.

Selamat Berkunjung Ke . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Nov 5, 2008

SALAM PERKENALAN!

Salam perkenalan…

Sekian lama saya termenung, mencari ilham untuk mengisi blog Jabatan Buku ini. Apa yang hendak diceritakan? Apa yang hendak dikongsikan dengan audien maya saya? Ini blog rasmi Jabatan Buku, maka tidaklah boleh saya merapu sebagaimana saya merapu di blog persendirian saya yang syok sendiri!

Rakan sejabatan, Encik Zakaria (mesra dengan panggilan Pak Ya) nampaknya sudah mendahului yang lainnya dalam pengisian blog ini. Sementelahan, beliaulah yang paling senior, paling berpengalaman dan paling indah bahasa tulisannya. Maka banyak ilmu yang dapat dicurahkan di blog ini.

Biarlah saya mulakan dengan pengenalan diri saya walaupun tiada apa yang menarik untuk dikongsikan.

Nama saya Suraiya Pauzi. Cuma saya seorang sahaja yang perempuan di Jabatan Buku. Di Jabatan Buku, Galeri Ilmu ini saya sebagai editor kepada buku kanak-kanak dan remaja. Pengalaman saya tidaklah banyak mana. Bermula sebagai seorang penyunting artikel-artikel majalah dan menulis artikel. Tidak ketinggalan juga saya terlibat dengan kerja-kerja kewartawan suatu ketika dahulu. Kemudian saya diamanahkan menjadi editor kepada dua majalah kanak-kanak iaitu majalah Asuh dan Asuh Kids (dua majalah sekali gus). Kini semuanya tinggal kenangan. Cuma sesekali saya masih ada menyumbang artikel kesihatan untuk majalah Anis.

Memang ketika memegang dua majalah itu, kekuatan mental dan emosi perlu kuat kerana sentiasa berkejaran dengan deadline. Tekanan memang hebat, perlu sabar yang tinggi. Berbeza dengan penerbitan buku. Tempoh menyiap kerja lebih panjang, tetapi pada saat kritikal, terkadang stresnya melebihi stres menyiapkan majalah. Saya sudah merasainya! Ada saja yang tidak kena, ada saja silapnya dan perlu ubah suai sana sini…aduh!

Apa pun, menceburi bidang media ini tidaklah kekok bagi saya, kerana semasa di kampus ITM dahulu saya mengambil bidang Komunikasi Massa dalam jurusan Penerbitan. Seterusnya saya melanjutkan pengajian ke peringkat Sarjana di Universiti Malaya untuk mendalami bidang penerbitan.

Yang pasti, ilmu akademik yang dikutip sewaktu di alam kampus, tidak sama dengan ilmu yang dikutip bersama pengalaman kerja. Tetapi kedua-duanya sama penting.

Dalam bidang penulisan, barangkali bakat terpendam menulis saya itu mengalir daripada ayah. Dalam adik-beradik, cuma saya sahaja yang cenderung dalam bidang ini. Sebelum bersara dari UM ayah saya juga sudah lama aktif menulis buku. Jadi saya banyak membantunya menaip dan menyemak bahan penulisannya. Hingga kini, ayah saya masih menulis. Dari situlah saya mula mengenali dunia penulisan.

Saya juga pernah dipinjamkan ke bahagian AV. Maka banyaklah berjalan jauh. Kembara ke negara orang sambil bekerja dan menimba pengalaman. Khidmat dan tenaga saya di situ lebih kepada wartawan penyelidik dan membantu menyediakan skrip dokumentari. Di bidang penyiaran ini, lain pula tekanannya. Tekanannya lebih berupa kepenatan fizikal dan mental. Ya, perlu tabah dan perlu banyak bergantung kepada Allah! Jika nipis iman dan sabar boleh membawa perkelahian sesama krew. Apa pun, alhamdulillah sepanjang penglibatan saya di AV, teman-teman seperjuangan semuanya baik-baik dan saling bertolak ansur. “APA YANG PENTING, KERJASAMA…” (sekadar memetik moto program kanak-kanak di TV i.e. Wonder Pets)

Selain itu, En. Zakaria juga banyak memberi tunjuk ajar dalam bidang penyuntingan dan penulisan. Banyak ilmu yang saya kutip daripada beliau. Untuk itu, terima kasih banyak. Moga Allah membalas jasa baiknya. Satu perkara yang saya cukup hormat akan En. Zakaria, beliau seorang yang sangat sabar. Bercakap pun berhemah. Tidak pernah meninggikan suara. Ideanya selalu bernas. Lenggok bahasa penulisannya cukup menarik dan indah (saya tidak mampu menyainginya). Sepanjang 12 tahun saya bekerja di sini, sekali pun saya tidak pernah nampak beliau marah walaupun sentiasa sibuk. Dalam tekanan kerja pun, En. Zakaria masih mampu tersenyum. Di sini, dialah sifu kami!

Sekian dahulu…insya-Allah kita bertemu lagi!

2 comments:

Mynie said...

salam perkenalan kak suraiya,
saya pembaca setia majalah anis. sekian lama melihat nama 'suraiya pauzi' di bahagian kredit artikel-artikel tertentu, baru hari ini mengenali orangnya :)

suraiya said...

Salam juga! Eh...baru perasan ada komen. Maaf ya. Kini saya tidak lagi terlibat dengan majalah. Sudah ditukar ke Jabatan Buku. Buat bukulah pula.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...