Cover penuh Single Unavailable
:: Temubual bersama Nurina Izzati Mohmad Soib, penulis novel Tarbiah Remaja: Single Unavailable (S.U)
1. Apa yang mendorong saudari untuk menulis?
Pada awalnya saya memang minat menulis dari kecil, dan menulis hanya untuk suka-suka. Kemudian, saya mula cenderung ke arah penulisan dan giat menulis cerpen dan membukukannya lalu menyimpannya di rumah sahaja. Lama-kelamaan, ibu bapa dan para guru di sekolah menyuruh saya mencuba dalam penulisan novel. Ibu bapa, keluarga, guru-gura dan rakan-rakan memang banyak memberi galakan pada saya dalam bidang penulisan. Rakan-rakan pula memang suka membaca cerpen-cerpen saya dan kerap kali menyuruh saya sentiasa menghasilkan cerpen-cerpen terbaru. Setelah saya mula mengenali dunia blogging saya tergerak untuk berkongsi beberapa cerpen-cerpen saya dalam dunia maya, dan alhamdulillah rakan-rakan yang membaca akan memberi pandangan berkenaan cerpen saya. Setelah itu, saya menghantar proposal kepada beberapa syarikat penulisan termasuk GISB dan alhamdulillah GISB terima. Saya memilih GISB kerana cara layanan mereka yang mesra dan editor perolehannya, Encik Zakaria pula memberikan tips penulisan yang bagus. Dari situ saya mulai serius dalam bidang penulisan dan bertekad untuk mendedikasikan diri dalam bidang ini. Insya-Allah.
2. Mengapa menulis S.U.?
Single Unavailable tercetus daripada pergerakan kehidupan di sekitar saya sendiri. Mesej utama yang cuba saya bawa dalam novel ini berkenaan hukum berpasangan, khususnya di kalangan remaja zaman sekarang. Saya cuba menyampaikan bahawa pelajaran itu lebih penting daripada bercinta, kerana menurut saya remaja sekarang lebih mengejar cinta lelaki dan perempuan dibandingkan dengan cinta kepada Allah SWT, pemilik cinta yang sejati. Penulisan S.U. lebih kepada mengajak saudara-saudara saya di luar sana agar menyahut seruan cinta Ilahi dan meninggalkan kemungkaran yang sedang berleluasa kini. Jika bukan para remaja yang mengubah cara hidup mereka di dunia ini, siapa lagi?
3. S.U berkenaan?
Single Unavailable mengisarkan Taqiah, sebagai watak utama yang taat pada ajaran Islam dan tidak lalai dalam mengerjakan ibadah. Taqiah merupakan ketua pelajar di sekolahnya, yang berusaha untuk menjalankan amanah para guru dengan sebaik mungkin. Namun kehidupan Taqiah tidak lengkap dengan ujian dan musibah daripada Allah SWT, terutamanya apabila dia mengenali Latif Marwan, seorang pelajar yang agak nakal. Taqiah juga dibelenggu konflik apabila dipaksa memilih antara Marwan dan abangnya, sedangkan Taqiah sendiri nekad untuk tidak berpasangan. Perasaan cemburu dan iri hati akan keakraban Taqiah dan Marwan, sering membuatkan mereka dilanda konflik. Marwan pula cuba memenangi hati Taqiah, yang akhirnya sedar bahawa hati Taqiah tidak mungkin terbuka untuk berpasangan.
4. Kelebihan S.U.
S.U. menceritakan tentang kehidupan beberapa remaja di sebuah sekolah menengah, yang berlatarkan suasana yang sering juga melanda para remaja yang lain di luar sana. S.U juga sesuai dibaca oleh golongan yang lebih berusia supaya mereka juga memahami perjalanan kehidupan anak-anak muda kini, terutamanya di sekolah. Golongan remaja sendiri insya-Allah akan dapat menghayati jalan ceritanya. Selain itu, topik utama perbualan para remaja di sekolah, iaitu berpasangan (couple) juga dirungkai dalam novel ini sedikit sebanyak dan bagaimana sebenarnya erti suka dan bercinta yang sebenar. Para pembaca harapnya terkesan dengan watak Taqiah yang berpegang pada pendiriannya, iaitu mengutamakan pelajaran dan amanah dibandingkan dengan nafsu dan larangan.