.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Nov 13, 2013

Revolusi

Judul: Revolusi
Penulis: Pahrol Mohamad Juoi
Tebal: 224 ms
ISBN: 978-983-097-458-3
Kod: GB0250
Harga: RM 15.00

Sinopsis: 


Antologi cerpen Revolusi ini ditulis dengan misi ‘memanusiakan’ manusia. Apakah ada manusia yang bukan manusia? Ya, ada. Bukan pada rupa, tetapi pada jiwa.

   Apabila buta mata hati (kerana meminggirkan agama), manusia akan menjadi lebih hina daripada haiwan. Kerakusannya, bukan sahaja menghancurkan orang lain tetapi turut menghancurkan dirinya sendiri. Ketika itu kebijaksanaan akal akan didominasi oleh kerakusan hawa nafsu. Maka berlakulah keruntuhan spiritual di tengah pembangunan material. Inilah zaman jahiliah kedua yang mengekalkan ciri-ciri dalaman persis jahiliah yang pertama.

   Tidak kira setinggi mana ilmu, sebanyak mana harta atau sebesar mana kuasa ... tanpa berpegang kepada prinsip Islam yang syumul, umat Islam sendiri akan menjadi hamba kepada fahaman sekular. Inilah fahaman yang ‘diperangi’ oleh cerpen-cerpen dalam antologi ini. Ia memaparkan bagaimana ulama berfikiran sekular rela menjahanamkan agama atas nama agama. Mereka gadaikan prinsip teras dan nilai asas Islam atas alasan toleransi dan bersifat sederhana.

   Buku ini juga membuka tembelang umara berfikiran sekular, yang tega merosakkan masyarakat dengan muslihat untuk membela bangsa dan negara. Ironinya, mereka membaham isi, orang lain hanya mengutip sisanya. Manakala si jahil yang sekular pula akan terus jadi Pak Turut yang rela diperkuda oleh umpan hedonisme untuk terus bersuka ria dengan menggadaikan agama.

   Namun, kita tidak rela umat terus dijajah minda dan jiwanya. Sudah sampai masanya kita bangun dengan penuh kesedaran untuk mencantas belenggu jahiliah dalam jiwa dan fikrah masyarakat. Walaupun kebangkitan Islam ini pasti ada hambatan dan halangannya, kebenaran tidak akan dapat selamanya disekat. Ia umpama akar pokok yang mampu menembusi tanah dengan gerakannya yang lemah lembut penuh istiqamah. Atau ia umpama aliran air yang mampu melekukkan batu kerana sifatnya yang tegar dan sabar.

   Antologi cerpen Revolusi ini memaparkan arus yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam sepanjang zaman. Arus itu sama ada dalam bentuk sistem yang telah lama bertapak kukuh atau individu dominan yang menjadi pendukung sistem tersebut. Cerpen-cerpen dalam antologi ini polos dan telus sahaja sifatnya. Mungkin nilai estetikanya tidak seberapa. Namun sifat terus-terang dan vokalnya itulah yang lebih perlu dicermati dan diamati.

   Mesejnya jelas yakni ingin membawa pembaca untuk merentasi sempadan-sempadan kuasa, harta dan kekuatan yang sering dieksploitasi dan dimanipulasi untuk menyekat kebenaran. Untuk itu kita perlu bermujahadah – berhempas melawan hawa nafsu dan tipuan syaitan yang sangat mengajak kepada kejahatan. Musuh batin itu yang lebih berbahaya daripada musuh lahir. Betapa ramai pejuang Islam yang kecundang, bukan kerana pukulan musuh dari luar, tetapi rebah akibat lemah berperang dengan keinginan hawa nafsu sendiri!

Nov 4, 2013

Tip Penulis - Merutinkan Bangun Malam Untuk Menulis

 Dalam satu perkongsiannya di Page FB 'Saya Tunggu Awak', Bonda Nor menulis antara ayat-ayat akhirnya, "Untuk yang berhajat menulis, mintalah ilham dan idea dari Allah. Hanya Dia yang berkuasa menunaikan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya."

Pendatang baharu dunia novel itu berkongsi pengalaman beliau menghasilkan manuskrip Saya Tunggu Awak, novel setebal 640 halaman yang saya yakin bakal memberi impak dan fenomena tersendiri kepada dunia novel tanah air, khususnya untuk para penggemar karya dakwah.

Ayat-ayat Bonda Nor itu, dan perkongsiannya mengenai amalan bangkit pukul tiga pagi untuk menulis novel, mengingatkan saya kepada kata-kata Prof Muhd Kamil Ibrahim (Anekdot Madinah, Bersyukur Saat Diuji) pada hari terakhir sebelum beliau berangkat pulang ke Madinah pada akhir Ogos lalu, selepas 'road tour' seluruh Malaysia. Waktu itu kami sama-sama menikmati jamuan raya di kediaman Dato' Zaini, salah seorang pensyarah Universiti MKI yang juga salah seorang penulis buku Ilmu Kehidupan: Ringkas Tapi Signifikan. Kata Prof Kamil, "Kalau saya nak buat kursus penulisan, saya akan tekankan supaya penulis bangun pukul tiga pagi dan minta idea menulis daripada Allah."

Penulis yang berhajat untuk menghasilkan karya dakwah, yang menulis untuk mengajak orang kepada Allah, atau ringkasnya berdakwah melalui penulisan, lebih patut meminta idea daripada Allah. Malah sangat patut dia mengusahakan datangnya rahmat dan keberkatan daripada Allah. Tentu pelik jika kita tidak meminta pertolongan Allah dalam berbuat sesuatu untuk dan kerana-Nya. Tentu janggal jika kita tidak mengharapkan limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam mengajak diri dan orang lain kepada-Nya. Dalam banyak-banyak amalan yang boleh mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah, khususnya dalam menulis, bangun malam adalah antara yang paling utama kerana itulah waktu yang suasananya paling syahdu untuk meminta kepada-Nya dan waktu Allah sangat berkenan memenuhi permintaan seorang hamba.

"Biasanya selepas Isyak saya sudah tidur," tulis Bonda Nor, nama pena bagi Puan Norli, "dan terjaga semula untuk mula menghadap komputer pada jam 3 pagi... Alhamdulillah, dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, saya selesai menyiapkan jalan ceritanya secara keseluruhan."

Amalan bangun malam untuk menulis, dan tentunya untuk sujud, bermunajat dan memohon kepada Allah, patut menjadi amalan penulis yang mahu serius menyampaikan dan menyebarkan kebaikan kerana Allah. Kalau ada satu disiplin yang penulis patut jadikan rutin, khususnya sewaktu menghasilkan karya, ia adalah rutin bangun malam untuk menulis.

Saya sendiri masih bermujahadah untuk merutinkan bangun malam ini. Cuma berdasarkan sedikit pengalaman berkarya secara bermusim, antaranya sewaktu giat menulis skrip sitkom untuk televisyen satu ketika dulu, saya boleh katakan, sangat besarnya manfaatnya apabila penulis dapat mewajibkan dirinya bangun malam untuk menulis.

Kredit artikel : Zakaria Sungib










Oct 23, 2013

Himpunan 60 Kisah Lucu

1. Judul: Himpunan 60 Kisah Lucu
2. Penulis: Abdul Wahab Paloh Nyior
3. Tebal: 168 ms
4. ISBN: 978-983-097-456-9
5. Kod: GB0270
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Himpunan 60 Kisah Lucu ini menceritakan himpunan kisah pelik Juha. Semua kisah ini berkait rapat dengan seluruh aspek kehidupan manusia. Antaranya ialah kisah tentang orang kaya dan miskin, tentang orang pemurah dan bakhil, tentang wanita dan kanak-kanak, tentang pemuda dan orang tua, juga kisah tentang penjual dan pembeli. Semua orang yang membaca kisah-kisah Juha ini pasti akan berasa lapang dan gembira.
8. Kulit depan (lampiran)
9. Pencetak: FDZ



Oct 22, 2013

Misi 21 Hari


Judul: Misi 21 Hari
Penulis: Zaihanim Zainal Abidin
Tebal: 304 ms
ISBN: 978-983-097-444-6
Kod: GB0232
Harga: RM 15.00

Sinopsis: Dilahirkan dan dibesarkan di Perth, tidak menghalang hasrat dan usaha Nur Aisyah untuk mencari keluarganya di Malaysia. Dengan bantuan Kak Puteri Aliyah, rancangan diatur rapi, walaupun adakalanya terpaksa berbohong. Semuanya sanggup dilakukan asalkan rancangan mereka berjaya. Kehadiran Nur Aisyah tidak disenangi oleh adik tirinya sendiri, Ain. Adakalanya, cabaran itu merupakan dugaan yang paling manis untuk mematangkan diri sendiri. Berbekalkan sokongan daripada orang-orang yang tersayang, Nur Aisyah meneruskan misi 21 harinya!





Oct 21, 2013

Gadis Ungu Bertukar!

1. Judul: Gadis Ungu Bertukar!
2. Penulis: Siti Anne
3. Tebal: 192 ms
4. ISBN: 978-983-097-420-0
5. Kod: GB0233
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Raihanah ialah seorang gadis berusia 13 tahun dan bersikap seperti budak-budak lelaki. Sikapnya yang nakal dan lucu memeningkan kepala ibu dan bapanya. Ayah Raihanah bekerja sebagai seorang guru sekolah rendah. Manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah. Raihanah mempunyai dua orang abang dan seorang adik lelaki. Pada satu ketika, ayah Raihanah dipindahkan ke sekolah yang terletak di Kampung Santubong, Kuching, Sarawak. Raihanah sedih kerana terpaksa berpisah dengan teman-temannya dan bimbang seandainya dia tidak akan mempunyai kawan di sekolah baru nanti kerana sikapnya yang kelelakian.

Raihanah mula menyesuaikan diri di kampung dan berkenalan dengan Balqis di sekolah. Balqis mempunyai sepupu yang bernama Azfar. Azfar pula bersahabat dengan Firdaus dan Ah Seng. Bermula dari perkenalan itu, Raihanah mula rapat dengan Azfar dan teman-temannya. Ragam dan kenakalan Raihanah semakin menjadi-jadi. Dia mengikut Azfar dan teman-temannya bermain bola sepak, mandi laut, memanjat pokok jambu, solat bersama jemaah lelaki dan pelbagai lagi kisah lucu yang dilaluinya bersama teman-teman.

Walaupun perwatakan Raihanah kasar, namun dia mempunyai satu rahsia besar di mana dia terlalu obses dengan warna ungu. Namun dia cuba menyembunyikan minatnya itu kerana warna ungu agak sinonim dengan kewanitaan dan bimbang akan diusik oleh abang dan adik serta teman-temannya. Ketika berkurung di dalam bilik, Raihanah sering mengenakan gaun labuh berwarna ungu yang dihadiahkan Ibunya kepadanya ketika ulang tahun hari lahirnya yang ke-12.

Kejadian solat bersama-sama jemaah lelaki dan menyembunyikan selipar para jemaah, mendorong Imam Fauzi mengadu dengan ayah Raihanah. Ayah Raihanah naik angin lantas memarahi dan memukulnya. Raihanah merajuk dengan ayahnya dan berkurung di dalam bilik. Ibunya cuba memujuknya namun Raihanah masih lagi dengan rajuknya. Dia bertanya kepada ibunya, mengapa ayahnya terlalu marah sehingga sanggup memukulnya. Ibu Raihanah memberi penjelasan kepada Raihanah. Setelah lama berfikir dan bermuhasabah diri, Raihanah telah merancang sesuatu.

Jom dapatkannya di sini

Sinopsis Diperlukan Editor Untuk Mengelakkan Penulis Patah Semangat

Sinopsis buku atau novel adalah perkara penting yang diperlukan editor. Melalui sinopsis buku, editor boleh menilai sama ada buku atau novel calon penulis itu ditolak atau diterima.

Editor seboleh mungkin mahukan sinopsis yang ditulis calon penulis menjadi karya. Ini kerana editor memahami penat lelah calon penulis.

Jika perlu, editor akan mencadangkan pindaan yang perlu dibuat. Editor akan meminta calon penulis supaya meminda sinopsis.


Sebagai calon penulis, anda perlu memahami rentak penerbit yang mahu karya apa untuk diterbitkan. Sebab itu, penting untuk anda membaca karya-karya keluaran penerbit, menelaah rentak dan 'bunyi' penerbit sehinggalah anda tahu apa yang dikehendaki oleh penerbit.

Selepas anda tahu apa yang dikehendaki penerbit, barulah rancang sinopsis novel supaya editor tersenyum dengan sinopsis yang dihantar.

Editor tidak suka calon penulis patah semangat.

Jika gagal kali pertama hantar untuk kedua kalinya.





Oct 18, 2013

Bonda Nor Meluahkan Perasaan Kepada Galeri Ilmu

Klik di sini
Sudah ramai yang bertanya saya, bila novel saya akan berada di pasaran. Alhamdulillah, semalam saya terima update daripada editor Tuan Resha Hamzah. Insya-Allah dalam masa terdekat, novel Saya Tunggu Awak akan berada di rak-rak buku. Namun, bukan berita gembira itu yang ingin saya kongsikan hari ini. Ada sesuatu pengajaran berharga yang saya sempat kutip ketika proses penerbitan karya ini.

Ini cover buku yang diberikan kepada saya. Sebenarnya, ini bukan tajuk dan cover yang saya cadangkan kepada pihak penerbit. Lain ... sangat lain! Jauh benar larinya!

Sewaktu menerima cadangan daripada mereka tentang tajuk dan cover ini, saya menangis! Hati saya cukup memberontak! Saya hampir-hampir membatalkan sahaja perjanjian saya untuk menerbitkan buku bersama mereka. Sungguh, itulah yang saya rasa. Rasa marah, kecewa, rasa tidak dihormati, rasa diketepi.

Saat ini saya rasa teruji dengan ilmu sendiri. Alhamdulillah, ilmu banyak memandu saya mengendalikan emosi. Saya tidak meluahkan kekecewaan saya kepada sesiapa ... saya hanya meminta pendapat rakan-rakan yang setia mengikuti perkembangan novel ini sejak ia mula ditulis lagi. Rata-rata mereka turut meluahkan kecewa. Mereka juga mahukan konsep asal reka bentuk dan seperti yang dijangka mereka tidak bersetuju dengan tajuk!

Sekali lagi saya gelisah. Walaupun ini bukan hasil penulisan pertama saya, saya anggap ianya cukup istimewa kerana saya menulis novel ini tanpa pernah menghadiri sebarang kursus penulisan novel, tanpa pernah minat membaca novel apatah lagi untuk menghasilkan sebuah novel! Ianya cukup mustahil untuk dilakukan oleh saya.

Namun sungguh! Ia umpama satu tuntutan luar biasa. Umpama menerima satu arahan, saya tetap menghasilkannya sambil meriba bayi yang masih perlu disusukan. Hampir setiap malam jam tiga pagi, saya akan terjaga sendiri untuk menaip dan menghasilkan satu persatu perkataan hingga akhirnya terhasil novel setebal 640 muka surat ini! Sesuatu yang saya tahu saya tidak mampu buat tanpa ada 'kuasa' membantu yang Maha Hebat. Sebab itu saya terlalu sayangkan novel ini kerana menganggapnya anugerah dan amanah daripada Allah.

Apabila berlaku konflik tajuk dan reka bentuk, tentu sahaja saya kecewa. Selepas puas menangis untuk melegakan hati, saya menghubungi editor dan cuba berunding lagi. Okey, jika tidak mahu tajuk asal saya, apa kata pilih salah satu daripada senarai tajuk-tajuk ini. Bla ... bla ... bla ... berderet-deret tajuk yang saya cadangkan. Saya anggap itu usaha terakhir saya. Namun, saya tetap memujuk hati saya. Saya solat Istikharah memohon bantuan pilihan daripada Allah. Benar, saya ada pilihan saya sendiri tetapi jika Allah sudah tentukan apa yang terbaik buat saya ... saya redha dan akan menerimanya dengan senang hati.

Sewaktu menerima e-mel daripada editor, saya tersenyum membacanya. Dengan gaya bahasa yang cukup sopan dan menyenangkan hati, dia memaklumkan kepada saya bahawa keputusan musyawarah pihak penerbit sekali lagi 'berdegil' memilih tajuk yang sama. SAYA TUNGGU AWAK. Itu juga yang dipilih oleh mereka. Namun reaksi saya kali ini sungguh berbeza dengan penerimaan saya pada kali pertama. Secebis pun tidak ada lagi rasa kecewa. Saya malah bersyukur walaupun kesemua cadangan saya tidak diterima!

Aneh! Tiba-tiba saya jatuh cinta kepada tajuk ini, tiba-tiba saya rasa suka kepada reka bentuk cover novel yang diberi. Malah dalam hati, saya penuh yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dengan apa yang mereka sudah biasa kendalikan. Subhanallah, betapa anehnya mainan perasaan. Sungguh, saya tiba-tiba bangga dengan keputusan mereka meskipun saya membantah pada awalnya.

Sahabat-sahabatku yang baik,

Dalam hidup kita, akan ada saatnya di mana kita akan di uji dengan perkara-perkara yang kita anggap menyakitkan dan tidak memuaskan hati. Bersabarlah. Bukan semua yang baik pada pandangan kita, baik juga pada pandangan Allah. Dia lebih tahu. Ambil sedikit masa untuk menenangkan hati kita. Dari mana sebenarnya datang kekuatan untuk memujuk hati? Minta juga daripada Allah. Dia yang pegang hati kita. Jangan minta Dia bantu kita supaya kita menang, tetapi minta bantuan-Nya agar beri yang terbaik supaya apa pun yang berlaku selepas itu akan buat hati kita lebih tenang.

Percayalah. Saya sudah melaluinya.

Kredit: Novel Dakwah



Nilai Sebuah Novel

1. Menulis adalah satu kemahiran menyampaikan isi. Setiap penulis akan cuba untuk menyampaikan sesuatu yang berisi. Tanpa isi, tulisan akan menjadi seperti hampas. Jadi, sebelum menulis, fikirkan dahulu, apakah isi-isi penting yang kita mahu tulis. Kemudian, barulah kita fikirkan apakah gaya penulisan dan bahasa yang kita mahu gunakan.

2. Penulis perlu menjadi pemikir masyarakat, bukan perosak masyarakat. Ini bermakna, setiap isi yang disampaikan, perlu mengandungi unsur-unsur yang boleh memperbaiki masyarakat. Tidak patut bagi seorang penulis cuba ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya, cuba memaparkan isi hati pasangan pengkid (lesbian) seolah-olah menyokong aktiviti LGBT atas nama kebebasan. Contoh lain, mengangkat isu percintaan yang tidak mendapat restu ibu bapa sehingga mempengaruhi pembaca supaya menderhakai ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta (terpengaruh dengan filem Hindustan). Perlu diingat, SETIAP PENULIS BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA YANG DITULIS.

3. Setiap ayat yang ditulis mesti jelas isinya. Jangan terlalu leka membuai perasaan pembaca sehingga tidak tahu, apakah mesej yang hendak disampaikan. Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Jasad yang tiada roh, namanya ialah mayat atau jenazah. Jika jasad atau tulisan itu mengandungi unsur-unsur hasutan atau budaya yang tidak sihat, ia layak dipanggil ‘bangkai.’

4. Novel bukan sekadar cerita. Novel ialah satu medium untuk menyampaikan isi melalui cerita. Isi yang bermanfaat dan berguna kepada pembaca akan menaikkan kualiti sesebuah novel. Secara tidak langsung, pembaca akan lebih menghargai novel-novel kita kerana kita berkongsi dengan mereka sesuatu yang bermakna. Ini tidak bermakna, novel kita itu harus sarat dengan FAKTA atau TIPS atau KHUTBAH dan sebagainya. Penulis perlu bijak menyelitkan isi-isi yang baik dalam tulisannya dan kemahiran ini memakan masa untuk dikuasai. Bersabarlah dan teruskan menulis!

5. Penulis bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

6. Untuk menambahkan ‘hikmah’ dalam novel, penulis juga tidak boleh lari daripada tuntutan menambah ilmu dan hikmah dalam dirinya. Ilmu dan hikmah inilah yang memberikan nyawa kepada novel. Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan. Jadi, jangan tersalah memilih perspektif. Perspektif penulis akan menggambarkan kewibawaan penulis. Jangan sampai pembaca menganggap, penulis ini jahil kerana tidak tahu halal dan haram. Sekarang ini pun, sudah ada penulis yang cuba membawa doktrin Syiah, Wahabi, Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain aliran sesat dalam karya-karya mereka. Jaga-jaga.

Kredit: Novel Dakwah



Sep 12, 2013

Bukan Sekadar Novel Air Mata

Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (rancangan Assalamualaikum, TV AlHijrah) menitiskan air mata sewaktu menyemak novel ini. Beliau diserahi manuskrip novel ini oleh penulisnya untuk proses tashih, sebelum naskhah itu sampai ke tangan editor.

Puan Zarina Mohd Yasin yang diberi tanggungjawab menyunting novel ini, mengaku beberapa kali menangis sewaktu proses menyuntingnya.

Malah penulis novel ini sendiri, Bonda Nor, membuat pengakuan di FB, "... sejujurnya, saya sendiri turut teresak-esak sewaktu menaip beberapa bab di dalam novel ini."

Saya Tunggu Awak adalah karya pendatang baharu, Bonda Nor. Kekuatan novel ini bukan hanya kerana ia sebuah 'novel air mata'. Kekuatan novel ini adalah pada garapannya yang sedap dibaca, membuai perasaan dan dalam masa yang sama sangat menginsafkan, memberi pencerahan dan mengajak kepada Tuhan.

Novel setebal 640 halaman dan dijual dengan harga RM24 ini, adalah satu lagi novel dakwah yang mesti dibaca dan sangat berpotensi menjadi bestseller.

Sep 2, 2013

Andalusia, Here We Come!



Klik di sini

1. Judul: Andalusia, Here We Come!
2. Penulis: LISA NURISHA
3. Tebal: 160 ms
4. ISBN: 978-983-097-392-0
5. Kod: GB0262
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Alisa dan Alya seperti tidak percaya apabila Encik Emir, bapa mereka mendapat peluang ke Andalusia, Sepanyol dan ingin membawa satu keluarga bersama. Encik Emir perlu ke sana untuk membuat kajian mengenai seni bina kerajaan Islam yang berkuasa di Andalusia selama 800 tahun. Dua lagi kawan Encik Emir turut serta dalam rombongan ini.

Sebelum ke Sepanyol lagi, Alisa dan Alya sudah mendapat rakan baru, Imran, adik kepada kawan Encik Emir yang akan bersama-sama mereka sepanjang di sana. Masa yang ada digunakan untuk belajar serba sedikit bahasa Spanish untuk memudahkan urusan.

Perjalanan hampir sepuluh hari digunakan sepenuhnya untuk melawat tinggalan-tinggalan kerajaan Islam Andalus di Granada, Cordoba, Seville dan Malaga. Dalam pada gembira melancong, Alisa dan Alya masing-masing didatangi ‘manusia’ zaman dahulu yang memberikan syarahan percuma kepada mereka.

Alisa dikunjungi wanita tua yang berkongsi duka penyerahan Andalusia kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabel di La Alhambra. Pada masa yang lain, Alya pula didatangi jelmaan Panglima Tariq yang menceritakan bagaimana tenteranya menawan kota itu. Akhirnya di Seville, mereka berdua disapa Al-Idrisi, ilmuan gemilang zaman dahulu.

Adakah Alya dan Alisa sekadar bermimpi? Atau ini semua adalah peringatan kepada mereka?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...