Judul: Throwback
Pujuklah Hati 5
Penulis: Bonda Nor
ISBN: 978-983-097-673-0
HARGA: RM25.00
TEBAL: 200 ms
Flasher: Sesekali menoleh ke belakang seharusnya
menjadikan kau lebih matang.
Sinopsis
Kata orang …
“Jangan pandang belakang.” Betul tu. Saya setuju! What past is past. Yelah … Buat apa nak
fikir tentang perkara yang sudah lepas.
Jalan terus! Fokus masa depan lagi bagus!
Tapi kemudian saya sedar satu perkara. Jika diibaratkan
hidup ini seperti memandu kereta, kita tetap memerlukan back mirror dan side mirrors.
Untuk apa? Untuk pandang belakang. Untuk kita jeling
sesekali. Kadang untuk mengawasi situasi. Kadang sekadar untuk menyedapkan
hati.
Demikian hidup ini. Setiap perkara yang berlaku dalam
hidup kita tidak pernah sia-sia. Tetap ada gunanya. Ya … sekalipun perkara itu
pernah melukakan hati kita. Sekalipun ia pernah menjebakkan kita dengan dosa.
Masih ada yang boleh kita belajar daripadanya!
Misalnya bagi saya sendiri. Mengingati perkara yang
pernah terjadi, buat saya lebih mudah memahami situasi hari ini. Lebih mudah
mengendalikan hati agar lebih matang dan bertenang-tenang dengan pelbagai
kerenah orang.
Saat terimbas kenangan, jadilah si pintar yang mahu
belajar. Jadilah si akur yang tahu bersyukur.
MUQADDIMAH
Sabda Rasulullah SAW:
1)
Orang yang lebih baik
daripada semalam, adalah orang yang beruntung.
2) Orang yang sama saja macam semalam, adalah
orang yang rugi.
3) Orang yang lebih buruk daripada semalam, adalah
orang yang celaka.
Baik, sekali lagi ... mari kita tanya
sama hati.
'Apa khabar semalam kita? Lebih baik,
lebih buruk atau sama sahaja?'
'Adakah kita tergolong dalam kumpulan manusia yang
untung, atau rugi atau celaka?' Jawapannya
tertakluk kepada persepsi kita sendiri.
Mari kita pilih untuk menjadi lebih
positif. Semalam, mungkin terlalu banyak ujian
berbentuk musibah yang kita terpaksa hadapi. Jangan pandangnya sebagai suatu
kerugian. Pandangnya sebagai satu pertambahan ilmu. Tak kena, mana kita tahu,
kan? Pandangnya sebagai pertambahan pengalaman. Dah kena, baru kita mengerti
selok-belok kehidupan. Bahkan daripada musibah itu, mungkin ada dosa kita yang
telah dihapuskan. Mungkin juga darjat iman kita telah ditingkatkan. Maka,
bersyukur!
Semalam, mungkin kita telah kehilangan
seseorang yang tersayang. Jangan pandangnya sebagai satu kerugian. Pandangnya
sebagai satu cara yang telah Allah atur untuk membuat kita lebih dekat dengan
Dia dan tidak hanya bergantung kepada kasih sayang manusia. Dalam kubur nanti,
kita seorang diri. Di akhirat nanti juga tiada siapa yang akan setia
memperjuangkan kita lagi. Kita terpaksa melalui segala-galanya sendiri. Maka, berlatih!
Kawan, apabila kita jujur kepada diri
kita sendiri, tentu kita terpaksa akui yang kita juga ada banyak melakukan
kesilapan. Ada sesetengah perkara yang kita buat dahulu, hari ini kita sendiri
terpaksa tunduk akur dan tidak bersetuju dengan tindakan itu.
Ya, manusia tidak lepas daripada
melakukan kesilapan. Dan kita manusia. Akui saja kelemahan kita dan sedia untuk
memperbetulkannya. Orang lain juga manusia. Maka berlapang dadalah untuk
menerima apa juga kesilapan dan kelemahan mereka. Kita mahu berubah menjadi
lebih baik. Doakan orang lain juga menjadi lebih baik.
Come on! Semalam sudahpun
berarak pergi dan esok sedang menanti. Meskipun sesekali menjeling ke
belakang dan menumpu pada apa yang ada di hadapan, pastikan kita mampu fokus
pada apa yang kita boleh lakukan pada hari ini. Selamat menelusuri Throwback – Pujuklah Hati 5. Semoga kita
menjadi lebih baik daripada sebelumnya. Amin.