Apr 10, 2017

Check-In Check-Out: Kembara HKL

JUDUL: Check-In Check-Out: Kembara HKL       
PENULIS: Abdul Muiez Ruslee
ISBN:   978-983-097-659-4           
KOD: BP 00012
HARGA: RM 20
TEBAL:   184 ms

Kotak yang menyimpan rahsia di pojok hati akhirnya saya buka dengan rela. Tatkala mendengar semanis harapan daripada doktor membuatkan saya ingin berkongsi dengan khalayak tentang penyakit yang sekian lama saya hidapi dan ia merupakan penyakit yang jarang ditemui.

Ketika berada di HKL, saya seolah-olah menjadi bahan uji kaji kepada doktor pelatih. Alhamdulillah, setiap detik perjalanan yang berlalu dapat disusun dengan frame masa yang bersesuaian. Semuanya atas kehendak Allah jua.

SINOPSIS:

Buku PURIS dengan tajuk CHECK-IN CHECK-OUT: Kembara HKL ini membawakan kisah saudara ABDUL MUIEZ RUSLEE yang ditimpa musibah akibat daripada dirinya yang obesiti. Selepas didiagnosis dengan satu penyakit, secara tidak langsung menjadi pembuka kepada rantaian penyakit lain yang turut dihadapinya tanpa sedar sebelum ini.

Sering kali apabila kita ditimpa ujian hidup, pasti soalan pertama yang berlegar-legar dalam minda kita ialah, “Mengapa aku?” atau “Apakah aku mampu untuk menanggungnya?” Bagi menjawab pertanyaan seperti itu, penulis membuang rasa malu untuk berkongsi kisah dirinya yang ditimpa dengan penyakit yang jarang ditemui apabila didapati susu keluar daripada buah dadanya. Sejak dari tahun 2007, Hospital Kuala Lumpur (HKL) ibarat rumah kedua baginya.

Biarpun pada asalnya ujian ini terasa amat berat tetapi selepas disingkap dengan rasa kehambaan, penulis menemui pelangi selepas hujan. Sedikit demi sedikit, ujian ini ditempuhi dengan rasa redha dan sabar. Sudah tentu apa yang direncanakan oleh Tuhan, menjadi sesuatu yang terbaik buat dirinya. Ujian hidup ini telah menjadikan penulis mengubah gaya hidup serta penampilan dirinya. Sebagai bonus, penulis turut berkongsi perjalanan serta tip untuk menurunkan berat badan dari 116kg kepada 86kg.

Buat para pembaca yang budiman, penulis berharap hamparan zikrayat berkenaan dirinya di dalam naskah kecil ini, bukan sekadar untuk bacaan di mata sahaja kerana mata tidak mampu berbicara tetapi bacalah dengan mata hati kerana seketul daging yang bernama hati itu mampu mendiagnosis akan bentuk ujian yang diberikan kepada kita. Sedarilah oleh kita bahawa setiap ujian yang diturunkan oleh Allah kepada manusia sudah tentu bukan sesuatu yang bersifat sia-sia.




FLAP KIRI:
Badan besar bukan kehendak
Hati kerdil rasa dihina
Makan banyak, kesalnya tidak
Akhirnya diri sendiri merana

Tenanglah hati tenanglah jiwa
Ujian sebagai kasihnya Tuhan
Sakit sedikit tidak mengapa
Kunci pahala buat bekalan

Bertemu berpisah adat dunia
Setiap yang berlaku ada hikmahnya
Tabah dan pasrah kunci utama
Itulah ujian daripada Yang Maha Esa


No comments:

Post a Comment