Feb 18, 2009

Proses Penerbitan



Untuk menghasilkan sesuatu produk, haruslah melalui proses-proses tertentu. Begitu juga dalam bidang penerbitan. Untuk menerbitkan bahan bercetak khasnya buku atau majalah, ada proses-prosesnya.

Proses penerbitan buku pada asasnya ada empat peringkat:

1. Editorial
2. Perekaan
3. Percetakan
4. Pemasaran.

Mari kita lihat satu per satu.

Editorial
Apa agaknya kerja-kerja yang terlibat di peringkat editorial?

Di sinilah segala-galanya bermula—mencari penulis dan menulis atau mengarang. Ini boleh kita panggil peringkat mengumpul bahan mentah.

Penulis boleh terdiri daripada penulis dalaman atau penulis dari luar.

Pembinaan judul dan perancangan penerbitan juga bermula pada peringkat editorial.

Selesai karya ditulis, manuskrip itu akan disemak oleh penyunting atau editor. Isi, ejaan, tatabahasa dan ayat akan disemak. Yang salah dibetulkan, yang kurang sedap, disedapkan.

Gaya penulisan turut diteliti. Adakah sesuai dengan pembaca sasaran?

Segala-galanya diselesaikan pada peringkat editorial.

Jika kualiti pengarangan terlalu teruk, maka manuskrip akan dipulangkan kepada penulis—sama ada untuk pembetulan, ditulis semula, atau ditolak terus.

Selesai peringkat suntingan, manuskrip akan melalui peringkat seterusnya iaitu perekaan.

Perekaan
Apa pula dibuat di sini?

Manuskrip yang selesai disemak, akan dihantar kepada pereka rekaan buku. Editor dan pereka buku akan berbincang untuk menetapkan konsep buku. Jika ada gambar atau ilustrasi yang hendak dimasukkan ke dalam buku, di sinilah peringkatnya. Susun atur buku, rekaan kulit, pemilihan warna yang sesuai, menentukan jumlah muka surat, akan diselesaikan di sini.

Setiap jenis buku, lain pula rekaannya. Buku kanak-kanak, buku orang dewasa, buku mewah, buku sekolah, buku umum, buku rujukan—semuanya mempunyai konsep yang berbeza, mengikut kesesuaian pembaca.

Reka letak atau lay out dilakukan oleh artis grafik, berdasarkan visual yang telah dirangkakan oleh jurureka buku hasil. Antaranya yang ditentukan ialah saiz teks, saiz buku, jenis kulit.

Setelah selesai proses reka letak, maka galei akan dikeluarkan. Galei ialah pruf cetakan untuk dibuat pembetulan. Lazimnya pembetulan yang kecil-kecil yang terlepas pandang semasa peringkat penyuntingan.

Galei satu ini akan dipulangkan kepada editor untuk disemak dan dibuat pembetulan. Apabila selesai disemak oleh editor atau penyunting atau pembaca pruf, maka artis grafik akan membuat pembetulan.

Selesai peringkat ini, manuskrip dalam bentuk PDF (dahulu dalam bentuk filem) akan dihantar kepada pencetak di kilang.

Percetakan
Apa dilakukan di kilang cetak?

Pencetak akan mencetak buku mengikut spesifikasi yang telah ditentukan oleh penerbit seperti saiz buku, ketebalan buku, jenis kertas, jenis jilidan dan jumlah naskhah yang hendak dicetak.

Harga sebuah buku ditentukan oleh kos mencetak. Maka penerbit haruslah berhati-hati menentukan spesifikasi buku.

Selesai dicetak menjadi naskhah buku, proses penerbitan belum dikira sempurna sehinggalah buku itu dipasarkan.

Pemasaran
Buku-buku yang telah dicetak mestilah dipasarkan. Buku-buku boleh dipasarkan melalui banyak cara. Oleh itu, penerbit haruslah peka dengan keadaan trend pemasaran buku.

Tidak semua jenis buku sesuai diletakkan di kedai buku. Misalnya, ada buku yang hanya sesuai dijual secara terus ke perpustakaan dan sekolah.

Pada hari ini, semakin banyak penerbit memasarkan buku mereka melalui laman web mereka di Internet. Pemasaran buku secara online ini semakin popular kerana dapat menembusi pasaran antarabangsa tanpa had sempadan.

Ada juga penerbit yang mengedarkan katalog kepada pembaca. Pembaca boleh memesan buku mereka melalui cara pos.

Selain itu, jualan buku juga boleh dibuat semasa ekspo atau pesta buku yang diadakan dari semasa ke semasa yang dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.

Seperti mana produk-produk lain, aspek paling penting yang tidak boleh dipandang remeh oleh penerbit ialah promosi. Kebanyakan penerbit berpendapat, promosi merupakan aspek terpenting dalam proses penerbitan!

Just how important is promotion to a book's success? Lynn Marzulli, the best-selling author of the Nephilim Triology (Zondervan) believes, "Writing your first book and getting published are exciting experiences; however, promotion of your printed book is more important than any other aspect of the book-writing/publishing process. Promotion is imperative because this is a competitive business, driven by hard-nosed, intelligent people who can be ruthless at maximizing the dollar. If they're not working with you to get your book promoted, it is easy to get buried in the shuffle no matter how good your book is."

Promosi pula perlu dilakukan secara tetap/terus-terusan—tidak boleh hanya sekali dua. Kerana itu, tidak hairanlah ada penerbit (khasnya penerbit di Barat) sanggup berhabis belanja hanya untuk promosi!

-Oleh Suraiya

6 comments:

  1. Assalamualaikum,

    Tumpang tanya, saya bercadang mahu menerbitkan karya sendiri. Persoalannya, saya tidak tahu untuk mereka bentuk kulit & kandungan buku. Boleh syorkan mana-mana kelas yang menawarkan kursus sijil Adobe Indesign, Adobe Photoshop atau berkaitan dengannya. Terima kasih.

    ReplyDelete
  2. asssalam.sedikit pertanyaan.untuk mengeluarkan karya terbitan galeri ilmu.apakah syarat bagi karya tersebut? contohnya bilangan muka surat, font penulisan, size huruf..jika saya ingin menghantar penulisan saya..bagaiman caranya yang perlu saya lakukan..

    ReplyDelete
    Replies
    1. salaM.. boleh try htr karya ke Fathan Kreatif Publisher. FKP antara publisher yg mudah dn tidak byk karenah. :) like kt fb tny kt stu InshaAllah mrk akan respon

      Delete
  3. Terima kasih untuk informasinya :)
    Jika Anda berminat untuk menerbitkan buku rohani, silakan kunjungi website kami di http://visichristianstore.com/?page_id=5854
    Tuhan memberkati ...

    ReplyDelete
  4. Terima kasih terhadap informasi tersebut kerana ia menolong saya untuk membuat karangan laporan

    ReplyDelete
  5. Salam. Bayaran yang perlu penulis bayar kepada syarikat penerbitan bergantung kepada faktor apa? Adakah bahasa yang digunakan dalam penulisan? Bilangan muka surat?

    ReplyDelete