Nov 13, 2013

Revolusi

Judul: Revolusi
Penulis: Pahrol Mohamad Juoi
Tebal: 224 ms
ISBN: 978-983-097-458-3
Kod: GB0250
Harga: RM 15.00

Sinopsis: 


Antologi cerpen Revolusi ini ditulis dengan misi ‘memanusiakan’ manusia. Apakah ada manusia yang bukan manusia? Ya, ada. Bukan pada rupa, tetapi pada jiwa.

   Apabila buta mata hati (kerana meminggirkan agama), manusia akan menjadi lebih hina daripada haiwan. Kerakusannya, bukan sahaja menghancurkan orang lain tetapi turut menghancurkan dirinya sendiri. Ketika itu kebijaksanaan akal akan didominasi oleh kerakusan hawa nafsu. Maka berlakulah keruntuhan spiritual di tengah pembangunan material. Inilah zaman jahiliah kedua yang mengekalkan ciri-ciri dalaman persis jahiliah yang pertama.

   Tidak kira setinggi mana ilmu, sebanyak mana harta atau sebesar mana kuasa ... tanpa berpegang kepada prinsip Islam yang syumul, umat Islam sendiri akan menjadi hamba kepada fahaman sekular. Inilah fahaman yang ‘diperangi’ oleh cerpen-cerpen dalam antologi ini. Ia memaparkan bagaimana ulama berfikiran sekular rela menjahanamkan agama atas nama agama. Mereka gadaikan prinsip teras dan nilai asas Islam atas alasan toleransi dan bersifat sederhana.

   Buku ini juga membuka tembelang umara berfikiran sekular, yang tega merosakkan masyarakat dengan muslihat untuk membela bangsa dan negara. Ironinya, mereka membaham isi, orang lain hanya mengutip sisanya. Manakala si jahil yang sekular pula akan terus jadi Pak Turut yang rela diperkuda oleh umpan hedonisme untuk terus bersuka ria dengan menggadaikan agama.

   Namun, kita tidak rela umat terus dijajah minda dan jiwanya. Sudah sampai masanya kita bangun dengan penuh kesedaran untuk mencantas belenggu jahiliah dalam jiwa dan fikrah masyarakat. Walaupun kebangkitan Islam ini pasti ada hambatan dan halangannya, kebenaran tidak akan dapat selamanya disekat. Ia umpama akar pokok yang mampu menembusi tanah dengan gerakannya yang lemah lembut penuh istiqamah. Atau ia umpama aliran air yang mampu melekukkan batu kerana sifatnya yang tegar dan sabar.

   Antologi cerpen Revolusi ini memaparkan arus yang terpaksa dihadapi oleh pejuang Islam sepanjang zaman. Arus itu sama ada dalam bentuk sistem yang telah lama bertapak kukuh atau individu dominan yang menjadi pendukung sistem tersebut. Cerpen-cerpen dalam antologi ini polos dan telus sahaja sifatnya. Mungkin nilai estetikanya tidak seberapa. Namun sifat terus-terang dan vokalnya itulah yang lebih perlu dicermati dan diamati.

   Mesejnya jelas yakni ingin membawa pembaca untuk merentasi sempadan-sempadan kuasa, harta dan kekuatan yang sering dieksploitasi dan dimanipulasi untuk menyekat kebenaran. Untuk itu kita perlu bermujahadah – berhempas melawan hawa nafsu dan tipuan syaitan yang sangat mengajak kepada kejahatan. Musuh batin itu yang lebih berbahaya daripada musuh lahir. Betapa ramai pejuang Islam yang kecundang, bukan kerana pukulan musuh dari luar, tetapi rebah akibat lemah berperang dengan keinginan hawa nafsu sendiri!

No comments:

Post a Comment