Kami mengalu-alukan calon penulis baru/berpengalaman untuk bersama-sama kami memeriahkan dunia penerbitan buku islami. E-melkan sinopsis anda kepada: shafie@galeriilmu.com.my (agama), amir@galeriilmu.com.my (kreatif) atau zuraidah@galeriilmu.com.my (motivasi)

Tip Kewangan Daripada Hajah Rohani

Masyarakat Islam harus sentiasa peka dengan perkembangan ekonomi dan kewangan semasa, saran Hajah Rohani Datuk Hj Mohd Shahir.

Beliau berkata, sikap ini akan membantu kita merancang kewangan diri dan keluarga dengan lebih baik.

“Tahap pengurusan kewangan di kalangan masyarakat Islam masih lemah,” kata beliau dalam rancangan Mesra Bersama Anis di radio IKIM baru-baru ini.

Kolumnis ruangan Tip RM dan penulis buku Ke Mana Wang Anda? itu juga menekankan nilai keberkatan dalam mencari pendapatan untuk keluarga.

“Dalam mengejar harta dunia, adakalanya kita terlibat dengan unsur-unsur yang menjadikan pendapatan kita tidak berkat,” kata Hajah Rohani yang mengupas isu-isu berkaitan dilema masyarakat Melayu Islam khususnya yang masih tercari-cari panduan yang tepat untuk membantu mereka mengendalikan kewangan dengan baik.

Buku Ke Mana Wang Anda? terbitan Galeri Ilmu Sdn. Bhd. (GISB) yang dilancarkan pada Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di PWTC, April lalu mendapat sambutan dan respons yang cukup baik daripada pembaca.

“Saya yakin ramai di kalangan pembeli merupakan pembaca setia majalah Anis yang mengikuti ruangan saya (TIp RM) setiap bulan. Buku ini bukan sahaja mengandungi banyak info malah saya cuba mengolah artikel-artikel di dalamnya dengan bahasa yang mudah. Paling penting, apa yang ingin saya sampaikan dapat difahami oleh pembaca.”

Rancangan yang ke udara selama setengah jam itu dikelolakan oleh DJ Nik Hasnah Ismail. Selain mempromosi buku beliau, Hajah Rohani juga berkongsi tip cara-cara mengurus kewangan dengan betul dan mudah.

Hajah Rohani merupakan figur penulis GISB kedua yang muncul di IKIM.fm, selepas Ustaz Amaluddin Mohd Napiah (Bawa Hatimu Kepada Tuhan), untuk memperkatakan buku masing-masing.

Galakkan Anak di IPT Menabung dan Melabur

Ibu bapa yang mempunyai anak di IPT harus menggalakkan anak-anak mula melabur dan menabung sejak bergelar mahasiswa. Di dalam Ke Mana Wang Anda?, Hajah Rohani menyarankan agar pelajar IPT menggunakan sedikit wang pinjaman atau biasiswa untuk melabur dan menabung.

Beliau mencadangkan dua cara:
1. Melanggani produk pelan simpanan takaful dengan kadar RM62.69 setiap bulan untuk tabungan selama 25 tahun bagi perlindungan RM100,000. Apabila caruman dibuat secara istiqamah, selepas 25 tahun, jumlah yang terkumpul adalah RM33,661.89. Jika ditakdirkan pencarum meninggal dunia ketika masih menuntut, warisnya akan menerima manfaat kematian RM100,000.

2. Melabur dalam amanah saham yang menawarkan pulangan tahunan sekitar 10% setahun. Apabila istiqamah menyimpan RM100 sebulan selama tiga tahun, tabungan akan menjadi RM4,184.02. Bermakna, apabila selesai pengajian, pelajar akan mempunyai wang sebanyak itu untuk menyara diri sementara menunggu mendapat pekerjaan. Wang ini juga boleh digunakan untuk mula membayar pinjaman pendidikan.

Di dalam buku itu juga, Hajah Rohani mengajak pembaca memanfaatkan khidmat kaunseling yang diberikan percuma oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Bank Negara (www.akpk.gov). Sejak ditubuhkan pada April 2006, lebih 50 ribu individu mendapatkan khidmat kaunseling secara percuma daripada AKPK yang mempunyai 40 kaunselor di sembilan lokasi di seluruh negara.

Melalui syarikatnya Hijrah Wealth Sdn. Bhd. (www.hijrahwealth.com), Hajah Rohani juga mengalu-alukan sebarang pertanyaan mengenai pengurusan dan perancangan kewangan.


2 comments

  1. Rizal  

    November 28, 2013 at 10:58 AM

    tips yang sangat menarik, terimakasih

  2. chek sue  

    February 14, 2014 at 11:53 AM

    website hijrah tu dh xble buka kn?

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Komentar Terkini

Capaian Lain