.

Terima Kasih Kerana Mengunjungi . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . Untuk pembelian, kunjungi www.galeriilmu.com.my atau whatsapp 01132933466

Dec 25, 2008

Modal Untuk Menjadi Penulis Best-Seller

...antara modul yang dibentangkan di Bengkel Penulisan Novel Islami bersama Ustaz Habiburrahman El-Shirazy yang merupakan penulis novel Ayat-Ayat Cinta yang telah berjaya mencipta satu fenomena baru dunia penulisan novel Islam...

Modal 1 – Niat yang kuat / Kemahuan yang ‘keras’
Seseorang yang mempunyai niat yang kuat untuk menjadi seorang penulis boleh berjaya sebagai penulis. Di samping itu, kemahuan yang ‘keras’ juga boleh menjadi dasar yang ampuh bagi memacu diri ke arah kecemerlangan dalam penulisan. Dengan niat yang betul dan kemahuan yang jelas, seorang penulis akan dapat melihat dunia penulisan sebagai satu zon yang menguntungkan sekaligus akan menyimpan impian untuk menjadi seorang penulis bestseller! Bukan bermaksud untuk menanam sifat materialistik di kalangan penulis, tetapi ‘habuan’ itu akan membantu kita untuk lebih bersemangat menghasilkan tulisan yang berkesan kepada pembaca.


Modal 2 – Keberanian (untuk menulis)
Bagi penulis-penulis baru, pastinya sering berhadapan dengan situasi takut hasil karya mereka dikritik. Mungkin kerana bimbang hasil tulisan mereka tidak menepati standard yang ditetapkan. Buangkan sifat ini jauh-jauh! Ini adalah halangan utama yang boleh menghapuskan cita-cita anda untuk menjadi seorang penulis yang berjaya. Benteng halangan ini perlu dipecahkan dengan keberanian yang jitu. Bukan hanya berani untuk menulis, tetapi juga berani untuk membenarkan orang lain membaca dan menilai apa yang telah anda tulis.

Modal 3 – Idealisme yang diperjuangkan dan/atau kekuatan jiwa
Penulis perlu ada 'sesuatu' yang ingin diperjuangkan di dalam penulisannya. Hasil perjuangan yang didasari kekuatan jiwa yang benar-benar ikhlas kerana Allah, akan menghasilkan karya yang lebih ‘membumi’ kepada masyarakat pembaca. Pada masa yang sama, anda akan dapat melahirkan komuniti anda yang tersendiri andainya ide perjuangan anda itu (idealisme) menepati sasaran kelompok pembaca. Cetusan perjuangan dalam penulisan ataupun idealisme ini juga dapat membantu menghasilkan ‘umur yang panjang’ kepada karya penulisan anda, insya-Allah.

Modal 4 – Ilmu, Wawasan dan Penguasaan Teknik Penulisan Yang Baik.
Penulis perlulah punya ilmu dan wawasan yang jelas. Dua perkara ini akan memandu anda ke arah yang lebih fokus dan tidak terawang-awang dalam penulisan. Ya, anda bebas menulis. Tetapi menulislah dengan ilmu yang benar dan wawasan yang membina. Juga jangan sesekali kesampingkan penguasaan teknik penulisan yang pastinya akan membuahkan hasil karya yang lebih ranum untuk dinikmati oleh pembaca anda.

Modal 5 – Akhlak Yang Mulia
Sebagai seorang penulis Muslim, jangan sesekali alpa dengan ajaran agama. Modal ini adalah kemuncak keberkatan dalam membina diri sebagai seorang penulis Muslim yang berjaya. Dengan akhlak yang mulia, penulis akan lebih menjiwai apa yang ditulis. Hasil tulisan dirangka dengan hati yang ikhlas dan jiwa yang luhur. Apabila penulis dapat menjiwai hasil karyanya, tidak mustahil pembaca juga akan mudah jatuh cinta dengan bukunya!

Nov 10, 2008

Mitos Dunia Penerbitan Buku

Kenyataan yang mengatakan rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku setahun adalah satu mitos.

Demikian juga kenyataan bahawa buku-buku yang ada di pasaran tidak mampu dijual dan penulis buku di Malaysia tidak boleh menjadi kaya dengan menulis buku.

“Ini adalah mitos-mitos di dalam dunia penerbitan buku di Malaysia,” beritahu Encik Fauzul Na’im Ishak (gambar), pengendali Bengkel Penulisan Umum Bukan Fiksyen yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 4-6 November lalu.

Foto ihsan: B Pro Management & Training
Mitos-mitos ini adalah antara faktor mengapa penulis tidak menulis buku. Satu lagi mitos yang menghantui penulis-penulis adalah kononnya semua penerbit buku di Malaysia adalah penipu besar.

Menurut Encik Fauzul Na’im, Pengarah Urusan B Pro Management and Training yang diamanahkan mengendalikan bengkel anjuran DBP ini, mitos itu timbul kerana ada penulis yang tidak berpuas hati apabila bukunya dicetak berkali-kali sedangkan dia hanya menerima bayaran sekali saja.

Hal ini disebabkan penulis berkenaan tidak faham tentang terma-terma di dalam perjanjian penerbitan termasuk tentang kaedah bayaran dan soal hak cipta. Kekeliruan timbul apabila penulis tidak faham sama ada hak cipta manuskrip bukunya dijual terus atau dilesenkan saja kepada penerbit.

Dengan menjual terus hak cipta manuskrip bukunya, penulis akan menerima sejumlah bayaran dalam bentuk ‘lump sum’ (sekali bayar). Selepas itu penulis tidak menerima apa-apa bayaran lagi walaupun buku dicetak berulang kali kerana hak cipta manuskripnya sudah dibeli oleh penerbit berkenaan.

Bagaimanapun, apabila hak cipta manuskrip hanya dilesenkan kepada penerbit, penerbit biasanya akan membayar royalti dengan kadar tertentu kepada penulis mengikut jumlah buku yang terjual. Semakin banyak buku terjual, semakin banyak royalti akan diterima oleh penulis. Kaedah ini diamalkan oleh kebanyakan penerbit berwibawa dan penerbit besar di negara ini.

Bengkel itu dihadiri 28 peserta yang terdiri daripada editor dan penulis dari syarikat-syarikat penerbitan tempatan, termasuk Galeri Ilmu Sdn Bhd.

“Kenapa kita mengadakan bengkel ini? Kerana kita hendak melahirkan ramai pengarang. Dengan lahirnya ramai pengarang, kita hendak lahirkan banyak buku. Apabila sudah ada banyak buku, barulah industri penerbitan buku di Malaysia benar-benar layak dipanggil ‘industri’,” kata Encik Fauzul Na’im yang mempunyai pengalaman lapan tahun sebagai editor dan penerbit buku. Beliau berjaya melahirkan barisan penulis-penulis buku ‘best-seller’ melalui PTS Millennia Sdn Bhd yang diterajuinya.
Beliau mengajak para peserta melihat penulisan buku sebagai bisnes, bukan sekadar seni. “Jangan tengok buku sebagai seni saja.”

Antara pengisian menarik bengkel ini adalah teknik menulis menggunakan Kaedah KJ (KJ Methode) dan kaedah adaptasi yang mampu membantu penulis menyusun idea dan menulis buku dalam waktu yang lebih singkat. Malah kaedah ini membolehkan penulis menulis beberapa buku serentak.

Melalui KJ Methode, penulis diajar berfikir secara non-linear. Misalnya, apabila penulis hendak menulis buku yang mengandungi 10 bab, penulis boleh memulakan penulisan dari mana-mana bab, tidak semestinya bermula dari bab satu, diikuti bab kedua, ketiga dan seterusnya.

Dalam satu sesi berkongsi pengalaman, pakar motivasi dan penulis buku motivasi ‘best-seller’ Tuan Ahmad Fadzli Yusof berkata, KJ Methode membantu beliau menghasilkan banyak buku dalam masa yang singkat.

Tuan Ahmad Fadzli juga mendedahkan kepada para peserta teknik pengurusan idea yang membolehkan penulis mencari dan mencuri masa menulis di celah kesibukan seharian.
“Apabila dapat mengurus idea dengan baik, kita dapat cari masa,” katanya.
“Orang yang ada idea (ideanya terurus), duduk saja di depan komputer, dia boleh menulis. Dia tidak akan buntu.”

Para peserta juga mendapat input-input baru daripada Encik Mohd Ikram Mohammad Nor Wazir, Editor Kanan/Perolehan PTS Millenniea, yang berkongsi ilmu mengenai anatomi buku.

Puan Hajah Zainab Kassim, Pengarah Jabatan Penerbitan DBP dalam ucapan perasmian bengkel, menggesa para penulis menggabungkan amali dan latihan secara profesional secara berterusan untuk menghasilkan buku-buku berkualiti.

Manakala Puan Kamsiah Mohamad, Ketua Bahagian Pembangunan Penerbitan DBP dalam ucapan penutup bengkel, melahirkan rasa puas hati dengan pengendalian bengkel ini yang mampu memberi banyak input baru kepada peserta.

Beliau yakin bengkel itu akan membantu melahirkan banyak judul buku baru terutama buku-buku yang diterbitkan di bawah Dana Penggerak Industri Buku Negara. DBP adalah urus setia dana tersebut

Gambar-gambar sepanjang program: Foto ihsan: B Pro Management & Training


Sebahagian peserta yang memenuhi dewan kuliah


Sesi pembentangan projek berkumpulan

Para peserta bergambar selepas sesi penutup bengkel

Oct 20, 2008

Kekuatan Bahasa Memudah Bicara

Kekuatan satu-satu ucapan atau tulisan terletak pada matlamat yang benar dan jelas serta kaedah dan pendekatan yang berkesan. Mesej yang dibawa atau maklumat yang disampaikan telah digabung dengan pendekatan yang indah, mudah dan menyentuh. Ini adalah perkara asas dalam komunikasi, dan sehubungan dengan itu, penggunaan bahasa amat penting.

Baik dalam pertuturan, ucapan atau tulisan, bahasa yang digunakan mesti tepat, jelas, betul, padat dan mudah. Agar apa saja yang anda ingin sampaikan dapat difahami, dirasai dan dapat mempengaruhi pendengar atau pembaca.


1. Tepat
Jika anda ingin berbicara perihal ayam, bicaralah terus mengenai ayam. Perkataan, istilah, ayat dan ungkapan yang terpilih mesti tepat menceritakan tentang ayam, bukan yang boleh menimbulkan tanggapan bahawa anda seolah-olah bercakap atau menulis mengenai kambing. Bicaralah tentang kepak ayam, kaki ayam, paruh ayam, bulu ayam, paruh ayam, bulu ayam dan sebagainya tentang ayam.

2. Jelas
Perkataan atau istilah yang digunakan mesti jelas pengertian atau maksudnya, tidak kabur atau samar-samar. Bahasa yang jelas akan mempercepatkan pemahaman dan penghayatan oleh pendengar atau pembaca.

3. Betul
Bahasa mesti betul dari segi susunan dan tatabahasa. Bahasa pertuturan atau ucapan lebih longgar dalam aspek tatabahasa berbanding dengan bahasa tulisan. Namun kedua-duanya mesti betul susunan, tidak songsang dan tidak mengandungi ayat yang tergantung.

4. Padat
Bahasa padat adalah bahasa yang ekonomik; tidak meleret-leret dan tidak sekadar bermain-main dengan istilah puitis. Sebuah puisi sekalipun, mesti padat penggunaan bahasanya. Bukan sahaja ia indah didengar atau dibaca tetapi juga cepat sampai kepada maksud. Kadang-kadang keindahan atau nilai retorika sesuatu ucapan atau tulisan (termasuk puisi) dapat dirasai pada mesejnya yang menyentuh perasaan dan menyentak fikiran. Bukankah tujuan kita berkomunikasi untuk menyampaikan sesuatu, dan bahasa hanya sebagai alat?

5. Mudah
Bahasa mudah bukanlah bahasa pasar. Ia adalah bahasa yang keluar spontan dari hati. Lihat siapa sasaran ucapan atau tulisan kita sama ada muda-mudi, golongan intelek, kaum ibu atau lainnya. Dari situlah kita mulakan bicara atau menulis. “Berbicaralah kepada manusia mengikut kadar akal mereka,” demikian maksud hadith.

Bahasa mudah tidak mempunyai istilah dan konsep yang sukar dan difahami atau perkataan yang tinggi-tinggi (bombastik). Biarlah kita bercakap atau menulis dengan bahasa yang mudah difahami dan sudah sebati dengan semua peringkat masyarakat. Jangan biarkan penyampaian mesej atau maklumat tersekat oleh bahasa yang hanya difahami oleh segelintir masyarakat. Walaupun begitu, keindahan dan kejituannya tetap dipertahankan.

Dalam penulisan, tulisan yang baik seolah-olah bercakap kepada pembacanya. Ucapan atau tulisan dari hati akan jatuh ke hati pendengar atau pembaca, hingga membuatnya tersentuh kerana terbentuk satu ‘hubungan jiwa’ antaranya dengan penulis atau orang yang sedang berucap. Ucapan atau tulisan itu dikatakan mempunyai ‘roh’ dan ‘jasad’. Yakni mempunyai isi yang disampaikan melalui kekuatan bahasa.

Oct 16, 2008

5 Ciri Penulisan Berkesan

Apabila penulis mahu menggunakan penulisan untuk berdakwah dan mendidik, dia mestilah mampu menulis dengan berkesan. 

Ada sekurang-kurangnya lima ciri pada penulisan yang berkesan iaitu:

1) Mesejnya jelas
Sesuatu tulisan yang mesejnya kabur dianggap gagal sebagai saluran untuk berdakwah dan mendidik masyarakat walaupun susunan bahasanya indah, olahan isinya baik dan penuh pengalaman menarik. Ia tidak boleh menjadi hujah, sandaran dan pandangan untuk mula mengamalkan kebaikan yang terkandung dalam ajaran Islam.


2) Bahasanya mudah
Tidak mempunyai istilah dan konsep yang sukar difahami atau perkataan-perkataan yang tinggi-tinggi (bombastik). Biarlah bahasanya mudah difahami dan sudah sebati dengan semua peringkat masyarakat. Jangan biarkan penyampaian mesej di dalam tulisan tersekat oleh bahasa yang hanya difahami oleh segelintir masyarakat. Walaupun begitu, keindahan dan kejituannya tetap dipertahankan.

3) Rentak dan gayanya menarik
Tulisan yang baik seolah-olah bercakap kepada pembacanya. Ayat, susunan bahasa dan tanda bacaannya dijaga supaya nada rentaknya dapat ‘didengar’ oleh pembaca. Gunakan ayat yang pendek-pendek. Ayat yang panjang-panjang (melebihi 16 perkataan) akan memperlahankan tempo membaca kerana kadar keterbacaannya (readability) rendah. Liuk-lentuk tulisan mesti dapat dirasai. Penggunaan gaya bahasa bergantung kepada corak tulisan. Gaya bahasa pojok tentu tidak sama dengan gaya bahasa rencana atau puisi. Yang penting jangan sekali-kali lari dari bahasa mudah.

4) Mengusik fitrah
Hakikat manusia (insan) itu adalah fitrahnya (roh atau jiwanya). Nafsu yang ada dalam diri manusia hanya menjadi pendorong, penggerak untuk ia bertindak. Oleh itu mesej atau isi tulisan yang hendak disampaikan walau di bidang mana sekalipun mesti ‘mengusik’ hati atau fitrah manusia. Maka barulah dengan itu ia dikira berjaya.

5)Menepati sasaran
Setiap tulisan mempunyai pembaca sasaran (target audience) – boleh jadi umum ataupun khusus. Namun ada kalanya pengkhususan itu penting. Sasaran dikira tepat jika sesuatu tulisan menimbulkan kesedaran dan keinsafan. Sasaran dianggap melencong jika pembaca marah, melenting dan sakit hati. Bagaimanapun pembaca yang mempunyai sifat ego dan hasad dengki yang keterlaluan, tetap menolak walau bagaimana baik sekalipun sesuatu tulisan.

Oct 15, 2008

Kepentingan Sinopsis dan Bab Contoh


Dalam usaha untuk menghasilkan sesebuah karya penulisan yang baik, antara perkara asas yang perlu dititikberatkan adalah sinopsis dan bab contoh. Dua perkara ini perlulah selari dengan hala tuju penulisan yang akan dimuatkan di dalam manuskrip yang akan dihantar kepada penerbit seperti GISB (Galeri Ilmu Sdn Bhd).

Kenapa Sinopsis Diperlukan?

Sinopsis diperlukan untuk tujuan berikut:

a) Memudahkan kawalan karya dibuat
Apabila penulis mengajukan sinopsis karyanya, editor akan dapat memastikan:
  • karya itu sesuai dengan kehendak dan dasar GISB
  • karya itu tidak ada persamaan cerita atau isi kandungan dengan karya lain sama ada yang telah atau sedang ditulis oleh penulis lain di dalam dan luar negara, atau karya yang ditulis antara sesama penulis GISB.
b) Membuka jalan kepada kelahiran karya yang bermutu dan ada nilai pasaran
Apabila sinopsis diserahkan kepada editor, ada ruang untuk karya itu dibaiki sebelum siap menjadi manuskrip. Misalnya bagi novel, editor dapat memberikan idea bagaimana untuk menguatkan plot, perwatakan dan penyudahnya. Begitu juga bagi buku-buku lain, editor dapat mencadangkan isi kandungan yang boleh dikuatkan atau bahagian yang boleh dikeluarkan supaya buku itu mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

c) Membuka jalan kepada komitmen penerbit-penulis
Hanya selepas sinopsis diluluskan, barulah GISB akan memberikan komitmennya untuk menerbitkan sesebuah karya, manakala penulis akan memberikan komitmennya untuk menyiapkan manuskrip. Hal ini disebabkan:

  • GISB ada jaminan bahawa ia akan dapat menerbitkan karya yang sesuai dengan kehendak dan dasar penerbitannya. Oleh itu GISB akan memasukkan judul buku yang telah diluluskan sinopsisnya itu ke dalam jadual penerbitannya dan memberikan satu tempoh kepada penulis untuk menyiapkan manuskripnya.
  • Penulis pula mendapat jaminan bahawa karyanya akan diterbitkan oleh GISB. Oleh itu penulis akan berusaha menyiapkan manuskripnya mengikut tempoh yang diberikan dan tidak timbul isu penulis berhenti menulis separuh jalan.
d) Mengelakkan penulis patah semangat
Dengan mengajukan sinopsis untuk dinilai terlebih dahulu, penulis tidak akan mengalami keadaan di mana manuskripnya yang sudah siap tiba-tiba ditolak oleh editor. Editor seboleh mungkin mahukan sinopsis yang diterima itu menjadi karya yang berpotensi untuk diterbitkan. Jika perlu, editor akan mencadangkan pindaan yang perlu dibuat. Jadi, penulis hanya perlu meminda sinopsis, bukannya membetulkan dan merombak sebuah manuskrip.

Kalau sinopsisnya ditolak sekalipun, penulis masih tidak rasa tertekan sangat atau patah semangat. Lebih mudah untuk menghasilkan sinopsis yang lain sebagai ganti, berbanding dengan menulis manuskrip baru bagi menggantikan manuskrip yang ditolak. Editor juga boleh mencadangkan buku lain yang boleh ditulis oleh penulis atau mencadangkan penerbit yang lain yang mungkin berminat dengan buku yang akan ditulis itu (jika GISB tidak bersedia menerbitkannya).

Kenapa Bab Contoh Diperlukan?

Bab contoh diperlukan untuk tujuan berikut:

a) Membolehkan editor mendapat gambaran yang jelas dalam menilai karya, terutama dari aspek isi kandungan dan gaya penyampaian.

b) Membolehkan editor memberi maklum balas awal kepada penulis sebelum penulis meneruskan kerja menyiapkan manuskrip. Daripada maklum balas ini, penulis diharap akan:
  • lebih terarah dalam menyiapkan buku/novelnya berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh editor,
  • dapat mengelak daripada mengulangi apa-apa kesilapan yang telah dikenal pasti oleh editor,
  • dapat membaiki apa-apa kelemahan yang dikenal pasti oleh editor,
  • dapat mengekalkan kekuatan yang berjaya diserlahkan pada bab-bab contoh itu.
c) Bagi novel/karya fiksyen, bab contoh ini membolehkan editor mengenal pasti nilai didikan yang berjaya diselitkan oleh penulis dan apakah nilai didikan itu berjaya diselitkan secara berhikmah dan halus.

Oct 12, 2008

Bila Analog Ke Medan Digital


Tajuk entri kali ini sebenarnya memetik mesej yang disampaikan oleh Abu Saif yang merupakan antara pengunjung awal ke blog Editor Kanan Jabatan Buku, Encik Zakaria Sungib.

Ya, cerita benar! Editor kita dah mula 'terjun' ke dunia blog! Ikut perkembangan semasa katanya. Alhamdulillah, sememangnya sudah lama Jabatan ini cuba untuk meneroka alam siber yang tidak bersempadan ini. Dengan harapan mesej Jabatan dapat disampaikan kepada umum dengan lebih pantas dan pada masa yang sama ingin mewujudkan komuniti Jabatan Buku sendiri.


Hari ini, dunia blog bukanlah satu fenomena yang baru. Malah sudah menjadi satu trend yang makin menjadi-jadi. Tidak hairanlah jika yang masih di bangku sekolah pun sudah mula berjinak-jinak dengan blog. Tujuannya sama. Sebagai satu alternatif kepada diari harian yang makin malap zaman kegemilangannya.

Dengan adanya blog, kita bebas menulis tentang apa sahaja yang kita suka. Tapi awas, jangan sampai timbul kontroversi pula. Mungkin ramai yang sedia maklum dek kerana konsep blog yang tiada sekatan ini, ada pemilik blog yang kena tangkap! ISA lagi! Hmm...kena ikut etika la maksudnya tu.

Berbalik kepada Editor Zakaria yang sudah mula mem'blog'kan diri (jangan guna bahasa ni, tak lulus DBP pun), beliau lebih banyak berkongsi pengalaman dan juga tip-tip dalam bidang penulisan di dalam blognya. 'Otai' kami ini sememangnya tidak pernah lokek dengan ilmu. Memang banyak perkara yang dapat kita pelajari dan hayati daripada blog beliau. Terima kasih Pak Ya (panggilan mesra di pejabat, hehe)!

Untuk ke blog Encik Zakaria, boleh klik pada ikon Zakaria's Corner di menu kanan blog ini atau terus ke http://zakaria-sungib.blogspot.com

Selamat berkongsi ilmu dan pengalaman!

Oct 9, 2008

Satu Rasa Dua Hati

Penulis: Pahrol Mohd Juoi
ISBN: 978-983-097-169-8
Tebal: 224 ms

Setiap penyakit ada ubatnya, setiap masalah ada penyelesaiannya.

Buku ini menyediakan jawapan untuk persoalan seharian rumah tangga. Ia adalah catatan bicara rasa penulis berkaitan dengan hubungan suami isteri dan kerukunan sebuah rumah tangga.

Bagi yang bakal dan telah berkahwin buku memberikan panduan menyemarakkan lagi cinta dalam perkahwinan.

Bagi yang bermasalah buku ini menunjuk jalan untuk membetulkan hala tuju rumah tangga.

Alahai Pengantin Baru dan 110 Kisah Kehidupan

Penulis: Jalilah Abdullah
ISBN: 978-983-097-178-0.
Tebal: 214 ms

Di sebalik kisah-kisah yang berlaku pada diri orang lain, kita mungkin akan menemui cerminan diri kita. Inilah mesej yang cuba disampaikan melalui 111 kisah kehidupan yang dimuatkan di dalam buku ini.

Berdasarkan pengalaman lebih 20 tahun dalam dunia kewartawanan, penulis menghimpun kisah yang biasa-biasa tapi kaya dengan iktibar, diolah dengan gaya santai. Sesetengahnya kisah insan biasa yang melakukan sesuatu yang luar biasa. Ada kisah menyayat hati, menyentak emosi, menyentuh naluri. Ada kisah menyubur fitrah, menghidupkan jiwa.

Banyak pula kisah yang merangsang minda dan membantu kejernihan rohani. Kisah-kisah ini merupakan cermin kehidupan yang dekat dengan setiap orang daripada kita. Ada sumber motivasi, bahan renungan dan tip. Buku ini mirip Chicken Soup for the Soul, namun dengan sentuhan nilai Islamik.


Walaupun judul besarnya Alahai Pengantin Baru, buku ini memuatkan banyak kisah lain – kisah rumah tangga, kisah kasih sayang, kisah mencuit hati tentang kefahaman agama, dan umumnya 1001 kisah manusia di ‘universiti kehidupan’. Saiznya yang comel dan unik menjadikan buku ini sangat sesuai untuk dijadikan hadiah perkahwinan, hadiah hari lahir dan sebagainya.

Aku Terima Nikahnya

Penulis: Hasrizal Abdul Jamil
ISBN: 978-983-097-189-6.
Tebal: 190 ms

Melihat anak-anak terkurung di dalam rumah tingkat 11 bak sarang merpati, timbul rasa terkilan. Damai yang dikecap sebagai sebahagian hidup semasa di Ireland dulu, janjinya tinggal janji. Bukanlah kerana rumah tidak berjiran dengan taman. Sulitnya adalah pada masa dan kesempatan. Keluar pagi balik malam, suasana kerja mencuri masa pergi begitu sahaja. Hujung minggu pula terpaksa dibahagi antara kerja isteri di hospital, dengan jadual ceramah dan mesyuarat.

Betapa mahalnya setiap hujung minggu untuk anak-anak membesar damai dengan ibu, bapa dan Allah Pencipta melalui damai taman dan alam sekitar sentuhan-Nya. Di mana janji untuk berdamai di taman… mendekati Dia pada ciptaan langsung-Nya yang kaya.


Buku ini menghimpun coretan rasa dan pengalaman seorang bapa dalam memenuhi tanggungjawab yang menanti sebuah perkahwinan.

Demi Masa

Penulis: Abu Hassan Morad
ISBN: 978-983-097-188-9.
Tebal: 190 ms

Demi Masa... yang ditulis oleh Abu Hassan Morad ini merupakan luahan rasa hati beliau terhadap masyarakat hari ini, berkisar terutamanya tentang nasib orang Melayu Islam di negara ini.

Sebagai seorang anak peneroka yang dibesarkan dalam suasana penuh mencabar, yang kemudiannya menjadi seorang guru, penulis, pengarah dan beberapa lagi amanah lain yang terpikul di bahunya, beliau melihat dan merasa sendiri realiti kehidupan masyarakat yang tidak seimbang, kucar-kacir, tidak terurus, tertindas dan sebagainya, yang disebabkan oleh sifat tamak, tidak bertanggungjawab, mementingkan diri sendiri, tidak prihatin, lemah, penakut, ego dan lain-lain, sebagai akibat daripada kegagalan melaksanakan tugas yang diamanahkan terhadap diri masing-masing.


Dalam catatannya, beliau menyeru anak bangsanya agar berubah, kembali menghayati ajaran Islam yang indah, mengambil iktibar terhadap apa jua kejadian dan mencungkil hikmah terhadap setiap perkara yang berlaku di bawah bumbung dunia globalisasi dunia hari ini.

Cinta Luar Biasa Di Alam Rumah Tangga

Penulis: Datin Seri Latipah Bt Hj Abdullah
ISBN: 978-983-097-191-9

Alangkah indah dan berertinya hidup seorang isteri yang dapat bergandingan dengan suami sepenanggungan duka lara. Tuntutan agama sama-sama dilaksana, sebiduk sehaluan menuju pulau impian. Tetapi alangkah derita dan laranya si isteri apabila suami kurang agama.… tiada kasih tiada gurindam, maki-hamun menjadi ulaman.

Penulis berkongsi pengalaman dan amalan biasa-biasa yang memberi impak luar biasa dalam kehidupan berumah tangga. Pesan orang-orang tua dijadikan panduan kerana banyak mutiara berHarga. Pedoman syariat digenggam erat demi kerukunan berpanjangan di celah gelora ujian. Buat isteri mahupun suami, buku ini menyuakan resipi untuk memupuk cinta luar biasa selepas kahwin!


Kasih Disemai Sayang Dituai

Penulis: Prof Dr Amida Abdul Hamid
ISBN: 978-983-097-180-3
Tebal: 224 ms

Sebuah titipan pengalaman dan pemikiran yang kaya dengan rencah kasih sayang. Diolah dalam gaya penceritaan yang segar dan sarat dengan nostalgia.

Buku ini mirip sebuah memoir yang menyorot anekdot-anekdot menarik dalam kehidupan penulis dari zaman kanak-kanak membawa ke alam dewasa, menggunakan gaya bahasa yang cukup sederhana. Diselitkan unsur teladan, mesej yang membuka fikiran dan nilai-nilai didikan.


Kembara Atiq Wazif - Satu Anugerah

Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa
Penulis: Hassan Suyut
ISBN: 978-983-097-190-2.
Tebal: 277 ms

Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.

Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.


Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.

Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.

Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”

Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…

Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”

Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga.

Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.

Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!

Oct 8, 2008

Perempuan Di Pinggir Tasik

Penyusun: Suraiya Pauzi
ISBN: 978-983-097-179-7
Tebal: 200 ms

Merupakan kompilasi cerpen yang pernah diterbitkan di dalam majalah ANIS. Konflik rumah tangga, emosi, ego, cinta telah disatukan dalam sebuah buku.

Hanya iman jadi pedoman. Hanya sabar dan kesetiaan jadi penyelamat!

Hayatilah 15 kisah indah di dalam PEREMPUAN DI PINGGIR TASIK. Bagaikan halwa untuk kalbu yang gundah...nyata menyentuh perasaan. Pasti nurani terhibur!

Muhammad SAW - Putera Lembah Bakkah

Anekdot Kehidupan Nabi SAW Dalam Bentuk Kreatif
Penulis: Zuraimi Ismail
ISBN: 978-983-097-183-4.
Tebal: 144 ms

Banyak sudah ditulis tentang sirah Nabi Muhammad SAW. Namun apa yang menarik mengenai buku ini adalah, pengkisahan detik-detik awal kehidupan Nabi SAW diolah dengan gaya kreatif yang cukup indah.

Gaya penulisan yang menggunakan ketajaman kreativiti dan kehalusan perasaan ini menjadikan pengkisahan mengenai kehidupan Rasulullah begitu dramatik. Gambaran watak-watak dan ungkapan dialog-dialognya terasa’hidup’. Ia membawa pembaca seolah-olah berada di zaman baginda dan melihat sendiri ‘visual’ yang berlaku di depan mata!



Daya imaginasi pembaca akan dirangsang untuk menyelami kehidupan Nabi SAW di zaman kanak-kanak dan remaja membawa ke usia baginda 25 tahun, malah turut menelusuri beberapa tahun sebelum kelahiran baginda lagi untuk menggambarkan suasana yang kondusif yang telah disediakan oleh Allah untuk kelahiran kekasih-Nya.

Sentuhan Zuraimi Ismail yang sekian lama menulis tentang sirah Nabi dalam majalah ANIS, ASUH dan majalah i, menjadikan buku ini sangat berbeza daripada buku-buku yang pernah ditulis tentang kisah hidup Nabi Muhammad SAW.

Menghayati nukilan kreatif anekdot-anekdot popular yang banyak diceritakan dalam sejarah ini merupakan satu pengalaman membaca yang cukup mengasyikkan. Buku ini menjanjikan satu kelainan. Persembahannya ringan tapi sangat menghiburkan dan memberi kepuasan membaca.

Oct 7, 2008

Syaitan Musuh Kita

X-Files Syaitan Dibongkar!
Penyusun:
Zakaria Sungib / Hj Badrul Hisham
ISBN: 978-983-097-181-0.
Tebal: 120 ms

Buku ini memaparkan fakta dan riwayat hidup makhluk terlaknat yang telah diberi ‘lesen besar’ untuk menyesatkan manusia sejak zaman Nabi Adam a.s. hingga hari kiamat, iaitu syaitan.

Menariknya buku ini, bukan saja gaya penulisannya begitu santai, malah keseluruhan buku dihiasi ilustrasi yang memikat dan gambar foto yang relevan. Sepenuhnya dalam warna-warni, dengan jenis kertas yang berkualiti. Inilah satu-satunya buku yang membongkar rahsia kehidupan syaitan yang dipersembahkan dengan lakaran karikatur-karikatur dan ilustrasi yang menarik (tentunya karikatur syaitan berdasarkan imaginasi pelukis semata-mata).



Melihat pada senarai bahan-bahan rujukannya, buku ini mengandungi fakta, maklumat dan tip-tip dari sumber-sumber yang autentik. Ini bermakna, fakta-fakta yang dimuatkan adalah ilmiah dan boleh dipertanggungjawabkan. Salah satu sumber rujukannya adalah tulisan-tulisan Dato’ Dr. Amran Kasimin, seorang penulis yang cukup dikenali dengan tulisannya berkisar tentang alam jin dan syaitan. Dr. Amran telah menulis kata pengantar untuk buku ini, malah turut menyemak dan mentashihkan isi kandungannya. Melalui buku ini, X-files Iblis dan syaitan habis dibongkar.

Antara lain, pembaca akan menemui jawapan kepada persoalan-persoalan ini:
• Yang mana Iblis, yang mana syaitan?
• Dari mana asal-usul Iblis dan syaitan?
• Apa kaitan syaitan dengan jin?
• Di mana bertapaknya empayar ‘Iblis Raya’?
• Siapa menteri-menteri dalam kabinet Iblis?
• Apa habitat kegemaran syaitan?
• Adakah syaitan beranak?
• Adakah syaitan tidur?
• Apa makanan syaitan?
• Berapa jangka hayat syaitan?
• Apa kekuatan dan kelemahan syaitan?
• Bagaimana modus operandi syaitan untuk menyesatkan manusia?
• Apa pintu-pintu laluan syaitan dalam tubuh manusia?


Pembaca diajak agar jangan takut kepada Iblis dan syaitan, namun jangan pula terlalu berani. Kisah-kisah para nabi dan orang soleh berdepan dengan syaitan, serta tip-tip yang diturunkan, memberi kekuatan tambahan kepada buku ini.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...