Oct 9, 2008

Kembara Atiq Wazif - Satu Anugerah

Berkejar Dengan Masa Demi Seorang Anak Istimewa
Penulis: Hassan Suyut
ISBN: 978-983-097-190-2.
Tebal: 277 ms

Buku ini merupakan catatan pengalaman seorang ayah dalam membesarkan seorang anak istimewa bernama Atiq Wazif. Penulisnya, Hasan Suyut, seorang jurutera dan ahli korporat, merakam ketabahan anak kecilnya menanggung kesakitan dan kesengsaraan, ketekunan dan keberanian mengharungi rawatan yang menyakitkan sejak usia si anak masih bayi hingga sekarang, 8 tahun.

Walaupun pakar perubatan telah mengatakan, “Jangan mengharap sangat dari anak ini, dia tidak akan membesar secara normal,” penulis sebagai ayah, tidak pernah patah semangat.


Berkejar dengan masa dalam ikhtiar memulihkan anaknya, penulis membawa keluarganya merentas benua – ke Beijing di Negeri China, ke Timur Tengah, dan seterusnya ke Amerika Syarikat. Hasan bersama isteri dan lima anak mereka kini bermastautin di Florida, AS, meninggalkan sanak-saudara dan kerjaya dalam syarikat yang sedang meningkat naik. Isterinya Dora yang merupakan seorang pendidik cemerlang, sanggup mengambil cuti demi anak yang dikasihi.

Penulis menyulam penulisannya dengan kisah suka-duka yang mewarnai hubungan kekeluargaan dan cerita cinta suami isteri. Dari seorang bapa dan suami yang terlalu sibuk dengan kerjaya hingga kurang memberi perhatian kepada keluarga, kehadiran Wazif benar-benar memberi sinar baru dalam kehidupan penulis sekeluarga.

Kelahiran Wazif memang dirasakan sebagai satu anugerah daripada Allah. “Abang ingat tak masa Wa mengandungkan Wazif dulu, banyak benda-benda pelik berlaku. Mungkin Allah nak beri isyarat pada kita supaya kita bersedia untuk menerima anugerah ini,” kata si isteri pada satu ketika. Kata-kata ini cukup memberi bekas di hati penulis dan menjadi ‘turning point’ yang merubah kehidupan mereka sekeluarga.

Gaya penulisan buku ini, seperti kata Hj. Abu Hassan Morad (pemenang Anugerah Sastera Perdana 2002) yang tercatat di kulit belakang buku, “Cukup mengesankan…. menepati konsep Drama in Real Life!”

Penceritaannya sangat terperinci, mirip gaya novel. Latar masa, latar tempat, perlukisan watak dan setiap patah dialog, begitu segar. Kisah alam mistik perubatan Melayu turut melatari anekdot tangisan dalam tawa, suka dalam duka, susah dan senang yang diharungi oleh penulis sekeluarga…

Konflik mempunyai anak istimewa, konflik rumah tangga dan babak-babak mencemaskan yang diceritakan semula dengan begitu baik, menjadikan buku ini penuh elemen dramatik. Tidak hairanlah seorang pengarah program pendidikan khas di Florida, AS memberitahu penulis, “You can make a movie out of this!”

Menariknya, di bahagian kedua buku ini disertakan Bacaan Bonus, di mana penulis berkongsi segala yang dilalui dan segala yang dipelajari melalui beberapa penulisan yang ditemuinya sepanjang menelusuri kembara anaknya Wazif. Juga berdasarkan pengalaman bertemu beberapa insan yang memberikan impak besar dalam kehidupan seharian mereka sekeluarga.

Ada beberapa penulisan di dalam bahagian ini yang penulis yakin akan memberi manfaat yang besar kepada ramai ibu bapa.

Siapa tahu, kisah Hasan dan anaknya ini akan difilemkan satu hari nanti… Dalam emelnya kepada editor buku ini, Hasan menyatakan keyakinannya, jika buku ini difilemkan dan watak dirinya dimainkan oleh Denzel Washington, filem itu mungkin akan menjadi box-office!

8 comments:

  1. Buku ini sesuai dan wajib untuk dibaca oleh semua ibu bapa, bukan hanya mereka yang ada anak istimewa sahaja

    ReplyDelete
  2. Buku ini memberikan semangat baru dalam kehidupan kami

    ReplyDelete
  3. Diharap buku ini dapat menyemarakkan semangat ibu bapa yang dianugerahi anak-anak istimewa

    ReplyDelete
  4. Saya dah habis baca dua kali. Memang sangat tersentuh dan ada juga terkena batang hidung sendiri… Bacaan wajib untuk sesiapa saja yang ingin tahu bagaimana yang dikatakan kehidupan sebenar. Saya jadikan bahan bacaan wajib untuk staf saya

    ReplyDelete
  5. Banyak nilai baik yang memberi pengajaran/teladan pada pembaca. Satu lagi saham akhirat yang bermanfaat

    ReplyDelete
  6. Memang menyentuh perasaan bila membaca helai demi helai

    ReplyDelete
  7. Cara penceritaannya membawa kita rasa dekat dan seolah-olah ada bersama dalam setiap detik yang diceritakan. Buku ini bukan sekadar catatan pengalaman, tapi juga ada motivasi, ada panduan, ada unsur sedih dan hiba… kelakar pun ada

    ReplyDelete
  8. Buku ini baru diperkenalkan oleh seorang sahabat saya yg berada di Kuala Lumpur. Setelah membaca buku ini, banyak perkara yg membuatkan linangan airmata memandangkan saya juga mempunyai seorang anak istimewa dan kejadian peristiwa penulis dangan saya hampir sama. Sekurang-kurangnya buku dapat memberi semangat baru kepada saya, isteri & anak-anak yg lain utk menyembuhkan atau sekurang-kurangnya anak saya boleh berdikari.

    ReplyDelete