Nov 13, 2018

Amalan Penawar Kesedihan & Kesempitan

Judul: Amalan Penawar Kesedihan & Kesempitan
Penulis: Muhammad Hosnee Bin Zainal Abidin Al-Azhari 
Kategori: Fardu Ain
ISBN: 955-574-970-033-5
KOD: GB 0520
TEBAL: 40 m/s
HARGA: RM 8.00/ 10.00











​​SINOPSIS:

Buku ini memaparkan risalah ringkas berkaitan doa dan zikir yang diajarkan oleh ulama untuk menjadi ubat dan penawar kedukaan, kesedihan, kesempitan, kegusaran dan seumpamanya.

KANDUNGAN
Muqaddimah
Adab Berzikir
Doa Penawar Kesedihan & Kesempitan
Rujukan


TENTANG PENULIS
Memiliki Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dari Universiti al-Azhar. Kemudian meneruskan pengajian Sarjana Pengajian Islam di UKM. Kini menyambung pengajian peringkat PhD di UKM. Mengikuti pengajian ulama di Malaysia dan Mesir antaranya: Al-Arif Billah Murabbina Syeikh Rahimuddin Nawawi al-Banteni, Al-Muhaddits Syeikh Muhammad Husni Ginting al-Langkati, Al-Muhaddits Syeikh Usama Syed al-Azhari, Al-Habib Zein bin Sumait, Al-Habib Ali Zainal Abidin al-Hamid dan ramai lagi.







Ratib al-Haddad

Judul: Ratib Al-Haddad
Penulis: Ustaz Muhadir Haji Joll 
Kategori: Fardu Ain
ISBN: 978-983-097-745-4
KOD: GB 0507
TEBAL: 152 m/s
HARGA: RM15.00/RM17.00










SINOPSIS:

Ratib al-Haddad adalah antara amalan Ratib yang sangat terkenal dan telah diamalkan di seluruh dunia sejak dahulu lagi. Oleh kerana kemasyhuran dan keberkatan Ratib ini, ia juga dikenali dengan nama Ar-Ratib asy-Syahir (Ratib yang Termasyhur).

Nama Ratib ini merujuk kepada nama penyusunnya iaitu al-Imam al-Habib as-Sayyid Abdullah bin Alawi al-Haddad al-Husaini al-Hadhrami, yang masyhur dengan nama Imam Abdullah al-Haddad, seorang ulama besar dari Yaman berketurunan Rasulullah SAW.



Riwayat hidupnya disertakan agar sesiapa yang mengamalkan Ratib ini lebih mengenali dan mencintai Ahli Bait Rasulullah SAW ini dan mencontohi sirah kehidupan dan akhlak peribadi beliau yang tinggi dan luhur.






Nov 1, 2018

Mr Mama

Mr. Mama
ISBN: 978-983-097-764-5
Kod: GB523
Penulis: Shahrul Zaman Lukman, Dr. Mohd Khamizi Aziz, Kushairi Ismail
Tebal: 136 ms
Harga: RM15.00/ RM17.00


SINOPSIS
Kisah tentang lelaki hebat yang sanggup menjadi ‘suri rumah’. Ini kisah-kisah bapa penyayang. Ini adalah kisah-kisah hero yang tidak didendang! 

Mereka bertiga adalah lelaki berkarier yang akhirnya memilih untuk melindungi dan membantu keluarga dengan cara mereka. Masing-masing punya alasan dan situasi yang berbeza-beza, namun yang pasti ketiga-tiga mereka menyandang jawatan yang sama – MR MAMA!

Sebenarnya, ada banyak sebab mengapa kisah-kisah ini perlu dibukukan. Pertama untuk membuka ruang pemikiran masyarakat kita tentang peranan dan pengorbanan seorang suri rumah yang sering kali dipandang remeh. Ya, adakalanya, para suami perlu berada ‘dalam kasut’ isteri, jika mahu menjadi seorang yang lebih memahami.

Selain itu, ia diharap menjadi inspirasi kepada satu kelompok lelaki di luar sana yang masih terkapai-kapai mencari kerjaya dan akhirnya memilih untuk menjadi seorang suami yang gagal serba-serbi. Semoga ia akan menyuntik inspirasi kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang berguna. sementara masih tidak mampu memberi nafkah kepada keluarga, ringankanlah tugas isteri dengan turut sama melakukan kerja-kerja rumah tangga!


BICARA BONDA NOR TENTANG MR MAMA

 Sewaktu mendapat tahu Dr Mohd Khamizi Aziz terpaksa berhenti kerja kerana mahu menemani isterinya bertugas sebagai pakar bius di Sibu, saya terkejut. Mengenalinya sebagai seorang doktor perubatan yang aktif dengan pelbagai aktiviti sosial, saya boleh membayangkan tekanan yang akan beliau hadapi jika terpaksa menguruskan anak-anak dan kerja-kerja rumahtangga. Sudah biasa ke sana ke mari, takkan sanggup jiwanya terima jika harus terperuk di rumah saja!

“Walaupun tidak bekerja, teruslah terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan. Cari ruang untuk sumbang sesuatu. Penuhi fitrah sebagai seorang khalifah. Kalau tidak, takut stres nanti.”

Hanya pesanan itu yang mampu saya titipkan. Dan syukur, fitrah untuk terus menyumbang tenaga dan buah fikiran memang sedia subur dalam diri Dr Khamizi. Gembiranya saya melihat beliau terus setia menjaga keluarganya di rantau orang tanpa mengabaikan tanggungjawab sosialnya kepada masyarakat. Beliau terus aktif menyumbang bakti sebagai orang penting dalam beberapa NGO dan persatuan walaupun sambil mendukung bayi dan mengheret anak-anaknya ke sana ke mari. Jobless but still proudly being ‘somebody’! Wow!

Ini antara titik tolak yang membuahkan minat saya untuk mengetengahkan kehidupan seorang Mr Mama. Kisah tentang lelaki hebat yang sanggup menjadi ‘surirumah’. Hasrat ini semakin bercambah sewaktu mengetahui seorang lagi sahabat saya terpaksa berhenti kerja kerana didesak oleh rasa tanggungjawab terhadap keluarga. Ustaz Shahrul Zaman Lukman, seorang editor yang sudah punya kerjaya yang stabil turut nekad meletakkan jawatan demi menjaga sendiri anak kembar lelakinya yang baru dilahirkan.

Seronok menyaksikan beliau menyorong stroller anak-anak kembarnya ke sini sana. Memasak, mengemas rumah dan menguruskan kerja-kerja rumahtangga sedang dalam masa yang sama masih meneruskan kerja-kerja sebagai seorang editor. Freelancer. A work- at- home dad. Hati terus berdetik - wah, ini juga kisah pengorbanan yang cukup menarik!

“Bonda, saya juga seorang surirumah sekarang.”

Baik, pengakuan yang satu ini buat saya lebih terkejut. Ustaz Mohd Kushairi Ismail, seorang motivator hebat yang saya sendiri pun pernah mengikuti kursus beliau. Bukan sekadar itu, saya juga bahkan mengenalinya sebagai seorang CEO sebuah kolej swasta. Bukan calang-calang jawatannya. Bukan kecil anak juga nilai tangga gajinya.

Justeru sewaktu lelaki bekerjaya hebat ini juga mengakui telah menjadi seorang surirumah, saya sangat terkejut. Ya Tuhan, patutlah saya semakin kerap melihat status media sosialnya yang menayangkan usahanya belajar memasak dan mengemas rumah! Apa sudah jadi?

“Saya terlalu sibuk sejak jadi CEO, bonda. Anak-anak terabai dan tidak mendapat kasih sayang seorang bapa. Saya sendiri selalu rindukan masa untuk bersama mereka. Kebetulan ada sedikit masalah dan salah faham di syarikat. Saya memilih untuk berhenti. Pada hari biasa, saya jadi surirumah dan pada hujung minggu saya memenuhi undangan ceramah.”

Subhanallah. Ini kisah-kisah bapa penyayang. Ini adalah kisah-kisah hero yang tidak didendang! Mereka bertiga adalah lelaki berkarier yang akhirnya memilih untuk melindungi dan membantu keluarga dengan cara mereka. Masing-masing punya alasan dan situasi yang berbeza-beza, namun yang pasti ketiga-tiga mereka menyandang jawatan yang sama – MR MAMA!

“Bukukan semua pengalaman berharga ini! Tulis! Biar jadi panduan pada orang lain.”

Saya kemukakan permintaan. Dan Alhamdulillah, mereka turut bersemangat mahu membuat perkongsian.

Sebenarnya, ada banyak sebab mengapa kisah-kisah ini perlu dibukukan. Pertama untuk membuka ruang pemikiran masyarakat kita tentang peranan dan pengorbanan seorang surirumah yang seringkali dipandang remeh. Ya, adakalanya, para suami perlu berada ‘dalam kasut’ isteri, jika mahu menjadi seorang yang lebih memahami.

“Penat, Bonda Nor! Baru saya tahu perasaan seorang surirumah. Baru saya faham kenapa mak-mak suka berleter.”

Saya tergelak mendengar pengakuan mereka. Baru mereka tahu! Berada di rumah sepanjang hari, berkemas, membasuh baju, menyapu dan memasak sambil menguruskan anak-anak bukan satu tugas mudah. Ianya kerja berterusan yang tidak pernah ada titik noktah!

Namun, secara jujurnya, saya juga ada satu sebab lagi mengapa saya mahu ketengahkan kisah-kisah seperti ini. Saya mahu ianya menjadi inspirasi kepada satu kelompok lelaki di luar sana yang masih terkapai-kapai mencari kerjaya dan akhirnya memilih untuk menjadi seorang suami yang gagal serba-serbi. Sungguh, ini realiti! Memang ramai lelaki berada dalam kelompok ini.

Tidak terkira betapa banyaknya mesej yang dihantar oleh para isteri kepada saya tentang suami mereka yang menjadi ‘biawak hidup’ dalam keluarga. Tak bekerja, tak beri nafkhah pada keluarga, bahkan pemalas pula. Hidup makan tidur saja. Sudahlah duit belanja isteri tanggung, kerja-kerja rumah pun isteri yang uruskan. Lelaki seperti ini seperti hilang peranannya sebagai seorang khalifah. Nak cari nafkah, tak tahu nak kerja apa. Nak tolong kerja rumah, rasa malu, rasa tercabar ego mereka.

Maka menerusi naskhah MR MAMA ini, saya berharap akan menyuntik inspirasi kepada mereka untuk melakukan sesuatu yang berguna. Jika tiga orang lelaki yang ‘berprestasi tinggi ini’ pun masih mampu melakukan banyak hal-hal yang bermanfaat buat masyarakat serta masih tidak malu untuk membuat kerja-kerja yang sinonim dengan wanita seperti memasak dan menjaga anak-anak, mereka juga boleh sebenarnya. Nasihat saya buat mereka mudah saja – sementara masih tidak mampu memberi nafkhah kepada keluarga, ringankanlah tugas isteri dengan turut sama melakukan kerja-kerja rumahtangga! Boleh sebenarnya!


Alhamdulillah, terima kasih dan tahniah diucapkan kepada ketiga-tiga penulis Mr Mama di atas perkongsian kisah-kisah eksklusif ini. Semoga setiap ibrah yang diperah daripadanya akan membuahkan hasil yang lazat untuk dimamah masyarakat, insya-Allah.

Akidah Ihli Iman

Judul: Akidah Ahli Iman
Penulis: Dr. Ayman Al-Akiti 
Kategori: Fardu Ain
ISBN: 978-983-097-763-8
KOD: GB 0521
TEBAL: 80 m/s
HARGA: RM 15.00/RM17.00

SINOPSIS:

Buku ini merupakan terjemahan daripada kitab ‘Aqidah Ahl al-Iman al-Maudhu‘ah li Ta‘lim an-Nisa’ wa ash-Shibyan (Akidah Ahli Iman Yang Dikarang untuk Mengajar Para Wanita dan Kanak-kanak). Ia antara kitab ilmu akidah yang masyhur khususnya di Maghribi.

Kitab ini mengandungi matan yang menerangkan tentang ketuhanan, kenabian, perkara-perkara ghaib yang wajib diimani dan tanda-tanda kiamat seperti terzahirnya Dajjal, datangnya Imam al-Mahdi dan turunnya Nabi Isa a.s.
Ia menggunakan pendekatan ilmu akidah yang mudah dan dasar sahaja berpaksikan akidah Asy‘ariyyah yang merupakan manhaj Ahli Sunnah wal Jamaah.

KANDUNGAN
-  Panduan Transliterasi
-  Mukadimah
-  Kata Pengantar
-  Biografi al-Sharif ‘Abd al-Qadir al-Fasi al-Fihri
-  Pengenalan kitab Akidah Ahli Iman
-  Ijazah Periwayatan Kitab Akidah Ahli Iman ‘Abd al-Qadir al-Fasi
-  ‘Aqidah Ahl al-Iman al-Maudhu‘ah li Ta‘lim an-Nisa’ wa ash-Shibyan
Daftar Pustaka

Tentang Penulis:
Lahir dan membesar di Kuala Lumpur, beliau memulakan pendidikan sekolah rendahnya di SK Bukit Damansara. Ketika berumur 13 tahun, beliau mengembara ke Jawa Timur, Indonesia untuk menuntut ilmu agama di beberapa pesantren tradisional selama 7 tahun. Setelah lulus sijil Aliyyah Pesantren dari Madrasah Nidhomiyyah Pondok Pesantren Raudlatul Ulum, Kediri, Jawa Timur, beliau dilantik menjadi ustaz di pondok tersebut dan berkhidmat selama 6 tahun. Pada masa itu, beliau juga aktif bergiat dalam majlis Bahtsu al-Masail, sebuah forum muzakarah fatwa yang menjawab pelbagai persoalan umat Islam di bawah kelolaan Nahdlatul Ulama.
Beliau menamatkan pengajian pada peringkat Sarjana Muda di Fakulti Syariah Sekolah Tinggi Agama Islam Negeri/STAIN (kini Institut Agama Islam Negeri atau IAIN) Kediri, peringkat Sarjana di Universiti Hassan II, Casablanca, Maghribi dalam bidang Akidah dan Agama di Islam Barat dan seterusnya pada peringkat Doktor Falsafah di Universiti al-Qarawiyyin, Maghribi dalam bidang Akidah dan Pemikiran Islam di Fakulti Usuluddin. Ketiga-tiganya lulus dengan Kepujian Kelas Pertama.

Di Maghribi, Dr. Ayman al-Akiti aktif mengajar mahasiswa mahasiswi dari Malaysia, Indonesia dan Thailand secara talaqqi dengan mengasaskan sebuah majlis ta‘lim dengan nama Pondok Jawi Maghribi yang bertempat di Sale, Maghribi. Dr. Ayman juga aktif membentang kertas kerja dalam seminar-seminar antarabangsa di serata Maghribi, Nusantara dan Eropah.






Godcentric 2

GODCENTRIC 2
ISBN:  978-983-097-773-7
Kod: BP31
Penulis: ABEBEN & NAZR SYAFF
Tebal: 128 ms
Harga: RM10.00/RM12.00



SINOPSIS
Seperti yang dijangka, perang nuklear tercetus. Kutub Utara dan Selatan mencair. Gunung-gunung berapi meledak. Dunia semakin menuju kemusnahan dek tangan-tangan manusia sendiri. Selepas bertahun-tahun penyelidikan, akhirnya saintis berjaya mencipta bahtera terapung untuk menyelamatkan manusia. Namun, ruang tidak cukup untuk semua.

Maka, 3 peraturan utama diperkenalkan. Pertama, hanya golongan bijak pandai sahaja dibenarkan menaikinya. Kedua, diharamkan untuk mencipta dan menggunakan senjata. Dan yang terakhir, semua orang di atas bahtera itu tidak dibenarkan menganuti mana-mana agama. Hanya mereka yang memenuhi kriteria ini sahaja yang dapat meneruskan ketamadunan manusia 35,000 kaki di udara.

Yang selebihnya ditinggalkan di permukaan Bumi, dibiarkan musnah dan pupus selama-lamanya.

Dan 1,000 tahun pun berlalu ... .

Bagi aku, hanya orang soleh sahaja yang akan dikurniakan karamah daripada Allah. Dan orang soleh itu pastinya bersifat rendah diri dan murah hati ... bukannya mengambil kesempatan menjual air jampi dengan harga yang tinggi.

TETAPI

Aku dapati, masyarakat semakin kurang kebergantungan kepada Allah. Mereka lebih mempercayai air Yasin, tangkal dan azimat ... berbanding berdoa kepada Allah dan berusaha.



Tentang Penulis

Abeben
Berasal dari Rantau Panjang, Kelantan. Merupakan siswazah dalam bidang Mechanical Engineering with Advanced Design and Innovation dari universiti di United Kingdom. Beliau juga adalah ahli Daie Kreatif Venture dan telah menerbitkan beberapa buah komik. Antara tajuk-tajuk yang dihasilkan oleh beliau adalah Lukisan Tarbiah Sentap 1, Lukisan Tarbiah 2: Refleksi, Lukisan Tarbiah 3: Air Mata Terakhir, Aku, Engkau Dan Alif, Aku, Engkau Dan Alif 2: After Story dan Badai 1 – 5.

Nazr Syaff

Memilih menggunakan nama pena Nazr Syaff, lulusan dalam bidang Mechanical Engineering ini telah memilih kerjaya sebagai pelukis komik freelance. Komik Godcentric 2 merupakan kolaborasi beliau selaku pelukis bersama dengan Abeben selaku penulis. Sebagai ahli Daie Kreatif Venture, beliau turut aktif dalam aktiviti yang dianjurkan syarikat. Beliau telah menerbitkan buku bersama penerbit indie De’Gwet juga menerbitkan komik kompilasi HERO #2 Komik M.

Diari Iman 2

DIARI IMAN 2
ISBN: 978-983-097-772-0
Kod: BP30
Penulis: NIX RIDZWAN
Tebal: 128 ms
Harga: RM10.00/RM12.00
SINOPSIS



SINOPSIS
Iman mengembara bersama Kugar dalam melaksanakan misi mencari kunci peti azimat dan juga mencari anak dan isteri Kugar. Mereka telah terserempak dengan Radeus, salah seorang manusia Satria yang juga merupakan pahlawan pedang yang digeruni. 

Mereka telah berjaya memujuk Radeus untuk turut sama dalam pengembaraan tersebut memandangkan Radeus juga mempunyai misi mendapatkan kembali pedang keturunanya yang telah dicuri.

   Dalam pergembaraan mereka iaitu Iman, Info, Kugar dan Radeus, mereka telah berhadapan dengan makhluk pelik dan manusia Satria yang punyai kekuatan luar biasa iaitu Si Beruk Raksasa, Macaque dan Master Mavera yang cuba mengagalkan misi pengembaraan mereka itu. Robot Info yang menjadi peneman Iman pula telah dibawa lari.

     Apa yang akan berlaku pada Iman dan bagaimana dengan nasibnya di alam Satria ini pada masa hadapan? Ikuti kisah pengembaraan Iman dalam terbitan komik seterusnya.


Tentang Penulis:

Nix Ridzwan berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Berkhidmat sebagai Design Coordinator di sebuah syarikat produksi di KL Sentral, Kuala Lumpur selain sebagai Freelance Designer. Beliau masih baru dalam bidang komik dan komik ini merupakan karya kedua beliau yang diterbitkan bersama dengan Buku Puris.  

Sakura No Suki 1

SAKURA NO SUKI 1
ISBN: 978-983-097-771-3
Kod: BP29
Penulis: PAEH DESIGN & MF ZAKARIA
Tebal: 128 ms
Harga: RM10.00/RM12.00



SINOPSIS
Sakuragi, seorang pelajar tahun akhir di Universiti Osaka, Jepun adalah seorang agnostik iaitu tidak punyai agama tetapi percaya kepada Tuhan. Pertemuannya denga Nuri Wardah yang merupakan sahabat Jawaher iaitu rakan sekuliahnya telah membuka episod baharu dalam kehidupannya.

Setelah enam bulan tamat pengajian dari universiti di Malaysia, Nuri Wardah datang bercuti ke Jepun atas jemputan Jawaher sambil menunggu tawaran kerja. Percutian Nuri Wardah ke Jepun itu dalam masa yang sama adalah untuk membantu Jawaher yang membuka gerai jualan fesyen Muslimah yang terdiri daripada pakaian tradisi Melayu, Jepun dan gabungan kedua-duanya di tapak Festival Sakura Osaka.

Dalam usaha untuk mengenali Nuri Wardah, Sakuragi cuba mengenali agama Islam yang dianuti oleh Nuri Wardah. Pencarian Sakuragi mengenai Islam adalah melalui Internet. Namun, apa yang ditemuinya berkaitan Islam membuatkan dia menjauhkan diri dari Nuri Wardah dan Jawaher. Keadaan ini membuatkan Sakuragi berada dalam dilema antara perasaannya terhadap Nuri Wardah dengan ajaran dan amalan dalam Islam itu sendiri.
Sakuragi buntu hingga membuatkan dia hampir kehilangan Nuri Wardah.


TENTANG PENULIS
Paeh Design
Pemilik kepada nama sebenar, Faez Ismael. Memilih menggunakan nama pena Paeh Design berdasarkan kepada kerjaya sebagai pereka grafik freelance. Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi dari UiTM. Bermula dengan memuatnaik karya di media sosial, beliau kini aktif menganjurkan bengkel komik selain aktiviti bersama dengan Daie Kreatif Venture dalam menghasilkan komik berunsur dakwah. Antara judul komik tersebut adalah Tarbiah No Namida, Andai Ku Rapuh, Bukan Berkhutbah dan Inkramadhan. Merupakan pelukis dan berkolaborasi dengan penulis MF Zakaria bagi komik Sakura No Suki yang merupakan terbitan pertama bersama Buku Puris.

MF Zakaria

Singkatan dari Muhammad Faezan bin Zakaria, MF Zakaria merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi dari UiTM. Berbekalkan pengalaman sebagai seorang eksekutif pemasaran, MF Zakaria memulakan kerjaya sebagai freelance pada akhir 2016 dengan fokus utama terhadap rekaan grafik. Selain itu, beliau mula berjinak dengan seni lukisan digital serta penulisan kreatif dengan dorongan dan sokongan daripada rakan sepengajian, Paeh Design. Sakura No Suki terbitan Buku Puris merupakan hasil penulisan kreatif pertama dari MF Zakaria berkolaborasi bersama Paeh Design sebagai pelukis.






Berdamai Dengan Takdir

Berdamai Dengan Takdir
ISBN: 978-983-097-774-4
Kod: GB522
Penulis: Rohamiah Muda
Tebal: 176 ms
Harga: RM20.00 / RM22.00

SINOPSIS
Relaks betul membaca naskhah ini! Rasa seperti menonton drama di televisyen. Boleh baca sambil makan bertih jagung. Pendekatan dakwah yang cukup santai dan bersahaja hingga kepala pun tak rasa berat mahu menghadam intipati mesejnya.

Topik yang diketengahkan berkisar tentang isu biasa yang sentiasa berlegar-legar di sekeliling kita namun dikupas dengan ketinggian ilmu dan ketegasan penulisnya.

 Alhamdulillah, Berdamai Dengan Takdir adalah naskhah yang sangat sesuai untuk mereka yang mahu memelihara dan memulihara hati agar sentiasa tenang dan redha dengan takdir Allah. Tahniah Puan Rohamiah!


TENTANG PENULIS
Rohamiah Muda, seorang anak kelahiran dari Kuala Terengganu. Penulis merupakan seorang graduan lulusan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Islam dari Universiti Malaya.
Sekarang sedang bertugas sebagai seorang pensyarah di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor. Berpengalaman dalam bidang pendidikan selama 17 tahun. Penulis juga terlibat secara langsung dalam bidang pruf buku dan penerbitan di Institusi Pengajian Tinggi.
Meminati bidang penulisan buku sejak tahun 2015. Telah berjaya menerbitkan enam buah buku antologi bersama penulis lain. Beberapa karya juga telah berjaya diterbitkan di majalah.

Ibu kepada tujuh orang anak, juga bergiat aktif dengan aktiviti kemasyarakatan seperti menghadiri seminar, bengkel dan juga menyampaikan ceramah motivasi.