami
mahu mengeluarkan sihir tersebut.
Kami berpandangan antara satu sama lain dan serentak
menjawab “Ya, Wak.” Wak Mie mengambil dua helai kertas dan menulis sesuatu di
atasnya, sehelai kertas itu
dihulurkan kepada Shila dan satu lagi kepadaku. Aku
berasa agak bingung dan terus bertanya apakah maksud nombor-nombor di atas
kertas itu. Wak Mie menerangkan itulah kos yang perlu dibayar untuk
mengeluarkan sihir. Sekali lagi kami berdua bertentang mata. Pada kertas itu
tertulis RM3000 seorang.
Wak Mie membuka pintu belakang bilik tersebut dan
meletakkan hirisan limau di depan pintu. Sambil memegang sebiji tempurung
kelapa yang dialas kain hitam, beliau memanggil dan kemudiaannya bercakap-cakap
dengan seseorang yang kami tidak nampak mahupun dengar.
“Khadam dia ke?” aku berbisik kepada Shila.
Shila menjawab, “Jangan risau, tu jin Islam.” Di saat itu
dapat kurasakan bulu romaku meremang. Tiba-tiba terdengar dua benda jatuh ke
dalam tempurung kelapa. Wak Mie menunjukkan sebilah keris kecil serta besi
berbentuk dua mata yang menurutnya barang sihir yang telah dimasukkan ke dalam
badan kami dan menyebabkan kami sakit. Aku hanya dapat merenung dengan mulut
yang terbuka.
No comments:
Post a Comment