Oct 18, 2013

Bonda Nor Meluahkan Perasaan Kepada Galeri Ilmu

Klik di sini
Sudah ramai yang bertanya saya, bila novel saya akan berada di pasaran. Alhamdulillah, semalam saya terima update daripada editor Tuan Resha Hamzah. Insya-Allah dalam masa terdekat, novel Saya Tunggu Awak akan berada di rak-rak buku. Namun, bukan berita gembira itu yang ingin saya kongsikan hari ini. Ada sesuatu pengajaran berharga yang saya sempat kutip ketika proses penerbitan karya ini.

Ini cover buku yang diberikan kepada saya. Sebenarnya, ini bukan tajuk dan cover yang saya cadangkan kepada pihak penerbit. Lain ... sangat lain! Jauh benar larinya!

Sewaktu menerima cadangan daripada mereka tentang tajuk dan cover ini, saya menangis! Hati saya cukup memberontak! Saya hampir-hampir membatalkan sahaja perjanjian saya untuk menerbitkan buku bersama mereka. Sungguh, itulah yang saya rasa. Rasa marah, kecewa, rasa tidak dihormati, rasa diketepi.

Saat ini saya rasa teruji dengan ilmu sendiri. Alhamdulillah, ilmu banyak memandu saya mengendalikan emosi. Saya tidak meluahkan kekecewaan saya kepada sesiapa ... saya hanya meminta pendapat rakan-rakan yang setia mengikuti perkembangan novel ini sejak ia mula ditulis lagi. Rata-rata mereka turut meluahkan kecewa. Mereka juga mahukan konsep asal reka bentuk dan seperti yang dijangka mereka tidak bersetuju dengan tajuk!

Sekali lagi saya gelisah. Walaupun ini bukan hasil penulisan pertama saya, saya anggap ianya cukup istimewa kerana saya menulis novel ini tanpa pernah menghadiri sebarang kursus penulisan novel, tanpa pernah minat membaca novel apatah lagi untuk menghasilkan sebuah novel! Ianya cukup mustahil untuk dilakukan oleh saya.

Namun sungguh! Ia umpama satu tuntutan luar biasa. Umpama menerima satu arahan, saya tetap menghasilkannya sambil meriba bayi yang masih perlu disusukan. Hampir setiap malam jam tiga pagi, saya akan terjaga sendiri untuk menaip dan menghasilkan satu persatu perkataan hingga akhirnya terhasil novel setebal 640 muka surat ini! Sesuatu yang saya tahu saya tidak mampu buat tanpa ada 'kuasa' membantu yang Maha Hebat. Sebab itu saya terlalu sayangkan novel ini kerana menganggapnya anugerah dan amanah daripada Allah.

Apabila berlaku konflik tajuk dan reka bentuk, tentu sahaja saya kecewa. Selepas puas menangis untuk melegakan hati, saya menghubungi editor dan cuba berunding lagi. Okey, jika tidak mahu tajuk asal saya, apa kata pilih salah satu daripada senarai tajuk-tajuk ini. Bla ... bla ... bla ... berderet-deret tajuk yang saya cadangkan. Saya anggap itu usaha terakhir saya. Namun, saya tetap memujuk hati saya. Saya solat Istikharah memohon bantuan pilihan daripada Allah. Benar, saya ada pilihan saya sendiri tetapi jika Allah sudah tentukan apa yang terbaik buat saya ... saya redha dan akan menerimanya dengan senang hati.

Sewaktu menerima e-mel daripada editor, saya tersenyum membacanya. Dengan gaya bahasa yang cukup sopan dan menyenangkan hati, dia memaklumkan kepada saya bahawa keputusan musyawarah pihak penerbit sekali lagi 'berdegil' memilih tajuk yang sama. SAYA TUNGGU AWAK. Itu juga yang dipilih oleh mereka. Namun reaksi saya kali ini sungguh berbeza dengan penerimaan saya pada kali pertama. Secebis pun tidak ada lagi rasa kecewa. Saya malah bersyukur walaupun kesemua cadangan saya tidak diterima!

Aneh! Tiba-tiba saya jatuh cinta kepada tajuk ini, tiba-tiba saya rasa suka kepada reka bentuk cover novel yang diberi. Malah dalam hati, saya penuh yakin bahawa mereka lebih berpengalaman dengan apa yang mereka sudah biasa kendalikan. Subhanallah, betapa anehnya mainan perasaan. Sungguh, saya tiba-tiba bangga dengan keputusan mereka meskipun saya membantah pada awalnya.

Sahabat-sahabatku yang baik,

Dalam hidup kita, akan ada saatnya di mana kita akan di uji dengan perkara-perkara yang kita anggap menyakitkan dan tidak memuaskan hati. Bersabarlah. Bukan semua yang baik pada pandangan kita, baik juga pada pandangan Allah. Dia lebih tahu. Ambil sedikit masa untuk menenangkan hati kita. Dari mana sebenarnya datang kekuatan untuk memujuk hati? Minta juga daripada Allah. Dia yang pegang hati kita. Jangan minta Dia bantu kita supaya kita menang, tetapi minta bantuan-Nya agar beri yang terbaik supaya apa pun yang berlaku selepas itu akan buat hati kita lebih tenang.

Percayalah. Saya sudah melaluinya.

Kredit: Novel Dakwah



1 comment:

  1. Assalamualaikum Tuan/Puan.

    Saya berminat untuk menghantar manuskrip saya. Tetapi saya ada beberapa soalan:


    1) Adakah Galeri Ilmu masih menerbitkan novel tarbiah dewasa?

    2) Adakah Galeri Ilmu masih berminat dengan manuskrip novel cinta islamik?

    ReplyDelete