.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Dec 25, 2008

Modal Untuk Menjadi Penulis Best-Seller

...antara modul yang dibentangkan di Bengkel Penulisan Novel Islami bersama Ustaz Habiburrahman El-Shirazy yang merupakan penulis novel Ayat-Ayat Cinta yang telah berjaya mencipta satu fenomena baru dunia penulisan novel Islam...

Modal 1 – Niat yang kuat / Kemahuan yang ‘keras’
Seseorang yang mempunyai niat yang kuat untuk menjadi seorang penulis boleh berjaya sebagai penulis. Di samping itu, kemahuan yang ‘keras’ juga boleh menjadi dasar yang ampuh bagi memacu diri ke arah kecemerlangan dalam penulisan. Dengan niat yang betul dan kemahuan yang jelas, seorang penulis akan dapat melihat dunia penulisan sebagai satu zon yang menguntungkan sekaligus akan menyimpan impian untuk menjadi seorang penulis bestseller! Bukan bermaksud untuk menanam sifat materialistik di kalangan penulis, tetapi ‘habuan’ itu akan membantu kita untuk lebih bersemangat menghasilkan tulisan yang berkesan kepada pembaca.


Modal 2 – Keberanian (untuk menulis)
Bagi penulis-penulis baru, pastinya sering berhadapan dengan situasi takut hasil karya mereka dikritik. Mungkin kerana bimbang hasil tulisan mereka tidak menepati standard yang ditetapkan. Buangkan sifat ini jauh-jauh! Ini adalah halangan utama yang boleh menghapuskan cita-cita anda untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Benteng halangan ini perlu dipecahkan dengan keberanian yang jitu. Bukan hanya berani untuk menulis, tetapi juga berani untuk membenarkan orang lain membaca dan menilai apa yang telah anda tulis.

Modal 3 – Idealisme yang diperjuangkan dan/atau kekuatan jiwa
Penulis perlu ada 'sesuatu' yang ingin diperjuangkan di dalam penulisannya. Hasil perjuangan yang didasari kekuatan jiwa yang benar-benar ikhlas kerana Allah, akan menghasilkan karya yang lebih ‘membumi’ kepada masyarakat pembaca. Pada masa yang sama, anda akan dapat melahirkan komuniti anda yang tersendiri andainya ide perjuangan anda itu (idealisme) menepati sasaran kelompok pembaca. Cetusan perjuangan dalam penulisan ataupun idealisme ini juga dapat membantu menghasilkan ‘umur yang panjang’ kepada karya penulisan anda, insya-Allah.

Modal 4 – Ilmu, Wawasan dan Penguasaan Teknik Penulisan Yang Baik.
Penulis perlulah punya ilmu dan wawasan yang jelas. Dua perkara ini akan memandu anda ke arah yang lebih fokus dan tidak terawang-awang dalam penulisan. Ya, anda bebas menulis. Tetapi menulislah dengan ilmu yang benar dan wawasan yang membina. Juga jangan sesekali kesampingkan penguasaan teknik penulisan yang pastinya akan membuahkan hasil karya yang lebih ranum untuk dinikmati oleh pembaca anda.

Modal 5 – Akhlak Yang Mulia
Sebagai seorang penulis Muslim, jangan sesekali alpa dengan ajaran agama. Modal ini adalah kemuncak keberkatan dalam membina diri sebagai seorang penulis Muslim yang berjaya. Dengan akhlak yang mulia, penulis akan lebih menjiwai apa yang ditulis. Hasil tulisan dirangka dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang luhur. Apabila penulis dapat menjiwai hasil karyanya, tidak mustahil pembaca juga akan mudah jatuh cinta dengan bukunya!

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum wrt wbrt,
Buku adalah harta kita, dunia dan Akhirat. Selagi mana ada orang yang mendapat manafaat daripada apa yang kita muatkan dalam sesebuah buku, selagi itulah pahala akan tak putus - putus mengunjungi kita.
Memang benar, habuan bukan matlamat dasar seseorang menulis. Tetapi,lebih kepada 'lantunan' untuk menghasilkan karya yang lebih bermutu dan berkualiti buat tatapan masyarakat. Wassalam

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...