Apr 12, 2013

Temubual Ekslusif Bersama Tuan Khairi Tajudin Sempena PBAKL 2013


Ceritakan mengenai latar belakang diri anda.
 
Tuan Khairi Tajudin - 'Ikhlaskan niat'.
Nama penuh saya Mohd Khairy bin Tajudin. Saya dilahirkan pada 2 September 1983 di Hospital Besar Alor Setar, Kedah. Maknanya, sekarang saya sudah berumur 30 tahun. Saya membesar di Kg. Lembah Keriang, Changlun, Kedah.
Saya mula bersekolah tadika di Tabika KEMAS Kg. Baru, Changlun. Kemudian, masuk sekolah rendah di Sekolah Kebangsaan Dato’ Wan Kemara. Selepas UPSR, saya masuk Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun. Hanya selepas PMR, barulah saya diterima masuk ke Sekolah Berasrama Penuh iaitu Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Kangar, Perlis.
Selepas tamat SPM, saya sambung belajar di UiTM Kampus Arau dalam bidang Diploma Kejuruteraan Mekanikal. Saya belum memiliki cita-cita pada waktu itu. Tidak tahu arah tuju. Ambil Kejuruteraan Mekanikal kerana di sekolah dulu belajar jurusan Sains Teknologi. Itu sahaja alasan saya yang paling munasabah. Tidak minat pun untuk menjadi jurutera atau juruteknik.


              Selepas habis Diploma, saya bekerja di kantin PLKN, UUM. Sepanjang tempoh itu, saya mengutip pengalaman pahit manis sebagai seorang ‘abang kantin’. Sebelum Subuh sudah bangun, pukul 12 tengah malam baru habis kerja. Budak-budak makan enam kali sehari. Bayangkan, berapa banyak gelas dan ‘tray’ yang saya kena basuh. Letihnya.
                Selepas penat bekerja, barulah saya tahu nikmatnya belajar di universiti. Saya sambung semula pengajian peringkat ijazah di UiTM Shah Alam tapi bertukar kursus kepada HOTCAT (Pengurusan Perkhidmatan Makanan). Saya membawa cita-cita, selepas habis belajar nanti, saya mahu memiliki perniagaan makanan sendiri. Saya hanya merancang, Allah yang menentukan segala-galanya. Sehingga kini, saya belum lagi merealisasikan cita-cita itu. Cuma saya mengutip lagi pengalaman bekerja sambilan di sebuah restoran makanan Barat. Dave’s Deli nama restoran itu. Sekarang, sudah ditutup dan digantikan dengan nama baru.
                Selepas tamat belajar, saya terus bekerja sebagai wakil khidmat pelanggan Streamyx. Pendek cerita, saya ialah operator yang menjawab panggilan telefon daripada pengguna Streamyx yang mengalami masalah internet. Selama tujuh bulan saya bekerja di situ. Selepas itu, saya mengembara ke bumi orang selama empat bulan. Melihat dunia yang luas dan mengutip pengalaman yang lebih banyak.
                Pulang dari perantauan, saya mula menternak kambing. Pada waktu itu, saya mula berfikir untuk bekerja sendiri dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan rumah yang terbiar dengan semak-samun. Namun begitu, rezeki daripada kambing tidak begitu mengujakan. Saya terpaksa jual semua kambing itu dan mula menternak ayam pula. Pendapatan daripada penternakan ayam agak menggalakkan. Sambutannya baik tetapi saya dan para penternak seluruh Malaysia terpaksa menghadapi wabak hawar atau sampar yang meragut nyawa unggas-unggas dari Johor sampai ke Perlis. Saya terkedu seketika.
                Sewaktu saya mahu bangkit daripada peristiwa hawar itu, saya dihubungi oleh seorang kawan yang telah lama saya kenal sewaktu di UiTM iaitu saudara Azlan Ismail. Azlan mempelawa saya untuk menulis buku. Dia cakap, dia suka baca blog saya berkenaan penternakan ayam (shawnagrofarm.wordpress.com) dan dia yakin, saya boleh menulis buku berkaitan dengannya. Pada masa yang sama, dia juga mempelawa saya menghubungi editor perolehan di Galeri Ilmu Sdn Bhd (GISB) iaitu saudara Amir bin Abdul Hamid untuk menghantar sinopsis. Pada waktu itu, saya rasakan bahawa saya sudah nampak ke mana hala tuju saya selepas ini!

Apa yang mendorong Tuan Khairy menulis?

Saya masih ingat, bagaimana saudara Azlan mendorong saya terjun dalam bidang ini. Katanya, saya berbakat dan hasil tulisan dalam blog itu boleh dijadikan buku panduan. Kemudian dia dan rakannya iaitu Tuan Amir Abd Hamid (Editor Kreatif Galeri Ilmu) mengajak saya untuk hadir kursus penulisan bersama Galeri Ilmu.
Di sana saya mendapat pelbagai tips dan semangat untuk menulis memang tidak dapat dibendung lagi. Saya ucapkan terima kasih kepada warga kerja Galeri Ilmu iaitu Tuan Amir, Haji Zakaria Sungib dan lain-lain kerana membantu saya mengembangkan bakat penulisan.
Saya masih ingat karya pertama yang saya tulis ialah berkenaan kisah budak sekolah yang suka bermain bola sepak. Karya itu ditulis pada April 2010. Saya mengambil masa dua bulan untuk siap sepenuhnya buku tersebut. Tajuknya ialah Tariq United.
Saya menulis kerana mahu berdakwah. Dakwah ini luas. Jadi, salah satu cabang untuk berdakwah adalah dengan cara menulis. Jika dahulu, ulama-ulama kita menulis kitab untuk berdakwah, begitu juga dengan kita pada hari ini, menulis perkara yang baik maka itu juga cara kita berdakwah.
Dahulunya kita boleh lihat kebanjiran novel-novel cinta di pasaran, namun sejak kebelakangan ini terdapat banyak karya novel Islami yang mula muncul. Ini juga dorongan kuat saya untuk menulis. Untuk memperbanyakkan karya berunsur Islami, baik dan positif inilah cara yang betul untuk seseorang menulis.

Pada pendapat Tuan Khairy, bagaimana untuk menjadi seorang penulis?

Pertama sekali ialah minat. Jika ada minat, insya-Allah ada jalannya untuk menjadi penulis. Minat ini pula perlu dipupuk dengan kerap.
Saya selalu berpesan kepada diri saya, apabila kita menulis, perlu betulkan niat. Menulis bukan sekadar untuk mencari wang. Bukan untuk bermegah-megah apabila diri kita disebut sebagai ‘penulis’. Niat amat penting. Perbaharui niat semasa memikirkan idea penulisan, menulis dan konsisten dengannya.
Untuk persoalan perlukah ada mentor untuk berjaya dalam penulisan? Ini jawapan saya, ada mentor untuk mendorong kejayaan dalam penulisan adalah amat baik sekali. Tetapi perlu ingat, tidak guna jika kita ada mentor tetapi kita hanya mengharap mentor itulah yang akan ‘ketuk’ kita untuk menulis, ‘pukul’ kita untuk menulis dan sebagainya.
Jadi, untuk menjadi penulis seseorang perlu ada minat. Tanya diri kita buku apa yang kita minat baca, blog apa yang kita suka selongkar dan apa bahan bacaan yang dekat dengan hati kita. Dari situ kita fikir dan fikir idea bagaimana untuk menghasilkan buku.

Ceritakan sedikit tentang karya terbaharu Tuan Khairy?

Sejak dua menjak ini, saya lebih cenderung untuk menulis novel-novel sejarah iaitu Siri Himpunan Kisah. Terdapat dua buah novel dalam siri ini yang telah diterbitkan iaitu Himpunan 20 Kisah Keajaiban Para Sahabat (Pemanah Handalan Bersenjatakan Doa) dan Himpunan 20 Kisah Keunggulan Para Sahabat (Menghunus Pedang Kerana Allah). Di dalam setiap buku ini, terdapat 20 kisah yang berbeza tetapi setiap kisahnya mempunyai plot dan teladan yang baik.
Para Sahabat RHUM adalah manusia termulia di atas muka bumi ini setelah Para Nabi dan Rasul AS. Kekuatan iman dan pegangan sunnah yang mereka miliki memang tidak ada tolok bandingnya. Merekalah manusia yang awal-awal beriman, hidup bersama-sama Rasulullah SAW dan berjuang menyebarkan kalimah Allah sehingga ke seluruh pelusuk alam dalam susah atau pun senang. Jika diselak semula kitab sirah, kita akan mengetahui begitu banyak kisah kehidupan mereka yang sepatutnya menjadi panduan kepada generasi hari ini. Atas maksud itulah, buku '20 Kisah Keajaiban Sahabat' ini ditulis bagi menceritakan mengenai kehebatan Para Sahabat yang telah mendapat pengiktirafan daripada Allah SWT dengan gelaran radiallahu anhuma.
Himpunan 20 Kisah Keunggulan Para Sahabat pula menghimpunkan kisah-kisah yang mencerminkan keutamaan para Sahabat dan bagaimana mereka berjuang serta bersungguh-sungguh menegakkan agama. Biografi ringkas dan kisah hidup mereka ini memang hebat dan tidak dapat ditandingi. Di dalam buku ini, pembaca akan mengetahui jawapan bagi soalan-soalan seperti berikut, siapakah Sahabat paling muda yang pernah dilantik menjadi ketua perang? Siapakah Sahabat yang pertama sekali menghunuskan pedang di jalan Allah? Siapakah Sahabat yang pertama sekali lahir selepas Hijrah? Siapakah Sahabat yang berperang bersama-sama Nabi SAW sebelum memeluk Islam? Siapakah Sahabat yang membunuh nabi palsu? Siapakah Sahabat yang menjadi duta pertama dalam Islam? Siapakah Sahabat yang rumahnya menjadi pilihan Nabi SAW? Siapakah Sahabat yang mula-mula sekali menjadi muazin? Siapakah Sahabat yang paling gagah perkasa? Siapakah Sahabat yang menjadi ikutan golongan zuhud? Siapakah Sahabat yang paling kuat meniru sunah Nabi SAW? Serta banyak lagi kisah-kisah menarik yang bakal menjadi pedoman untuk semua!

            Melalui kedua-dua buku ini, pembaca dapat menyelami kehebatan para Sahabat Nabi SAW sekaligus meneladani sifat-sifat mereka. Ia sangat bagus bagi menggantikan buku-buku orientalis atau kisah-kisah dongeng yang tidak membentuk keperibadian mulia seperti yang dikehendaki oleh Allah SWT
            Selain dua buku ini, saya juga menyambung sekuel bagi novel “Budak U” iaitu “Back to Campus”. Novel ini ialah buku kedua daripada tiga siri novel Trilogi Budak U. Di dalamnya, saya memaparkan dua pengalaman saya sendiri sewaktu di kampus iaitu bekerja sambilan dan tragedi kehilangan motosikal. Bukan sekadar cerita bersulam cinta muda-mudi, novel ini juga memaparkan ketabahan watak utamanya dalam menghadapi segala mehnah dan tribulasi sepanjang berada di universiti. Saya juga menyelitkan beberapa tips berharga untuk para pelajar sekolah menengah bagi mencapai kejayaan dalam peperiksaan. Juga untuk pelajar universiti bagi mengejar gred yang cemerlang. Selain itu, ada banyak lagi tips-tips lain yang dikongsikan bersama.

Bagaimana lazimnya En. Khairy mencari idea untuk menghasilkan sesebuah novel/ karya?

Saya banyak mengambil idea daripada pengalaman hidup saya sendiri sejak di bangku sekolah hingga sekarang. Saya memerah sehabis mungkin memori saya sejak zaman kanak-kanak. Di samping itu, saya selalu berbual-bual dengan rakan-rakan yang pernah mengharungi hidup bersama-sama saya untuk berkongsi kisah-kisah lama. Bagi memantapkan lagi karya, saya berbincang dengan penulis-penulis lain dan juga editor. Setiap idea yang muncul, akan dicatatkan dalam buku idea. Kemudian, ditumpahkan sedikit demi sedikit di atas papan kekunci.
Contohnya, dalam novel Budak Komik, saya menulis berdasarkan pengalaman saya ketika belajar di sekolah menengah. Pada zaman itu, saya memang seorang kaki komik. Saya pernah menghasilkan komik buatan tangan saya sendiri untuk bacaan rakan-rakan tetapi saya tidak pernah menghantarnya ke mana-mana syarikat penerbitan kerana saya merasakan bahawa lukisan saya tidak begitu cantik. Setelah saya dewasa, barulah saya sedar bahawa sebenarnya saya telah mensia-siakan bakat saya. Jadi, saya menulis Budak Komik untuk menggalakkan remaja memanfaatkan bakat yang sedia ada ke jalan yang betul.
            Selain itu, novel Budak U juga dihasilkan berdasarkan pengalaman saya ketika belajar di UiTM (kampus Arau dan Shah Alam). Novel ini dihasilkan dalam bentuk trilogi (terdapat 3 siri). Saya mengajak rakan saya iaitu saudara Faris Mohd Hazmin untuk bergandingan dengan saya bagi menghasilkan novel berilustrasi kerana dia pandai melukis. Dia merupakan rakan sekelas saya ketika di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra, Perlis. Setelah perbincangan kami bersama-sama penerbit mencapai kata sepakat, maka kami bersama-sama menghasilkannya. Setakat ini, dua siri Budak U iaitu Budak U: Langkah Pertama dan sekuelnya, Back To Campus sudah berada di pasaran. Siri terakhirnya mungkin akan terbit dalam tahun ini. Insya-Allah.


No comments:

Post a Comment