Apr 22, 2013

Wawancara ekslusif bersama penulis Galeri Ilmu Ustaz Mohamad Zaki Abdul Halim

Jumpa beliau di sini
1.     Assalamualaikum. Pada hari ini sesi Bicara Buku bersama dengan penulis buku Dhuyufur- Rahman (Tetamu Allah) Ustaz Mohamad Zaki Abdul Halim . Pada hari ini beliau akan berkongsi tip-tip penulisan dan pengalaman beliau sebagai penulis. Terima kasih kepada Ustaz Zaki kerana meluangkan masa pada hari ini. Kita mulakan dengan sesi perkenalan dahulu.(perkenalkan diri serba ringkas, nama , latarbelakang)


-        Saya Mohamad Zaki Bin Hj Abdul Halim, sekarang bertugas di Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang sebagai Pegawai Tadbir dan Imam Utama di Masjid Daerah Seberang Perai Selatan. Saya juga terlibat sebagai penceramah dan pembimbing Ibadah Haji dan Umrah hampir 10 tahun.

-        Merupakan graduan lulusan dari Universiti Al-Azhar Cairo, Egypt dalam bidang Usuluddin dan Dakwah pengkhususan Tafsir. Saya juga sering mendampingi para ulama' di bumi anbia untuk mendapatkan ilmu serta tarbiah, antara guru mursyid saya ialah al-habib Sheikh Yusouf Mahyuddin al-Hasani. Saya berasal dari Pulau Pinang dan alhamdulillah, setakat ini telah mempunyai 6 orang cahayamata.

2.      Soalan pertama, apakah ciri-ciri yang perlu dipunyai sebagai seorang penulis? Adakah semata-mata konsisten menulis sahaja?

-        Bagi seorang penulis, perkara yang paling utama hendaklah dia memiliki ilmu dan peka dengan suasana. Seorang penulis juga adalah seorang pendakwah. Sifat dan ciri-ciri terbaik yang perlu ada dalam diri seorang penulis ialah dengan memiliki sifat dai'e, mengajak manusia melakukan kebaikan dan mencegah manusia daripada melakukan kemungkaran. Namun janganlah pula dia melupakan dirinya untuk beramal dan melakukan apa yang telah diperkatakannya. Disamping itu seorang penulis hendaklah mempamerkan akhlak yang baik lagi terpuji serta ikhlas mencari keredhaan Allah dalam usaha dakwahnya.

3.      Soalan kedua, apakah dorongan utama Ustaz Zaki semasa menulis sehingga karya pertama berjaya diterbitkan?

-        Bagi saya dorongan yang paling utama sehingga terdorong untuk saya memulakan tulisan pertama ialah konsep “amal jariah”. Dengan menulis kita boleh mewariskan ilmu dan pengalaman sebagai pengajaran kepada masyarakat untuk dijadikan pedoman dan pendorong bagi melakukan kebaikan. Ilmu dan nasihat yang tertulis akan kekal dan dapat diwariskan dari satu generasi ke satu generasi yang lain, insya Allah hingga ke hari akhirat. Moga dengan buku-buku yang terhasil dan dapat diamalkan pula oleh para pembaca akan menjadi amal jariah yang berpanjangan hingga ke akhirat nanti.

4.      Bercerita mengenai kejayaan, banyak pembaca mahu tahu apakah teknik dan strategi supaya menghasilkan karya mereka sendiri. Apakah caranya supaya seseorang penulis boleh terus menghasilkan karyanya? 

-        Saya juga banyak belajar daripada para penulis yang lebih berpengalaman. Perkara utama ialah kemahuan sendiri dan kesedaran yang perlu dipupuk selalu supaya semangat untuk terus menulis tidak hilang. Kita perlu jadikan kerja menulis ini sebagai suatu keperluan bagi mengasah ilmu dan kemahiran untuk memahami sesuatu perkara. Sebelum menulis kita perlu terlebih dahulu mengkaji dan banyak membaca. Namun tidak dinafikan teknik untuk menulis dan memulakan penulisan haruslah dipelajari supaya ia tidak mematikan semangat untuk menulis di tengah jalan.

-        Trend pembaca hari ini mereka lebih berminat kepada bahan bacaan yang tidak terlalu berat untuk difahami. Bagi saya sendiri, saya lebih suka membaca bahan bacaan ilmiah yang santai penghuraiannya. Serius tetapi mudah difahami melalui olahan secara penceritaan yang dapat digambarkan dalam kehidupan seharian. Kaedah ini lebih praktikal. Sebab itu dalam karya pertama dan kedua, saya memilih untuk menulis apa yang lebih dapat saya kuasai mengenai ilmunya iaitu persoalan ibadah haji dan umrah yang diterapkan melalui pengalaman dan pemerhatian serta penghayatan. Dengan itu gaya penulisan saya akan lebih dekat dengan hati pembaca. Melalui pengalaman penulisan yang kita telah mahir dari segi perbahasannya, kita akan lebih bersemangat untuk meneroka dan menulis dalam bidang lain pula.

5.      Pada pandangan Ustaz Zaki adakah bahan bacaan dan rujukan itu penting untuk menghasilkan buku. Bagaimana pula memanfaatkan bahan bacaan dan rujukan ini supaya dapat dibuat buku?

- Ya! Bahan bacaan dan rujukan sememangnya amat penting untuk menghasilkan sesebuah buku. Malah kalau sesuatu isu itu besar, dengan bahan-bahan rujukan tadi kita boleh melebarkan lagi huraian dan menghasilkan beberapa buah buku dengan skop perbincangan yang berbeza. Keduanya, bahan bacaan dan rujukan sebenarnya banyak membantu untuk kita menghasilkan karya-karya yang lebih bermutu apabila kita berjaya mengarap bahan-bahan tadi mengikut kesesuaian dan kehendak semasa.

6.      Soalan terakhir, boleh kongsikan 4 prinsip Ustaz Zaki semasa berkarya?

a. Menulis adalah ibadah dan amal jariah untuk kita di akhirat.
b. Sebaik-baik manusia adalah mereka yang dapat memberi manfaat kepada orang lain. Dengan menulis kita mampu memanfaatkan ilmu untuk dikongsi dan diamalkan bersama.
c. Ilmu adalah hak Allah, untuk menulis kita perlu banyak memohon petunjuk daripada Allah agar apa yang ditulis menepati kehendak Allah dan keredhaanNya.
d. Jujur dengan apa yang kita tulis dan perkatakan.

7.      Ceritakan sedikit tentang karya Ustaz Zaki ini di PBAKL 2013.

- Buku Dhuyufurrahman adalah karya saya yang kedua dengan Galeri Ilmu. Ilham untuk menulis buku ini tercetus dan terhasil daripada semangat haji yang saya miliki dan terus dibajai. Disamping berkongsi rasa dan idea bersama para sahabat yang lain, yang sama-sama diberi peluang untuk menyantuni para dhuyufurrahman dan menjadi tetamuNya. Nikmat berbakti dan menyantuni dhuyufurrahman amat berharga dan sukur untuk diterjemahkan dengan kata-kata. Namun sebagai menghargai dan mensyukurinya, apa yang mampu kami berikan hanyalah dalam bentuk perkongsian pengalaman, pandangan dan catatan serta ilmu berkaitan ibadat haji dan umrah sebagai pedoman yang berguna untuk dimanfaatkan bersama. Matlamat utama daripada usaha ini adalah diharapkan para dhuyufurrahman ataupun tetamu Allah beroleh faedah yang maksima dari sudut ilmu, kefahaman dan tarbiah serta mampu mencapai kedudukan yang terbaik di sisi Allah SWT iaitu haji Mabrur. Haji Mabrur tiada ganjaran yang lebih istimewa melainkan syurga!

Buku ini akan cuba mengupas dan memperjelaskan keadaan serta usaha yang sepatutnya dilaksanakan oleh seseorang yang berhasrat untuk melayakkan dirinya dijemput sebagai tetamu Allah yang istimewa. Ia juga sebagai menu muhasabah untuk mereka yang pernah bergelar tetamu Allah.

Fahamilah, ‘rasa istimewa’ pada ibadah haji dan umrah bukanlah pada fasiliti dan layanan yang diterima, tetapi istimewa itu lahir dari ‘perasaan’ menghargai dan dihargai, mencintai dan dicintai, mengharap dan diambil peduli, sesuatu yang hanya akan dapat dihayati dan dirasai oleh mereka yang telah melayakkan dirinya sebagai tetamu yang istimewa lagi terpilih. Siapa mereka? Adakah kita? Tetapi layakkah kita? Bagaimanakah untuk kita mendapatkannya? Semuanya akan terjawab dalam buku kecil ini, insya-Allah.




No comments:

Post a Comment