Apr 13, 2009

Hilal Praktikkan Tawazun Dalam Menulis VT

Novel VT menjadi harapan penulisnya Hilal Asyraf untuk mengangkat sukan sebagai ibadah, dan mengajak manusia untuk melihat sukan sebagai salah satu saluran dakwah dan tarbiah (didikan). Melalui novel ini juga, Hilal mahu mengajak pembaca memahami konsep tawazun (keseimbangan), dan mengutamakan apa yang utama dalam kehidupan.

“Novel ini juga menyelami perasaan pelajar-pelajar yang bermasalah di sekolah,” jelas Hilal yang kini menuntut di Tahun Pertama dalam jurusan Usuluddin di Universiti Yarmouk, Jordan.

Di celah-celah aktiviti sebagai pelajar, Hilal menjadualkan waktu khusus untuk mengarang VT dan berjaya menyiapkan novel setebal 512 halaman ini dalam masa sebulan.

“Selalunya, saya atur jadual saya untuk menulis ini agar ada keseimbangan dalam kehidupan saya. Jadi, saya dapat menulis, dan hubungan saya dengan sahabat-sahabat juga tidak terganggu,” ujar Hilal (Foto) dalam e-melnya dari Jordan.

Pada 2008, sewaktu Hilal masih menuntut di Ma’ahad At-Tarbiyyah Al-Islamiyyah (MATRI), Perlis, kumpulan bola tampar MATRI buat pertama kali muncul johan MSSPs. Hilal salah seorang pemain dalam pasukan itu. Justeru, dalam VT, Hilal mewujudkan watak-watak pemain bola tampar yang diadaptasi daripada watak sebenar sebagai penghargaan dan kenangan atas segala kesukaran yang dilalui bersama.

Hilal menjelaskan, “Saya menggarap VT dari pengalaman, dan tarbiah yang saya lalui di MATRI, serta kehidupan dalam fikrah Islami yang dididik oleh guru-guru saya di sana. Justeru, jika VT ini mendapat sambutan, hakikat sebenar bukanlah kerana bagaimana garapan saya. Faktor sebenarnya adalah kerana pembaca sudah jatuh hati kepada Islam itu sendiri sehingga mereka tidak kisah jika tiada adegan cinta dan jiwang di dalamnya.”

Hilal berkata, apabila sudah berkeluarga nanti dengan izin Allah, beliau berhasrat menghasilkan novel mengenai hubungan suami isteri, dan tarbiah anak-anak dalam rangka pembetukan satu keluarga yang diredhai Allah.

“Semoga Allah menerima penulisan saya sebagai salah satu daripada amal-amal soleh, dan menjadikannya sebagai saham akhirat saya.”


No comments:

Post a Comment