JUDUL: PROFESOR YANG MEMBELI SYURGA: BICARA HATI BERSAMA MKI
ISBN: 978-629-7716-49-7
PENULIS: ZAINI MOHD ARIFF
KOD: GB0879
TEBAL: 240 m.s.
SAIZ: 13.5 cm X 21.5 cm
BERAT:
HARGA: RM25.00/RM27.00 (S/S)
SINOPSIS
Hayat seseorang membawa memori bermakna kepada sahabat dan dikongsi kepada
seluruh pembaca. Buku ini membicarakan keakraban dua sahabat antara penulis dan
Allahyarham Dr Mohd Kamil Ibrahim (MKI) yang merupakan seorang penulis prolifik
dan juga mantan profesor.
Penulis mengimbau kenangan sewaktu bersama MKI yang setiap bicaranya penuh
hikmah, nasihat, amanat dan peringatan tentang erti dan tujuan hidup yang akhirannya
mahu ke syurga tertinggi ... ia bukan bicara biasa-biasa!
Profesor Yang Membeli Syurga, merupakan huraian
daripada kisah nyata. Kisah yang mendalami tentang amalan semasa hidup, ikatan
persahabatan dan bekalan akhirat menjadi medan utama kepada penyampaian buku
ini.
Banyak pengajaran dan teladan dapat dikutip oleh pembaca daripada titipan
persahabatan mereka ini—sebuah persahabatan yang telah berlangsung selama 20
tahun.
Naskhah ini sangat memberi inspirasi terutama bagi para followers MKI.
Ia membawa pembaca mengintai sisi MKI yang tak pernah diketahui selama ini.
Diharap setiap bab yang dikisahkan menjadi inspirasi kepada khalayak untuk
terus melakukan kebaikan agar dapat menjadi penghuni syurga kelak.
Nota yang dimuatkan di penghujung setiap bab sangat menyentuh hati –
menceritakan keadaan semasa kesihatan MKI yang semakin hari semakin merosot dan
akhirnya dijemput pulang ke pangkuan Ilahi.
----------------------------------------------------
Petikan Bab 7
Akhirnya, selepas hampir dua jam perjalanan, kami tiba di
sebuah kawasan terpencil—sebuah perkampungan orang asli yang kecil dan
sederhana. Rumah-rumah kayu bertiang tinggi berdiri di tengah-tengah kehijauan
hutan. Beberapa orang penduduk kampung mula berkumpul melihat kedatangan kami.
“Inilah tempatnya,” kata Prof. MKI sambil keluar dari
kereta.
Kami disambut mesra oleh ketua kampung, seorang lelaki
tua dengan wajah penuh kedut tetapi ramah. Selepas berbual seketika, Prof.
memperkenalkan tujuan kami: untuk berdakwah kepada mereka, memperkenalkan agama
Islam dan kebenarannya.
Namun, perbualan itu tidaklah semudah yang kami sangka.
“Kami boleh masuk Islam,” kata salah seorang penduduk
kampung dengan yakin. “Tapi ada dua syarat.”
Saya dan Prof. MKI saling berpandangan. “Apa syaratnya?”
tanya Prof. MKI dengan tenang.
“Satu, kami boleh pelihara anjing. Dua, kami boleh makan
babi.”
Saya terkejut. “Prof., macam mana ni? Susah sangat syarat
mereka ni,” saya berbisik.
Prof. MKI hanya mengangguk perlahan, mengambil masa untuk
berfikir. Selepas beberapa saat, beliau tersenyum dan menjawab, “Baiklah. Kami
setuju dengan syarat kamu, tapi dengan dua syarat juga.”
Orang kampung mula berbisik sesama mereka, kelihatan
tertarik.
“Syarat kami adalah kamu mesti percaya kepada Tuhan Yang
Satu – Allah – dan ikut ajaran Nabi Muhammad SAW,” kata Prof. MKI, tegas tetapi
penuh hikmah.
Ketua kampung terdiam sejenak. “Jadi kami boleh pelihara
anjing dan makan babi?” tanyanya semula, seperti mahu kepastian.
Prof. MKI mengangguk.
“Ya, pelihara anjing di luar rumah dan makan babi tapi
hanya jika kamu tidak ada makanan lain. Allah Maha Pengampun, Dia tahu
kesulitan kamu. Tapi dalam keadaan biasa, kami akan bantu kamu menyediakan
makanan halal.”
Perbincangan itu menjadi titik permulaan yang membuka
hati mereka. Kami menghulurkan bantuan makanan halal—beras, ikan masin, dan
beberapa barang asas lain. Dalam masa yang sama, Prof. MKI mengajar mereka
tentang keindahan Islam, cara bersuci, dan cara solat.
Hasil dakwah itu sangat mengharukan. Dalam beberapa hari,
seluruh kampung akhirnya mengucap dua kalimah syahadat di hadapan kami. Mereka
mula belajar solat, langkah demi langkah.
Hari terakhir kami di kampung itu penuh dengan doa dan
rasa syukur. Saya sempat berbisik kepada Prof. MKI, “Prof., saya tak sangka
kita boleh capai sejauh ini.”
Prof. MKI tersenyum, menepuk bahu saya. “Dakwah ini bukan
tentang kita. Ia tentang menyampaikan kebenaran dengan hikmah dan kesabaran.
Kalau kita ikhlas, Allah yang akan buka hati mereka.”
Perjalanan pulang ke Segamat terasa begitu bermakna. Di
tengah keheningan hutan, saya termenung, memikirkan betapa hebatnya hikmah yang
Allah titipkan melalui pengalaman ini.