Nov 13, 2013

Revolusi

Judul: Revolusi
Penulis: Pahrol Mohamad Juoi
Tebal: 224 ms
ISBN: 978-983-097-458-3
Kod: GB0250
Harga: RM 15.00

Sinopsis: 


Antologi cerpen Revolusi ini ditulis dengan misi ‘memanusiakan’ manusia. Apakah ada manusia yang bukan manusia? Ya, ada. Bukan pada rupa, tetapi pada jiwa.

   Apabila buta mata hati (kerana meminggirkan agama), manusia akan menjadi lebih hina daripada haiwan. Kerakusannya, bukan sahaja menghancurkan orang lain tetapi turut menghancurkan dirinya sendiri. Ketika itu kebijaksanaan akal akan didominasi oleh kerakusan hawa nafsu. Maka berlakulah keruntuhan spiritual di tengah pembangunan material. Inilah zaman jahiliah kedua yang mengekalkan ciri-ciri dalaman persis jahiliah yang pertama.

   Tidak kira setinggi mana ilmu, sebanyak mana harta atau sebesar mana kuasa ... tanpa berpegang kepada prinsip Islam yang syumul, umat Islam sendiri akan menjadi hamba kepada fahaman sekular. Inilah fahaman yang ‘diperangi’ oleh cerpen-cerpen dalam antologi ini. Ia memaparkan bagaimana ulama berfikiran sekular rela menjahanamkan agama atas nama agama. Mereka gadaikan prinsip teras dan nilai asas Islam atas alasan toleransi dan bersifat sederhana.

   Buku ini juga membuka tembelang umara berfikiran sekular, yang tega merosakkan masyarakat dengan muslihat untuk membela bangsa dan negara. Ironinya, mereka membaham isi, orang lain hanya mengutip sisanya. Manakala si jahil yang sekular pula akan terus jadi Pak Turut yang rela diperkuda oleh umpan hedonisme untuk terus bersuka ria dengan menggadaikan agama.

   Namun, kita tidak rela umat terus dijajah minda dan jiwanya. Sudah sampai masanya kita bangun dengan penuh kesedaran untuk mencantas belenggu jahiliah dalam jiwa dan fikrah masyarakat. Walaupun kebangkitan Islam ini pasti ada hambatan dan halangannya, kebenaran tidak akan dapat selamanya disekat. Ia umpama akar pokok yang mampu menembusi tanah dengan gerakannya yang lemah lembut penuh istiqamah. Atau ia umpama aliran air yang mampu melekukkan batu kerana sifatnya yang tegar dan sabar.

   Antologi cerpen Revolusi ini memaparkan arus yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam sepanjang zaman. Arus itu sama ada dalam bentuk sistem yang telah lama bertapak kukuh atau individu dominan yang menjadi pendukung sistem tersebut. Cerpen-cerpen dalam antologi ini polos dan telus sahaja sifatnya. Mungkin nilai estetikanya tidak seberapa. Namun sifat terus-terang dan vokalnya itulah yang lebih perlu dicermati dan diamati.

   Mesejnya jelas yakni ingin membawa pembaca untuk merentasi sempadan-sempadan kuasa, harta dan kekuatan yang sering dieksploitasi dan dimanipulasi untuk menyekat kebenaran. Untuk itu kita perlu bermujahadah – berhempas melawan hawa nafsu dan tipuan syaitan yang sangat mengajak kepada kejahatan. Musuh batin itu yang lebih berbahaya daripada musuh lahir. Betapa ramai pejuang Islam yang kecundang, bukan kerana pukulan musuh dari luar, tetapi rebah akibat lemah berperang dengan keinginan hawa nafsu sendiri!

Nov 4, 2013

Tip Penulis - Merutinkan Bangun Malam Untuk Menulis

 Dalam satu perkongsiannya di Page FB 'Saya Tunggu Awak', Bonda Nor menulis antara ayat-ayat akhirnya, "Untuk yang berhajat menulis, mintalah ilham dan idea dari Allah. Hanya Dia yang berkuasa menunaikan segala permintaan kita sebagai hamba-Nya."

Pendatang baharu dunia novel itu berkongsi pengalaman beliau menghasilkan manuskrip Saya Tunggu Awak, novel setebal 640 halaman yang saya yakin bakal memberi impak dan fenomena tersendiri kepada dunia novel tanah air, khususnya untuk para penggemar karya dakwah.

Ayat-ayat Bonda Nor itu, dan perkongsiannya mengenai amalan bangkit pukul tiga pagi untuk menulis novel, mengingatkan saya kepada kata-kata Prof Muhd Kamil Ibrahim (Anekdot Madinah, Bersyukur Saat Diuji) pada hari terakhir sebelum beliau berangkat pulang ke Madinah pada akhir Ogos lalu, selepas 'road tour' seluruh Malaysia. Waktu itu kami sama-sama menikmati jamuan raya di kediaman Dato' Zaini, salah seorang pensyarah Universiti MKI yang juga salah seorang penulis buku Ilmu Kehidupan: Ringkas Tapi Signifikan. Kata Prof Kamil, "Kalau saya nak buat kursus penulisan, saya akan tekankan supaya penulis bangun pukul tiga pagi dan minta idea menulis daripada Allah."

Penulis yang berhajat untuk menghasilkan karya dakwah, yang menulis untuk mengajak orang kepada Allah, atau ringkasnya berdakwah melalui penulisan, lebih patut meminta idea daripada Allah. Malah sangat patut dia mengusahakan datangnya rahmat dan keberkatan daripada Allah. Tentu pelik jika kita tidak meminta pertolongan Allah dalam berbuat sesuatu untuk dan kerana-Nya. Tentu janggal jika kita tidak mengharapkan limpahan rahmat dan keberkatan daripada Allah dalam mengajak diri dan orang lain kepada-Nya. Dalam banyak-banyak amalan yang boleh mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah, khususnya dalam menulis, bangun malam adalah antara yang paling utama kerana itulah waktu yang suasananya paling syahdu untuk meminta kepada-Nya dan waktu Allah sangat berkenan memenuhi permintaan seorang hamba.

"Biasanya selepas Isyak saya sudah tidur," tulis Bonda Nor, nama pena bagi Puan Norli, "dan terjaga semula untuk mula menghadap komputer pada jam 3 pagi... Alhamdulillah, dalam tempoh lebih kurang 3 bulan, saya selesai menyiapkan jalan ceritanya secara keseluruhan."

Amalan bangun malam untuk menulis, dan tentunya untuk sujud, bermunajat dan memohon kepada Allah, patut menjadi amalan penulis yang mahu serius menyampaikan dan menyebarkan kebaikan kerana Allah. Kalau ada satu disiplin yang penulis patut jadikan rutin, khususnya sewaktu menghasilkan karya, ia adalah rutin bangun malam untuk menulis.

Saya sendiri masih bermujahadah untuk merutinkan bangun malam ini. Cuma berdasarkan sedikit pengalaman berkarya secara bermusim, antaranya sewaktu giat menulis skrip sitkom untuk televisyen satu ketika dulu, saya boleh katakan, sangat besarnya manfaatnya apabila penulis dapat mewajibkan dirinya bangun malam untuk menulis.

Kredit artikel : Zakaria Sungib










Oct 23, 2013

Himpunan 60 Kisah Lucu

1. Judul: Himpunan 60 Kisah Lucu
2. Penulis: Abdul Wahab Paloh Nyior
3. Tebal: 168 ms
4. ISBN: 978-983-097-456-9
5. Kod: GB0270
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Himpunan 60 Kisah Lucu ini menceritakan himpunan kisah pelik Juha. Semua kisah ini berkait rapat dengan seluruh aspek kehidupan manusia. Antaranya ialah kisah tentang orang kaya dan miskin, tentang orang pemurah dan bakhil, tentang wanita dan kanak-kanak, tentang pemuda dan orang tua, juga kisah tentang penjual dan pembeli. Semua orang yang membaca kisah-kisah Juha ini pasti akan berasa lapang dan gembira.
8. Kulit depan (lampiran)
9. Pencetak: FDZ



Oct 22, 2013

Misi 21 Hari


Judul: Misi 21 Hari
Penulis: Zaihanim Zainal Abidin
Tebal: 304 ms
ISBN: 978-983-097-444-6
Kod: GB0232
Harga: RM 15.00

Sinopsis: Dilahirkan dan dibesarkan di Perth, tidak menghalang hasrat dan usaha Nur Aisyah untuk mencari keluarganya di Malaysia. Dengan bantuan Kak Puteri Aliyah, rancangan diatur rapi, walaupun adakalanya terpaksa berbohong. Semuanya sanggup dilakukan asalkan rancangan mereka berjaya. Kehadiran Nur Aisyah tidak disenangi oleh adik tirinya sendiri, Ain. Adakalanya, cabaran itu merupakan dugaan yang paling manis untuk mematangkan diri sendiri. Berbekalkan sokongan daripada orang-orang yang tersayang, Nur Aisyah meneruskan misi 21 harinya!





Oct 21, 2013

Gadis Ungu Bertukar!

1. Judul: Gadis Ungu Bertukar!
2. Penulis: Siti Anne
3. Tebal: 192 ms
4. ISBN: 978-983-097-420-0
5. Kod: GB0233
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Raihanah ialah seorang gadis berusia 13 tahun dan bersikap seperti budak-budak lelaki. Sikapnya yang nakal dan lucu memeningkan kepala ibu dan bapanya. Ayah Raihanah bekerja sebagai seorang guru sekolah rendah. Manakala ibunya pula merupakan seorang suri rumah. Raihanah mempunyai dua orang abang dan seorang adik lelaki. Pada satu ketika, ayah Raihanah dipindahkan ke sekolah yang terletak di Kampung Santubong, Kuching, Sarawak. Raihanah sedih kerana terpaksa berpisah dengan teman-temannya dan bimbang seandainya dia tidak akan mempunyai kawan di sekolah baru nanti kerana sikapnya yang kelelakian.

Raihanah mula menyesuaikan diri di kampung dan berkenalan dengan Balqis di sekolah. Balqis mempunyai sepupu yang bernama Azfar. Azfar pula bersahabat dengan Firdaus dan Ah Seng. Bermula dari perkenalan itu, Raihanah mula rapat dengan Azfar dan teman-temannya. Ragam dan kenakalan Raihanah semakin menjadi-jadi. Dia mengikut Azfar dan teman-temannya bermain bola sepak, mandi laut, memanjat pokok jambu, solat bersama jemaah lelaki dan pelbagai lagi kisah lucu yang dilaluinya bersama teman-teman.

Walaupun perwatakan Raihanah kasar, namun dia mempunyai satu rahsia besar di mana dia terlalu obses dengan warna ungu. Namun dia cuba menyembunyikan minatnya itu kerana warna ungu agak sinonim dengan kewanitaan dan bimbang akan diusik oleh abang dan adik serta teman-temannya. Ketika berkurung di dalam bilik, Raihanah sering mengenakan gaun labuh berwarna ungu yang dihadiahkan Ibunya kepadanya ketika ulang tahun hari lahirnya yang ke-12.

Kejadian solat bersama-sama jemaah lelaki dan menyembunyikan selipar para jemaah, mendorong Imam Fauzi mengadu dengan ayah Raihanah. Ayah Raihanah naik angin lantas memarahi dan memukulnya. Raihanah merajuk dengan ayahnya dan berkurung di dalam bilik. Ibunya cuba memujuknya namun Raihanah masih lagi dengan rajuknya. Dia bertanya kepada ibunya, mengapa ayahnya terlalu marah sehingga sanggup memukulnya. Ibu Raihanah memberi penjelasan kepada Raihanah. Setelah lama berfikir dan bermuhasabah diri, Raihanah telah merancang sesuatu.

Jom dapatkannya di sini

Sinopsis Diperlukan Editor Untuk Mengelakkan Penulis Patah Semangat

Sinopsis buku atau novel adalah perkara penting yang diperlukan editor. Melalui sinopsis buku, editor boleh menilai sama ada buku atau novel calon penulis itu ditolak atau diterima.

Editor seboleh mungkin mahukan sinopsis yang ditulis calon penulis menjadi karya. Ini kerana editor memahami penat lelah calon penulis.

Jika perlu, editor akan mencadangkan pindaan yang perlu dibuat. Editor akan meminta calon penulis supaya meminda sinopsis.


Sebagai calon penulis, anda perlu memahami rentak penerbit yang mahu karya apa untuk diterbitkan. Sebab itu, penting untuk anda membaca karya-karya keluaran penerbit, menelaah rentak dan 'bunyi' penerbit sehinggalah anda tahu apa yang dikehendaki oleh penerbit.

Selepas anda tahu apa yang dikehendaki penerbit, barulah rancang sinopsis novel supaya editor tersenyum dengan sinopsis yang dihantar.

Editor tidak suka calon penulis patah semangat.

Jika gagal kali pertama hantar untuk kedua kalinya.





Oct 18, 2013

Bonda Nor Meluahkan Perasaan Kepada Galeri Ilmu

Klik di sini
Sudah ramai yang bertanya saya, bila novel saya akan berada di pasaran. Alhamdulillah, semalam saya terima update daripada editor Tuan Resha Hamzah. Insya-Allah dalam masa terdekat, novel Saya Tunggu Awak akan berada di rak-rak buku. Namun, bukan berita gembira itu yang ingin saya kongsikan hari ini. Ada sesuatu pengajaran berharga yang saya sempat kutip ketika proses penerbitan karya ini.

Ini cover buku yang diberikan kepada saya. Sebenarnya, ini bukan tajuk dan cover yang saya cadangkan kepada pihak penerbit. Lain ... sangat lain! Jauh benar larinya!

Sewaktu menerima cadangan daripada mereka tentang tajuk dan cover ini, saya menangis! Hati saya cukup memberontak! Saya hampir-hampir membatalkan sahaja perjanjian saya untuk menerbitkan buku bersama mereka. Sungguh, itulah yang saya rasa. Rasa marah, kecewa, rasa tidak dihormati, rasa diketepi.

Saat ini saya rasa teruji dengan ilmu sendiri. Alhamdulillah, ilmu banyak memandu saya mengendalikan emosi. Saya tidak meluahkan kekecewaan saya kepada sesiapa ... saya hanya meminta pendapat rakan-rakan yang setia mengikuti perkembangan novel ini sejak ia mula ditulis lagi. Rata-rata mereka turut meluahkan kecewa. Mereka juga mahukan konsep asal reka bentuk dan seperti yang dijangka mereka tidak bersetuju dengan tajuk!

Sekali lagi saya gelisah. Walaupun ini bukan hasil penulisan pertama saya, saya anggap ianya cukup istimewa kerana saya menulis novel ini tanpa pernah menghadiri sebarang kursus penulisan novel, tanpa pernah minat membaca novel apatah lagi untuk menghasilkan sebuah novel! Ianya cukup mustahil untuk dilakukan oleh saya.

Namun sungguh! Ia umpama satu tuntutan luar biasa. Umpama menerima satu arahan, saya tetap menghasilkannya sambil meriba bayi yang masih perlu disusukan. Hampir setiap malam jam tiga pagi, saya akan terjaga sendiri untuk menaip dan menghasilkan satu persatu perkataan hingga akhirnya terhasil novel setebal 640 muka surat ini! Sesuatu yang saya tahu saya tidak mampu buat tanpa ada 'kuasa' membantu yang Maha Hebat. Sebab itu saya terlalu sayangkan novel ini kerana menganggapnya anugerah dan amanah daripada Allah.

Apabila berlaku konflik tajuk dan reka bentuk, tentu sahaja saya kecewa. Selepas puas menangis untuk melegakan hati, saya menghubungi editor dan cuba berunding lagi. Okey, jika tidak mahu tajuk asal saya, apa kata pilih salah satu daripada senarai tajuk-tajuk ini. Bla ... bla ... bla ... berderet-deret tajuk yang saya cadangkan. Saya anggap itu usaha terakhir saya. Namun, saya tetap memujuk hati saya. Saya solat Istikharah memohon bantuan pilihan daripada Allah. Benar, saya ada pilihan saya sendiri tetapi jika Allah sudah tentukan apa yang terbaik buat saya ... saya redha dan akan menerimanya dengan senang hati.

Sewaktu menerima e-mel daripada editor, saya tersenyum membacanya. Dengan gaya bahasa yang cukup sopan dan menyenangkan hati, dia memaklumkan kepada saya bahawa keputusan musyawarah pihak penerbit sekali lagi 'berdegil' memilih tajuk yang sama. SAYA TUNGGU AWAK. Itu juga yang dipilih oleh mereka. Namun reaksi saya kali ini sungguh berbeza dengan penerimaan saya pada kali pertama. Secebis pun tidak ada lagi rasa kecewa. Saya malah bersyukur walaupun kesemua cadangan saya tidak diterima!

Aneh! Tiba-tiba saya jatuh cinta kepada tajuk ini, tiba-tiba saya rasa suka kepada reka bentuk cover novel yang diberi. Malah dalam hati, saya penuh yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dengan apa yang mereka sudah biasa kendalikan. Subhanallah, betapa anehnya mainan perasaan. Sungguh, saya tiba-tiba bangga dengan keputusan mereka meskipun saya membantah pada awalnya.

Sahabat-sahabatku yang baik,

Dalam hidup kita, akan ada saatnya di mana kita akan di uji dengan perkara-perkara yang kita anggap menyakitkan dan tidak memuaskan hati. Bersabarlah. Bukan semua yang baik pada pandangan kita, baik juga pada pandangan Allah. Dia lebih tahu. Ambil sedikit masa untuk menenangkan hati kita. Dari mana sebenarnya datang kekuatan untuk memujuk hati? Minta juga daripada Allah. Dia yang pegang hati kita. Jangan minta Dia bantu kita supaya kita menang, tetapi minta bantuan-Nya agar beri yang terbaik supaya apa pun yang berlaku selepas itu akan buat hati kita lebih tenang.

Percayalah. Saya sudah melaluinya.

Kredit: Novel Dakwah



Nilai Sebuah Novel

1. Menulis adalah satu kemahiran menyampaikan isi. Setiap penulis akan cuba untuk menyampaikan sesuatu yang berisi. Tanpa isi, tulisan akan menjadi seperti hampas. Jadi, sebelum menulis, fikirkan dahulu, apakah isi-isi penting yang kita mahu tulis. Kemudian, barulah kita fikirkan apakah gaya penulisan dan bahasa yang kita mahu gunakan.

2. Penulis perlu menjadi pemikir masyarakat, bukan perosak masyarakat. Ini bermakna, setiap isi yang disampaikan, perlu mengandungi unsur-unsur yang boleh memperbaiki masyarakat. Tidak patut bagi seorang penulis cuba ‘menegakkan benang yang basah’. Contohnya, cuba memaparkan isi hati pasangan pengkid (lesbian) seolah-olah menyokong aktiviti LGBT atas nama kebebasan. Contoh lain, mengangkat isu percintaan yang tidak mendapat restu ibu bapa sehingga mempengaruhi pembaca supaya menderhakai ibu bapa semata-mata mempertahankan cinta (terpengaruh dengan filem Hindustan). Perlu diingat, SETIAP PENULIS BERTANGGUNGJAWAB ATAS APA YANG DITULIS.

3. Setiap ayat yang ditulis mesti jelas isinya. Jangan terlalu leka membuai perasaan pembaca sehingga tidak tahu, apakah mesej yang hendak disampaikan. Tulisan tanpa isi adalah seperti jasad tanpa roh. Jasad yang tiada roh, namanya ialah mayat atau jenazah. Jika jasad atau tulisan itu mengandungi unsur-unsur hasutan atau budaya yang tidak sihat, ia layak dipanggil ‘bangkai.’

4. Novel bukan sekadar cerita. Novel ialah satu medium untuk menyampaikan isi melalui cerita. Isi yang bermanfaat dan berguna kepada pembaca akan menaikkan kualiti sesebuah novel. Secara tidak langsung, pembaca akan lebih menghargai novel-novel kita kerana kita berkongsi dengan mereka sesuatu yang bermakna. Ini tidak bermakna, novel kita itu harus sarat dengan FAKTA atau TIPS atau KHUTBAH dan sebagainya. Penulis perlu bijak menyelitkan isi-isi yang baik dalam tulisannya dan kemahiran ini memakan masa untuk dikuasai. Bersabarlah dan teruskan menulis!

5. Penulis bukan sekadar menyampaikan cerita tetapi juga mendidik pembaca. Jika sekadar hendak menyampaikan cerita, karya akan kurang bertenaga. Mungkin hanya sedap dibaca, tetapi kurang mengesankan. Mungkin hanya sesuai untuk dibaca santai tetapi mudah dilupakan. Tidak meninggalkan apa-apa bekas kepada pembaca, sama ada kepada minda atau jiwa. Tidak menambah ilmu dan hikmah kepada pembaca.

6. Untuk menambahkan ‘hikmah’ dalam novel, penulis juga tidak boleh lari daripada tuntutan menambah ilmu dan hikmah dalam dirinya. Ilmu dan hikmah inilah yang memberikan nyawa kepada novel. Banyak kisah kehidupan yang boleh dijadikan bahan cerita dalam novel, tetapi perspektif penulis terhadap kisah itu akan menentukan tinggi atau rendahnya nilai isi karya yang dihasilkan. Jadi, jangan tersalah memilih perspektif. Perspektif penulis akan menggambarkan kewibawaan penulis. Jangan sampai pembaca menganggap, penulis ini jahil kerana tidak tahu halal dan haram. Sekarang ini pun, sudah ada penulis yang cuba membawa doktrin Syiah, Wahabi, Liberalisme, Pluralisme dan lain-lain aliran sesat dalam karya-karya mereka. Jaga-jaga.

Kredit: Novel Dakwah



Sep 12, 2013

Bukan Sekadar Novel Air Mata

Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki (rancangan Assalamualaikum, TV AlHijrah) menitiskan air mata sewaktu menyemak novel ini. Beliau diserahi manuskrip novel ini oleh penulisnya untuk proses tashih, sebelum naskhah itu sampai ke tangan editor.

Puan Zarina Mohd Yasin yang diberi tanggungjawab menyunting novel ini, mengaku beberapa kali menangis sewaktu proses menyuntingnya.

Malah penulis novel ini sendiri, Bonda Nor, membuat pengakuan di FB, "... sejujurnya, saya sendiri turut teresak-esak sewaktu menaip beberapa bab di dalam novel ini."

Saya Tunggu Awak adalah karya pendatang baharu, Bonda Nor. Kekuatan novel ini bukan hanya kerana ia sebuah 'novel air mata'. Kekuatan novel ini adalah pada garapannya yang sedap dibaca, membuai perasaan dan dalam masa yang sama sangat menginsafkan, memberi pencerahan dan mengajak kepada Tuhan.

Novel setebal 640 halaman dan dijual dengan harga RM24 ini, adalah satu lagi novel dakwah yang mesti dibaca dan sangat berpotensi menjadi bestseller.

Sep 2, 2013

Andalusia, Here We Come!



Klik di sini

1. Judul: Andalusia, Here We Come!
2. Penulis: LISA NURISHA
3. Tebal: 160 ms
4. ISBN: 978-983-097-392-0
5. Kod: GB0262
6. Harga: RM 10.00
7. Sinopsis:

Alisa dan Alya seperti tidak percaya apabila Encik Emir, bapa mereka mendapat peluang ke Andalusia, Sepanyol dan ingin membawa satu keluarga bersama. Encik Emir perlu ke sana untuk membuat kajian mengenai seni bina kerajaan Islam yang berkuasa di Andalusia selama 800 tahun. Dua lagi kawan Encik Emir turut serta dalam rombongan ini.

Sebelum ke Sepanyol lagi, Alisa dan Alya sudah mendapat rakan baru, Imran, adik kepada kawan Encik Emir yang akan bersama-sama mereka sepanjang di sana. Masa yang ada digunakan untuk belajar serba sedikit bahasa Spanish untuk memudahkan urusan.

Perjalanan hampir sepuluh hari digunakan sepenuhnya untuk melawat tinggalan-tinggalan kerajaan Islam Andalus di Granada, Cordoba, Seville dan Malaga. Dalam pada gembira melancong, Alisa dan Alya masing-masing didatangi ‘manusia’ zaman dahulu yang memberikan syarahan percuma kepada mereka.

Alisa dikunjungi wanita tua yang berkongsi duka penyerahan Andalusia kepada Raja Ferdinand dan Ratu Isabel di La Alhambra. Pada masa yang lain, Alya pula didatangi jelmaan Panglima Tariq yang menceritakan bagaimana tenteranya menawan kota itu. Akhirnya di Seville, mereka berdua disapa Al-Idrisi, ilmuan gemilang zaman dahulu.

Adakah Alya dan Alisa sekadar bermimpi? Atau ini semua adalah peringatan kepada mereka?

Jul 23, 2013

MENCARI HUSNUL KHATIMAH

KLIK DI SINI
Bakal Terbit!

PENULIS: SYED ALWI ALATAS
KATEGORI: TARBIAH ROHANI
ISBN: 978-983-097-430-9
KOD: GB0257
HARGA: RM22/RM24
TEBAL: 320

Gagal dalam kematian jauh lebih teruk daripada gagal dalam peperiksaan. Anda boleh gagal dalam hidup, tapi jangan sampai gagal dalam kematian! Maksudnya, jangan sampai kita mati dan tercatat sebagai orang yang gagal di sisi Tuhan.

Maka belajarlah daripada kematian. Banyak-banyaklah mengingati kematian. Buat persediaan yang matang untuk menghadapi kematian.
Jangan lupakan kematian, kerana kematian tak pernah melupakan kita. Jangan lupa untuk mengambil pelajaran daripadanya, kerana kelupaan itu akan menjadi penyesalan yang besar pada hari kemudian. Jangan tak bersedia dalam menghadapinya, kerana kematian selalu mengintai dan bersedia untuk mencabut nyawa kita.
Jangan tunggu lagi. Ambillah pelajaran sekarang juga. Buat persediaan secepatnya. Agar pada akhirnya kita mampu menjadi seorang pemenang yang sejati. Seorang pemenang yang mendapat iktiraf daripada Khalik, bukan sekadar iktiraf daripada makhluk.

 Testimoni:
MEREKA TELAH MEMBACA MENCARI HUSNUL KHATIMAH:
Mencari Husnul Khatimah ... membuat saya merenung diri sendiri. Syed Alwi Alatas memaksa saya mencongak, apakah kebaikan yang selama ini telah dilakukan? Bacalah buku ini dengan hati yang terbuka. Insya-Allah ia menyentap jiwa dan perasaan. Fikirlah tentang kematian. Renunglah diri sendiri, jawapannya ada di dalam hati!  -ROZA ROSLAN Penulis buku Bukan Sekadar Resipi  dan Aroma Antara Benua.

Sungguh ... huraian oleh Ustaz Syed Alwi Alatas di dalam buku ini benar-benar menggetarkan jiwa. Saya makin tertarik untuk membaca satu bab demi satu bab di samping rasa gerun dan insaf meningkat satu bab demi satu bab di dalam hati sepanjang 'kembara' bersama buku ini. Sebuah pedoman untuk iman ... insya-Allah. -IBNU RIJAL Penulis buku 'Bertanya Tentang Tuhan'  dan 'Khutbah Terakhir Rasulullah'.
Apabila saya membaca karya ini, saya dapat merasakan bahawa karya ini benar-benar ‘hidup’. Allahu Akbar! Karya berbentuk tarbiah penceritaan, pengalaman dan perkongsian ini benar-benar seperti wayang gambar ketika membacanya, ada rasa takut, cemas, bahagia dan teruja. Sebuah karya yang mendatangkan buah-buah keinsafan, bahkan membuatkan kita lebih bersungguh-sungguh untuk terus membaiki diri dan umat. Kematian bukan tanda berakhirnya sebuah kehidupan, tetapi tanda bermulanya sebuah kehidupan yang abadi, syurga atau neraka! - NOOR LAILA ANIZA BINTI ZAKARIA Perunding Motivasi & Pendakwah, IBS EXCEL TRAINING & CONSULTANCY

Risalah Mencari Husnul Khatimah ini sememangnya untuk ummah. Wasilah barakah yang mengguggah. Usai menelaah, pasti setiap diri akan bermuhasabah, hati akan tersentuh, air mata akan luruh kerana ia penuh hikmah dan ibrah! - DR. KAMARIAH KAMARUDIN Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Sangat bermanfaat untuk diri saya sendiri. Banyak tamsilan daripada kisah dan penceritaan. Soal besar dan pasti tentang kematian dimudahkan fahamnya dengan ayat-ayat mudah bersama tamsil kisah dan cerita.
Tidak dinafikan jiwa saya bergetar di banyak catatan dan tazkirah. Demi Allah yang nyawa saya berada dalam genggaman-Nya, diri ini gementar dan insaf. Moga insaf itu selamanya menjadi teman dan ditransformasikan menjadi amal baik buat menemani di alam barzakh. - WEB SUTERA @ HIZAMNUDDIN AWANG Penulis buku ‘Berfikir Gaya Champion’, Macedonia: Alexander Agung’ dan  ‘Konstantinopel: Kibaran Panji-panji Al-Fateh’







Jul 15, 2013

Ilmu Kehidupan: Ringkas tapi Signifikan

Klik di sini

"ILMU KEHIDUPAN: Ringkas tapi Signifikan"

Ditulis oleh lima orang penulis, dan terbahagi kepada tujuh bahagian:
1. Mereka yang Hampir
2. Usahawan Akhirat
3. Di Hujung Senja
4. Hadis dan Amalan
5. Allah Maha Esa
6. Hidup Itu Indah

Sebuah buku yang ringkas namun pengisiannya memang signifikan. Membawa pembaca untuk merenung diri; bagaimana kita menjalani dan menghabiskan hayat di dunia ini untuk menempuh alam akhirat nanti.

Nota: 100% hasil royalti buku ini akan didermakan kepada Yayasan Anak-anak Yatim Sultanah Haminah. Dengan membeli buku ini, anda bukan sahaja mendapat ilmu di dalamnya, tetapi juga mendapat saham akhirat (membeli sambil beramal), insya-Allah.







Jun 28, 2013

Tip Editor - Guru Perlu Menjadi Novelis

Banyak sebab bermain serentak apabila tim pemasaran Galeri Ilmu dan editor kreatif Galeri Ilmu hadir ke sekolah-sekolah:

1. Membawa motivator iaitu Tuan Mohd Asyraf Azehar merangkap eksekutif pemasaran Galeri Ilmu untuk mengadakan program motivasi UPSR kepada pelajar tahun enam.

2. Mengadakan bengkel penulisan asas menulis kepada guru-guru yang berminat untuk menjadi novelis Galeri Ilmu.

3. Memperkenalkan buku-buku dan majalah keluaran Galeri Ilmu kepada pelajar dan guru.

4. Menjual produk buku dan majalah kepada pelajar dan guru sama ada dengan kaedah langganan, retail dan sebagainya.

Sebab nombor 2 adalah faktor penting mengapa editor perlu hadir ke sekolah dan mengambil peluang untuk memberi latihan kepada guru-guru untuk menulis.

Walaupun tempohnya sekejap tetap bermakna.

Ramai guru menyangka bahawa mereka tiada peluang berkarya kerana mereka sibuk dan tiada masa. Mereka percaya mereka ada bakat tetapi mereka tidak percaya mereka juga mampu menghasilkan buku.

Justeru, peluang untuk bertemu guru adalah landasan terbaik untuk berjumpa, beramah mesra dan meneroka fikiran guru untuk cerna idea berkenaan buku yang mereka boleh tulis.

Sambil tim pemasaran sibuk memberi motivasi dan menjual buku, editor buku juga perlu sibuk untuk mencungkil bakat penulis.

Sebab itulah saya akan terus ke sekolah-sekolah seterusnya untuk mencari guru-guru yang berbakat dalam bidang penulisan.

Semakin banyak guru menulis semakin mudah untuk menjual karya mereka kepada pelajar-pelajar.

Kepada sekolah-sekolah yang ingin menjemput tim pemasaran Galeri Ilmu untuk mengadakan program motivasi percuma kepada pelajar tahun enam hubungi Cik Suriati 013-6697992.


Tuan Mohd Asyraf Azehar menyampaikan motivasi pelajar kepada pelajar tahun enam

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Bandaraya Puan Habsah Hj Taib (kanan) berminat menjadi penulis Galeri Ilmu

Mencungkil bakat penulisan guru

Tim pemasaran melakukan jualan buku dan majalah

Sumber: Novel Dakwah


Jun 19, 2013

Nota Fikir Untuk Zikir

JUDUL: Nota Fikir Untuk Zikir
Kategori: Motivasi
Pengarang : Pahrol Mohd Juoi
Tebal : 184 ms
ISBN : 978-983-097-260-2
Harga : RM 19.00 / RM 21.00 Sabah Sarawak



SINOPSIS

Buku ini ditulis dengan mesej yang jelas: Zikir tanpa fikir akan menghasilkan individu yang beku, kaku dan mundur walaupun mungkin baik tingkah laku. Fikir tanpa zikir akan membentuk manusia yang aktif, dinamik tetapi merosakkan dirinya dan orang lain dengan pelbagai kemungkaran dan kejahatan. 

Pada cerita dulu-dulu, ada jejak iktibar yang perlu disusuri semula. Pada alam ciptaan Tuhan, ada pengajaran yang dapat diambil. Ia bergantung pada bagaimana kita melihatnya. Dan bagaimana kita melihat sesuatu, bergantung pada siapa diri kita. 

Dengan gaya santai dan simple, penulis mengocak 'fikir' dan 'zikir' pembaca - langkah kecil yang diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada langkah yang lebih gah untuk memantapkan 'fikir' dan 'zikir' ummah. 

Kelebihan yang terdapat pada beliau (Pahrol Mohd Juoi) adalah keupayaan mengolah sesuatu persoalan daripada dimensi yang berbeza dan memberikan persepsi baru terhadap perkara yang digarapnya.' Ann Wan Seng, Setiausaha Agung Kehormat MACMA Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:

Bahagian 1: Iktibar Kisah Dulu-dulu - Mencari hikmah dan ibrah, teladan dan sempadan, daripada cerita rakyat yang merupakan suara hati orang bijaksana untuk mendidik umat.

Bahagian 2: Berguru dengan Alam - Melihat nikmat tanpa melupakan Pemberi nikmat, dengan menjadikan alam sebagai Maha Karya Tuhan yang sentiasa berbicara dengan manusia tentang keagungan Penciptanya.

Bahagian 3: Kata Dikota - Memuatkan kata-kata yang indah dan benar, yang mampu mengubat rasa yang gundah serta membuat fikiran menjadi lebih besar, seterusnya

mampu mengubah jiwa!

Jun 10, 2013

Himpunan 20 Kisah Pahlawan Islam


1. Judul: Himpunan 20 Kisah Pahlawan Islam
2. Penulis: Khairy Tajudin


3. Tebal: 232 ms
4. ISBN: 978-983-097-410-1
5. Kod: GB0258
6. Harga: RM 12.00


Sinopsis: Himpunan 20 Kisah Pahlawan Islam ini mengisahkan 20 cerita yang berlaku dalam kehidupan para pahlawan Islam terdahulu. Kesemua kisah tersebut diolah semula dalam bentuk kreatif untuk menarik minat kanak-kanak membaca dan memudahkan mereka memahaminya.



Kekuatan tentera Islam tidak terletak pada jumlah tentera dan kecanggihan senjata. Dalam kebanyakan peperangan, jumlah tentera Islam jauh lebih sedikit berbanding musuh tetapi tentera Islam sentiasa mendapat bantuan Allah SWT. Bantuan daripada Allah akan turun atas asbab-asbab tertentu dan para pembaca akan dapat mengetahui rahsia-rahsia tersebut di dalam buku ini, insya-Allah. Semoga kita beroleh hidayat daripada Allah SWT untuk meneruskan perjuangan menyebarkan Islam sehingga hari kiamat.


May 27, 2013

KEAJAIBAN FIRASAT, 63 KISAH PENGUBAT JIWA

KEAJAIBAN FIRASAT, 63 KISAH PENGUBAT JIWA
USTAZ MUHADIR HJ JOLL /
978-983-097-370-8/RM19.00/200ms, /GB0183
Kategori: Motivasi

Kisah-kisah yang termuat di dalam buku ini disusun secara ringkas, jelas tetapi padat. Buku ini pedoman untuk semua lapisan masyarakat, terutamanya pendakwah, pendidik, pelajar, bahkan pemimpin masyarakat. 

63 Kisah Pengubat Jiwa
Tips Khusyuk dalam Solat.

Hatim al-Asham ditanya, "Bagaimanakah keadaan solatmu?"




     Dia menjawab:

     "Jika waktu solat telah tiba, aku berwuduk dengan sempurna. Selepas itu, aku berjalan ke tempat solat yang kuinginkan. Aku duduk di sana dan berusaha bersungguh-sungguh menumpukan seluruh anggota tubuhku untuk solat. Kemudian, aku berdiri untuk solat. Aku letakkan Kaabah tepat di hadapanku, titian menuju neraka di bawah kedua telapak kakiku, syurga di kananku, neraka di kiriku, Malaikat pencabut nyawa di belakangku, dan aku menganggap itulah solatku yang terakhir. Aku berdiri menghadap-Nya dengan perasaan harap dan takut. Kemudian, aku mengucapkan takbir dengan penuh kesedaran, aku membaca ayat-ayat al-Quran dengan tartil. Ketika rukuk, aku merendahkan diriku di hadapan Allah. Ketika sujud, aku melakukan dengan khusyuk. Ketika duduk tahiyyat awal, aku letakkan telapak kaki kiriku dengan bertumpu kepada ibu jariku. Aku kerjakan semua itu dengan ikhlas. Kemudian, aku tidak tahu, adakah solatku diterima oleh Allah SWT atau tidak."

*Abu Abdur Rahman Hatim bin Alwan, terkenal dengan gelaran 'al-Asham'. Termasuk tokoh ulama besar Khurasan. Dipanggil 'al-Asham' (orang yang tuli) bukan sebab benar-benar tuli, tetapi dia pernah berpura-pura tuli untuk menjaga kehormatan orang lain. Meninggal dunia pada 237H (751M)



     Kepada anda yang sering kali berasa runsing, atau sering berduka, atau yang sedang mencari ketenangan jiwa boleh dapatkan buku Keajaiban Firasat: 63 Kisah Pengubat Jiwa, karya Ustaz Muhadir Haji Joll ini di pasaran sekarang juga!

May 21, 2013

Buah Tangan Dari Madinah


Sumber artikel: Kosmo


SEWAKTU berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2013 pada 26 April hingga 5 Mei lalu, buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar dan Aroma Antara Benua terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. mendapat sambutan yang sangat menggalakkan daripada pengunjung.
Karya yang dihasilkan oleh Prof. Muhd. Kamil Ibrahim dan isterinya, Raudzah Roslan itu sebenarnya baru sahaja diterbitkan dan dijual buat kali pertama dalam acara tahunan yang berprestij itu.
Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar merupakan nukilan Muhd. Kamil mengenai pengalaman beliau sepanjang berada di Madinah sejak September 2011. Buku itu menceritakan tentang kebesaran Allah yang tidak pernah jemu mendengar rintihan hamba-Nya di bumi penuh keberkatan itu.
Air tangan
Buku Aroma Antara Benua pula memaparkan koleksi resipi air tangan Raudzah. Ia dilengkapi catatan peristiwa yang dilalui sewaktu berkelana di beberapa negara semata-mata mengikut suami tercinta.
“Kami berharap semoga penulisan buku ini menjadi ilmu yang bermanfaat kepada khalayak pembaca,” kata Muhd. Kamil yang berhijrah ke Madinah pada selepas ditawarkan menjadi Profesor Perakaunan di Universiti Taibah.
Bekas Pengarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Johor itu memberitahu, menulis sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya dan isteri sepanjang berada di Madinah.
“Kami menulis sepanjang masa dan ia merupakan rutin harian. Jika tidak menulis buku, kami akan menulis artikel di blog.
“Sehubungan itu, kami mempunyai dua hingga tiga manuskrip serentak. Namun, apabila kami membuat keputusan untuk menghantar kedua-dua manuskrip ini, ia mengambil masa sekitar dua bulan untuk disiapkan sepenuhnya,” ujar beliau melalui e-mel.
Menyentuh tentang cabaran yang dihadapi dalam menyiapkan kedua-dua karya tersebut, Roza memberitahu, buku Aroma Antara Benua lebih sukar berbanding Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar.
“Buku yang berkonsep resipi ini memerlukan foto makanan yang berkualiti. Kami tiada studio. Jadi, setiap hari saya menunggu cahaya matahari memasuki tingkap rumah agar mendapat penataan cahaya semula jadi.
“Saya pula tidak dilatih untuk mengambil gambar. Tetapi, Alhamdulillah itulah hasilnya seperti yang boleh dilihat dalam buku tersebut,” ujar Roza.
Bagi Muhd. Kamil pula, beliau melihat buku Anekdot Madinah: Benar Dia Maha Mendengar sebagai sebahagian laluan kehidupan peribadi.
“Foto-foto yang ada pula, hanyalah menggunakan kamera telefon bimbit. Itulah yang mampu saya lakukan,” katanya.
Berkongsi tip
Sehingga kini, Muhd. Kamil telah mempunyai koleksi buku penulisan tersendiri. Antaranya ialah Travelog Haji: Mengubah Sempadan Iman (2007), PhD Kecil Tapi Signifikan, Travelog Dakwah: Meniti Hari Esok (2008), 50 Tip Motivasi Haji (2011) dan Bersyukur Saat Diuji (2012).
Sementara Roza pula tampil dengan buku-buku bertajuk Travelog Cinta Abadi, Travelog Impian Abadi dan Travelog Kehidupan Abadi.
Dalam pada itu, Muhd. Kamil turut menitipkan beberapa nasihat buat mereka yang mahu terlibat dalam dunia penulisan.
“Pertama, menulislah kerana Allah. Kedua, mohonlah kepada-Nya supaya diberi ilham dalam menghasilkan penulisan yang baik.
“Sepanjang kita menulis jangan lupa bangun solat malam, bertahajud dan bermunajat agar apa yang ditulis adalah berdasarkan ilham yang benar. Selain itu, sentiasa berdoa supaya khalayak dapat memahami apa yang kita persembahkan. Ilmu itu anugerah Allah. Allah memberi ilmu kepada sesiapa yang Dia kehendaki. Kita hanyalah bala tenteranya,” ungkap beliau penuh berhemah.
Mengulas mengenai perkembangan buku-buku dan novel berkonsep Islamik di Malaysia, Muhd. Kamil mempunyai pandangan tersendiri.
“Jika ia dilakukan semata-mata kerana Allah, insya-Allah, ia akan menyerap ke hati sekali gus menjadi alat dakwah yang berkesan. Jika tidak, ia hanya satu jenama seumpama produk-produk lain di pasaran.
“Penulis yang tidak mengamalkan ajaran Islam yang sebenar, pembaca akan membaca sebagai satu tabiat mengisi masa lapang dan lebih parah ia hanya tebuk-tebuk di sana sini. Malah, ada jalan ceritanya tidak memenuhi syariah. Ia hanya label di kulit buku sebagai alat mencapai keuntungan.
“Bagaimanapun, kami berdoa agar ia benar-benar membawa mereka yang terlibat sama ada penulis mahupun pembaca hampir kepada-Nya,” tutur beliau.




May 10, 2013

Teristimewa Untukmu

Judul: TERISTIMEWA UNTUKMU
Penulis: Hasmah Hitam
Harga: RM15/ RM17
ISBN: 978-983-097-450-7





SINOPSIS:

Anak-anak istimewa, mereka tidak semestinya cacat anggota. Ada yang nampak normal pada pandangan orang biasa, namun hakikatnya mereka tidak begitu. 

Hanya mereka yang benar-benar memahami mampu memberi kasih sayang kepada anak-anak ini. 'Teristimewa Untukmu' menelusuri suka duka seorang Guru Pendidikan Khas dalam merealisasikan pendidikan untuk anak-anak istimewa. 

Bukan sedikit cabaran ditempuhi, namun sebuah kesabaran akhirnya menjadi hadiah kehidupan yang paling indah.

Apr 24, 2013

6 Soalan Bersama Ustaz Hamizul Abdul Hamid

Klik di sini
1. Assalamualaikum. Pada hari ini sesi Bicara Buku bersama dengan penulis USTAZ HAMIZUL BIN ABDUL HAMID dengan karya terbaharunya DIARI SEORANG AMIL. Pada hari ini beliau akan berkongsi tip-tip penulisan dan pengalaman beliau sebagai penulis.
2. Soalan pertama, apakah ciri-ciri yang perlu dipunyai sebagai seorang penulis? Adakah semata-mata konsisten menulis sahaja?
1. MEMBACA, MEMBACA, MEMBACA, MEMBACA DAN MENULIS.
2. MENGEMBARA JUGA MENAJAMKAN DAYA PENULISAN.
3. Soalan kedua, apakah dorongan utama semasa menulis sehingga karya pertama berjaya diterbitkan sehinggalah karya yang ada sekarang?
MAHU BERKONGSI, MEMBERI ATAU BERBAHAGI ILMU DAN PENGALAMAN DENGAN PEMBACA. TIDAK RAMAI ORANG TAHU TENTANG PERJALANAN HIDUP DAN TUGAS SEORANG TOK AMIL. IA SESUATU YANG UNIK.
4. Bercerita mengenai kejayaan, banyak pembaca mahu tahu apakah teknik dan strategi supaya menghasilkan karya mereka sendiri. Apakah caranya supaya seseorang penulis boleh terus menghasilkan karyanya?
1. TULISLAH SESUATU YANG KITA TAHU, YANG KITA ARIF DAN SESUATU YANG ORANG LAIN NAK TAHU.
2. BILA MULA, KONSISTEN, TAK PERLU PAKSA, TAPI KONSISTEN, SEMUKA SEHARI PUN OK, SETAHUN DAH ADA 365 MUKA, DAH SIAP SATU BUKU.
3. BERGAUL ATAU BERDAMPING DENGAN ORANG YANG BOLEH BERI AURA MENULIS, MISALNYA RAJIN KE PENERBIT, HADIRI PROGRAM BEDAH BUKU, SEMINAR PENCINTA BUKU DAN SEBAGAINYA.
4. WUJUDKAN SUASANA BUKU DAN BUDAYA MENULIS DI RUMAH ATAU PEJABAT.
5. SEMAI RASA CEMBURU DENGAN KEJAYAAN PENULIS LAIN.
5. Pada pandangan Ustaz adakah bahan bacaan dan rujukan itu penting untuk menghasilkan buku. Bagaimana pula memanfaatkan bahan bacaan dan rujukan ini supaya dapat dibuat buku?
1. BUKU ILMIAH AMAT MEMERLUKAN BAHAN RUJUKAN.
2. PENULISAN FIKTIF MASIH PERLU RUJUKAN, TERGANTUNG TAJUK ATAU KANDUNGAN.
6. Soalan terakhir, boleh kongsikan 4 prinsip semasa berkarya?
1. MULAKAN LANGKAH PERTAMA DAHULU.
2. KONSISTEN.
3. SUASANA.
4. MOTIVASI.





Apr 22, 2013

Wawancara ekslusif bersama penulis Galeri Ilmu Ustaz Mohamad Zaki Abdul Halim

Jumpa beliau di sini
1.     Assalamualaikum. Pada hari ini sesi Bicara Buku bersama dengan penulis buku Dhuyufur- Rahman (Tetamu Allah) Ustaz Mohamad Zaki Abdul Halim . Pada hari ini beliau akan berkongsi tip-tip penulisan dan pengalaman beliau sebagai penulis. Terima kasih kepada Ustaz Zaki kerana meluangkan masa pada hari ini. Kita mulakan dengan sesi perkenalan dahulu.(perkenalkan diri serba ringkas, nama , latarbelakang)


-        Saya Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim, sekarang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sebagai Pegawai Tadbir dan Imam Utama di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan. Saya juga terlibat sebagai penceramah dan pembimbing Ibadah Haji dan Umrah hampir 10 tahun.

-        Merupakan graduan lulusan dari Universiti Al-Azhar Cairo, Egypt dalam bidang Usuluddin dan Dakwah pengkhususan Tafsir. Saya juga sering mendampingi para ulama' di bumi anbia untuk mendapatkan ilmu serta tarbiah, antara guru mursyid saya ialah al-habib Sheikh Yusouf Mahyuddin al-Hasani. Saya berasal dari Pulau Pinang dan alhamdulillah, setakat ini telah mempunyai 6 orang cahayamata.

2.      Soalan pertama, apakah ciri-ciri yang perlu dipunyai sebagai seorang penulis? Adakah semata-mata konsisten menulis sahaja?

-        Bagi seorang penulis, perkara yang paling utama hendaklah dia memiliki ilmu dan peka dengan suasana. Seorang penulis juga adalah seorang pendakwah. Sifat dan ciri-ciri terbaik yang perlu ada dalam diri seorang penulis ialah dengan memiliki sifat dai'e, mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Namun janganlah pula dia melupakan dirinya untuk beramal dan melakukan apa yang telah diperkatakannya. Disamping itu seorang penulis hendaklah mempamerkan akhlak yang baik lagi terpuji serta ikhlas mencari keredhaan Allah dalam usaha dakwahnya.

3.      Soalan kedua, apakah dorongan utama Ustaz Zaki semasa menulis sehingga karya pertama berjaya diterbitkan?

-        Bagi saya dorongan yang paling utama sehingga terdorong untuk saya memulakan tulisan pertama ialah konsep “amal jariah”. Dengan menulis kita boleh mewariskan ilmu dan pengalaman sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk dijadikan pedoman dan pendorong bagi melakukan kebaikan. Ilmu dan nasihat yang tertulis akan kekal dan dapat diwariskan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, insya Allah hingga ke hari akhirat. Moga dengan buku-buku yang terhasil dan dapat diamalkan pula oleh para pembaca akan menjadi amal jariah yang berpanjangan hingga ke akhirat nanti.

4.      Bercerita mengenai kejayaan, banyak pembaca mahu tahu apakah teknik dan strategi supaya menghasilkan karya mereka sendiri. Apakah caranya supaya seseorang penulis boleh terus menghasilkan karyanya? 

-        Saya juga banyak belajar daripada para penulis yang lebih berpengalaman. Perkara utama ialah kemahuan sendiri dan kesedaran yang perlu dipupuk selalu supaya semangat untuk terus menulis tidak hilang. Kita perlu jadikan kerja menulis ini sebagai suatu keperluan bagi mengasah ilmu dan kemahiran untuk memahami sesuatu perkara. Sebelum menulis kita perlu terlebih dahulu mengkaji dan banyak membaca. Namun tidak dinafikan teknik untuk menulis dan memulakan penulisan haruslah dipelajari supaya ia tidak mematikan semangat untuk menulis di tengah jalan.

-        Trend pembaca hari ini mereka lebih berminat kepada bahan bacaan yang tidak terlalu berat untuk difahami. Bagi saya sendiri, saya lebih suka membaca bahan bacaan ilmiah yang santai penghuraiannya. Serius tetapi mudah difahami melalui olahan secara penceritaan yang dapat digambarkan dalam kehidupan seharian. Kaedah ini lebih praktikal. Sebab itu dalam karya pertama dan kedua, saya memilih untuk menulis apa yang lebih dapat saya kuasai mengenai ilmunya iaitu persoalan ibadah haji dan umrah yang diterapkan melalui pengalaman dan pemerhatian serta penghayatan. Dengan itu gaya penulisan saya akan lebih dekat dengan hati pembaca. Melalui pengalaman penulisan yang kita telah mahir dari segi perbahasannya, kita akan lebih bersemangat untuk meneroka dan menulis dalam bidang lain pula.

5.      Pada pandangan Ustaz Zaki adakah bahan bacaan dan rujukan itu penting untuk menghasilkan buku. Bagaimana pula memanfaatkan bahan bacaan dan rujukan ini supaya dapat dibuat buku?

- Ya! Bahan bacaan dan rujukan sememangnya amat penting untuk menghasilkan sesebuah buku. Malah kalau sesuatu isu itu besar, dengan bahan-bahan rujukan tadi kita boleh melebarkan lagi huraian dan menghasilkan beberapa buah buku dengan skop perbincangan yang berbeza. Keduanya, bahan bacaan dan rujukan sebenarnya banyak membantu untuk kita menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu apabila kita berjaya mengarap bahan-bahan tadi mengikut kesesuaian dan kehendak semasa.

6.      Soalan terakhir, boleh kongsikan 4 prinsip Ustaz Zaki semasa berkarya?

a. Menulis adalah ibadah dan amal jariah untuk kita di akhirat.
b. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Dengan menulis kita mampu memanfaatkan ilmu untuk dikongsi dan diamalkan bersama.
c. Ilmu adalah hak Allah, untuk menulis kita perlu banyak memohon petunjuk daripada Allah agar apa yang ditulis menepati kehendak Allah dan keredhaanNya.
d. Jujur dengan apa yang kita tulis dan perkatakan.

7.      Ceritakan sedikit tentang karya Ustaz Zaki ini di PBAKL 2013.

- Buku Dhuyufurrahman adalah karya saya yang kedua dengan Galeri Ilmu. Ilham untuk menulis buku ini tercetus dan terhasil daripada semangat haji yang saya miliki dan terus dibajai. Disamping berkongsi rasa dan idea bersama para sahabat yang lain, yang sama-sama diberi peluang untuk menyantuni para dhuyufurrahman dan menjadi tetamuNya. Nikmat berbakti dan menyantuni dhuyufurrahman amat berharga dan sukur untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Namun sebagai menghargai dan mensyukurinya, apa yang mampu kami berikan hanyalah dalam bentuk perkongsian pengalaman, pandangan dan catatan serta ilmu berkaitan ibadat haji dan umrah sebagai pedoman yang berguna untuk dimanfaatkan bersama. Matlamat utama daripada usaha ini adalah diharapkan para dhuyufurrahman ataupun tetamu Allah beroleh faedah yang maksima dari sudut ilmu, kefahaman dan tarbiah serta mampu mencapai kedudukan yang terbaik di sisi Allah SWT iaitu haji Mabrur. Haji Mabrur tiada ganjaran yang lebih istimewa melainkan syurga!

Buku ini akan cuba mengupas dan memperjelaskan keadaan serta usaha yang sepatutnya dilaksanakan oleh seseorang yang berhasrat untuk melayakkan dirinya dijemput sebagai tetamu Allah yang istimewa. Ia juga sebagai menu muhasabah untuk mereka yang pernah bergelar tetamu Allah.

Fahamilah, ‘rasa istimewa’ pada ibadah haji dan umrah bukanlah pada fasiliti dan layanan yang diterima, tetapi istimewa itu lahir dari ‘perasaan’ menghargai dan dihargai, mencintai dan dicintai, mengharap dan diambil peduli, sesuatu yang hanya akan dapat dihayati dan dirasai oleh mereka yang telah melayakkan dirinya sebagai tetamu yang istimewa lagi terpilih. Siapa mereka? Adakah kita? Tetapi layakkah kita? Bagaimanakah untuk kita mendapatkannya? Semuanya akan terjawab dalam buku kecil ini, insya-Allah.