Dec 29, 2010

Putera Lembah Bakkah (Edisi Kemaskini)


Bakal terbit awal Januari 2011 (edisi kemaskini).
Pertama kali terbit 2008.

Komen-komen pembaca:
"Saya benar-benar tersentuh dan terasa hampir dengan Rasulullah SAW. Terasa seperti menonton tv. Gambaran kisahnya jelas dan sampai ke hati."
- Puan Rosnah Buang, Pengurus Entrepreneurs Development Institute

"Sebelum ini saya beranggapan buku sejarah amat berat untuk dibaca. Ternyata buku ini lain daripada yang lain. Detik-detik sedih menyayat hati dalambuku ini telah mengalirkan air mata saya."
- Suhaily Amran, Pengurus Makmal Hygiene Industri, NIOSH



Dec 20, 2010

Single Unavailable: Antara Amanah dan Larangan


Cover penuh Single Unavailable

:: Temubual bersama Nurina Izzati Mohmad Soib, penulis novel Tarbiah Remaja: Single Unavailable (S.U)

1. Apa yang mendorong saudari untuk menulis?

Pada awalnya saya memang minat menulis dari kecil, dan menulis hanya untuk suka-suka. Kemudian, saya mula cenderung ke arah penulisan dan giat menulis cerpen dan membukukannya lalu menyimpannya di rumah sahaja. Lama-kelamaan, ibu bapa dan para guru di sekolah menyuruh saya mencuba dalam penulisan novel. Ibu bapa, keluarga, guru-gura dan rakan-rakan memang banyak memberi galakan pada saya dalam bidang penulisan. Rakan-rakan pula memang suka membaca cerpen-cerpen saya dan kerap kali menyuruh saya sentiasa menghasilkan cerpen-cerpen terbaru. Setelah saya mula mengenali dunia blogging saya tergerak untuk berkongsi beberapa cerpen-cerpen saya dalam dunia maya, dan alhamdulillah rakan-rakan yang membaca akan memberi pandangan berkenaan cerpen saya. Setelah itu, saya menghantar proposal kepada beberapa syarikat penulisan termasuk GISB dan alhamdulillah GISB terima. Saya memilih GISB kerana cara layanan mereka yang mesra dan editor perolehannya, Encik Zakaria pula memberikan tips penulisan yang bagus. Dari situ saya mulai serius dalam bidang penulisan dan bertekad untuk mendedikasikan diri dalam bidang ini. Insya-Allah.

2. Mengapa menulis S.U.?
Single Unavailable tercetus daripada pergerakan kehidupan di sekitar saya sendiri. Mesej utama yang cuba saya bawa dalam novel ini berkenaan hukum berpasangan, khususnya di kalangan remaja zaman sekarang. Saya cuba menyampaikan bahawa pelajaran itu lebih penting daripada bercinta, kerana menurut saya remaja sekarang lebih mengejar cinta lelaki dan perempuan dibandingkan dengan cinta kepada Allah SWT, pemilik cinta yang sejati. Penulisan S.U. lebih kepada mengajak saudara-saudara saya di luar sana agar menyahut seruan cinta Ilahi dan meninggalkan kemungkaran yang sedang berleluasa kini. Jika bukan para remaja yang mengubah cara hidup mereka di dunia ini, siapa lagi?

3. S.U berkenaan?
Single Unavailable mengisarkan Taqiah, sebagai watak utama yang taat pada ajaran Islam dan tidak lalai dalam mengerjakan ibadah. Taqiah merupakan ketua pelajar di sekolahnya, yang berusaha untuk menjalankan amanah para guru dengan sebaik mungkin. Namun kehidupan Taqiah tidak lengkap dengan ujian dan musibah daripada Allah SWT, terutamanya apabila dia mengenali Latif Marwan, seorang pelajar yang agak nakal. Taqiah juga dibelenggu konflik apabila dipaksa memilih antara Marwan dan abangnya, sedangkan Taqiah sendiri nekad untuk tidak berpasangan. Perasaan cemburu dan iri hati akan keakraban Taqiah dan Marwan, sering membuatkan mereka dilanda konflik. Marwan pula cuba memenangi hati Taqiah, yang akhirnya sedar bahawa hati Taqiah tidak mungkin terbuka untuk berpasangan.

4. Kelebihan S.U.
S.U. menceritakan tentang kehidupan beberapa remaja di sebuah sekolah menengah, yang berlatarkan suasana yang sering juga melanda para remaja yang lain di luar sana. S.U juga sesuai dibaca oleh golongan yang lebih berusia supaya mereka juga memahami perjalanan kehidupan anak-anak muda kini, terutamanya di sekolah. Golongan remaja sendiri insya-Allah akan dapat menghayati jalan ceritanya. Selain itu, topik utama perbualan para remaja di sekolah, iaitu berpasangan (couple) juga dirungkai dalam novel ini sedikit sebanyak dan bagaimana sebenarnya erti suka dan bercinta yang sebenar. Para pembaca harapnya terkesan dengan watak Taqiah yang berpegang pada pendiriannya, iaitu mengutamakan pelajaran dan amanah dibandingkan dengan nafsu dan larangan.

Dapatkan buku ini di pasaran atau layari www.galeriilmu.com.my!

Nov 15, 2010

Tuhan Itu sangat dekat dengan kita.

Tuhan Itu Dekat
Kategori : Tarbiah Rohani
Penulis: Ustaz Amaluddin Mohd Napiah

Tebal: 272 MS
Harga: RM22
Kod: GB0101


Sama seperti dua buku sebelumnya Bawa Hatimu Kepada Tuhan dan Lembutkanlah Hatimu, Tuhan Itu Dekat masih mengekalkan konsep dan tema yang sama iaitu mengajak pembaca mentauhidkan Allah Yang Esa.

Mengandungi 60 tazkirah pendek mengajak kita muhasabah diri dan taqarrub kepada Allah.

Bahasa dan gaya penyampaian yang mudah, tetapi padat dengan isi -- secara halus menyentuh naluri dan kalbu kita untuk merenung kelemahan diri, sekali gus mendorong kita untuk mendekat diri kepada-Nya!



PETIKAN BEBERAPA BAB:

Bab - Tundukkan Hatimu

Berdirinya Nabi SAW di dalam solat adalah sebuah manifestasi agung betapa dalamnya kesyukuran dan betapa tingginya pengabdian baginda kepada Allah SAW.

Bagaimana pula agaknya ruh qiyam kita di dalam solat kita?

Setelah bertahun-tahun kita berdiri mengadap Allah di dalam solat kita, sejauh manakah kualitinya? Sejauh manakah penghayatan dan tahap kesedaran kita saat berdiri mengadap Allah?

Saat BERDIRI hendak solat, ingatlah bahwa suatu hari kita juga akan 'berdiri' seperti ini di Padang Mahsyar. Bezanya di akhirat nanti semua manusia akan berdiri mengadap Allah tanpa pakaian, tanpa alas kaki, dan tiada berkhitan (Hadits diriwayatkan dari Ibnu Mas’ud, Aisyah, dll).

Perbandingan berdiri di dalam solat dengan berdiri di padang Mahsyar ialah kalau berdiri dalam solat cuma lima minit sahaja, sedangkan berdiri di Padang Mahsyar sana memerlukan waktu 50,000 tahun! Nisbah satu hari di akhirat adalah 1000 tahun di atas dunia.


Bab – Siapa Yang Kena?

Kita lihat siapa yang kena? Ramai yang sudah terkena sebenarnya. Susah betul nak elak. Kalau tak kuat iman, memang terkena punya. Saya sendiri pun antara orang yang dah terkena. Anda mungkin tidak kena.

Persoalannya, terkena apa?
Apa lagi, terkena panahan Iblislah. Beracun pula tu.

Aduhh...,Sekalipun anak panah yang menusuk tubuh telah pun dicabut dan dibuang jauh-jauh, namun kesan racun yang berbisa terus tersebar ke seluruh tubuh dan ke segala urat sendi.
Itulah matlamat sebenar syaitan. Pandangan mata (anak panah) itu hanyalah utusannya, namun racun berbisa yang ada pada anak panah (kesan pandangan mata) itulah tujuan terbesarnya.

Akibat pandangan (panahan berbisa) itu, fikiran mulalah bercelaru, tidak keruan, jiwa mula menggelisah, menyemai benih berahi dan mengaktifkan nafsu serakahnya.
Kesan racun panahan Iblis ini akan lebih cepat berkesan bilamana luntur rasa takut kepada Allah dan bilamana titik-titik hitam semakin menebal di dalam hati.

Bab – Tanda Kebahagiaan

Perhatikan! Andai ibadah tidak membuahkan adab dan akhlak, maka ada ‘masalah’ yang berlaku di dalam persembahan ibadat kita itu. Makin beribadat makin sombong, makin kuat berdengki, makin suka berbohong dan menipu, makin suka menyakitkan hati orang, makin suka bermusuh dan bersengketa.

Ingat, andai ibadat kita tidak menghasilkan adab dan mencetuskan akhlak mulia, maka kuantiti ibadat yang nampak menggunung itu tak lebih umpama buih di lautan sahaja. Memadai disentuh dengan lidi, lenyap dan hilanglah ia.

Justeru, andai semakin kita beribadat, namun semakin liar dan biadab pula adab, akhlak dan peribadi kita, maka satu Muhasabah kadar segera perlu dilakukan agar kita tidak terus-menerus menjadi ahli ibadah yang tertipu dengan kuantiti besar ibadah kita.

Bahagia atau tidaknya kehidupan seorang itu ada kaitan dengan ada atau tidaknya adab seseorang. Kebahagiaan hidup seseorang akan hilang dan lenyap bersama hilang adabnya bahkan orang-orang sekelilingnya pun akan turut hilang bahagia.


Oct 13, 2010

"Terima kasih adik-adikku!"


Judul novel: TERIMA KASIH ADIK-ADIKKU!
Kategori: NOVEL REMAJA
Penulis: DISSA AZMIN
Kod: GB0099
ISBN: 978-983-097-273-2
HARGA: RM 14.00
M/S: 216

SINOPSIS:
Sebagai anak sulung yang diletakkan harapan oleh mak dan ayahnya, Nubhan tidak bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai orang dewasa. Dalam masa yang sama, isu surat cinta Siti Kelly mengganggu hubungannya dengan rakan-rakan sekolah.

Pencapaian yang merudum dalam akademik menyekat peluangnya untuk bertarung di gelanggang go-kart. Sehinggalah satu ketika, keadaan memaksa Nubhan untuk mengambil alih teraju di rumah. Kerenah adik-adiknya pula cukup memeningkan kepala Nubhan.

Mampukah Nubhan berhadapan dengan situasi ini? Adakah dia dapat bertahan dengan ujian yang seakan mustahil untuk diatasi ini? Segalanya terjawab di dalam novel tarbiah remaja Terima Kasih Adik-adikku! karya sulung Dissa Azmin ini.

Terima Kasih Adik-adikku! ini merupakan karya sulung Dissa Azmin setelah sekian lama berkecimpung di dalam dunia penulisan. Beliau yang berasal dari negeri Kelantan ini bukanlah nama baru di arena penulisan tanah air.

Di awal pembabitan, beliau tidak menoleh ke belakang lagi di dalam hobi dan bakatnya ini. Beliau berjaya menyelami dunia remaja untuk menghasilkan novel tarbiah yang menghiburkan dan sarat dengan mesej kasih sayang dan nilai-nilai kekeluargaan yang perlu dijadikan iktibar oleh para pembaca semua.

Oct 12, 2010

Wahai Wanita, Bimbinglah Dirimu...


Judul: WAHAI WANITA BIMBINGLAH DIRIMU
Penulis: Ustaz Pauzi Hj. Awang
Kategori: Tarbiah Rohani
Tebal: 115 hal.
ISBN: 978-983-097-256-5
Harga: RM15/RM17 (S/S)

Wahai Wanita Bimbinglah Dirimu ialah sebuah buku fardu ain. Mengandungi perkara-perkara asas fikah yang wajib diketahui dan dipelajari oleh setiap kaum wanita. Malah wajib dipelajari juga oleh kaum lelaki agar mudah mengajarkannya kepada kaum wanita di bawah jagaannya seperti isteri dan anak-anak perempuan.


Penulis asal ialah Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Aidrus bin al-Husain, Ibn al-Syaikh Abu Bakar bin Salim al-Alawiyy al-Husainiyy al-Hadramiyy al-Syafi’i.

Buku ini diterjemah oleh Ustaz Pauzi Awang, bekas pensyarah Universiti Malaya. Beliau giat menterjemah buku-buku berbahasa Arab ke Bahasa Melayu. Kini beliau adalah pensyarah sambilan di UM.

SINOPSIS

Buku ini mengandungi perkara-perkara penting yang perlu diketahui oleh kaum wanita. Ia meliputi hukum taharah, haid, nifas, solat, aurat, mengumpat, akhlak terhadap suami serta ibu bapa.

Ia dapat memberi kesedaran kepada wanita-wanita Islam dalam perkara-perkara yang diwajibkan Allah Taala ke atas mereka. Ini merangkumi:
• Bidang ibadah.
• Pergaulan suami isteri.
• Pendidikan anak-anak.
• Pergaulan sesama wanita.
• Pengurusan rumah tangga.
• Perkara-perkara yang diperlukan dalam hal-hal tersebut.

WWBD terbahagi kepada enam bahagian:

1. Muqaddimah – Membicarakan rukun-rukun agama dan makna dua kalimah syahadah.
2. Bab 1 – Hukum bersuci dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya.
3. Bab 2 – Haid dan nifas serta perkara-perkara berkaitan dengannya.
4. Bab 3 – Solat: Rukun-rukun, syarat-syarat dan perkara-perkara yang berhubung dengannya.
5. Bab 4 – Hak ibu bapa, hak suami, kecaman pendedahan aurat.
6. Penutup – Gesaan bersikap zuhud terhadap dunia, galakan terhadap akhirat, amaran tentang mengumpat, mengacum dan sebagainya.

Buku ini bukan sahaja perlu dibaca oleh kaum wanita, bahkan juga lelaki. Seorang bapa atau suami wajib mengajarkan perkara-perkara yang tersebut di atas dengan sempurna kepada anak perempuan dan isteri masing-masing andainya mereka tidak dapat mempelajarinya sendiri dengan sewajarnya.

Justeru, diharapkan buku ini dapat membantu para suami atau bapa dalam bimbing ahli keluarganya.

Fanzuru: Maka Lihatlah....


Judul: FANZURU
Kategori: Tarbiah Rohani
Terbitan: Galeri Ilmu Sdn. Bhd.
ISBN: 978-983-097-265-7
Tebal: 314
Harga: RM24.00

Penulis muda, Hilal Asyraf kembali dengan buku motivasinya yang ketiga Fanzuru dalam siri Langit Ilahi.

Fanzuru yang membawa erti ‘maka lihatlah’ menghimpunkan sebanyak 60 tazkirah yang mendidik jiwa. Tazkirah-tazkirah yang termuat di dalam buku ini mengajak pembaca untuk melihat dan memerhati dengan teliti dengan mata hati akan pengajaran yang ada di sekeliling kehidupan kita.

Banyak teladan dapat dikutip daripada manusia-manusia yang kita temui dan bergaul dengannya. Inilah pengajaran dan pengalaman yang dikongsikan penulis hasil daripada pemerhatian dan pergaulannya.

Dengan gaya bahasa yang santai, Fanzuru dapat memberi inspirasi kepada pembaca yang mahu dan sedang berusaha memperbaiki diri untuk menjadi hamba Allah yang lebih baik.


Sedikit sedutan daripada Fanzuru

Sedutan 1

Saya berhajat hendak meletakkan jawatan saya sebagai pengawas sekolah ketika itu. Akhirnya, saya bertemu dengan guru kaunseling MATRI bernama Ustaz Syahid.
“Ente hendak berhenti? Ente tahu tak, manusia yang sering berenang melawan ombak, otot tangannya semakin lama semakin kuat?”
Ketika itu, saya bagai nampak celahan sinar yang menyenangkan.
Solusi yang sebenarnya bukanlah dengan kita melarikan diri daripada masalah, sebaliknya kita berusaha menyelesaikannya.


Sedutan 2
Suatu hari, Dr ‘Ala Hilat ada bercerita berkenaan Kibutsats. Pertama kali mendengarnya, membuatkan saya tertarik untuk mendengar apa yang hendak beliau ceritakan.
Beliau berkata: “Kibutsats adalah salah satu sistem tarbiyah Israel, yang hakikatnya perlu kita perhatikan.”
Kibutsats adalah bandar-bandar yang dibangunkan di sekitar sempadan Israel. Terdapat banyak kibutsats. Kibutsats akan dibangunkan apabila cukup 100 orang lelaki, yang semuanya adalah tentera, bersama keluarga mereka. Mereka akan membina perkampungan di sempadan Israel.
Di sini saya kongsikan apa yang saya dengar berkenaan kibutsats.
Kibutsats hakikatnya adalah satu sistem pembinaan masyarakat yang sangat sistematik. Semua orang di dalam kibutsats terikat dengan peraturan yang agak ketat. Tetapi semuanya hidup mentaati peraturan itu.
Mereka mempunyai jadual harian. Di dalam kibutsats, terdapat dewan makan yang sangat besar. Semua keluarga di dalam kibutsats tidak akan makan di rumah mereka, tetapi makan bersama di dalam dewan besar itu. Perempuan-perempuan akan memasak bersama dan semua lelaki akan makan bersama.
Ada waktu untuk makan, ada waktu pula untuk bekerja. Semua orang akan keluar bekerja yang mana, tempat-tempat bekerja mereka juga adalah milik mereka. Contohnya ladang, itu hakikatnya adalah ladang mereka. Kilang yang ada, mereka juga yang bina. Mereka bekerja menjalankan apa yang ada dan sedikit demi sedikit meningkatkan semuanya.
Kibutsats tidak terhenti dengan kehidupan makan dan bekerja sahaja. Terdapat juga jadual riadhah dan latihan ketenteraan bagi semua. Sebaik sahaja kerja tamat, mereka akan bersama menjalani latihan ketenteraan. Semua turut terlibat. Baik anak kecil mahupun yang tua. Terbahagi kepada peringkat masing-masing.
Di dalam kibutsats ada nurseri dan sekolah. Semua anak-anak kibutsats akan dihantar ke nurseri dan sekolah di dalam kibutsats itu juga. Mereka tidak akan dihantar keluar. Guru-guru di dalam nurseri dan sekolah itu juga adalah dari komuniti kibutsats.
Sistem pendidikan kibutsats amat unik. Mereka mempunyai silibus tersendiri, disusun dan direka untuk memenuhi hajat mereka yang ingin menawan dunia. Mereka tidak memandang pelajaran mereka sebagai wadah untuk anak-anak mendapat sijil, atau untuk kerajaan mendapat untung, atau untuk pejabat-pejabat mendapat pekerja.
Mereka menggunakan sistem pendidikan mereka untuk membina ideologi dan membentuk pemikiran anak-anak mereka.
Saya berikan satu contoh mudah. Mata pelajaran Matematik.
Di Malaysia, silibus kita biasanya hanya melibatkan kenderaan, buah-buahan dan makanan. Contohnya:
Ahmad ada 10 biji epal. Ahmad ada empat orang kawan. Semuanya mahu makan epal. Maka Ahmad membahagikan 10 biji epal tadi kepada dirinya dan empat orang kawan secara sama rata. Maka berapa biji epalkah yang akan dapat dimakan oleh setiap seorang termasuk Ahmad?
Itu contoh soalan matematik di Malaysia.
Di Kibutsats Israel, mereka belajar matematik juga. Tetapi isi matematik mereka membawa kepada apa yang mereka mahu. Contohnya:
Yyvon mengetuai satu peperangan terhadap 10 daerah orang arab. Yyvon mengetuai lima platun tentera termasuk platunnya sendiri. Maka, Yyvon membahagikan serangannya terhadap 10 daerah orang arab tadi kepada semua platunnya secara sama rata. Maka, berapa daerah orang arabkah yang perlu dimusnahkan oleh semua platun termasuk platun Yyvon?
Itu contoh pengajian di kibutsats. Lihatlah bagaimana mereka membangunkan pemikiran pemuda-pemuda mereka. Dan silibus sebegini, digunakan sedari nurseri lagi. Ini dikuatkan lagi dengan latihan ketenteraan yang wujud di dalam kibutsats sehari-hari.

Novel awal remaja: Ops Menjejak Pencuri


Judul novel : ADIB & ADIBAH PENYIASAT CILIK DALAM EPISOD OPS MENJEJAK PENCURI
Penulis : WAN ZAYUHISYAM WAN YUSOFF (ZAYU HISHAM)
KOD: GB0098
ISBN: 978-983-097-271-8
HARGA: RM 12.00
M/S: 141



SINOPSIS :
Kes kehilangan binatang ternakan di Kampung Buloh semakin menjadi-jadi. Terbaru, kehilangan kambing Nenek Zaharah menggemparkan penduduk kampung. Di saat itu muncul Adib dan Adibah, dua penyiasat cilik yang kebetulan bercuti di rumah nenek mereka.

Bantuan sepupu-sepupu kesayangan mereka, Zali dan Ikram amat dihargai untuk membantu penyiasatan. Jetli pula hadir sebagai pelengkap geng penyiasat cilik yang bermentorkan Tuan Daniel ini.

Sementara itu, Rafiq dan rakan-rakannya bersetuju dengan cabaran Adib untuk berlawan sepak takraw lantaran Zali yang menolak ajakan Rafiq untuk menyertai pasukannya. Misi menyiasat belum selesai, datang pula misi baru untuk diuruskan. Dapatkah Adib, Adibah dan rakan-rakannya menyelesaikan misteri kehilangan binatang ternakan di Kampung Buloh? Bagaimana pula dengan perlawanan takraw dengan pasukan Rafiq yang merupakan pemain wakil daerah itu? Segalanya terjawab di episod kali ini, OPS MENJEJAK PENCURI!

Biodata Zayu Hisham: Zayu Hisham atau nama sebenarnya Wan Zayuhisham Wan Yusoff ialah guru di Sek. Keb. Taman Medan, Petaling Jaya. Beliau mula meneroka dunia kanak-kanak melalui kisah mencuit hati dalam novel sulungnya, Impian Juara. Ops Menjejak Pencuri ialah buah tangan beliau untuk peminat-peminat siri penyiasatan kanak-kanak.

Indahnya Hidup Tanpa Derita


JUDUL: INDAHNYA HIDUP TANPA DERITA
PENULIS: NOOR LAILA ANIZA ZAKARIA
TEBAL: 244 M/S
HARGA: RM21/RM23 (S/S)
ISBN: 978-983-097-262-6
KATEGORI: TARBIAH ROHANI (MOTIVASI)


Buku yang wajib baca!


Jika anda menyangka masalah yang anda hadapi sangat berat, maka bacalah buku ini. Anda akan dapati, masalah anda tidaklah sebesar mana berbanding kisah-kisah benar yang dimuatkan di dalam buku ini.

Buku ini menghimpunkan 40 kisah masalah rumah tangga. Sebahagiannya adalah kisah ekstrem yang tidak pernah terlintas di fikiran kita. Namun itulah hakikatnya, ia benar-benar berlaku dalam masyarakat kita hari ini.

Kisah-kisah rumah tangga yang meruntun hati ini turut disertakan dengan tip-tip berguna daripada penulis sebagai jalan keluar daripada masalah yang dihadapi. Sesungguhnya tidak ada masalah yang tidak dapat diselesaikan di dunia ini. Pokok pangkalnya ialah pada diri sendiri. Selagi ada iman, selagi itu ada penyelesaiannya.

Barangkali ada kisah yang mirip atau menyerupai masalah anda, maka bacalah ia dan dapatkan tip-tip yang diutarakan. Hidup pasti indah apabila derita berjaya diatasi!


Petikan 1
Baru sahaja habis memberi ceramah di sebuah agensi kerajaan di Putrajaya, seorang wanita dalam lingkungan umur 40-an menanti saya di muka pintu.
“Ada apa-apa yang puan hendak bertanya?” Saya memulakan bicara.
“Tidak apalah. Biar yang lain bertanya dulu, saya tunggu. Di sini keadaannya tertutup sedikit,” perlahan wanita itu menjawab.
... Di wajahnya ada gari-garis halus sesuai dengan usianya. ...
“Saya tidak tahu hendak mulakan di mana. Tapi, semua orang tidak percaya pada apa yang saya ceritakan.”
Saya angguk.
“Suami saya berzina dengan isteri orang! Perempuan itu sedang mengandung sekarang ini. Tidak tahulah sama ada kandungannya itu anak suami saya atau anak suaminya sendiri. Baju mengandung perempuan itu pun suami saya yang belikan. Guna duit saya! Saya jumpa resit di dalam kereta. Apabila saya tanyakan hal itu padanya, terus saya kena tampar. Semua orang kata saya berbohong. Ahli keluarga sebelah saya dan sebelah suami pun tidak mempercayai cerita saya ini.”

Petikan 2

Wanita itu menelefon saya ketika saya sedang menikmati minum petang ... .
“Puan, bolehkah jika saya berdoa untuk suami saya?” wanita itu bertanya.
“Eh, mengapa pula tidak? Apatah lagi jika seorang isteri mahu mendoakan di suami yang tercinta.” Soalan wanita ini mengundang hairan ke dalam benak saya.
“Bukan itu maksud saya puan. Saya hendak doakan supaya Allah ambil nyawa suami saya. Saya sudah tidak tahan hendak membela dia,” saya terdiam di hujung talian mendengar keluhannya.

Jun 21, 2010

Majlis Perjumpaan Grup Penulis GISB 2010




Majlis Perjumpaan Grup Penulis GISB kali yang pertama telah berlangsung dengan jayanya pada hari sabtu, 19 Jun yang lalu bertempat di Akademik Huffaz, Kota Damansara.

Majlis telah diisi dengan pelbagai perkongsian ilmu dan pengalaman daripada para penulis.

Ustaz Amaluddin Mohd Napiah, penulis buku Bawalah Hatimu Kepada Tuhan dan Lembutkanlah Hatimu menukilkan majlis tersebutn sebagai "sebuah majlis yang indah, majlis yang memberi nilai tambah pada iman dan ilmu."



Berita lanjut akan menyusul.


Tuan Haji Abu Hassan Morad, Pengarah Urusan GISB turut berkongsi pengalamannya yang sangat mahal kepada Grup Penulis yang hadir.


Ustaz Amaluddin berkongsi pengalaman awal menjadi seorang penulis.

En Hassan Suyut penulis buku Kembara Atiq Wazir turut hadir berkongsi pengalaman walaupun beliau kesuntukan masa kerana perlu hadir temujanji lain pada sebelah tengahari

Ustaz Hasrizal Abdul Jamil turut meluangkan masa dan berkongsi rasa dengan grup penulis

Puan Noreha, penulis novel remaja popular, Diari Aneesa. Ramai anak-anak bertanya bila sambungan kedua Diari Aneesa?

Puan Hajah Rohani Dato' Mohd Shahir, pakar kewangan berkongsi pengalaman menulis buku Ke Mana Wang Anda?

Agak-agaknya apa yang sedang diperkatakan oleh Sdr Hilal Asyraf ini? Jiwa muda yang bakal mencorak generasi remaja dengan warna-warni Islam!

Sdr Nasri Nasir, (Editor Motivasi) yang berjaya menceriakan suasana majlis

En Zakaria Sungib, editor kanan di Jabatan Buku. Rata-rata penulis GI termasuk Ustaz Hasrizal, Ustaz Amal menggelar beliau sebagai "sifu".

Nurull Halawati (kiri) dan Ummu Hani Abu Hassan, dua novelis muda GI yang sedang mencipta nama

Majlis menandatangani mural Grup Penulis GISB 2010


May 6, 2010

Sepetang Bersama Pahrol Mohd Juoi


Saudara Pahrol Mohd Juoi (foto) akan ke udara di Radio IKIM hari ini (Khamis) menerusi slot Mesra Bersama Anis.

Dalam rakaman kira-kira setengah jam yang dibuat petang semalam bersama penerbit dan DJ Ustaz Zamri Zainal Abidin serta wakil Jabatan Buku GISB Saudara Nasri Nasir, Saudara Pahrol bercerita tentang sejarah penglibatan beliau dalam penulisan serta prinsip-prinsip yang beliau jadikan pegangan dalam menulis.

Beliau juga berkongsi isi kandungan buku terbarunya bersama Galeri Ilmu, Nota Fikir Untuk Zikir serta perancangannya untuk menghasilkan kumpulan cerpen dan novel Islami.

Tulisan pertama beliau yang tersiar dalam majalah lebih 20 tahun lalu adalah cerpen Revolusi Beruk. Sejak itu beliau telah menghasilkan sejumlah cerpen Islami dan masih terus menulis cerpen hingga ke hari ini. "Untuk menulis novel, saya sedang belajar kerana saya belum arif. Tetapi saya sukakan cabaran ini," katanya.

Untuk mengetahui dengan terperinci apa yang dikongsi oleh Saudara Pahrol dalam slot Mesra Bersama Anis, ikuti saluran Radio IKIM pada pukul 6.15 petang hari ini.

Apr 27, 2010

Elemen Triler Dalam Perindu Pelangi

Jalan cerita yang sukar dijangka (unpredictable) adalah antara unsur yang menjadikan sesebuah novel itu sedap dibaca. Pembaca sentiasa tertanya-tanya: apa yang akan berlaku seterusnya?


Kesan ini akan dirasai oleh mereka yang membaca novel Perindu Pelangi.
Seawal bab pertama lagi, penulisnya Siti Munirah A. Rashid sudah merangsang rasa ingin tahu pembaca. Pembaca tertanya-tanya, siapa Isador, watak misteri yang muncul di sebuah daerah yang sangat asing baginya? Siapa pula Akil, nama Melayu yang disebut-sebut di tengah-tengah keluarga Cina? Wujudnya bayangan konflik melibatkan dua watak ini dan pengenalan beberapa watak lain – Pak Cik Ming, Mak Cik Fan dan Xiao Er serta episod imbas kembali sewaktu zaman kanak-kanak Akil – merupakan pakej yang baik dalam memancing minat dan menimbulkan rasa ingin tahu pembaca pada bab pertama itu.
Dan ternyata, apabila menyelak halaman-halaman seterusnya, pembaca tidak merasai momentum yang ditimbulkan oleh bab pertama itu mengendur. Momentum itu bersambung dari bab ke bab. Ibarat bola yang melantun tanpa henti, ia mencipta rasa ingin tahu yang berterusan, hinggalah ke noktah akhir apabila ia disudahi dengan penutup yang indah.
Rakan editor Puan Suraiya Pauzi, penggemar novel-novel John Grisham, meletakkan novel ini di kedudukan nombor satu di hatinya dalam senarai novel-novel Islami Galeri Ilmu setakat ini. Beliau melihat sebahagian kekuatan novel-novel John Grisham ada pada Perindu Pelangi. Saya mengenali Puan Suraiya sebagai seorang pembaca novel yang sangat kritis. Bukan mudah untuk mendengar beliau memuji novel Melayu.
Melalui Perindu Pelangi, Siti Munirah berjaya menyuntik sedikit elemen triler dengan begitu baik. Beliau juga begitu kenal kepada watak-watak ciptaannya. Watak-watak itu hidup dan mempunyai akhiran cerita masing-masing. Setiap watak itu juga membantu menggerakkan cerita.
Watak seorang angkasawan yang mencari kebenaran dinukilkan dengan begitu mengesankan dan disokong oleh penyelidikan. Watak pemuda Melayu yang hidup di tengah-tengah masyarakat Cina di Guangzhou, memberi impak yang kuat kepada struktur cerita. Watak gadis bernama Xiao Wei yang agak serius tetapi menyimpan perasaan kepada Akil, menimbulkan kesan tersendiri di hati pembaca, begitu juga dengan watak Xiao Er, gadis yang keanak-anakan dan manja.
Sebagai sebuah novel Islami, Perindu Pelangi sarat dengan nilai didikan yang dijalin secara bersahaja. Nilai tauhid, nilai akhlak dan nilai adab disulam melalui perkembangan watak dan pergerakan cerita yang lancar serta dialog-dialog yang segar. Demikian juga nilai syariat yang digambarkan melalui aspek pergaulan dan cara berpakaian watak-watak yang tidak terasa terlalu mengajar. Kisah dan konflik cinta dipaparkan dalam ‘dos’ yang sederhana, namun diselitkan nilai Islam yang indah.
Baru-baru ini seorang kenalan, Puan Siti Malini binti Mat, yang juga seorang penggemar novel, meminta saya mencadangkan sebuah novel Islami yang baik untuk dibaca, lalu saya menyuakan novel Perindu Pelangi kepadanya. Setelah membacanya, beliau menghantar e-mel ini kepada saya:
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kerana mencadangkan supaya saya membeli novel Perindu Pelangi. Buku itu memang sangat baik! Ceritanya sangat menarik, bahasanya indah, dan Siti Munirah bijak menggunakan latar (China) dan ilmu tambah (masakan, astronomi) untuk menjadikan karyanya lebih menarik. Pada pendapat saya, Siti Munirah berpotensi besar. Jikalau saya dapat menulis sebaik dia, saya akan berasa sangat gembira.”
Zakaria Sungib


Mar 17, 2010

Bukan Sekadar Kawan

BUKAN SEKADAR KAWAN
Rohaida Abd Rahim /
ISBN: 978-983-097-248-0
Tebal 160 ms
Harga RM14
KOD: GB0073

Mai benci – amat benci – pada Hafiz ekoran satu insiden memalukan di dalam bas RapidKL. Sungguh tidak diduga, ‘Lebai’ itu akan duduk sekelas dengannya. Dan lebih tidak diduga, perasaannya pada Hafiz bertukar 360 darjah.





Hadirnya Hafiz berjaya merubah suasana sekolah. Mai turut berubah. Tetapi Allah datangkan badai yang menguji. Ia memaksa Hafiz berhijrah sekolah.

Tamat SPM, Hafiz meneruskan pengajian perubatan di Mesir. Dalam diam, Hafiz mahu hubungannya dengan Mai bukan sekadar kawan.

Namun, pendedahan kisah silam yang melibatkan hubungannya dengan Mai, membuat Hafiz menyalahkan diri sendiri. Dia tidak pulang-pulang lagi.

Surat Ibu Dari Penjara

SURAT IBU DARI PENJARA
Ummu Hani Abu Hassan ISBN: 978-983-097-252-7
Tebal: 168 ms

Harga: RM14

KOD: GB0077


Zaitun dijatuhi hukuman gantung sampai mati dan sedang menanti pengampunan atas kesalahan mengedar dadah.




Sewaktu di dalam penjara, ibunya meninggal dunia, membuatkan hidupnya kosong. Hatinya terdorong untuk menulis kisah hidupnya untuk iktibar kepada orang lain.

Bukunya Surat Ibu Dari Penjara itu mendapat perhatian pengarah penjara, Tuan Ahmad Dhiak. Anak Tuan Ahmad Dhiak, Akbar, seorang remaja yang nakal. Dia sering menghabiskan masa bersama rakan-rakan mat rempit dan melanggar disiplin sekolah. Akbar tertekan kerana bapanya seorang yang tegas dan mementingkan disiplin.

Kelembutan ibunya pula dijadikan tempat melepaskan amarahnya kepada si ayah. Dia menjadi anak yang takut dengan si ayah dan kurang ajar dengan ibu.

Oleh kerana pendekatan secara tegas tidak berkesan, Tuan Ahmad Dhiak cuba melembutkan jiwa anaknya dengan kaedah yang lebih berhikmah. Dia meletakkan buku Surat Ibu Dari Penjara dalam bilik anaknya agar jiwa anaknya itu tersentuh dengan pengalaman seorang banduan akhir.

Teman baik Akbar iaitu Zaidan, juara rempit dan dikenali sebagai remaja ternakal. Apakah Akbar akan terikut rentak Zaidan?

Apakah perlumbaan terakhir Zaidan mampu menginsafkan Akbar? Dan berjayakah Tuan Ahmad Dhiak untuk menyedarkan anaknya melalui manuskrip buku Surat Ibu Dari Penjara?




Sinergi

SINERGI Hilal Asyraf / novel
ISBN: 978-983-097-250-3

Tebal: 512 ms

Harga: RM23

KOD: GB0076


Dua sahabat, Rasyid Zakwan (Asid) dan Irfan Hakimi (Irfan), belajar di University of Yarmouk, Jordan.

Ukhuwah mereka memberikan kesan kepada masyarakat sekeliling. Konflik mula timbul dengan kehadiran Sara Nasuha.







Konflik ini bukan konflik dengki-mendengki tetapi konflik untuk menjaga kelangsungan ukhuwah itu. Mereka jatuh cinta kepada Sara Nasuha, dan masing-masing tidak pernah meluahkannya.

Hinggalah satu hari, Irfan menceritakan rasa hatinya kepada Asid. Asid untuk beralah dalam senyap tetapi cintanya juga amat mendalam membuatkan dia sukar untuk kekal tenang. Lalu ukhuwah mereka berdua terganggu.

Sekumpulan pelajar bermasalah – Disaster Five – tidak senang dengan imej bersih Asid dan Irdan. Konflik dua sahabat diambil sebagai peluang keemasan bagi merosakkan ukhuwah mereka.

Kes menjadi rumit apabila muncul watak misteri di sebalik kejadian pecah rumah.

Tambahan pula Irfan terjebak dalam perangkap...




Rumahku Ofisku

RUMAHKU OFISKU Tip Suri Rumah Bekerja Dari Rumah
Mazneera Zainal
ISBN: 978-983-097-245-9

Harga: RM 18

KOD: GB0087


Sebuah buku panduan untuk suri rumah bekerja dari rumah.

Mengandungi tip-tip yang amat berguna berdasarkan pengalaman penulis sendiri.







Penulis merupakan suri rumah berijazah, namun membuat keputusan untuk tidak ‘makan gaji’ di luar kerana mahu membesarkan sendiri anak-anak tercinta.

Berbagai-bagai tip dikongsi termasuklah panduan menghadapi dilema, konflik dan tekanan-tekanan yang mendatang.

Alternatif bagi suri rumah sepenuh masa ialah membina kerjaya dari rumah tanpa mengabaikan asuhan terhadap anak-anak, sekali gus dapat menjana pendapatan hanya dengan duduk di rumah.

Penulis juga memberi tunjuk ajar cara ‘set up’ bisnes di Internet.



Mar 15, 2010

Nota Fikir Untuk Zikir


NOTA FIKIR UNTUK ZIKIR

KATEGORI: MOTIVASI
ISBN: 978-983-097-260-2
PENULIS: Pahrol Mohd Juoi
TEBAL: 184 ms
HARGA: RM19/RM21*
KOD: GB0091

Buku ini ditulis dengan mesej yang jelas: Zikir tanpa fikir akan menghasilkan individu yang beku, kaku dan mundur walaupun mungkin baik tingkah laku.







Fikir tanpa zikir akan membentuk manusia yang aktif, dinamik tetapi merosakkan dirinya dan orang lain dengan pelbagai kemungkaran dan kejahatan.

Pada cerita dulu-dulu, ada jejak iktibar yang perlu disusuri semula. Pada alam ciptaan Tuhan, ada pengajaran yang dapat diambil.

Ia bergantung pada bagaimana kita melihatnya. Dan bagaimana kita melihat sesuatu, bergantung pada siapa diri kita.

Dengan gaya santai dan simple, penulis mengocak ‘fikir’ dan ‘zikir’ pembaca – langkah kecil yang diharapkan dapat menjadi pemangkin kepada langkah yang lebih gah untuk memantapkan ‘fikir’ dan ‘zikir’ ummah.

“Kelebihan yang terdapat pada beliau (Pahrol Mohd Juoi) adalah keupayaan mengolah sesuatu persoalan daripada dimensi yang berbeza dan memberikan persepsi baru terhadap perkara yang digarapnya.” – Ann Wan Seng, Setiausaha Agung Kehormat MACMA

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:

Bahagian 1: Iktibar Kisah Dulu-dulu – Mencari hikmah dan ibrah, teladan dan sempadan, daripada cerita rakyat yang merupakan suara hati orang bijaksana untuk mendidik umat.

Bahagian 2: Berguru dengan Alam – Melihat nikmat tanpa melupakan Pemberi nikmat, dengan menjadikan alam sebagai Maha Karya Tuhan yang sentiasa berbicara dengan manusia tentang keagungan Penciptanya.

Bahagian 3: Kata Dikota – Memuatkan kata-kata yang indah dan benar, yang mampu mengubat rasa yang gundah serta membuat fikiran menjadi lebih besar, seterusnya mampu mengubah jiwa!




Siri Mari Berfikir


SIRI MARI BERFIKIR

KATEGORI: Kanak-kanak

ISBN: 978-983-097-231-2 (set)

PENULIS: Zulina Hassan

TEBAL: 24 halaman

HARGA: RM9/RM11*

Terdiri daripada lima buah judul iaitu:

  1. BULAN (ISBN: 978-983-097-233-6 / KOD: GB0078)
  2. MATAHARI (ISBN: 978-983-097-232-9 / KOD: GB0079)
  3. BUMI (ISBN: 978-983-097-235-0 / KOD: GB0080)
  4. ALAM SEMESTA (ISBN: 978-983-097-234-3 / KOD: GB0081)
  5. LAUT DAN SUNGAI (ISBN: 978-983-097-236-7 / KOD: GB0082)
Buku berfakta ini mengajak kanak-kanak berfikir tentang ciptaan Allah, tentang keistimewaan BULAN, MATAHARI, BUMI, ALAM SEMESTA, LAUT DAN SUNGAI.
Turut disertakan gambar-gambar menarik dan berwarna-warni.
SIRI MARI BERFIKIR ini akan menambahkan lagi pengetahuan am kanak-kanak.


































Di Tengah Kota

DI TENGAH KOTA

KATEGORI: MEMOIR
ISBN: 978-983-097-257-3
PENULIS: Nora/Zakaria Sungib
TEBAL: 320 ms
HARGA: RM20/RM22*
KOD: GB0090




Muka Belakang













Pembaca disajikan dengan fakta, cerita dan kenangan sasterawan agama Haji Ali Haji Ahmad atau terkenal dengan nama pena Nora.

Melalui memoir ini, pembaca akan dapat menyelami detak rasa, limpahan pengalaman dan bahang keyakinan Nora menerusi himpunan tulisan beliau yang sarat dengan nilai dakwah dan tarbiah.

Buku ini juga membawa pembaca mendekati sosok sasterawan ini melalui nota-nota pinggir Zakaria Sungib.

“Dengan lahirnya buku ini, Pak Cik Nora telah menunaikan satu amanah yang kerap diwasiatkan oleh hukama: Lakukanlah sesuatu yang terus hidup setelah kamu mati!” ulas Pahrol Mohd Juoi, penulis dan perunding motivasi, dalam kata pengantarnya untuk buku ini.

Buku ini terbahagi kepada tiga bahagian:
• Prolog – Memoir zaman remaja Nora di Johor Bahru dan Sungai Mati, Muar.
• Di Tengah Kota – Memoir Nora bermula dari dekad 1960-an ketika pohon karyanya berbuah ranum dan ‘penghijrahan’ ke arena penulisan dakwah.
• Epilog – Memuatkan memoir dan nota-nota pinggir tentang kehidupan di usia senja Nora.



100 Kisah Kehidupan

100 KISAH KEHIDUPAN

KATEGORI: Umum

ISBN: 978-983-097-224-4

PENULIS: Zakaria Sungib

TEBAL: 332 ms

HARGA: RM20/22*

KOD: GB0088









Muka Belakang













Himpunan 100 buah kisah kehidupan di dalam buku ini menemukan pembaca kepada kisah-kisah yang dekat dengan diri masing-masing.

Kisah yang terkesan di hati. Kisah yang mencetuskan inspirasi, menjernihkan jiwa, seterusnya memberi motivasi.

Pelbagai kisah yang diceritakan oleh ramai pencerita ini merupakan koleksi ‘halwa jiwa’ yang memberi kesan penawar kepada keluh-kesah, kekeliruan dan tekanan hidup seharian.

Kisah-kisah itu mengajar tentang kesyukuran, kesabaran, ketabahan, pengorbanan, kasih sayang dan sifat-sifat lain yang diredhai.

Pada setiap kisah itu ada hikmah yang Allah datangkan sebagai bahan pembelajaran di universiti kehidupan.

Kisah-kisah benar dalam buku ini dibahagikan kepada lapan bahagian:
• Tentang Insan Luar Biasa
• Tentang Alam Si Kecil
• Tentang Ujian Hidup
• Tentang Restu Ibu Bapa
• Tentang Hidayah Tuhan
• Tentang Daya Usaha
• Tentang Kasih Sayang
• Universiti Kehidupan



Mar 11, 2010

Tujuh Warna Pelangi

TUJUH WARNA PELANGI

ISBN: 978-983-097-251-0
PENULIS: Zaihanim Zainal Abidin

TEBAL: 200 halaman

HARGA: RM15/ RM17*

KOD: GB0075


Bergelar yatim piatu sejak kecil, Qasyifa hanya mengenal umi dan adik-adik di Rumah Kasih.

Inilah tujuh warna pelangi dalam hidupnya: Ayah, ibu, umi, Kakak Yasmin, Iskandar, Abang Fahmi dan adik-adik di Rumah Kasih. Mereka penguat semangat dalam hidupnya.


Siapakah pula Putera Pelangi yang kad misterinya sentiasa dinanti?

Apa kaitan Putera Pelangi dalam hidup Qasyifa?

Dan siapa Puan Karmila yang kemunculannya menyentap ketenangan Qasyifa?

Apakah ada warna pelangi yang kelapan dalam hidup gadis berusia 17 tahun itu?


Murabbi Cinta

MURABBI CINTA

ISBN: 978-983-097-259-6
USTAZ HASRIZAL ABDUL JAMIL
TEBAL: 280 ms
HARGA: RM25/ RM27*
KOD: GB0089




Andai CINTA ingin dibawa ke syurga, kenapa dibiarkan cinta itu ada noktah dan hujungnya?

Cinta menjadikan manusia suka disuruh. Agar dengan cinta itu kita suka disuruh lagi disuluh. Namun, cinta yang tidak ditentukan arahnya menjadi tidak tentu arah.

Cinta menjadi penunduk kehambaan. Hambalah manusia kepada sesama hamba, yang hakikat semuanya adalah hamba kepada nafsu dan diri.

Buang emak, buang saudara, kerana cinta yang bukan lagi cinta.

Lautan api sanggup direnangi, ikrar pencinta yang sudah gila dibius cinta. Hingga api neraka hilang gerunnya.

Cinta semalam menjadikan umat Islam umat yang hebat.
Cinta hari ini menjadikan umat Islam luput tenggelam.
Sirna oleh cinta yang bukan lagi cinta.

Justeru dalam medan yang pelbagai itu, ustaz ini memperjuangkan cinta.

Cinta yang diteladani daripada seorang Nabi.

Seorang Murabbi.

MURABBI CINTA.

* Satu lagi karya Hasrizal Abdul Jamil yang telah menerima jolokan ‘Ustaz Cinta’ selepas kemunculan buku-buku motivasi terlaris beliau, AKU TERIMA NIKAHNYA dan BERCINTA SAMPAI KE SYURGA.

* MURABBI CINTA masih mengekalkan gaya santai dan pendekatan bercerita yang disulami dengan rencah kehidupan realiti di alam rumah tangga. Pendekatan psikologi yang penuh hikmah dikongsi bersama pembaca dalam mencipta cerita di dalam dunia sendiri.

* Buku ini juga mengajak kita untuk kembali kepada fitrah penciptaan cinta yang cukup suci. Ke manakah dan bagaimanakah kita seharusnya meletakkan nikmat cinta itu selayaknya?

* Ya, kita perlukan ‘murabbi’ untuk memandu ke arah itu!

Antara kandungan menarik:
* Tuliskan Pengalaman Itu * Si Kecil Pembunuh * Berguru Dengan Pokok Semalu* Aidiladha: Satu Kekurangan Seribu Kelebihan
* Didikan Allah Untuk Bakal Manusia Hebat * Jangan Monyet! Jangan! * Fitnah di Hujung Lensa
* Merebut Saham Anak Muda * Mendidik Anak Berdakwah * Mendidik Anak Berpolitik * Mendidik Anak Berfikir * Kenapa Ummi Mengandung? * Mendidik Anak Ilmu Kebal * Makin Betul Kata, Makin Salah Makna * Merawat Budaya Kuning Anak-anak
* Bahasa Keliru, Anak Pun Keliru * Menyelesaikan Pergaduhan Anak-anak * Antara Orang Agama dan Orang Beragama * Kasih Ayah Membawa ke 'Neraka'!
* Dia Pernah Mencintaimu * Murabbi Cinta, Seorang Nabi * dan banyak lagi.




Mar 6, 2010

Kembara Atiq Wazif

KEMBARA ATIQ WAZIF - SATU ANUGERAH

Penulis: Hassan Suyut

ISBN: 978-983-097-190-2.

Tebal: 277 ms
Harga: SM – RM24.50 / SS – RM26.50


(Cetakan Kedua Dengan Tambahan Gambar Terbaru)


Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa

Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.

Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.



Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.

Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.

Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”

Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…

Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”

Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga. Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.

Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!

Testimoni daripada pembaca

1. Buku ini sesuai dan wajib untuk dibaca oleh semua ibu bapa, bukan hanya mereka yang ada anak istimewa sahaja. – Pn. Midah Tairak, Sg Petani

2. Buku ini memberikan semangat baru dalam kehidupan kami. – Pn. Zaharah Samad, UIA Gombak

3. Diharap buku ini dapat menyemarakkan semangat ibu bapa yang dianugerahi anak-anak istimewa. – Sdr Agus Othman, Kuala Terengganu

4. Saya dah habis baca dua kali. Memang sangat tersentuh dan ada juga terkena batang hidung sendiri… Bacaan wajib untuk sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana yang dikatakan kehidupan sebenar. Saya jadikan bahan bacaan wajib untuk staf saya. – Fuad Omar, Johor Bahru

5. Banyak nilai baik yang memberi pengajaran/teladan pada pembaca. Satu lagi saham akhirat yang bermanfaat. – Ahmad Yani A.Manaf, Editor Majalah i

6. Memang menyentuh perasaan bila membaca helai demi helai. – Iskandar (Dr.Bubbles), Kuala Lumpur

7. Cara penceritaannya membawa kita rasa dekat dan seolah-olah ada bersama dalam setiap detik yang diceritakan. Buku ini bukan sekadar catatan pengalaman, tapi juga ada motivasi, ada panduan, ada unsur sedih dan hiba… kelakar pun ada. – Mohd Rusdi Abdullah, kolumnis majalah ANIS



Mar 5, 2010

Aura Iman

AURA IMAN
ISBN: 978-983-097- 258-9
PENULIS: WAN MOHD RUZLAN WAN OMAR
TEBAL: 248 m.s

HARGA: RM22/ RM24*
KOD: GB0085

SINOPSIS

Saban hari, pelbagai peristiwa berlaku. Ada yang mencipta suka dan bahagia, dan tidak kurang juga yang mengundang sedih dan derita. Namun bagaimanakah kita mengambil pengajaran darinya?



Adakah kita pernah terfikir bahawa segala yang berlaku itu adalah peringatan daripada Allah SWT untuk me
ngejutkan kita daripada terus leka dan terlena?

Kupasan 40 tajuk yang disandarkan dengan pelbagai peristiwa semasa mengajak kita bermuhasabah dengan kejadian alam.
Dengan bahasa yang mudah berserta sokongan fakta-fakta yang diadun kemas, menjadikan naskhah ini sesuai dijadikan bahan rujukan buat mereka yang suka berfikir.

Fikir dan zikir...

Antara kandungan:

* Iktibar daripada Mala Petaka Alam * Mata Anugerah Ar-Rahman * Ingat Mati Menambah Jernih Mata Hati * Mukmin Cemerlang Bijak Mengurus Masa * Integriti Seorang Khalifah * Akhirnya Suamiku Insaf... * Mufti Hati... Carilah Bekal Menghadap Tuhanmu * Wasiat Buat Kita * Dan banyak lagi…