.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Oct 4, 2012

Natrah Fantasia

Klik di sini....
GB0188 : Natrah Fantasia 

Pengarang : Dissa Azmin 

Tebal : 223 

ISBN : 978-983-097-375-3 

Harga : W/M:RM13.00 E/M:RM15.00 


BAB: 2 MUSUH TETAP MUSUH  

Natrah terjatuh. Aduh! Natrah menggosok-gosok bahu kirinya yang terasa sakit. Malah badannya juga terasa lenguh dan sengal-sengal. “Teruk betullah sakit gigi ini, tidak cukup buat adik hilang tumpuan, hilang kawalan diri dan cepat marah. Sekarang ini, buat adik terjatuh dari sofa pula,” rungut Natrah sambil bingkas bangun.
             Rasa berdenyut-denyut pada gigi Natrah sudah berkurangan. Berdetik di fikirannya, mungkin makhluk asing itu juga sudah jemu bersarang di dalam giginya kerana Natrah asyik makan bubur nasi sahaja. Natrah terkekeh sendiri.
“Sudah tidak sakit lagi? Bagusnya!” kata Natrah tersenyum riang sambil menggosok-gosok pipi kanannya yang bengkak itu, sudah surut sedikit.

Girangnya Natrah bukan kepalang. Natrah melompat-lompat keriangan. Sebentar itu, senyuman Natrah terpaku sebentar. Oh! Renungannya juga terkaku. Dia memerhati dalam senyap. Jantungnya berdegup kencang. Di sekelilingnya terdapat lolipop pelangi gergasi yang berpusing-pusing perlahan seperti kincir angin. Terdapat juga bunga-bunga matahari gergasi yang riang tersenyum. Cuaca pagi menyerlah cerah dan ceria. Tiada sofa L. Tiada ruang tamu. Bukan di rumah. Bukan juga di sekolah. Di manakah dia?
Natrah kebingungan. “Adakah ini juga salah satu kesan buruk sakit gigi yang tidak adik ketahui?” kata hati Natrah sendirian. Seketika itu, ilham menerjah ke mindanya. Dia tersenyum sendiri dan berkata lagi, “Tidak salah jika ada perasaan ingin tahu.”
            Natrah memberanikan diri untuk mengenali daerah ini. Natrah berjalan perlahan sambil melebarkan senyuman dan renungannya yang tersapa dek pemandangan yang luar biasa itu. “Wah, cantiknya!” kata Natrah sambil berpusing-pusing memandang di sekelilingnya.
            Natrah mendongak ke langit yang terang dengan warna kebiruan. Awan gula-gula kapas tersenyum memandangnya. Natrah tersenyum sendiri. Dia berasa sungguh gembira berada di taman ini. Kelihatan rama-rama bebas berterbangan dengan riang. Natrah berasa sungguh kagum dengan keindahan ini. Tiba-tiba , guruh kedengaran. Sebentar itu, hujan mula merintik.
            Natrah kehairanan sambil mendongak ke langit. “Hujan gula-gula?”
            Hujan gula-gula yang bersaiz dan berbentuk bulat seperti butang baju itu terdiri dari warna hijau, merah, oren, kuning dan coklat itu benar-benar membuat Natrah terpaku. Aneh! Sungguh aneh!
            “Cepat! Mari berteduh di sini!” Satu suara halus menyapa Natrah yang kelihatan masih tertanya-tanya itu.
            Natrah mencari-cari arah suara yang menegurnya itu. Kelihatan sehelai daun bunga matahari melambai-lambai ke arahnya. Natrah segera berlari mendapatkan bunga matahari yang hanya beberapa meter dari tempat dia berdiri. Natrah berteduh di bawah rimbunan daun bunga matahari yang lebar itu.
Natrah tersenyum lagi. “Awak sungguh baik hati, bunga matahari.”
            “Kita ciptaan Allah. Kita haruslah saling membantu,” balas bunga matahari sambil tersenyum riang.
            Natrah berasa begitu selesa. Kini, dia telah mempunyai teman baharu. “Gembiranya bertemu dengan awak.”
            “Ari juga.” Senyuman bunga matahari yang bernama Ari itu semakin lebar. Selebar wajah ceria Natrah yang semakin berseri-seri itu.
            Hujan gula-gula yang berperisa coklat itu masih belum berhenti. Sesekali guruh bersahut-sahutan. Dalam lebat hujan gula-gula yang masih mencurah-curah itu, sayup-sayup kedengaran satu bunyi yang pelik. Bunyi derap langkah seseorang atau sesuatu yang besar dan tinggi. Apakah itu?
Seketika itu, wajah riang si bunga matahari kelihatan cemas. Kebimbangan jelas terbayang di wajahnya. Ari berteriak nyaring. “Jaga-jaga! Dia sudah datang! Cepat berlindung!” 

Untuk dapatkan  novel awal remaja ini dapatkan di rangkaian kedai buku MPH atau POPULAR....




No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...