Nov 28, 2017

Menantu Hipster

JUDUL: Menantu Hipster
Penulis: Ahmad Shafiai Uda Jaafar (Pak Utih)
ISBN: 978-983-097-682-2
Tebal: 136 ms
Harga: RM20/RM22*
Kod: GB459

Sinopsis:

Zaman telefon pintar ini, media sosial menjadi pilihan utama tempat longgokan luahan, kesedihan, kebimbangan dan kerisauan. 

Tidak terkecuali mereka yang risau untuk berhadapan dengan mentuanya.




Berikut ialah catatan salah seorang daripada mereka:
“Assalamualaikum, saya nak tanya pendapat kalian semua. Saya dan bakal suami merancang untuk berkahwin pada tahun hadapan. Tapi sampai saat ini hati saya masih berbelah bagi untuk berkahwin dengannya atas sebab gerun dengan sikap ibunya. Belum berkahwin lagi, dia seboleh-bolehnya nak kawal saya dan anak dia. Dipendekkan cerita, cara hidup saya nanti, dia yang nak tentukan sebagai contoh kerja-kerja rumah, memasak dan sebagainya.

Saya pula tidak suka orang tentukan kehidupan saya. Apa yang saya nak buat, selagi tidak melanggar hukum atau undang-undang memang saya akan buat.

Saya bertambah sangsi apabila dia menceritakan keburukan menantu sulungnya kepada saya. Bermacam-macam kisah buruk didedahkan. Saya pula bukan suka mengumpat atau jaga tepi kain orang. Bagi saya tidak adil kalau dengar dari sebelah pihak saja. Pernah jugak saya terfikir jika betul menantu sulungnya itu tidak betul, mengapa dia tidak duduk bersemuka dengan menantu itu dan bertanyakan apa masalah dia. Saya rasa tak perlu nak kutuk-kutuk hal dia kepada adik beradik yang lain. Menjaja cerita buruk dia pada orang lain. Kalau dengan menantu ini dia boleh buat begini, bagaimana pula saya nanti.

Saya akur, baik macam mana pun menantu dengan mentua yang duduk serumah, pasti akan ada masalah kecil yang akan diperbesarkan mentua. Tengok daripada situasi sekarang, saya tidak tahu sama ada bakal mentua ini mampu atau tidak memahami cara hidup saya sebagaimana yang mak dan ayah saya menghormati saya.

Saya sudah berpesan kepada bakal suami, apabila sudah berkahwin nanti, saya tidak mahu tinggal di rumah keluarga dia begitu juga di rumah keluarga saya. Tetapi ibunya dari awal lagi sudah paksa kami tinggal dengannya. Apalagi anak dia ini adalah anak bongsu kesayangannya. Apa pandangan semua?”

Dijawab oleh kawan-kawannya di media sosial:
·      “Huhu ... kes berat ni. Kena fikir masak-masak. Buatlah solat Istiharah.”
·      “Saya selalu ingat pesan mak saya, ‘Kalau ibu lelaki memang sudah tidak suka kita, janganlah berkahwin dengaan anaknya. Nanti banyak masalah.’”
·   “Bakal suami kena main peranan juga. Kalau boleh jangan ikutkan sangat cakap maknya. Sebagai ketua keluarga, dia yang uruskan keluarganya sendiri. Bukan ibunya. Tetapi syurga tetap di bawah tapak kaki ibunya. Jangan sampai derhaka sudahlah. Memang kita kena dengar cakap mereka tetapi janganlah sampai hal rumah tangga kita pun mak ayah masuk campur. Cuba berbincang dengan bakal suami awak.”
·        “Bakal mentua anda memang tidak suka atau anda sahaja yang rasa gerun? Jangan peduli dan ambil kira sangat. Selepas berkahwin duduk rumah sendiri atau cari rumah sewa. Duduk jauh-jauh sikit. Bila ada masa, pergilah melawat dia.”
·     “Bakal suami awak kena buat keputusan. Seorang suami wajib sediakan tempat tinggal untuk isteri dan anak-anaknya. Walaupun syurga suami di bawah tapak kaki ibunya, tetapi suami masih boleh buat keputusan yang terbaik untuk keluarganya sendiri. Sekali sekala, ziarahlah ibu itu dengan membawa buah tangan atau apa sahaja untuk mengambil hatinya.”


SUATU Pandangan
Adalah lumrah bagi seorang wanita yang akan berkahwin merasa bimbang untuk berhadapan dengan bakal ibu mentuanya itu. Seribu satu perasaan dan kebimbangan yang dirasakannya. Tidak dinafikan ada sesetengah mentua yang bersikap dingin dan ada juga yang cerewet, serba tidak kena dan bBanyak pantang-larangnya. Tetapi itu bukan halangan besar untuk si isteri menjaga hubungan dengan mentuanya.

Sebaliknya orang lelaki, sama ada tinggal di rumah keluarganya atau rumah mentuanya, dia kurang menghadapi masalah. Ini kerana minda lelaki kurang memikirkan hubungan peribadi dan hal ehwal emosi. Kebanyakan mereka hanya fokus kepada dirinya sendiri dan kerjayanya di luar rumah apabila telah menjadi suami.

Walau bagaimanapun, kunci kejayaan mengatasi cabaran-cabaran ini ialah kerjasama suami dan isteri pasangan muda yang bertindak sebagai satu pasukan menyantuni apa juga kehendak dan keperluan ibu dan bapa mentua masing-masing dengan hikmah dan bijaksana.

Sudah menjadi budaya Generasi Y untuk mendapat bimbingan dalam bentuk tip melalui media social. Maka, saya telah menulis tip-tip melayani mentua sebagai panduan untuk mereka di Facebook saya, Pak Utih’s Page dan Pakutih.com.

TENTANG PENULIS:
Pak Utih adalah seorang aktivis kemanusiaan sejak 1992 dengan menjadi YDP Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia Negeri Perlis yang terlibat aktif dalam program kemasyarakatan di sana, bersama Aqsa Syarif (MyCARE) (2011-2015) memberi bantuan kemanusiaan ke Lubnan dan Gaza, ahli Jawatankuasa Pemantapan Kesejahteraan Ahli IKRAM dan sekarang melalui Success Together Consulting mengendalikan ceramah dan bengkel memahamkan masyarakat perbezaan keperluan dan kehendak lelaki serta wanita untuk bahagia di rumah dan juga di tempat kerja.
Beliau juga menganjurkan banyak kursus pengurusan seperti pengurusan gender, masa, stres, komunikasi berkesan, penyeliaan berkesan, pengurusan majlis dan bina pasukan untuk kakitangan kerajaan dan swasta di Malaysia, Singapura, Brunei dan Indonesia.
Pengalaman beliau sebagai Guru Pertanian Institut Pertanian Kuala Lipis (1978-80), Pensyarah ITM Arau (1990-98), Pengurus ITTAR Alor Star (1998-2000) dan CEO Madrasah Al-Irsyad Al-Islamiah Singapura (2004-2007), telah banyak membantunya mencipta modul-modul kursus yang berkaitan dengan pengurusan perhubungan suami isteri. 
Semasa melanjutkan pelajarannya di UK, 1994, beliau banyak mengendalikan ceramah membicarakan isu keharmonian suami isteri melalui Unit Kaunseling Islah UK dan Majlis Syura Muslimun kepada masyarakat Melayu di sana. Sekembali ke tanah air, beliau mendapat tauliah daripada JAKIM mengendalikan modul komunikasi dan pengurusan konflik rumah tangga bagi peserta Modul Bersepadu Kursus Pra Perkahwinan Keluarga Islam yang dianjurkan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis.
Beliau pernah ke udara setiap pagi Isnin dan Selasa di dalam segmen Rangsang Minda terbitan RTM Pulau Pinang (1996-1998) dan di RTM Johor Bharu (2000) setiap pagi Jumaat, Sabtu dan Ahad yang membicarakan isu-isu komunikasi suami isteri serta setiap petang Selasa di dalam segmen Cakap Tuan Puan di Radio Warna Singapura (2005-2006).

Selain itu, beliau juga pernah menjadi kolumnis bagi Majalah ANIS, Demi Cinta dan JOM. Sekarang dengan ilmu yang diperolehi di Gurian Institute (Learning through a Gender Lens), Colorado (2012), selain dijemput mengendalikan ceramah dan kursus untuk guru-guru dengan tajuk Boys and Girls Learn Differently, beliau banyak mengendalikan kursus pasca perkahwinan suami isteri yang dinamakan Mahligai Sakinah untuk ahli-ahli IKRAM dalam dan luar negara, Mahligai Kasih untuk semua kakitangan MARA 2015-2016 dan Suami Hensem Isteri Ohsem untuk Jabatan-jabatan kerajaan di seluruh Malaysia.

..................................................................................................
UNTUK PEMBELIAN & PERTANYAAN: WSAPP 011.3293 3466

..................................................................................................

 

 

 

 

 

 


No comments:

Post a Comment