Apr 6, 2011

Menjawab 101 Persoalan Tauhid


Judul: MENJAWAB 101 PERSOALAN TAUHID
Penulis: DRS AL-USTAZ PAUZI HAJI AWANG
Kategori: Fardu Ain
Tebal: 96ms /Harga : RM10/GB113

Menjawab 101 Persoalan Tauhid ialah daripada terjemahan kitab al-Jawahir al-Kalamiyyah (Mutiara Ilmul Kalam) karya al-‘Allamah al-Ustaz al-Syaikh Tohir al-Jaza’iriy, sebuah kitab yang membicarakan masalah-masalah penting dalam bidang akidah Islamiah. Mengandungi Muqaddimah, diikuti enam bahasan (enam bab) dan penutup, meliputi seratus satu masalah akidah disusun secara soal jawab dengan bahasa yang mudah dan rapi.




Dalam sistem pengajian lama, buku ini dibaca di sekolah-sekolah Arab, pondok-pondok, masjid-masjid dan di surau-surau untuk pelajar-pelajar dan orang awam sebagai asas penting dalam bidang Ilmul Kalam.

Di tanah air kita dan di Indonesia, buku ini pernah diterjemahkan oleh guru-guru agama untuk tatapan para pelajar dan pembaca yang kurang mahir dalam bahasa Arab. Terjemahan yang kami kemukakan ini pernah diterbitkan buat kali pertamanya dalam tahun 1978 oleh Angkatan Belia Islam Malaysia Cawangan Kota Bharu, Kelantan.

Memandangkan buku ini penting dikuasai generasi muda hari ini, kami terbitkan sekali lagi dengan penambahan “Sepuluh Prinsip Ilmu” bagi melengkapkan pengetahuan yang berkaitan Ilmul Kalam.
Jika diizinkan Allah, akan disusuli judul-judul yang lain dalam bidang Ilmul Kalam ini, insya-Allah.

PETIKAN

1. Takrif Ilmu Tauhid

Maksud asal perkataan “tauhid” ialah mengiktiqadkan wujudnya Allah Yang Maha Esa, Tuhan yang mencipa segala makhluk, bersifat dengan sifat-sifat kesempurnaan, tidak ada sekutu bagi-Nya baik pada zat-Nya, sifat-sifat-Nya dan af‘al-Nya. Dia tidak beranak, tidak diperanakkan dan tidak ada sesuatu pun yang setara dengan-Nya. Dialah yang mentadbir alam ini, Tuhan yang wajib disembah dan ditumpukan segala ibadat.

Dialah yang mengutuskan para rasul untuk memimpin manusia ke jalan yang lurus, menetapkan hukum-hukum dan menentukan cara-cara beribadat untuk kepentingan manusia itu sendiri. Dialah yang akan menyoal hamba-hamba-Nya di alam akhirat dan akan memberi balasan kepada mereka sama ada balasan baik ataupun balasan seksa sesuai dan setimpal dengan amal perbuatan masing-masing.

Dari segi bahasa perkataan “ilmu” bererti “pengetahuan” dan perkataan “tauhid” bererti: Mengesakan, menunggalkan, menganggap satu, mengetahui sesuatu itu hanya satu.

Dari segi istilah, perkataan ‘tauhid’ bermaksud:

• Suatu ilmu yang membicarakan tentang akidah agama Islam dengan dalil-dalil yang meyakinkan.

• Suatu ilmu untuk mengenal Allah dengan cara mengetahui dan mengenal sifat-sifat wajib, sifat-sifat mustahil dan sifat-sifat yang harus bagi mereka.

• Suatu ilmu yang mengandungi dalil-dalil dan hujah-hujah tentang akidah Islamiah, disokong dengan dalil-dalil aqli dan dalil-dalil naqli di samping menolak kepercayaan-kepercayan dan ajaran-ajaran karut, kepercayaan-kepercayaan yang menyeleweng daripada mazhab salaf dan Ahli Sunnah wal-Jamaah.

Daripada takrif yang berbagai-bagai itu, beberapa kesimpulan dapat dirumuskan iaitu:

1) Ilmu tauhid mempunyai metodolginya yang tersendiri. Ia berdasarkan kepada kajian, penelitian dan dalil-dalil akal sebagai jalan untuk menetapkan akidah dan pegangan agama yang elah sabit dengan wahyu. Justeru, ilmu ini dikenali juga dengan nama “Ilmu an-Nazar al Istidlal—Ilmu Pemikiran dan Pendalilan”.

2) Tugas utama Ilmu Tauhid ialah berusaha menolak keraguan, kesamaran dan kepercayaan-kepercayaan karut dengan menegakkan hujah-hujah dan dalil-dalil aqli yang menunjukkan kesahihan akidah Islamiah yang menjadi pegangan golongan salaf dan Ahli Sunnah wal Jamaah.


No comments:

Post a Comment