Mr. Mama
ISBN: 978-983-097-764-5
Kod: GB523
Penulis: Shahrul Zaman Lukman, Dr. Mohd Khamizi Aziz, Kushairi
Ismail
Tebal: 136 ms
Harga: RM15.00/
RM17.00
SINOPSIS
Kisah tentang lelaki hebat yang sanggup menjadi ‘suri
rumah’. Ini kisah-kisah bapa penyayang. Ini adalah kisah-kisah hero yang tidak
didendang!
Mereka bertiga adalah lelaki berkarier yang akhirnya memilih untuk
melindungi dan membantu keluarga dengan cara mereka. Masing-masing punya alasan
dan situasi yang berbeza-beza, namun yang pasti ketiga-tiga mereka menyandang
jawatan yang sama – MR MAMA!
Sebenarnya, ada banyak sebab mengapa kisah-kisah ini
perlu dibukukan. Pertama untuk membuka ruang pemikiran masyarakat kita tentang
peranan dan pengorbanan seorang suri rumah yang sering kali dipandang remeh.
Ya, adakalanya, para suami perlu berada ‘dalam kasut’ isteri, jika mahu menjadi
seorang yang lebih memahami.
Selain itu, ia diharap menjadi inspirasi kepada satu
kelompok lelaki di luar sana yang masih terkapai-kapai mencari kerjaya dan
akhirnya memilih untuk menjadi seorang suami yang gagal serba-serbi. Semoga ia
akan menyuntik inspirasi kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang berguna.
sementara masih tidak mampu memberi nafkah kepada keluarga, ringankanlah tugas
isteri dengan turut sama melakukan kerja-kerja rumah tangga!
BICARA BONDA
NOR TENTANG MR MAMA
Sewaktu mendapat tahu Dr Mohd
Khamizi Aziz terpaksa berhenti kerja kerana mahu menemani isterinya bertugas
sebagai pakar bius di Sibu, saya terkejut. Mengenalinya sebagai seorang doktor
perubatan yang aktif dengan pelbagai aktiviti sosial, saya boleh membayangkan
tekanan yang akan beliau hadapi jika terpaksa menguruskan anak-anak dan
kerja-kerja rumahtangga. Sudah biasa ke sana ke mari, takkan sanggup jiwanya
terima jika harus terperuk di rumah saja!
“Walaupun tidak bekerja,
teruslah terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan. Cari ruang untuk sumbang
sesuatu. Penuhi fitrah sebagai seorang khalifah. Kalau tidak, takut stres
nanti.”
Hanya pesanan itu yang mampu
saya titipkan. Dan syukur, fitrah untuk terus menyumbang tenaga dan buah
fikiran memang sedia subur dalam diri Dr Khamizi. Gembiranya saya melihat
beliau terus setia menjaga keluarganya di rantau orang tanpa mengabaikan
tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat. Beliau terus aktif menyumbang bakti
sebagai orang penting dalam beberapa NGO dan persatuan walaupun sambil
mendukung bayi dan mengheret anak-anaknya ke sana ke mari. Jobless but still proudly being ‘somebody’! Wow!
Ini antara titik tolak yang
membuahkan minat saya untuk mengetengahkan kehidupan seorang Mr Mama. Kisah
tentang lelaki hebat yang sanggup menjadi ‘surirumah’. Hasrat ini semakin
bercambah sewaktu mengetahui seorang lagi sahabat saya terpaksa berhenti kerja
kerana didesak oleh rasa tanggungjawab terhadap keluarga. Ustaz Shahrul Zaman
Lukman, seorang editor yang sudah punya kerjaya yang stabil turut nekad
meletakkan jawatan demi menjaga sendiri anak kembar lelakinya yang baru
dilahirkan.
Seronok menyaksikan beliau
menyorong stroller anak-anak
kembarnya ke sini sana. Memasak, mengemas rumah dan menguruskan kerja-kerja
rumahtangga sedang dalam masa yang sama masih meneruskan kerja-kerja sebagai
seorang editor. Freelancer. A work- at-
home dad. Hati terus berdetik - wah, ini juga kisah pengorbanan yang cukup
menarik!
“Bonda, saya juga seorang
surirumah sekarang.”
Baik, pengakuan yang satu ini
buat saya lebih terkejut. Ustaz Mohd Kushairi Ismail, seorang motivator hebat
yang saya sendiri pun pernah mengikuti kursus beliau. Bukan sekadar itu, saya
juga bahkan mengenalinya sebagai seorang CEO sebuah kolej swasta. Bukan
calang-calang jawatannya. Bukan kecil anak juga nilai tangga gajinya.
Justeru sewaktu lelaki
bekerjaya hebat ini juga mengakui telah menjadi seorang surirumah, saya sangat
terkejut. Ya Tuhan, patutlah saya semakin kerap melihat status media sosialnya
yang menayangkan usahanya belajar memasak dan mengemas rumah! Apa sudah jadi?
“Saya terlalu sibuk sejak jadi
CEO, bonda. Anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang seorang bapa.
Saya sendiri selalu rindukan masa untuk bersama mereka. Kebetulan ada sedikit
masalah dan salah faham di syarikat. Saya memilih untuk berhenti. Pada hari
biasa, saya jadi surirumah dan pada hujung minggu saya memenuhi undangan
ceramah.”
Subhanallah. Ini kisah-kisah
bapa penyayang. Ini adalah kisah-kisah hero yang tidak didendang! Mereka
bertiga adalah lelaki berkarier yang akhirnya memilih untuk melindungi dan
membantu keluarga dengan cara mereka. Masing-masing punya alasan dan situasi
yang berbeza-beza, namun yang pasti ketiga-tiga mereka menyandang jawatan yang
sama – MR MAMA!
“Bukukan semua pengalaman
berharga ini! Tulis! Biar jadi panduan pada orang lain.”
Saya kemukakan permintaan. Dan
Alhamdulillah, mereka turut bersemangat mahu membuat perkongsian.
Sebenarnya, ada banyak sebab
mengapa kisah-kisah ini perlu dibukukan. Pertama untuk membuka ruang pemikiran
masyarakat kita tentang peranan dan pengorbanan seorang surirumah yang
seringkali dipandang remeh. Ya, adakalanya, para suami perlu berada ‘dalam
kasut’ isteri, jika mahu menjadi seorang yang lebih memahami.
“Penat, Bonda Nor! Baru saya
tahu perasaan seorang surirumah. Baru saya faham kenapa mak-mak suka berleter.”
Saya tergelak mendengar
pengakuan mereka. Baru mereka tahu! Berada di rumah sepanjang hari, berkemas,
membasuh baju, menyapu dan memasak sambil menguruskan anak-anak bukan satu
tugas mudah. Ianya kerja berterusan yang tidak pernah ada titik noktah!
Namun, secara jujurnya, saya juga
ada satu sebab lagi mengapa saya mahu ketengahkan kisah-kisah seperti ini. Saya
mahu ianya menjadi inspirasi kepada satu kelompok lelaki di luar sana yang
masih terkapai-kapai mencari kerjaya dan akhirnya memilih untuk menjadi seorang
suami yang gagal serba-serbi. Sungguh, ini realiti! Memang ramai lelaki berada
dalam kelompok ini.
Tidak terkira betapa banyaknya
mesej yang dihantar oleh para isteri kepada saya tentang suami mereka yang
menjadi ‘biawak hidup’ dalam keluarga. Tak bekerja, tak beri nafkhah pada
keluarga, bahkan pemalas pula. Hidup makan tidur saja. Sudahlah duit belanja
isteri tanggung, kerja-kerja rumah pun isteri yang uruskan. Lelaki seperti ini
seperti hilang peranannya sebagai seorang khalifah. Nak cari nafkah, tak tahu
nak kerja apa. Nak tolong kerja rumah, rasa malu, rasa tercabar ego mereka.
Maka menerusi naskhah MR MAMA
ini, saya berharap akan menyuntik inspirasi kepada mereka untuk melakukan
sesuatu yang berguna. Jika tiga orang lelaki yang ‘berprestasi tinggi ini’ pun
masih mampu melakukan banyak hal-hal yang bermanfaat buat masyarakat serta
masih tidak malu untuk membuat kerja-kerja yang sinonim dengan wanita seperti
memasak dan menjaga anak-anak, mereka juga boleh sebenarnya. Nasihat saya buat
mereka mudah saja – sementara masih tidak mampu memberi nafkhah kepada
keluarga, ringankanlah tugas isteri dengan turut sama melakukan kerja-kerja
rumahtangga! Boleh sebenarnya!
Alhamdulillah, terima kasih dan tahniah diucapkan kepada
ketiga-tiga penulis Mr Mama di atas perkongsian kisah-kisah eksklusif ini.
Semoga setiap ibrah yang diperah daripadanya akan membuahkan hasil yang lazat
untuk dimamah masyarakat, insya-Allah.