Apr 6, 2011

Labbaikallah....


Judul: LABBAIKALLAH
Penulis: HAJI ZAINAL HAJI BUJANG
Kategori: TRAVELOG TARBIAH
Saiz: 5.5” x 8.5”
ISBN: 978-983-09-284-8
Tebal: 272 hal.
Harga: RM19

Buku ini mengandungi 40 artikel corat-coret jemaah haji dan umrah, suka duka, dan ganjil serta lucu semasa di Tanah Suci. Setiap kisah disisipkan pengajaran bagi pembaca. Juga terdapat 15 halaman yang mengandungi foto-foto hiasan di Tanah Suci.




Penulis buku ini Haji Zainal Haji Bujang juga telah banyak menghasilkan hampir 20 buku berkaitan haji dan umrah.

Petikan 1

Tiba-tiba satu fenomena ganjil terjelma. Para tetamu Allah yang sedang khusyuk menanti waktu solat terpinga-pinga. Ada yang menggeleng-geleng seakan-akan tidak percaya apa yang sedang terpapar di depan mata.

Ada pula yang tersenyum seolah-olah menyaksikan sebuah sendaloka. Saya juga terkesima melihatkan adegan yang sedang berlaku. Jemaah tua separuh umur itu sedang mengatur langkah. Satu demi satu menuju destinasi yang bersarang dalam kalbu. Lagaknya persis kucing yang merangkak untuk bertindak. Tidak ubah seperti gelagat Tom dan Jerry, dalam siri kartun yang amat popular dalam kalangan kanak-kanak.

Jemaah misteri terus melangkah dengan penuh berhati-hati dan berhemah. Dia melintasi Multazam yang Allah iktiraf sebagai tempat paling mustajab bagi merafak doa. Dia bergerak ke arah Hajarul Aswad yang tidak lagi sesak dengan peminat setia. Saya tersenyum melihat senario yang berlaku. Barulah saya tahu nawaitunya yang sedang membelenggu. Para jemaah yang mulai memahami hasrat dan cita-citanya mulai ketawa.

Mereka geli hati melihat gelagat tetamu istimewa itu yang amat bersahaja. Si tetamu istimewa separuh usia terus bergerak menuju matlamat idaman kalbu. Tiba-tiba dia meluru sepenuh kudrat dan jiwa raga. Dia terus mendakap dan mengucup batu hitam yang berasal dari syurga. Terbahak-bahak keluar ilai tawa yang serentak. Ada pula yang terlalu kagum melihat kerenah tetamu istimewa yang begitu menyerlah.

Mencium dan mengucup Hajar Aswad menjadi idaman setiap insan yang menjadi tetamu Allah. Mereka akan melakukan apa jua usaha bagi merealisasikan hasrat dan cita-cita. Setiap mereka mengetahui akan kelebihan dan fadilat batu hitam dari syurga itu. Hadis Baginda Rasulullah ada mengungkapkan bahawa Hajar Aswad akan menjadi saksi di akhirat kelak bagi orang-orang yang pernah menyalami, mengusap dan mengucupnya. Gelagat tetamu istimewa di atas menjadi petanda betapa batu yang amat mula itu begitu berhikmat dan memikat.

Petikan 2

Hari itu saya sengaja lalu di salah satu kawasan yang banyak terdapat burung merpati. Burung-burung yang ratusan jumlahnya itu saling berebutan mematuk makanan. Berkelompokan dalam beberapa pasukan. Yang datang dan terbang itu membentuk satu senario yang menggamit girang. Beberapa orang wanita berkelubung hitam berkeliaran sambil berjaja.

Mereka mencari rezeki dengan membekalkan gandum kepada para jemaah yang berhati mulia. Sayidatina Khadijah r.a. pasti bahagia kerana merpati-merpatinya yang jinak dan manja itu turut dikasihi oleh para jemaah haji dan umrah yang pemurah.

Saya menganalisis setiap tindak-tanduk dan tingkah laku burung-burung merpati itu yang kelihatan aneh dan lucu. Ada yang melarikan diri setiap kali gandum itu ditaburkan kepada mereka. Sepatutnya mereka datang berebut-rebut dan bukannya mengengsot persis orang takut. Mereka seperti pandai memilih jemaah pemurah yang mereka suka. Segera saya teringatkan cerita orang tua-tua tentang pekerti merpati Sayidatina Khadijah yang luar biasa.

“Merpati di Makkah bukan seperti merpati di tempat lain.
“Tidak kebulur akan apa jua yang kita hulur dan tabur.”
“Tahu menilai mana yang halal dan suci dan mana yang kurang bersih dan syubhah.”
“Tidak akan menyentuh langsung pemberian daripada unsur yang haram.”

Saya menggaru-garu kepala yang tidak berkutu. Fenomena yang terjelma menyebabkan jiwa dan minda saya terkesima buat seketika. Terpegun saya melihat sikap merpati yang begitu sopan. Tahu membezakan mana yang tulen dan mana yang palsu. Boleh mengenal pasti mana yang halal dan bersih. Menolak mentah-mentah mana-mana yang haram dan tidak mutlak.

“Subhanallah!”


No comments:

Post a Comment