.

Selamat Berkunjung Ke . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Jan 2, 2009

Buah Tangan Terbaru USTAZ HASRIZAL - bakal terbit

Sudah tiga manuskrip karangan Ustaz Hasrizal (saifulislam.com) a.k.a Abu Saif saya baca dan sunting. Yang pertama buku AKU TERIMA NIKAHNYA yang sudah terbit dan diulang cetak (maaf ustaz andai masih ada error di dalam teksnya).

Yang kedua DATARAN SYAM: RINDU BAU POHON TIN sudah siap saya sunting dan memulangkannya kepada Editor Kanan, En. Zakaria Sungib. Jika masih ada kesalahan akan diperhalusi semasa membaca pruf kelak.

Yang ketiga TURKI: SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH, baru sahaja selesai menyuntingnya dan akan disemak sekali lagi sebelum menyerahkan kepada En. Zakaria. Juga akan diperhalusi lagi teksnya semasa membaca pruf nanti.

Tidak sukar menyunting tulisan Ustaz Hasrizal kerana saya percaya beliau sudah punyai bakat menulis semula jadi. Diasah digilap menjadi semakin tajam.



Kebanyakan pembetulan secara umumnya pada tanda baca koma selepas penutup pengikat kata yang sepatutnya diletakkan sebelum penutup pengikat kata. Juga, perkataan ‘tetapi’ yang banyak saya jumpa di merata tempat; ini, saya cantaskan. Beberapa judul bab juga saya ubah suai agar serasi dengan kehendak buku.

Saya mula akrab dengan tulisan Ustaz Hasrizal di Saifulislam.com sekitar akhir 90-an, pabila talian internet dilanggani di rumah. Kerap e-mel saya terima daripada rakan-rakan memetik artikel-artikel dari Saifulislam.com sebagai santapan rohani dan pengembangan minda.

Barangkali, di Galeri Ilmu ini saya antara orang awal yang mengenali tulisan Ustaz Hasrizal kerana ketika itu belum ramai rakan sepejabat yang mesra internet. Malah di pejabat pun belum ada talian untuk akses internet.

Saya cukup senang dengan tulisan beliau. Bernas dan tegas. Pernah saya terfikir: 'Alangkah bagus jika artikel-artikelnya dihimpunkan menjadi buku!' Begitu pandangan saya ketika itu. Saya juga tidak menyedari bahawa penulis yang nama penanya Abu Saif di blog sebenarnya seorang yang cukup popular di kalangan blogger dan pengunjung alam siber.

Apabila wujud akses internet di Galeri Ilmu, hubungan syarikat dengan Ustaz Hasrizal menjadi rapat. Artikel-artikel beliau mula tersiar di dalam majalah Anis yang terkadang saya menyoal diri, “Macam pernah baca artikel ni, tapi di mana ya?”
Oh, rupa-rupanya saya sudah lama membacanya dalam e-mel yang diterima, dan pada masa itu baharu saya perasan ‘Abu Saif’ itu namanya Hasrizal Abdul Jamil. Seorang ustaz!

2007
Tahun 2007, tahun yang amat bermakna bagi saya apabila Jabatan Buku ditubuhkan. Jabatan yang belum lagi berusia setahun jagung itu telah mengambil membuat keputusan tepat apabila membukukan hasil tulisan Ustaz Hasrizal.

Lebih bermakna lagi apabila Pengurus Jabatan Buku (ketika itu En. Roslan Kassim) mengarahkan saya membantu En. Zakaria Sungib dalam urusan penerbitan manuskrip Ustaz Hasrizal memandangkan En. Zakaria yang sudah ‘tidak menang tangan’ dalam tugas hariannya.

Pucuk dicinta, ulam yang tiba. En.Zakaria menyerahkan manuskrip itu untuk saya sunting…amanah itu bagaikan suatu penghormatan bagi saya. Tidak menyangka sama sekali, “Dahulu aku hanya baca artikelnya di internet, tak sangka hari ini aku diberikan amanah untuk menyunting bukunya dan aku tidak kenal pun siapa penulis ini secara dekat…rezeki daripada-Mu yang Allah.”

Dalam himpitan ‘deadline’ tugas-tugas lain, saya pikul amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab biarpun ragu-ragu dengan kemampuan diri ini.

Ternyata judul AKU TERIMA NIKAHNYA mendapat sambutan yang di luar jangkaan daripada pembaca. Maklum sahaja, Galeri Ilmu belum ada pengalaman menerbit buku; ia suatu percaturan. Alhamdulillah, strategi menjadi...satu lagi saluran untuk berdakwah melalui penerbitan buku terbuka luas. Sekalung terima kasih dan tahniah saya untuk Ustaz Hasrizal!

2008
Akhir 2008, sekali lagi kerana tidak menang tangan En. Zakaria menyerahkan dua manuskrip tulisan Ustaz Hasrizal untuk disunting. Dengan senang hati saya menerima JORDAN: RINDU BAU POHON TIN dan TURKI: SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH untuk disunting. Buntang mata sehingga tamat saya menyuntingnya…(bukan memuji tetapi realiti).

Sungguh, pengisian yang terkandung di dalam kedua-dua manuskrip ini harus dan wajar dibaca dan dimiliki oleh generasi muda hari ini. Saya cukup tersentuh membacanya.

RINDU BAU POHON TIN misalnya membuatkan saya terfikir betapa generasi kita hari ini sebenarnya tidak mensyukuri nikmat kemudahan mencari ilmu di tanah air sendiri berbanding generasi dahulu yang bersusah payah berkelana fi sabilillah meninggalkan tanah air untuk menuntut ilmu.

Tiba di bab Kehendak-Nya Mereka Pergi, saya menjadi sedikit emosi. Hiba di hati amat terasa.

Demikian juga SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH, membuatkan saya melihat Turki dari perspektif yang berbeza. Selama ini kita di‘tubi’kan dengan Turki yang sudah jauh dari Islam. Namun, penulis berjaya membawa kita menyelami adat budaya yang masih lagi murni di Turki. Islam di Turki sebenarnya belum lagi padam sementelahan masih ada rakyat yang berjuang untuknya.

Saya cukup terkesan membaca bab Menjejak Tragedi Penggulingan Sultan Abdul Hamid II—saat-saat penggulingan baginda bagaikan berlaku depan mata. Sayu, hiba mengenangkan seorang pemimpin negara digulingkan kerana menegakkan yang haq di bumi Allah ini.

Sebagai promosi awal, saya amat mengesyorkan remaja-remaja kita yang bakal melangkah ke menara gading membaca buku ini apabila terbit kelak. Para peminat Saifulislam.com yang sudah punyai anak remaja, hadiahkanlah kepada anak anda sebagai suntikan motivasi agar mengenali jati diri (sebagai seorang anak, sebagai seorang insan dan sebagai seorang Islam). Sesungguhnya mencari ilmu itu tiada noktahnya!

Wallahua’lam.

Nota:
1) Kedua-dua judul ini masih belum muktamad selagi CIP belum dimohon dari Perpustakaan Negara. Bisa diubah lagi.

2) Hari ini 5 Muharam 1430/2 Januari 2009: Akan serah SECANGKIR TEH PENGUBAT LETIH kepada Editor Kanan untuk tindakan selanjutnya (and right now I do need a cuppa!!).

-SURAIYA- (http://suraiyasuraiya.blogspot.com)


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...