.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Dec 16, 2011

GB0153 : Budak Komik


GB0153 : Budak Komik

Pengarang : Khairy Tajudin
Tebal : 236
ISBN : 978-983-097-327-2
Harga : W/M:RM15.00 E/M:RM17.00

Seorang pelajar tingkatan empat disebuah sekolah harian biasa, Khairul Anwar Iskandar atau nama glamornya Nuar, merupakan peminat komik tegar. Dia sanggup menghabiskan duit dan masanya untuk sentiasa berada didalam dunia komiknya. Ketegarannya itu menyebabkan dia kurang menumpukan perhatian terhadap pelajaran dan mengundang kemarahan guru. Pertemuan dengan Zack secara tidak sengaja disebuah masjid, telah membuka lembaran baharu dalam kehidupan Nuar. Daripada lukisan yang tiada nilai tarbiah, Nuar mengajak paradigma berdakwah melalui lukisannya. Berbekalkan keazaman yang baharu, Nuar mengorak langkah melalui jalan-jalan yang dibenarkan.

Bab 1: Aku dan Komik
Malam itu sunyi. Sungguh sunyi. Hanya salakan anjing kedengaran, nun di kawasan perbukitan sana. Agaknya ternampak akan sesuatu yang pelik. Mungkin sebab itulah anjing-anjing itu menyalak.
Satu demi satu bilik para penghuni di taman perumahan itu mulai gelap. Tanda penghuninya mula melelapkan mata. Tiada lagi kedengaran bunyi orang bersembang kecuali sekumpulan anak muda yang masih berhimpun di sebuah gerai burger.
Taman perumahan sudah lama bertapak di pinggir kota. Ia terletak tidak jauh daripada sebuah kota metropolitan. Di taman perumahan itu terdapat sebuah rumah yang dihuni oleh empat beranak. Sorang ayah selalu pulang kerja lewat malam. Seorang ibu yang suka menjahit serta sepasang anak, lelaki dan perempuan.
Nuar berguling-guling di atas katil. Ke kiri dan ke kanan sambil menekan perut. Diselang-seli oleh dekah-dekah tawa.
“Ibu, cuba tengok abang. Macam kena rasuk.”
Wawa mengadu kepada Puan Aisyah. Ibunya itu sedang menjahit di ruang tamu. Rumah itu agak kecil. Jadi, Puan Aisyah terpaksa menjahit di ruang tamu sahaja.
Puan Aisyah segera bangun dan cuba membuka pintu bilik anak lelakinya itu. Namun, pintu itu berkunci. Dia mengetuk pintu itu.
“Nuar, buka pintu ini!”
Nuar tidak menyedari panggilan ibunya. Tingkahnya masih sama. Berguling-guling di atas katil. Tawanya masih berdekah-dekah. Sementara itu, Wawa memaut erat tangan ibunya.
“Astaghfirullahal azim, Nuar! Kenapa dengan kamu ini?” jerit Puan Aisyah.
Puan Aisyah mulai risau dengan kelakuan anak lelakinya itu. Dia mula panik. Digapainya telefon bimbit lantas mendail nombor suaminya. Wawa membuntuti ibunya.
“Nombor yang anda dail tidak dapat dihubungi. Sila tinggalkan mesej anda.”
Puan Aisyah terus meninggalkan pesanan ke dalam peti suara. “Abang, abang di mana sekarang .... Balik cepat, ya.”
Akhiri pesanan Puan Aisyah sebelum meletakkan telefon bimbit di atas meja. Harap-harap suaminya akan mendapat pesanan tersebut.
Puan Aisyah mundar-mandir di hadapan bilik Nuar. Sekali sekala dia mengetuk pintu bilik Nuar tetapi hasilnya tetap sama. Tiada jawapan. Ketawa anak lelakinya itu pula semakin menjadi-jadi.
Beberapa minit kemudian, tiada lagi kedengaran bunyi tawa. Seisi rumah menjadi sunyi. Tanpa semena-mena, Nuar membuka pintu bilik.
Puan Aisyah dan Wawa mengalihkan pandangan ke muka pintu tersebut. Ada peluh membintik di dahi mereka berdua. Wawa masih di sisi ibunya, tidak berenggang langsung.
“Nuar!”
“Abang!”
Puan Aisyah dan Wawa menjerit kecil tatkala ternampak kelibat Nuar keluar daripada biliknya. Wajah Nuar kelihatan bersahaja. Tiada tanda-tanda bahawa dia sedang dirasuk sesuatu. Dua beranak itu menghampiri Nuar.
“Kamu tidak apa-apa?” tanya Puan Aisyah.
“Kenapa, ibu? Ibu belum tidur lagi?” Nuar membalas. Nadanya biasa, seolah-olah tiada apa-apa yang berlaku.
“Tadi kami dengar Nuar ketawa seorang diri. Ingatkan terkena sampuk,” jawab Puan Aisyah.
“A’ah, betul. Adik pun dengar.” Wawa mencelah.
“Hahaha!” Nuar menyambung tawa. “Lawaklah ibu dengan adik ini.”
Nuar tidak menghiraukan ibu dan adiknya. Dia terus ke dapur dan membuka pintu peti sejuk.
“Hauslah.”
Nuar mengambil sebotol air daripada peti sejuk lalu melanggahnya sambil berdiri. Perlakuannya itu menimbulkan tanda tanya.
“Ibu, orang kena sampuk memang cepat dahagakah?” tanya Wawa.
Puan Aisyah tidak menjawab soalan anak perempuannya itu. Dia asyik memerhatikan Nuar sebelum menghampiri anak lelakinya itu.
Pang!
“Ibu! Kenapa tampar saya?”
Nuar bertanya kehairanan sambil menggosok pipinya. Tanpa menunggu jawapan, dia terus berlari ke biliknya semula.
“Apa salah aku? Adakah sebab aku minum sambil berdiri tadi?”
Nuar mencari rasional di sebalik tamparan ibunya sebentar tadi. Dia teringat bahawa ibunya memang tidak menyukai orang yang minum sambil berdiri. Namun, adakah hanya kerana itu dia ditampar?
Kedua-dua anak beranak itu saling berfikir. Puan Aisyah memikirkan mengapa Nuar ketawa dengan begitu kuat di dalam biliknya tadi. Nuar pula memikirkan mengapa Puan Aisyah menamparnya.
Wawa masuk ke dalam bilik Nuar tanpa meminta izin apabila mendapati pintu bilik abangnya itu tidak berkunci.
“Berseleraklah bilik abang ini,” omel Wawa sejurus memasuki bilik itu.
Dengan tidak semena-mena, Nuar memarahinya, “Wawa, mengapa masuk bilik abang tidak ketuk pintu dahulu?”
Wawa mengamati wajah abangnya itu. Dia mula yakin bahawa abangnya tidak terkena rasukan. Dengan selamba, dia menghampiri katil dan melabuhkan punggung di atas tilam katil tersebut.
“Mengapa abang ketawa kuat-kuat sangat tadi? Wawa dengan ibu fikir abang terkena sampuk.” Wawa memulakan perbualan.
“Ya, Allah. Sampuk apa pula? Abang tengah baca komik ini tadi. Lawak sangat kartun dia. Sebab itulah abang ketawa.”
“Sebab itu sahaja?”
Wawa bertanya ketika bangun dan menghampiri abangnya. Nuar hanya mengangguk sambil tersenyum.
“Bukankah tidak elok kita ketawa besar? Rasulullah pun sekadar tersengih yang menampakkan gigi jika ada perkara yang melucukan. Tidaklah sampai ketawa terbahak-bahak macam abang!”
“Itu Rasulullah. Abang ini orang biasa sahaja.”
“Bukankah kita ini umat baginda. Jadi, perlulah contohi akhlak Rasulullah. Ini tidak, ketawa macam orang kena rasuk. Buat kami risau sahaja”
Nuar terdiam. Kata-kata adiknya itu ada kebenarannya. Dia terkesan dengannya. Dia memandang Wawa dengan pandangan untuk memohon maaf.
“Bagi adik komik itu!” pinta Wawa sambil menghulurkan tangan. Dia sudah pun memaafkan abangnya itu.
“Jika Wawa tidak percaya, cuba baca. Kelakar betul lawaknya.”
Nuar menghulurkan komik tersebut kepada Wawa. Tanpa bertanggung, Wawa terus membaca komik tersebut. Halaman demi halaman ditatap. Terus bibirnya menguntum senyum. Beberapa minit kemudian, Wawa turut ketawa.
“Memang kelakarlah! Patutlah abang gelak kuat-kuat tadi,” ujar Wawa.
Akhirnya, kedua-dua beradik itu ketawa dengan kuat sehingga menarik perhatian ibu mereka. Puan Aisyah bergegas memasuki bilik Nuar bagi menyiasat punca mengapa anak-anaknya ketawa sedemikian rupa.
“Apakah yang kamu berdua ketawakan ini?” sergah Puan Aisyah sambil bercekak pinggang.
Dengan serta-merta Wawa mengembalikan komik itu kepada Nuar. Nuar cuba menyembunyikan komik tersebut ke bawah bantal tetapi perbuatannya itu disedari oleh ibunya.
“’Itu apa? Bagi pada ibu,” arah Puan Aisyah sambil menghulurkan tangan.
Nuar terpaksa menyerahkan komik tersebut kepada ibunya. Puan Aisyah mengambil komik tersebut daripada tangan Nuar lalu membelek-belek komik itu.
“Jadi, inilah hantu yang merasuk kamu, ya? Buat ibu risau sahaja!” Puan Aisyah menggeleng sambil beristighfar. “Sudahlah, pergi tidur. Esok kena bangun awal untuk ke sekolah,” Puan Aisyah mengarahkan.
Wawa masuk ke biliknya. Nuar memadamkan lampu. Puan Aisyah pula menghala ke ruang tamu. Setia menunggu di situ sehingga suaminya pulang sambil menjahit pakaian yang belum siap.
***
PADA MALAM ITU, Kuala Lumpur menjadi huru-hara. Warganya berlari ke sana dan ke sini. Kenderaan saling berlanggaran. Bangunan pencakar langit runtuh satu per satu. Bumi bergegar sekuat-kuatnya.
“Lari! Lari!”
Jeritan manusia kedengaran di sana dan di sini. Nuar terjaga daripada tidur lalu keluar dari rumahnya. Dia terkejut tatkala melihat seekor raksasa sebesar Menara Berkembar Petronas sedang mengamuk di KLCC. Dia menenyehkan matanya dengan jari kerana sukar mempercayai bahawa raksasa sudah sampai ke Kuala Lumpur.
“Adakah raksasa ini sudah bosan menyerang Jepun? Mengapakah dia membuat onar di sini pula?” tutur Nuar perlahan.
“Ini tidak boleh jadi, aku perlu memberitahu Ultraman!”
Lantas Nuar menekan satu butang khas pada jam tangannya. Melalui jam tangan itu, dia dapat memberitahu Ultraman bahawa raksasa sedang menyerang Kuala Lumpur.
“Ultraman, tolong datang segera! Kuala Lumpur dalam bahaya!”
Beberapa minit kemudian, kelibat Ultraman muncul di ruang angkasa Kuala Lumpur. Pertempuran hebat berlaku antara Ultraman dan raksasa itu. Mereka saling berlawanan semburan api sesama sendiri. Malangnya, api itu menyemarakkan lagi kebakaran yang rakus menjilat bangunan-bangunan di Kuala Lumpur. Hampir semua bangunan menjadi seakan-akan arang batu.
Raksasa itu telah memijak-mijak badan Ultraman sekuat hati. Ultraman menjadi semakin tidak bermaya. Lampu merah di dadanya mula berkelip-kelip.
Tidak lama selepas itu, datang pula ibu dan ayah Ultraman untuk membantu. Dengan sekali percikan api sahaja, akhirnya raksasa itu pun mati dan terus lesap tanpa meninggalkan kesan. Ibu dan ayah Ultraman pun membawa Ultraman pulang ke planet mereka. Nuar sempat melambaikan tangan ke arah Ultraman sekeluarga. Ultraman membalas lambaian itu.
Pada suatu sudut yang lain, beberapa orang ahli bomba sedang membersihkan kesan-kesan kemusnahan akibat pertempuran sebentar tadi.
“Tidak guna punya raksasa! Suka hati sahaja buat onar di sini. Sekarang, kita juga yang kena padamkan kebakaran ini,” rungut salah seorang ahli bomba tersebut.
Ultraman pun sama. Tahu fire sahaja. Selepas itu terus balik.” Seorang rakan sekerja yang lain pula turut merungut.
Dengan tidak semena-mena, kedengaran satu suara.
“Nuar, kamu buat apa di luar rumah malam-malam buta ini? Mari masuk!”
Nuar menoleh ke belakang. Rupa-rupanya panggilan itu datang daripada ibunya. Nuar memandang ke hadapan semula. Ultraman sudah hilang. Kuala Lumpur menjadi seperti sediakala, seolah-olah tidak pernah ditimba kemusnahan. Nuar menenyehkan matanya sekali lagi.
“Astaghfirullahal azim! Aku mengigau rupanya!”

GB0154 : Friends Forever


GB0154 : Friends Forever

Pengarang : Ila Husna
Tebal : 208
ISBN : 978-983-097-330-2
Harga : W/M:RM14.00 E/M:RM16.00

Tegar Zakiah menolak kehendak ayah kerana kecintaan ini. Puas memujuk ayah untuk menerima keputusan ini. Hanya satu keyakinan yang ada dalam diri, Allah memberi yang terbaik untuk hamba-Nya. UIA menemukan Zakiah dengan Balqis, jiran yang tidak senang dengan dirinya, Syazana, anak yang dahagakan kasih, Mary, seorang yang cintakan bahasa Arab, dan Maziah, gadis manis jurusan seni bina. Terujikah sebuah persahabatab dengan bermacam ragam kehidupan? Dapatkan ditawan hati untuk kembali kepada Allah? Dapatkah kedegilan diubat dengan pemberian tanpa mengharap balasan? Ini kisah lima gadis ysng akhirnya menemukan makna persahabatan. Ukhwah kerana Allah yang tidak bersandar kepada materi namun tautan hati. Sesungguhnya bersama kesusahan itu kemudahan. Itu janji Rabbul Izzati.

GB0151 : SYURGA LEBIH HAMPIR TANPA RIBA

GB0151 : SYURGA LEBIH HAMPIR TANPA RIBA

Pengarang : HISHAM AHMAD
Tebal : 270
ISBN : 978-983-097-331-9
Harga : W/M:RM22.00 E/M:RM24.00

Riba, salah satu dosa besar yang nyata namun sering dipandang enteng oleh kebanyakan orang. Justeru, riba hidup subur dalam banyak urusan seharian kita. Riba paling tegar dalam sistem guaman, perbankan dan kewangan.

Amalan riba membuka ruang untuk kita meniti jalan pintas ke neraka. Pun demikian, kita sebenarnya mampu untuk melangkah lebih hampir ke syurga andainya riba kita tinggalkan.

Syurga Lebih Hampir Tanpa riba membincangkan isu dan permasalahan riba dari perspektif pengamal undang-undang dengan bersandarkan dalil dan nas al-Quran, hadis dan fatwa-fatwa ulama. Wajib dimiliki, dibaca dan dihayati oleh setiap pengamal undang-undang terutamanya pada para peguam Muslim yang bercita-cita mahu meletakkan syariat Allah itu sebagai tunggak dalam karier mereka.

Buku ini juga mengajak umat Islam untuk meninggalkan riba dan memilih instrumen kewangan yang patuh syariah untuk mendapat keberkatan dalam hidup. Syurga Lebih Hampir Tanpa Riba, boleh dijadikan rujukan oleh pengamal undang-undang, mereka yang berminat menjadi peguam, dan amat sesuai juga dibaca oleh mereka yang terlibat dalam bidang kewangan dan perbankan.

Bagi anda yang sedang menimbang-nimbang untuk membuat sebarang pinjaman bank atau membuat pilihan instrumen kewangan, bacalah dahulu buku ini, insya-Allah anda tentu tidak salah membuat pilihan selepas membacanya!

Nov 17, 2011

GB0150 : XPDC HAJI


GB0150 : XPDC HAJI

Pengarang : Haji Zainal Haji Bujang
Tebal : 270
ISBN : 978-983-097-338-8
Harga : W/M:RM19.00 E/M:RM21.00

Merupakan pengalaman penulis pertama kali naik haji. Dikisahkan dalam bentuk penceritaan yang menarik. Disulami dengan peristiwa suka duka. Kisah pertama kali naik haji selalunya adalah yang paling syahdu dan merupakan memori pertama yang paling tulen dan sejati. Nostalgia pertama mampu menjadikan kita tersenyum ria atau merintih duka di penghujung usia. Penulis menitipkannya di dalam XPDC HAJI sebagai kepincangan dan kelemahan haji pertamanya sebagai iktibar untuk bakal-bakal haji yang akan menjejak kaki ke Tanah Suci buat pertama kalinya.

GB0148 : Beri Aku Peluang


GB0148 : Beri Aku Peluang

Pengarang : Nor Hayati Sapii
Tebal : 286
ISBN : 978-983-097-329-6
Harga : W/M:RM15.00 E/M:RM17.00

Alina adalah pelajar yang dikenali di sekolah sebagai seorang pemain catur yang handal. Populariti Alina di sekolah membuatkan Atilia dan Khayra, pelajar popular di sekolah tersebut, berasa tergugat dan cemburu. Tambahan pula Atilia juga merupakan pemain catur di sekolah itu. Pelbagai ejekan dan ?buli? yang dilakukan oleh Atilia dan Khayra. Namun di sebalik pencapaian itu, Alina mempunyai satu kelemahan. Setelah mengetahui Alina layak bertanding catur ke peringkat kebangsaan, Atilia dan Khayra telah melakukan sesuatu untuk mengaibkan Alina dan seterusnya melemahkan semangat Alina bagi menghadapi pertandingan di peringkat kebangsaan itu. Alina sedar kelemahan dirinya serta mahu berubah. Izaty kawan baiknya banyak memberikan dorongan supaya Alina berubah. Dalam azam dan kesediaan Alina untuk berubah, beliau diuji lagi dengan kejadian yang amat mengejutkan dan menyedihkan hatinya. Masih adakah peluang untuk Alina melakukan perubahan dan memperbaiki dirinya?

Nov 10, 2011

GB0149 : Pulang Bersama Haji Yang Mabrur


GB0149 : Pulang Bersama Haji Yang Mabrur

Pengarang : Mohamad Zaki Abdul Halim
Tebal : 180
ISBN : 978-983-097-335-7
Harga : W/M:RM19.00 E/M:RM21.00

Mengerjakan ibadah haji memerlukan kita berfikir dan bertindak mengikut arahan. Bagi orang yang berfikir dan berusaha menghayati ibadah ini sepenuh hati dan perasaan, mereka pasti melalui demensi kehidupan yang berbeza.

Apabila kita menyelami segala aturannya dengan bersungguh-sungguh, kita bertemu dengan mutiara-mutiara yang indah dan mahal harganya.

Oleh sebab rahsia yang tersirat ini tidak diteroka, akhirnya mutiara-mutiara itu tetap tersimpan dan terus menjadi misteri. Buku ini memberi jawapannya dalam pencarian haji yang mabrur.

GB0147 : Ops Conteng


GB0147 : Ops Conteng

Pengarang : Zayu Hisham
Tebal : 120
ISBN : 978-983-097-334-0
Harga : W/M:RM10.00 E/M:RM12.00

Minggu pertama persekolahan di SK Putera Alam gempar apabila pintu di kelas 6 Gemilang diconteng oleh seseorang. Kebetulan pada masa itu pihak Pejabat Pelajaran daerah bermesyuarat di sekolah tersebut. Kemudian ia berlarutan ke bahagian-bahagian lain di sekolah ini. Cikgu Joe selaku guru disiplin buntu apabila gagal menangkap orang yang bertanggungjawab. Adib dan Adibah menawarkan diri untuk menyiasat kes conteng di sekolah ini. Mereka dibantu oleh rakan-rakan baik mereka iaitu Badshah, Fei Hung dan Yumni. Sementara itu, pasukan penyiasatan mereka menerima tamparan baru apabila Yumni mahu menarik diri selepas tewas dalam pertandingan bercerita kepada Adibah. Misi menyiasat belum selesai, Yumni pula buat hal. Adakah mereka terpaksa menggunakan beberapa teknologi baru untuk membantu siasatan? Bagaimana pula hubungan Yumni dan Adibah dapat kembali seperti dulu? Segalanya terjawab dalam episod kali ini, OPS CONTENG!

Sep 13, 2011

GB0146 : Himpunan 10 Kisah Haiwan Dalam Al-Quran

GB0146 : Himpunan 10 Kisah Haiwan Dalam Al-Quran

Pengarang : M. Azmin Abdullah
Tebal : 114
ISBN : 978-983-097-322-7
Harga : W/M:RM10.00 E/M:RM12.00

Himpunan 10 Kisah Haiwan dalam Al-Quran ini mengisahkan 10 jenis haiwan yang terlibat dalam kisah-kisah kehidupan beberapa orang rasul, nabi-nabi atau orang soleh. Kesemua kisah tersebut diolah semula dalam bentuk kreatif untuk menarik minat kanak-kanak membaca dan memudahkan mereka memahaminya.

Sepuluh spesies haiwan terpilih yang diceritakan dalam buku ini telah memainkan 'peranan' masing-masing bagi menyemarakkan lagi tugas dakwah yang dilakukan oleh para nabi dan rasul.

Bagaimanakah haiwan-haiwan itu berperanan? Allah SWT menjadikan haiwan-haiwan itu sebagai bukti yang membenarkan kenabian seseorang nabi atau rasul yang diutus oleh-Nya.

Sepuluh haiwan yang diceritakan didalam buku ini ialah keldai, burung belatuk, semut, lembu berwarna keemasan, anjing, unta, kibas, ikan paus, anak lembu dan buraq. Semua haiwan tersebut mempunyai kisah tersendiri.

GB0144 : Keimanan Cinta

GB0144 : Keimanan Cinta

Pengarang : Munie Asra
Tebal : 276
ISBN : 978-983-097-333-3
Harga : W/M:RM18.00 E/M:RM20.00

Fazura, seorang novelis muda memenuhi masa lapang di Rumah Anak Yatim Baiduri. Disitu, dia berkenalan dengan seorang lelaki Cina tua, Fazura tidak menyedari bahawa lelaki itu adalah Tan Sri Koh, seorang hartawan Malaysia. Alan Koh, cucu Tan Sri Koh dipaksa berkahwin dengan Fazura.

Sekiranya dia ingkar, datuknya mengugut untuk menarik kembali harta dan perniagaannya. Fazura mengidap leukemia tetapi merahsiakan penyakitnya daripada pengetahuan Alan kerana dia tidak inginkan cinta yang lahir dari simpati.

Pada saat Fazura dan Alan mula rapat, muncul Andy Azman, seorang pemuda yang Islam pada nama menaruh perasaan pada Fazura. Adakah Alan akan melepaskan cintanya? Mampukah Fazura bertahan dengan penyakit leukemianya? Mampukah Andy menghadapi ujian cinta dari-Nya?

Sep 7, 2011

GB 0145 : NOORAH


GB 0145 : NOORAHPengarang : UMMU HANI ABU HASSAN
Tebal : 307
ISBN : 978-983-097-310-4
Harga : W/M:RM20.00 E/M:RM22.00

Sebuah bacaan yang penuh inspirasi, ketabahan seorang wanita menghadapi bermacam-macam siri ujian daripada Allah wajar ditekuni oleh pembaca!

NOORAH merupakan sebuah kisah benar mengenai kisah hidup seorang wanita Inggeris berhati tabah. Perjalanan hidupnya penuh dengan cubaan. Zaman remaja dilatari dengan pelbagai tragedi hitam sehingga dia disumbat ke penjara Yorkshire.

Sama saja bagi Kathryn Bennet sama ada dia tinggal di rumah atau menghuni penjara juvana di Yorkshire. Kedua-duanya ‘dahsyat’ dan ‘teruk’. Namun segalanya berubah selepas dia berhijrah ke Bahrain, seterusnya ke London untuk bergelar Muslimah. Itu saatnya dia sentiasa dapat menghirup sisa manis dalam wadah ujian Allah. 

Maka dia masih boleh tenang melalui kepahitan hidup berumah tangga. Dia pasrah meredah ribuan kilometer untuk menjejaki tiga anak yang dilarikan bekas suami. Dia redha bergelar ibu tunggal kali kedua dan sekali gus mengambil peranan ayah untuk menyara enam orang anak di kota London. Dia juga mampu sabar diuji penyakit digeruni. Kerana dia yakin dengan besarnya hikmah di sebalik musibah.

Aug 17, 2011

Putera Bakkah 2

Putera Bakkah 2
ISBN: 978-983-097-307-4
Kategori:Novel Sirah
Zuraimi Ismail 176ms/GB0121/RM13

Muhammad SAW – Putera Lembah Bakkah 2, susulan daripada karya sirah yang pertama; (Muhammad SAW – Putera Lembah Bakkah) meneruskan lagi kesinambungan riwayat hidup Rasulullah SAW menerusi genre novel.

Dengan kata lain, sirah Rasulullah SAW dihidangkan melalui pendekatan kreatif.

Jika buku pertama menceritakan akan tahun-tahun awal kehidupan Rasul junjungan SAW, buku kedua ini lebih terarah kepada detik-detik awal Baginda ditabal sebagai Nabi SAW, juga mengenai permulaan dakwah Baginda secara sembunyi di kota Makkah.

Aug 4, 2011

GB 0141 : Selamat Pagi, Cikgu

GB 0141 : Selamat Pagi, Cikgu

Pengarang : ZAINAL HAJI BUJANG
Tebal : 288
ISBN : 978-983-097-318-0
Harga : W/M:RM19.00 E/M:RM21.00

'Selamat Pagi, Cikgu!' perlu dibaca oleh setiap guru, bakal guru dan mereka yang bercita-cita menjadi guru. Sebuah bacaan santai yang pasti mencuit kalbu.

'Selamat Pagi, Cikgu!' merupakan satu catatan pengalaman seorang guru, bermula dari tawarannya mendapat jawatan cikgu pangkat rendah sehinggalah menjawat jawatan guru besar.

Pelbagai peristiwa menarik, suka duka, pahit manis ditempuh. Sesungguhnya, kerjaya seorang guru bukan mudah dan penuh warna-warni.

Aug 3, 2011

GB0143 : Namaku ALIAS LEE


GB0143 : Namaku ALIAS LEE

Pengarang : Suhana Salleh
Tebal : 130
ISBN : 978-983-097-213-8
Harga : W/M:RM10.00 E/M:RM12.00

Alias sering dipanggil 'Sepet' oleh kawan-kawan disekolah dan menjadi mangsa ketidakpuasan hati abang sulungnya di rumah. Dia juga sering dituduh oleh abangnya, Mikhail, membawa malang dalam keluarga. Kedatangan seorang lelakiCina seminggu selepas kematian ibunya telah membawa dilema baru. Alias semakin tertekan apabila kehadirannya dalam keluarga tidak diterima oleh Mikhail sehingga berlaku pentengkaran diantara abang dan bapa angkatnya. Pelajaran Alias terganggu. Hikmah dipanggil dan didenda dengan Ustaz Azhar dibilik kaunseling memberinya harapan baharu untuk meneruskan kehidupan.

Jul 11, 2011

Ramadan Terakhir


GB0142 : Ramadan Terakhir
Pengarang : Hisham AR
Tebal : 197
ISBN : 978-983-097-325-8
Harga : W/M:RM19.00 E/M:RM21.00

Ramadan terakhir mengajak pembaca menghayati Ramadandengan jiwa hamba yang total. Berpuasa bukan hanya pada lapar dan dahaga tetapi berusaha sedaya upaya merebut pelbagai ganjaran hebat yang hanya ditawarkan pada bulan ramadan sahaja. 

 Persediaan menghadapi Ramadan bermula sejak Rejab lagi diikuti Syaaban yang merupakan bulan-bulan 'warming up' sebelum menempuh Ramadan. Seterusnya Syawal untuk menuai hasil Ramadan. Setiap kali kita berjaya menjejak masuk ke gerbang Ramadan, anggaplah ia sebagai Ramadan yang terakhir kerana belum tentu usia kita sampai ke Ramadan yang akan datang. maka sewajarnya Ramadan yang kita tempuh dimanfaatkan sepenuhnya. Sewajarnya amal ibadah kita lebih baik dan cemerlang daripada tahun-tahun sudah. Rejab, Syaaban, Ramadan dan Syawal merupakan bulan-bulan mega bagi umat Islam yang mesti kita hargai dengan keimanan dan ketakwaan. 

Cukuplah kita bodoh dan diperbodohkan selama ini. Kita tidak mahu jadi bodoh dan rugi selama-lamanya. Marilah kita jadi cerdik pada Ramadan kali ini dan seterusnya. Bodohnya kita apabila berpuasa pada siang hari tapi mampu menipu, mencuri, terlibat dengan rasuah, tidak menjaga aurat dan mengumpat. Bodohlah kita jika seronok bersolat tarawih beramai-ramai dimasjid dan surau, namun solat fardu masih kita tinggalkan. Pantang kita tinggal solat tarawih tetapi kita tidak berpantang untuk meninggalkan solat Subuh dan Zuhur.Alangkah bodohnya manusia dihadapan Allah.


GB0140 : Tariq United


GB0140 : Tariq United
Pengarang : Khairy Tajudin
Tebal : 170
ISBN : 978-983-097-320-3
Harga : W/M:RM12.00 E/M:RM14.00

Pasukan: Tariq United
Sekolah: Sekolah Agama Tariqul Iman
Jurulatih: Ustaz Syamil
Misi: Melatih pasukan untuk memenangi kejohanan bola sepak tujuh sebelah sekolah agama rakyat
Masa yang diberi: Sebulan
Halangan yang perlu ditempuh:
1. Keadaan kewangan sekolah yang terhad.
2. Guru akademik yang tidak membantu, mementingkan akademik sahaja.
3. Ketiadaan padang, fasiliti dan peralatan yang sempurna.
4. Ketidakmampuan pemain membeli kasut bola.
5. Para pemain mendapat kritikan rakan-rakan sekelas.
Keputusan: Rahsia!
‘Bermati-matian buat kerja, buat kerja sampai mati,’ merupakan prinsip hidup penulis yang dilahirkan di Alor Setar, Kedah ini. Khairy Tajudin, pemegang Diploma Kejuruteraan Mekanikal dan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan menghasilkan novel sulung beliau ini berdasarkan pengalaman sebagai guru sekolah agama rakyat di utara tanah air.

GB0139 Hazim, Aizat & Muzik


GB0139 Hazim, Aizat & Muzik
Pengarang : Iwan Ghazali
Tebal : 266
ISBN : 978-983-097-295-4
Harga : W/M:RM15.00 E/M:RM17.00


SINOPSIS :
Sejak kehilangan ibu dan bapa tercinta, Hazim memikul tanggungjawab untuk membesarkan adiknya, Aizat. Hubungan mereka berdua sangat rapat dan mereka selalu bersama. Walaubagaimanapun, Hazim telah membuat keputusan untuk menyambung pengajiannya di luar negara tanpa berbincang dengan adiknya terlebih dahulu. Tindakan itu membuatkan Aizat memberontak. Dia akan dijaga oleh atuk dan neneknya di kampung sepanjang tempoh Hazim berada di Amerika Syarikat.

Biarpun berkali-kali dipujuk dan dirayu, Azim tetap dengan keputusannya kerana inilah impiannya sejak dari kecil. Aizat akhirnya akur dan cuba untuk membiasakan diri tinggal di kampung. Dia dapat menyesuaikan diri dengan baik pada permulaanya dan mendapat ramai kawan baru. Tetapi, kelebihan dan bakat yang dimiliki Aizat membuatkan seorang murid yang bernama Alif berasa iri hati. Ugutan Alif terhadapnya membuatkan Aizat terpaksa mengasingkan diri.

Jun 16, 2011

GB0138 : SYAHADAH RINDU


GB0138 : SYAHADAH RINDU

ISBN: 978-983-097-283-1
HARGA: RM 18.00 M/S: 300

Rahsia salasilahnya telah terbongkar walaupun sedaya upaya disembunyikan oleh keluarga. Kehidupan semasa kecil yang diwarnai keceriaan sebenarnya mencatatkan rentetan peristiwa penting meniti liku-liku perjalanan menuju alam kedewasaan.

Tiga jejaka bersaing untuk merebut kasih daripadanya. Perebutan yang menyerlah kebaikan dan keburukan. Menyingkap kelebihan dan kekurangan tingkah laku manusia yang bergelar insan. Ujian serta dugaan yang mendatang, cuba dirungkai dengan ketabahan dan petunjuk dari Yang Maha Esa.

Siapakah yang dirindui kehadirannya pada perjalanan itu? Hati manakah yang akan memenangi kemelut perasaan dan persaingan kasih-sayang?.
Dalam pencarian atas nama keredhaan Ilahi, kerinduan tetap menerjah di sanubari, kekal mengisi ruangan hati, dalam menuju kehidupan yang kekal abadi.

May 16, 2011

Mewarna Bersama UNEH (Buku 4)

ISBN : 978-983-097-316-6
Uneh/16ms/RM3.00 E/GB0134

Mewarna Bersama Uneh (Buku 4) ini mengajar kanak-kanak untuk mewarna lukisan menggunakan pensel warna melalui Kaedah Uneh yang sangat bersesuaian untuk kanak-kanak yang ingin belajar mewarna. Buku cetusan idea dan karya Uneh (singkatan 'unik' dan 'aneh') ini mampu memberi panduan kepada kanak-kanak dalam mempelajari teknik mewarna yang mudah dan cantik. Mewarna bersama Uneh juga terdapat dalam siri kenderaan, buah-buahan, dan haiwan.
Mewarna Bersama UNEH (Buku 3)

ISBN : 978-983-097-315-9
Uneh/16ms/RM3.00/ GB0133

Mewarna Bersama Uneh (Buku 3) ini mengajar kanak-kanak untuk mewarna lukisan menggunakan pensel warna melalui Kaedah Uneh yang sangat bersesuaian untuk kanak-kanak yang ingin belajar mewarna. Buku cetusan idea dan karya Uneh (singkatan 'unik' dan 'aneh') ini mampu memberi panduan kepada kanak-kanak dalam mempelajari teknik mewarna yang mudah dan cantik. Mewarna bersama Uneh juga terdapat dalam siri kenderaan, haiwan, dan sayur-sayuran.
Mewarna Bersama UNEH : Buku 2

ISBN : 978-983-097-314-2
Uneh/16ms/RM3.00/ GB0132

Mewarna Bersama Uneh (Buku 2) ini mengajar kanak-kanak untuk mewarna lukisan menggunakan pensel warna melalui Kaedah Uneh yang sangat bersesuaian untuk kanak-kanak yang ingin belajar mewarna. Buku cetusan idea dan karya Uneh (singkatan 'unik' dan 'aneh') ini mampu memberi panduan kepada kanak-kanak dalam mempelajari teknik mewarna yang mudah dan cantik. Mewarna bersama Uneh juga terdapat dalam siri kenderaan, buah-buahan, dan sayur-sayuran.


Mewarna Bersama UNEH : Buku 1

ISBN : 978-983-097-313-5
Uneh/16ms/RM3.00/GB0131

Mewarna Bersama Uneh (Buku 1) ini mengajar kanak-kanak untuk mewarna lukisan menggunakan pensel warna melalui Kaedah Uneh yang sangat bersesuaian untuk kanak-kanak yang ingin belajar mewarna. Buku cetusan idea dan karya Uneh (singkatan 'unik' dan 'aneh') ini mampu memberi panduan kepada kanak-kanak dalam mempelajari teknik mewarna yang mudah dan cantik. Mewarna bersama Uneh juga terdapat dalam siri haiwan, buah-buahan, dan sayur-sayuran.

Apr 26, 2011

Senyumlah...


Senyumlah
ISBN: 978-983-097-306-7
Syed Alwi Alattas/312ms/RM21/GB0130

Hidup setiap manusia tidak terlepas daripada berdepan dengan masalah sama ada ringan atau berat.

Ketika menghadapi permasalahan ringan dalam hidup, kebanyakan manusia jarang berputus asa, namun tidak sedikit daripada mereka yang mengeluh dan kehilangan mood kerananya.


Ketika menghadapi masalah berat pula, ada yang hilang arah dan pedoman hingga terlupa kepada Sang Pencipta.

Lantaran itu, ada orang yang sangat membenci masalah dan berusaha lari daripadanya. Ada yang berputus asa kerananya, justeru menjadikan keadaannya semakin buruk dan menderita.

SENYUMLAH ditulis untuk membantu pembaca melihat masalah dengan cara pandang yang baru. Setelah membaca buku ini, mudah-mudahan pembaca akan menjadi lebih bahagia dan lebih faham bahawa setiap permasalahan itu sama ada berat atau ringan, ia pasti akan berlalu akhirnya.

Selera Dapur Anis


Selera Dapur Anis
ISBN: 978-983-097-305-0
Aliyah Sijari/268ms/RM40/GB128

Selera Dapur Anis terdiri daripada 125 jenis masakan yang terdiri daripada Nasi dan Lauk-pauk, Kerabu dan Pembuka Selera, Kuih-muih dan Pencuci Mulut, serta Aneka Minuman yang kesemuanya amat menyelerakan.

Penulis turut berkongsi petua dan pelbagai pengetahuan berguna di samping resipinya.

Turut diselitkan panduan dan etika makan dan minum daripada al-Quran dan hadis.

Selera Dapur Anis memberikan dimensi baru dalam bidang masakan kerana setiap resipi yang dimuatkan adalah mudah dipelajari. Anda pasti akan menjadi mahir apabila berusaha untuk ‘pandai masak’.

R& R di Lebuh Raya Kehidupan


R&R di Lebuhraya Kehidupan
Zul Ramli Ahmad Razali
ISBN: 978-983-097-288-6/ 368ms/ RM25/GB0129

Ramai manusia tersesat atau lebih tragis ditimpa kemalangan di laluan hidupnya. Lebuh raya hidup bukan lagi menjadi laluan menuju matlamat sebaliknya bertukar menjadi medan kehancuran dan kemusnahan diri.



Pengguna lebuh raya hidup perlu kepada panduan agar sentiasa kekal selamat di samping memastikan tidak teralih arah ke matlamat yang salah.

Seperti lebuh raya sebenar yang mengandungi banyak R&R di sepanjang perjalanan serta pelbagai papantanda isyarat dan petunjuk, begitulah di lebuh raya kehidupan. Ia mengandungi R&R dan papan tanda isyarat dan tanda-tanda bagi memastikan kita selamat sampai ke destinasi.

Mari memanfaatkan papan tanda di sepanjang laluan dengan memahami dan mematuhinya dengan penuh sabar. Di sana tersembunyi apa yang diharapkan oleh si musafir; keselamatan dan ketenangan hakiki dalam menuju matlamat bahagia.

Buku ini mengajak pembaca memecut ke hadapan dengan langkah positif dalam menuju keseimbangan secara proaktif dan tanpa bertangguh supaya tidak berlaku kepincangan dalam hidup. Di setiap R&R kita berhenti, bermuhasabah buat mendapat kelegaan untuk terus memacu ke lebuh raya kehidupan.

Anakku Brain Tumor - Pengalaman untuk dikongsi bersama


Anakku ‘Brain Tumour’
Isyah Radhiah Idris
ISBN: 978-983-097-317-3 / RM25/ 372 ms/Kod: GB0137

Pada pertengahan 2010, mereka diduga Allah dengan penyakit yang digeruni yang dihidapi anak ketiga mereka, Ahmad Mahir Baihaqi atau nama panggilannya Aqi, yang ketika itu (pertengahan 2010) berumur 9 tahun.

Anak yang cergas sejak lahir itu mendapat sakit kepala yang berterusan dan muntah-muntah selama seminggu. Dia disahkan menghidap ketumbuhan otak (brain tumour) oleh Hospital Pakar Damansara. Maka bermulalah episod dugaan hidup yang terpaksa ditempuhi oleh isteri yang ketiadaan suami di sisi, iaitu tatkala Che Amran ke Australia selama 10 hari untuk pelancaran album Raihan.




Berat mata memandang berat lagi bahu memikul. Kebahagiaan dan kegembiraan bagaikan diragut. Perasaan berkecamuk berlegar di dalam diri. Benarkah anak ini menghidap penyakit bahaya yang menjadi igauan ngeri setiap insan? Kepulangan suami menjadi pengubat jiwa yang gundah. Namun, empat hari mereka dalam keadaan buntu, sambil tetap pasrah dengan ketentuan Ilahi dan redha dengan ketetapan-Nya.

Doktor pakar bertegas bahawa pembedahan perlu segera dibuat untuk mengelakkan tumor daripada membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Berpindah ke hospital kerajaan dan kemudian berpatah balik ke hospital swasta adalah usaha yang dilakukan semata-mata kerana mahu memastikan pembedahan dilakukan segera ke atas Aqi. Namun masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi sekiranya pembedahan dijalankan, membuatkan mereka suami isteri dalam dilema.

Pandangan dan nasihat daripada kaum keluarga dan kenalan melalui telefon dan SMS, diambil sebagai pertimbangan. Biar apa pun, keputusan adalah di tangan mereka. Mereka sendirilah yang perlu memutuskan apa yang terbaik untuk anak mereka.

Perlukah pembedahan segera dilakukan atau patutkah ditangguhkan? Wajarkah mereka memilih rawatan alternatif untuk mengelak risiko daripada pembedahan? Wujudkah rawatan alternatif untuk penyakit berbahaya ini yang tidak memerlukan pembedahan? Sejauh mana kesannya?

Pertemuan dengan Kak Zah yang mempunyai anak dengan penyakit yang sama dengan Baihaqi telah membuat Isyah merenung dan berfikir dengan mendalam. Antara pesanan Kak Zah yang menusuk kalbu Isyah, “Kita perlu bergerak untuk anak seperti ini. Walaupun dia nampak dah stabil, kita tidak boleh berada di zon selesa.”

Walaupun anak Kak Zah sendiri telah menjalani pembedahan, dia menyarankan agar Isyah berusaha mendapatkan rawatan lain terlebih dahulu kerana Isyah masih mempunyai pilihan, berbanding dengan Kak Zah sebelum ini yang terdesak membuat keputusan kerana kesuntukan masa dalam membuat pilihan.
Pesanan ibunya juga membuatkan renungan Isyah makin dalam. “Sah, mak rasa elok kalau tangguh dulu perancangan pembedahan tu. Mak tak sedap hati kalau menyentuh bahagian kepala,” kata si ibu.

Berdasarkan pandangan majoriti ahli keluarga dan sahabat-handai, akhirnya Isyah dan Che Amran membuat keputusan. Ketika segala persiapan sudah dibuat oleh hospital pakar untuk menjalankan pembedahan ke atas Baihaqi, Che Amran menelefon doktor dan memaklumkan keputusan itu – meminta pembedahan ditangguhkan dan meminta izin untuk membawa keluar Baihaqi dari hospital.

Selepas itu bermulalah perjalanan mencari kaedah-kaedah rawatan alternatif yang diiringi dengan terapi solat, terapi doa, terapi al-Quran dan penjagaan pemakanan yang ketat untuk Baihaqi. Masih terngiang-ngiang kata-kata doktor sebelum ini, “Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini, dia tidak akan hidup lama.”

Hikmah daripada apa yang berlaku, Isyah dan Che Amran semakin sedar akan tanggungjawab mereka dalam memenuhi amanah Allah menjaga dan mendidik anak-anak. Hubungan mereka suami isteri juga bertambah erat, manakala hubungan dengan kaum keluarga dan sahabat-handai tambah rapat.

Anakku ‘Brain Tumour’ adalah perkongsian pengalaman yang akan memberi motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak yang senasib dengan Baihaqi. Lebih daripada itu, ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.

TESTIMONI
“Satu perkongsian pengalaman yang sangat bermakna buat seorang yang bernama ibu mahupun bapa Tahniah bukan hanya pada penerbitan bukunya tetapi juga kerana ketabahan melalui saat-saat genting demi nyawa seorang anak yang disayangi. Penulisan ini juga sebagai panduan bagi mereka yang menghadapi masalah yang sama.”
- Tn Hj Ismail Ahmad, Pengarah Urusan HPA

“Gabungan pengalaman dan ilmu berdasarkan fakta ... bukan sahaja sebagai panduan untuk mereka yang menghadapi ujian penyakit malah panduan bagaimana hubungan dalam keluarga, dengan saudara-mara dan sahabat-handai perlu berlangsung secara ikhlas.”
- Siti Rugayah Hj. Tibek, pensyarah Jabatan Dakwah, Fakulti Pengajian Islam, UKM

“Buku ini bukan sekadar mengenai tumor di dalam kranium tetapi menjangkaui persoalan seluas atmosfera kehidupan. Bingkisan berharga bagi sesiapa yang mencari pahlawan dalam diri, semangat melawan kental, rahsia perawatan yang begitu unik, harga budi dan kasih sayang serta pergantungan mutlak pada Ilahi. Ia membenarkan: setiap sesuatu sentiasa punya pilihan ketiga yang infiniti!”
- Ustaz Zul Ramli Mohamed Razali, perunding motivasi dan penulis buku U-Turn Ke Jalan Lurus dan R&R Di Lebuh Raya Kehidupan

“Sangat terkesan dengan jalan ceritanya. Amat menarik. Satu catatan pengalaman yang amat berharga. Wajib dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Kekentalan jiwa seorang ibu membawa kepada kekuatan. Walau dalam keadaan genting masih mampu membuat keputusan dengan tenang.”
- Hasan Suyut, CEO Lotus West Engineering Sdn. Bhd. dan penulis buku Kembara Atiq Wazif: Satu Anugerah

“Kita tidak akan tahu sejauh mana kuatnya kita dalam menghadapi ujian hidup sehinggalah satu-satunya pilihan yang ada pada kita hanyalah untuk redha dan sabar dalam menerima qadha dan qadar Allah. Buku ini besar nilai tarbiahnya kerana ia memaparkan bagaimana pasangan suami isteri ini mengurus ujian hidup dengan jiwa tauhid.” Zabidi bin Mohamed, penulis skrip drama
http://zabidiskrip.blogspot.com

Bagi pasangan Isyah Radhiah dan Che Amran Idris, kebahagiaan dan kegembiraan mereka sekeluarga bagaikan diragut apabila anak mereka Baihaqi, 9 tahun, disahkan menghidap ketumbuhan otak.

Kalau anak itu tidak segera dibedah, tumor akan terus membesar dan menyerang saraf penting di dalam otak. Ini memaksa mereka memindahkannya ke hospital kerajaan dan berpatah balik ke hospital swasta semata-mata agar pembedahan dapat disegerakan. Namun, masalah kewangan dan risiko yang akan dihadapi selepas pembedahan, meletakkan mereka di persimpangan.

“Jangan mengharapkan sangat daripada anak ini; dia tidak akan hidup lama,” beritahu doktor. Dalam memutuskan kaedah rawatan terbaik, mereka buntu. Ramai memberikan pandangan, tetapi keputusan mutlak adalah di tangan mereka. Ia perlu segera diputuskan, kerana nyawa anak dalam keadaan kritikal!

Buku ini adalah motivasi ‘hidup’ kepada ibu bapa dan memberi harapan baru kepada mereka yang mempunyai anak senasib dengan Baihaqi. Ia sebuah kembara rohani sepasang suami isteri dalam menunaikan tanggungjawab dan amanah demi mencari keredhaan Tuhan.



Novel Hani


Hani
ISBN: 978-983-097-311-1/Nurulsham Saidin/.408ms/RM19/ GB0136

Novel Hani adalah karya terbaru Nurulsham Saidin hasil kolaborasi beliau dengan Zabidi Mohamed, penulis skrip Hani, drama 13 episod yang ditonton lebih dua juta penonton setiap minggu sewaktu ditayangkan di TV.




Hani mengisahkan cabaran hidup seorang remaja perempuan bernama Ummu Hani yang periang dan cemerlang dalam akademik dan kokurikulum. Dia berazam menyambung pelajaran di luar negara.

Hani yang selalu sakit kepala dan pening telah disahkan mempunyai ketumbuhan dalam otak sebelum menghadapi peperiksaan SPM. Dia perlu menjalani pembedahan otak tetapi akan menerima satu kesan sampingan – menjadi buta!

Berita itu umpama hukuman mati kepadanya dalam menggapai cita-cita menjadi pensyarah dan mengejar cintanya kepada seorang pelajar bernama Irfan.

Apr 11, 2011

Takdir - sebuah novel epik Islami

Takdir
ISBN: 978-983-097-286-2
Novel Tarbiah
Hilal Asyraf/540 ms/RM21/GB0127

Penulis mendapat idea untuk menulis Novel Takdir, apabila penulis menonton trilogi Lord of The Ring yang merupakan adaptasi daripada Novel The Lord of The Ring karangan J.R.R. Tolkien. Penulis masih ingat, ketika itu adalah awal tahun 2008. Penulis berhajat untuk menulis satu cerita trilogi, yang mampu menyambung semula harapan manusia, kepada Allah SWT.




Dengan Novel ini, penulis hajatkan agar ianya memberikan inspirasi, kekuatan, kepada mereka yang beriman kepada Allah SWT, dalam meneruskan perjuangan mereka menentang kebatilan di atas muka bumi ini. Memang kadangkala kita terasa, usaha kita sia-sia.

Kita terasa, perjuangan ini terlalu panjang. Kita terasa seperti kemenangan itu tidak akan sampai-sampai kepada kita. Maka Novel ini adalah untuk mengubati perasaan itu.

Penulis ingin mengajak diri penulis dan pembaca, agar melihat kembali hubungan kita kepada Allah SWT, dalam perjalanan hidup kita sebagai hamba-Nya. Dalam kehidupan kita sebagai penyeru di atas jalan-Nya. Dalam kehidupan kita sebagai pejuang di atas jalan-Nya. Apakah kita percaya dan yakin akan segala janji-janji-Nya dengan sepenuh keimanan kita? Atau kita sekadar beromongan semata-mata?

Novel Takdir, bukan semata-mata fantasi kosong. Tetapi pada penulis , ini buah tangan buat ummah, agar jangan berputus harap daripada Allah SWT. Sesungguhnya, Dia itu tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya, yang berjuang di atas jalan-Nya.

Walaupun dunia ini diselimuti kegelapan batil, tetap cahaya Allah itu akan menyinari nanti. Persoalannya, apakah kita ini golongan yang percaya?

Takdir Allah telah tertulis, bahawa kemenangan akan menjadi milik hamba-hamba-Nya yang beriman. Tinggal kita tidak tahu bagaimana ianya akan berlaku. Maka apakah kita antara yang percaya, dan berusaha merealitikannya? Persoalan-persoalan ini pulang kepada kita.


Apr 8, 2011

Hero

Hero
ISBN: 978-983-097-285-5
Kategori: Novel Dewasa
Hilal Asyraf
492ms/RM20/GB0126

Hero, hakikatnya hanyalah satu cetusan idea yang penulis dapat daripada gula getah yang ditinggalkan di tepi dinding dewan kuliah penulis. Daripada situ, ibarat bunga api, idea cerita Hero ini berkembang dan berkembang.




Ditambah hajat penulis yang besar untuk menewaskan apa-apa sahaja watak superhero yang tidak membawa manusia kembali kepada Allah SWT di atas muka bumi ini, penulis berusaha mengadun idea ini dengan sebaik mungkin agar terciptanya 'Hero' yang mampu membawa manusia kembali kepada Allah SWT agar memberikan manfaat.

Akhirnya, terhasil lah Novel Hero yang pada penulis, membawa mesej yang besar. Bukanlah penulis hendak membawa pembaca sebagaimana pencipta Batman atau Superman hendak manusia melihat Batman atau Superman. Yakni membawa manusia melihat - Itulah dia penyelamat kita - Akan tetapi, apa yang sebenarnya penulis hajatkan daripada Hero ini adalah, penulis hendak membawa diri kita bersama-sama, melihat tanggungjawab kita sebagai muslim mukmin di atas muka bumi ini.

Penulis hendak menyatakan bahawa, kita semua punya tanggungjawab. Dunia ini, tidak akan terselamat hanya dengan seorang Hero.

Sebab itu, di dalam Islam, tugas dakwah dan tarbiah tidak terletak di atas pundak Rasulullah SAW semata-mata. Akan tetapi, tugasan menyebarkan amanah Allah itu, menggerakkan proses tarbiyah itu, dijalankan juga oleh para sahabat Rasulullah SAW dengan giat dan proaktif. Menyebabkan akhirnya Islam itu tersebar luas, merentas zaman, sehingga sampai kepada kita hari ini.

Sebab itu penulis menulis Novel Hero ini. Realiti tidak akan pernah demikian, yakni satu Hero, menewaskan semua penjahat. Hatta sekiranya dia mampu pun, sehingga bila dia mampu?


Matahari - kompilasi cerpen

Matahari
ISBN: 978-983-097-269-5
Kategori: Kompilasi Cerpen
Hilal Asyraf
392ms/RM19/GB0108

Menghimpunkan 18 buah cerpen tarbiah yang mempunyai pelbagai tema iaitu alam persekolahan, persahabatan, percintaan, kekeluargaan dan umum.


Cerpen Matahari 1; Matahari 2; dan Bulan ini berlatarbelakangkan alam persekolahan; cerpen Tidak Ingin Kau Pergi dan A.I.E. berkenaan sahabat di universiti manakala Mencari Ilahi berkenaan dua orang yang awalnya tidak sependapat tetapi akhirnya menjadi sahabat.

Cerpen Ekspedisi Cinta; H.I.V.; Menjemput Bidadari; dan Masyitah ini berkisarkan mengenai perjalanan dan konsep cinta mengikut syarak yang berlainan pengakhiran. Cerpen Ikhlas berkenaan dengan ibu dan anak perempuannya; Kisah Seorang Arnav berkenaan dengan bapa dan anak lelakinya; manakala Hari-hari Terakhir berkenaan dengan suami isteri, ibu bapa dan mentua.

Cerpen Warkah Dari Palestina dan Aku Memanggil Kamu berlatarbelakangkan peperangan; Mana Tuhan Kamu mempunyai latarbelakang peristiwa yang bakal terjadi; Sang Penyeru ada unsur kisah dakwah nabi-nabi terdahulu manakala 999+1 pula seakan konsep Sang Penyeru, bezanya ialah cerpen ini berlandaskan kisah benar tetapi tidak diakhiri dengan kematian watak utama. Semua cerpen ini diletakkan di bawah tema bahagian umum.


Emel Untuk Damia

E-mel Untuk Damia
ISBN: 978-983-097-296-1
Kategori: Novel remaja
Zaihanim Zainal Abidin
228ms/RM14/GB124

Setelah menjuarai pelbagai pertandingan sukan, nama Damia mulai harum. Damia mengalami konflik dalaman apabila ayah dan ibunya mahu berpindah. Berlaku masalah di pejabat yang menyebabkan ayahnya ditukar berkhidmat ke daerah lain.




Damia tidak mahu bertukar sekolah kerana bimbang statusnya sebagai atlit berkaliber di sekolah lamanya, akan terhakis. Dia juga sayangkan sekolah lama dan teman-teman di sekolahnya itu. Oleh kerana itu, Damia berselisih faham dengan ayahnya.

Komputer riba merupakan teman rapat bagi Damia untuk meluahkan isi hatinya. Ketika berada di laman sembang, Damia berkenalan dengan Nur Ilham, seorang pelajar. Ia memberi seribu penawar kepada Damia.

Persoalannya, adakah Damia sekeluarga jadi berpindah?
Bagaimana pula dengan misi Damia untuk bergelar olahragawati?


Impian Juara 2

Impian Juara 2
ISBN: 978-983-097-292-3
Kategori: Novel Awal Remaja
Zayu Hisyam
128ms/RM10/GB0125

Kejayaan Imran yang meraih gelaran juara baru perseorangan lelaki Bawah 12 Tahun MSSD Petaling Utama tidak bermakna apabila mengetahui hasrat datuknya berkahwin dengan jiran mereka Mak Jah.




Sikap Imran berubah dan dihalau dari pusat latihan kerana bergaduh dengan rakan sepelatih. Imran juga dicabar oleh ketua jurulatih untuk kembali semula berlawan bagi menentukan tempatnya dalam pasukan MSSD Petaling Utama.

Perkenalannya dengan seorang lelaki Cina Muslim iaitu Adam Lee telah merubah sikap dan semangat Imran untuk terus berjuang mempertahankan gelarannya.

Adam Lee pula mempunyai masalah perhubungan dengan keluarganya kerana keputusan memeluk agama Islam bersama-sama isterinya, Karen. Mampukah Imran menjadi juara kali ini? Mampukah dia membantu Adam Lee menyelesaikan masalah keluarganya?


Rahsia Hutan Belantara

Rahsia Hutan Belantara
Episod 2 (siri Pengembaraan Sains Tiga Beradik)
ISBN: 978-983-097-297-8
Kategori: Novel Remaja
Nurulsham Saidin
200ms/RM13/GB0123

Kisah ini berlanjutan dari novel Rumah Di Kaki Bukit. Setelah Tiga beradik- Zaim(abang), Zuraidah(aku) dan Junaidah (Joey) berjaya menyembunyikan emak dari mata orang-orang yang tidak dikenali itu, mereka telah kembali ke rumah sementara menunggu apakah tindakan selanjutnya.

Namun, tidak berapa lama kemudian, orang-orang itu datang lagi, kali ini bersama dengan Profesor Kamal yang mereka percayai!

Ayah telah membawa mereka lari ke hutan belantara. Di sana mereka berjumpa dengan Orang Asli, yang merupakan kawan ayah, Pak Cik Upik. Mereka kemudiannya telah bersembunyi di perkampungan Orang Asli tempat Pak Cik Upik tinggal.

Ikuti kisah selanjutnya berkenaan pengembaraan adik-beradik ini dalam Episod 2 Rahsia Hutan Belantara.




Dia Sahabatku

Dia, Sahabatku
ISBN: 978-983-097-281-7
Kategori: Novel remaja
Dissa Azmin
312ms/ RM15/ GB0115

WasillahWairah dan Saif remaja berusia 16 tahun. Mereka berkawan rapat, setelah bermusuhan di awal perkenalan.

Wasillah Wairah membantu Saif mengubah kehidupannya yang terdedah kepada gejala sosial yang memudaratkan.



Wasillah Wairah mendorong Saif agar bertabah hati melalui keretakan perhubungan keluarganya yang berpecah-belah. Berkat kesabaran itu, keluarga Saif akhirnya bersatu semula.

Keakraban itu telah membuat Wasillah Wairah sangat kasihkan Saif. Izham dan Raudah pula hadir sebagai orang ketiga yang muncul dalam hidup mereka. Konflik tercetus akibat cemburu yang terburu-buru. Ikut hati mati, ikut rasa binasa. Siapakah sahabat sebenar di hujung cerita?


Dunia Baru Termizi

Dunia Baru Tirmizi
ISBN: 978-983-097-293-0
Kategori: Novel Awal Remaja
Nur Sufi
184ms / RM12/GB0116

Mengisahkan kehidupan seorang kanak-kanak lelaki yang penuh kesedihan, keperitan dan penderitaan. Kanak-kanak setabah Tirmizi yang mampu menghadapi kehilangan seorang demi seorang ahli keluarganya.




Pun begitu dia tetap cekalkan hati untuk menjadi seorang pelajar yang mampu menginjakkan kaki ke sekolah berasrama penuh walau dia adalah anak seorang penoreh getah yang hidupnya kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

Hayatilah juga kisah kejayaan Tirmizi, kanak-kanak cerdas yang juga mampu menumpaskan satu kegiatan kumpulan haram yang akhirnya menjadikan adiknya sebagai mangsa.

DUNIA BARU TIRMIZI mampu membawa pembaca merenungi peri kemiskinan hidup dan ketabahan seorang kanak-kanak serta keberaniannya untuk membanteras satu kegiatan jenayah di kampungnya sendiri waima diri adiknya menjadi mangsa.

Akhirnya setelah puas mengharung ombak derita kejayaan mampu juga digenggamnya dengan segunung keazaman. Semoga apa yang dicita-citakan oleh ayahnya mampu dijadikan realiti yang nyata.


Lomy dan Tompok

Lomy & Tompok
ISBN: 978-983-097-307-4
Norhayati Safii
132ms/RM11/GB0120

Sarah begitu gembira apabila keluarganya berpindah ke rumah mereka yang terletak bersebelahan dengan rumah sepupunya Azyan. Tambahan pula sepupunya yang sebaya dengan dirinya itu juga mempunyai minat yang sama terhadap kucing. Sarah sangat menyayangi Lomy, kucing comel hadiah dari ibu saudaranya manakala Azyan juga mempunyai seekor kucing bernama Lola.




Kegembiraan Sarah bersama Lomy walau bagaimanapun tergugat dengan kehadiran Tompok, kucing liar yang sentiasa datang ke rumah Sarah. Keadaan bertambah parah apabila kakak dan abangnya mengambil Tompok untuk dijaga setelah mendapati kaki Tompok tercedera.

Bermulalah kehidupan Sarah dan Lomy dengan kehadiran Tompok yang dianggap Sarah tidak setaraf untuk hidup sebumbung dengan Lomy. Tingkah laku Tompok begitu merimaskan Sarah sehingga berbagai penderaan yang Sarah lakukan terhadap Tompok yang sememangnya dipandang hina oleh Sarah itu.

Pada masa yang sama, sepupu Sarah Azyan pula dilanda masalah. Terdapat barang-barang perhiasan yang hilang dengan penuh misteri di rumah Azyan. Sarah cuba menolong Azyan merungkai masalah ini kerana tidak mahu ibu tiri Azyan mengesyaki Azyan yang terlibat dengan kehilangan barang-barang tersebut.

Sesuatu telah berlaku yang menyebabkan Tompok disyaki menyerang Lomy. Tompok telah dihalau keluar dari rumah oleh Sarah. Akhirnya Sarah sedar dia telah tersalah sangka terhadap Tompok. Tompok yang tidak berdosa itu sebenarnya telah berjasa kepada Sarah. Sarah menyesali tindakannya dan berusaha mencari Tompok semula.

Berjayakah Sarah menjumpai Tompok semula dan juga menyelesaikan masalah kehilangan barang di rumah Azyan?


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...