.

Selamat Berkunjung Ke . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Jun 1, 2009

Dua Ibu Berkongsi Niat dan Hasrat Yang Sama

Puan Norehan M.Nooh (novelis Diari Aneesa) dan Puan Nor Hayati Sapii (Andai Aku Affrina) kelmarin berkongsi niat untuk berdakwah dan mendidik melalui novel masing-masing. Mereka berkongsikan hal ini dalam Bengkel Penerapan Nilai Islam Dalam Novel kali kedua di pejabat GISB pada 30 Mei.

Bagi Puan Nor Hayati, segalanya bermula apabila beliau berasa tercabar melihat anak-anak remajanya membaca novel-novel yang tidak sesuai untuk remaja Muslim. Lalu terdetik di hatinya, ‘Mengapa aku sendiri tidak menulis novel yang sesuai untuk dibaca oleh anak remajaku?’

“Mama tulislah, Mama,” dorong seorang anak remajanya apabila beliau menyuarakan perkara itu pada satu ketika.

“Mama akan tulis,” katanya menyahut cabaran itu.


Dengan hanya berbekalkan ilmu bantu dalam bidang kejuruteraan setelah 17 tahun menjadi jurutera dan kini bergelar surirumah sepenuh masa, Puan Nor Hayati pun mula menulis novel sulungnya.

Sewaktu menghadiri taklimat penulisan novel remaja Islami di GISB pada Ogos 2008, beliau mengajukan sinopsis novelnya untuk dinilai. Sinopsis itu diluluskan dengan beberapa pindaan dicadangkan oleh editor. Ini membuatkan beliau semakin bersemangat.

Dengan bimbingan editor, beliau berjaya melahirkan novel sulungnya, Andai Aku Affrina, tiga bulan kemudian iaitu pada awal November 2008.

Sebagai guru sekolah menengah selama 12 tahun, Puan Norehan pula mendapat dorongan untuk menulis novel apabila melihat banyak gejala sosial melibatkan pelajar sekolah.
Oleh kerana memikirkan para pelajar kurang berminat membaca buku motivasi, beliau melihat novel sebagai medium yang sesuai untuk berdakwah kepada mereka. Beliau mahu menghasilkan novel yang membawa mesej dakwah.

“Saya mencabar diri saya sendiri untuk menulis dalam bahasa Melayu. Kerana sebagai guru bahasa Inggeris selama belasan tahun, saya mahu buktikan bahawa saya juga boleh menulis dalam bahasa Melayu dengan baik.”

Beliau amat gembira apabila GISB menyambut baik proposal novelnya Diari Aneesa. Beliau juga bersetuju menulis novel itu mengikut format yang dicadangkan selepas berbincang dengan editor.
“Saya amat bersyukur kerana diberi peluang yang memang saya tidak pernah impikan selama ini,” katanya. Peluang ini digunakan sebaik-baiknya untuk menyempurnakan kerja menulis novel itu hingga mendorong beliau mengubah rutin hariannya.

“Saya mula membiasakan diri bangun pukul empat setengah pagi untuk menulis.”

Pada hujung September 2008, tiga bulan selepas menerima tawaran menulis daripada GISB, Puan Norehan berjaya menyiapkan novel sulungnya.

“Novel yang pertama ini akan saya jadikan sumber inspirasi bagi menghasilkan lebih banyak lagi novel motivasi remaja Islami. Remaja-remaja Islam harus disuapkan dengan bahan-bahan bacaan berbentuk Islami agar mereka kelak menjadi muslimin dan muslimah yang mampu berdaya saing dan mempunyai tahap keimanan yang tinggi … Insya-Allah.”
Dalam bengkel Sabtu lepas, Pengarah Urusan GISB Tuan Hj Abu Hassan Morad, yang juga seorang novelis, turut memberi tip-tip menulis berdasarkan pengalaman beliau menulis banyak novel termasuk novel Cinta Madinah yang dijadikan drama bersiri.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...