ISBN: 978-983-097-247-3
PENULIS: AMALUDDIN MOHD NAPIAH
TEBAL: 224 halaman
HARGA: RM21/ RM23*
KOD: GB0072
SINOPSIS
“Kenapakah hati jadi sakit, kotor ,kasar, keras, buta atau terkunci? Jawapan kepada persoalan tersebut tidak lain disebabkan oleh dosa yang kita lakukan sama ada sedar ataupun tidak…
“Dosa-dosa itulah yang menjadi penghalang taqarrub kita kepada Allah SWT. Doa-dosa itulah juga yang menjauhkan kita dari jalan kebenaran. Dosa-doa itulah yang mengeraskan hati kita hingga payah untuk menerima ilmu, nasihat dan teguran.”
Himpunan 60 tazkirah pengucian jiwa dan hati ke arah kehidupan yang lebih sejahtera. Mengupas isu-isu temporari yang sering dipandang ringan oleh masyarakat hari ini dalam mencari erti sebenar kehidupan seorang hamba. Lembutkanlah hatimu.., nescaya episod hidupmu akan lebih bermakna.
Antara kandungan:
• Hati Amanah Allah kepada Kita
• Kekalkan Hati yang Bersih
• Apabila Azan Diswastakan
• Aktifkan Akaun Hasanat Anak-anak
• Ibu Bapa Guru Pertama Anak-anak
• Bermula daripada Solat
• Jadikan Rumah sebagai Madrasah
• Lembutkan Hati untuk Mendapat Rahmat Allah
• Memadam Memori Silam
• Mulai dengan Taubat Nasuha
• Baki Usia yang Sia-sia
• Masa yang Berlalu Tidak Dapat Diganti Lagi
• 50 Tahun Mendamba Redha-Nya
• Apa Nak Jadi
• Akibat Mensia-siakan Solat
• Sujud Menyerlahkan Sifat Kehambaan
• Langkah ke Masjid Langkah Hasanat
• Rahsia Terkandung dalam Ucapan “Amin”
• Rindukan Doa Malaikat
• Ada Cara Hajat Cepat Ditunaikan
• Antara Nikmat dengan Istidraj
• Banyak Songel Tanda Tidak Syukur
• Jadikan Rumah sebagai Tempat Beribadat
• Kuntum Senyum Jumaat
• Muliakan Jumaat dengan Banyak Berdoa dan Berselawat
• Hidup Sentiasa Berzikir
• Dua Kegembiraan
• Kita Masih Jahil
• Mudah-mudahan Sebagaimana yang Disangkakan Orang
• Penilaian yang Benar Mengenai Baik dan Betul
• Allah yang Menjadikan Manusia Pandai
• Natijah Ilmu untuk Mencari Redha Allah
• Sedekah yang Afdal
• Sesuatu yang Diinfakkan Itulah Milik Kita
• Pencetus Kebaikan Dapat Pahala Berganda
• Makrufat Mahar ke Syurga
• Disayangi Allah Dicintai Manusia
• Dia Lebih Baik daripada Diriku
• Berilah Kemaafan untuk Mendapat Ketenangan
• Kitalah yang Mula Menghulur Tangan dan Memberi Salam
• Tiga Hari Sahaja
• Hanya Seorang Diri
• Tiada yang Terlepas daripada Pengetahuan Allah
• Apabila Allah Murka
• Jauhi Perangai Himar
• Seringan-ringan Azab Allah
• Orang Zalim Akan Bangkrap di Akhirat
• Kezaliman yang Tidak Popular
• Istighfar Mengindahkan Majlis
• Nifaq Mengheret ke Dasar Kawah Api Neraka
• Penyakit yang Paling Ditakuti Rasulullah
• Bank Amalan Jadi Zero
• Riddah Meranapkan Semua Amal Ibadah
• Berserah Diri kepada Allah
• Satu Keluarga Besar dengan Ikatan Akidah
• Memelihara dan Merealisasikan Misi Agung
• Berjuanglah atas Keyakinan Janji Allah
• Usah Bersikap Lemah
• Menyambung Tugas Rasul sebagai Muzakkir
• Warnai Dakwah dengan Hikmah
CONTOH BAB 1
Dalam bidang perubatan, satu rumusan atau kesimpulan telah diputuskan (digazetkan) bahawa jantung (hati) yang sihat merupakan faktor utama dan menjadi sumber kesejahteraan hidup seorang manusia. Bahkan semua orang menerima (akur) bahawa selagi jantung berada dalam keadaan baik yakni masih berfungsi mengepam darah secara teratur (sistematik) ke seluruh anggota tubuh, maka selagi itulah manusia berada dalam keadaan sihat wal ‘afiat.
Justeru, dengan sifir atau kaedah yang sama, telah dirumuskan secara muktamad bahawa kebaikan jasmaniah (lahiriah) seseorang itu bergantung (terletak) kepada kebaikan hatinya (rohaniah) kerana hati merupakan anggota yang paling penting di dalam tubuhnya.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Sesungguhnya di dalam diri manusia ada seketul daging, bilamana dia baik, maka baiklah seluruh anggota dan bilamana dia rosak, maka rosaklah seluruh anggota. Ketahuilah itulah hati.”
(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Perbezaan pendapat mengenai hati dan akal
1) Para ulama mazhab Imam as-Syafi‘i rahimahullah mengatakan bahawa: Sumber asal pada akal (‘aqlun) ialah hati dan otak yang terdapat di dalam kepala itu hakikatnya berasal dari hati.
Apa dalil mereka?
Firman Allah SWT: لَهُمْ قُلُوبٌ لاَّ يَفْقَهُونَ بِهَا
Terjemahan: Mereka mempunyai hati, namun (tetapi) mereka tidak mahu memahami dengannya (ayat-ayat Allah).
(Surah al-A‘raf: 179)
Hujah dan pandangan yang sama diguna pakai oleh ahli falsafah dan ulama mutakallimin.
2) Manakala mazhab Imam Abu Hanifah rahimahullah mengatakan bahawa: Akal itu terletak pada otak.
Pendapat yang serupa telah diterima pakai dan dikeluarkan oleh para doktor (ahli perubatan) dengan hujah bahawa bilamana otak menjadi rosak maka rosaklah akal manusia.
Kajian dan pemerhatian berterusan dalam ilmu perubatan telah mengesahkan bahawa punca fikiran seseorang manusia itu terletak di (pada) otaknya kerana pancaindera yang lain hanya akan bergerak dengan arahan yang dikeluarkan oleh otak.
Sumber yang asal
Sekalipun terdapat dua perbezaan pendapat dalam hal ini, namun satu kenyataan umum telah diterima pakai bersama bahawa HATI kekal sebagai sumber asal kehidupan (pergerakan) seluruh anggota badan termasuklah otak.
Hujah dan rasionalnya ialah bilamana hadis Nabi SAW mengatakan bahawa kesejahteraan jasad lahiriah dan fikiran dihubungkaitkan dengan hati, ia membawa makna jasad dan fikiran telah dihubungkan dengan sumbernya yang asal.
Sumber kehidupan kita yang asal inilah yang wajib dipelihara dan dijaga supaya sumber tersebut sentiasa bersih pada pandangan Allah SWT. Hati itu amanah Allah kepada kita untuk dijaga dengan segala daya upaya yang ada.
Menjaga amanah ini sememangnya tugas yang amat berat dan sukar lebih-lebih lagi dengan kewujudan dua musuh tradisi manusia yang sangat menginginkan agar manusia tersembam ke lembah kehinaan dan kemurkaan Tuhan. Siapa lagi mereka kalau bukan syaitan dan nafsu?
Namun bagi para solehin yang telah membulatkan azam dan tekad semata-mata mahu membesarkan Allah lewat kehidupan di dunia yang sementara ini, insya-Allah laluan penuh ranjau ini pasti akan dipermudahkan Allah buat mereka. Itu janji-Nya yang pasti.
Jika Allah mahu memudahkan perjalanan hidup seseorang, maka Allah boleh sahaja memudahkan segala urusannya kerana kunci kemudahan itu ada di dalam genggaman-Nya. Kunci hidayah dan kunci kemudahan itu ada dalam kesungguhan berjihad dan bermujahadah di jalan-Nya. Itulah jaminan Allah sejak berabad yang lalu.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
“Mereka yang berjihad /bermujahadah (bersungguh-sungguh) di jalan Kami pasti akan Kami tunjuki (beri hidayah) jalan-jalan Kami; Sungguh, Allah bersama orang yang berbuat baik.”
(Surah al-‘Ankabut: 69)
Setelah Allah memerintahkan manusia memelihara dan membersihkan hati mereka, Allah telah, sedang dan akan melihat dan memantau pula siapa yang sanggup taat melaksanakan perintah-Nya dan siapa pula yang membelakangkan perintah-Nya itu.
Yakinilah bahawa pemantauan dan penilaian Allah itu Maha Halus lagi terperinci “detail”. Dengan penilaian yang terperinci itu, maka Allah dapat menyaring daripada kalangan hamba-hamba-Nya nanti siapakah antara mereka yang benar taat dan patuh kepada-Nya.
Nah, kepada yang taat, dijanjikan keberuntungan dan kejayaan yang besar. Manakala buat mereka yang culas dan ingkar dijanjikan untuk mereka kerugian dan kehinaan.
Allah SWT berfirman lagi yang bermaksud:
“Sungguh beruntunglah orang yang senantiasa membersihkan jiwanya dan sungguh merugilah orang yang senantiasa mengotori jiwanya.”
(Surah asy-Syams: 9)
UNTUK BELI SECARA ONLINE,
LAWAT galeriilmu.com.my