.

Selamat Berkunjung Ke . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U . B L O G . B U K U . G A L E R I . I L M U .

Oct 23, 2008

Taklimat Novel Remaja Islam Siri (3)

ASTANA KARYA 23 Okt. 08 – Seramai 13 orang peserta telah menghadiri Taklimat Penulisan Novel Remaja Islam anjuran Jabatan Buku, Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (JB-GISB) pada 19 Oktober baru-baru ini. Taklimat yang disampaikan oleh Encik Zakaria, Editor Kanan JB –GISB ini merupakan siri yang ketiga dianjurkan oleh jabatan ini, dan yang pertama diadakan di bangunan baru di Kota Damansara.

Taklimat yang bermula pada jam 10 pagi ini banyak memberi penjelasan kepada para peserta berkenaan kaedah, panduan dan juga tip-tip penulisan kategori novel. Dengan menggunakan istilah ‘laut biru’, Encik Zakaria telah mendedahkan situasi pasaran buku terutamanya novel remaja yang makin bercambah.


Oleh kerana sesi taklimat kali ini difokuskan kepada penulisan novel remaja Islam, Encik Zakaria juga telah menyediakan sampel-sampel novel remaja yang merupakan antara koleksi ‘best-seller’ semasa Pesta Buku Antarabangsa 2008 sebagai panduan para peserta.

Semasa sesi rehat selama lebih kurang lima minit, peserta dijamu dengan hidangan kuih raya oleh pihak jabatan. Ia disusuli dengan ucapan daripada Pengarah Urusan GISB, Tuan Haji Abu Hasan Morad.

Para peserta kelihatan begitu teruja apabila Pengarah Urusan turut menceritakan tentang dunia penulisan yang menjanjikan ruang dan peluang yang begitu luas sekiranya dibuat dengan penuh kesungguhan. Juga diselitkan cerita di sebalik drama Cinta Madinah yang merupakan adaptasi dari sebuah novel tulisan beliau. Dengan memaksikan unsur-unsur keislaman dalam penulisan, Pengarah Urusan begitu berharap dengan adanya taklimat seperti ini akan melahirkan penulis-penulis yang boleh diketengahkan suatu hari nanti.

Taklimat disambung selepas Pengarah Urusan bermurah hati menayangkan sedutan drama Cinta Madinah versi Arab secara eksklusif kepada para peserta.

Taklimat yang lebih bersifat ‘santai’ ini juga menyediakan ruang kepada para peserta melontarkan ide-ide bernas terutama ketika sesi tutorial. Dengan contoh-contoh situasi yang diberi oleh Encik Zakaria, peserta diajak dan diajar membuat satu contoh sinopsis novel remaja yang relevan. Pelajar, wartawan, bekas wartawan, guru dan juga suri rumah yang merupakan antara yang hadir pada sesi taklimat kali ini begitu bersemangat dan telah memberikan kerjasama dan penglibatan yang cukup baik.

Dengan rendah diri, Jabatan ini mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua peserta yang telah melapangkan waktu masing-masing untuk hadir pada sesi taklimat kali ini. Semoga segala apa yang telah dikongsi, dapat sama-sama dimanfaatkan untuk memartabatkan industri buku tempatan. Juga sebagai satu cabang dakwah dalam menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat.

2 comments:

hamim said...

Bila nak buat siri ke-4? Saya berminat nak menyertainya. Macam mana nak mendaftar?

admin said...

buat hamim,
terima kasih kerana berminat dengan program anjuran kami. Insya-Allah, kami akan maklumkan kepada umum apabila tarikh dan masanya telah ditentukan. Harap terus melayari blog kami untuk perkembangan selanjutnya. terima kasih sekali lagi

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...